Tuesday, September 15, 2009

Tribute Untuk Sahabat : Satu Perkongsian

Salam....

Sekadar berkongsi kebahagiaan dengan ikhwah akhawat.
Semoga ada kebaikannya

Jzkk
Roha Hassan

..........................................................................................................................................................................

Selamatkan sahabat anda

Ketika remaja, ibu menggelar saya kera sumbang kerana jarang sekali keluar berkawan. Jiran di kampung pernah bertanyakan emak petua yang digunakan kerana berjaya ‘mengawal’ saya daripada keluar sedangkan cucu perempuannya sebaya saya ketika itu pantang duduk di rumah.

Apabila ada rakan yang mengetahui saya bekerja sebagai seorang wartawan, mereka ketawa berdekah-dekah kerana sepatutnya mereka yang menjadi wartawan kerana suka ambil tahu hal orang lain.

Gelaran antisosial memang gelaran saya. Saya tidak pernah marah pun. Malah suami dan anak selalu ketawakan saya kerana bagi mereka saya tidak ada kawan. Rakan di pejabat sebelum ini pernah ibaratkan saya balik ke rumah seperti saya balik ke penjara kerana saya akan terus memerap di ‘penjara’.

Oleh itu, apabila saya mengajak keluarga ke majlis ‘Iftar Hidayah Centre’ di Perbadanan Putrajaya, semalam, kerana seorang sahabat membelikan tiga kerusi untuk saya, mereka tertanya-tanya, siapakah sahabat yang dimaksudkan.

Majlis iftar itu ialah bagi meraikan mereka yang baru memeluk agama Islam dan setiap kerusi berharga RM100. Sumbangan akan digunakan untuk menambah dana Hidayah Centre, iaitu pusat perlindungan saudara baru.

Oleh kerana sahabat saya ini faham perangai saya yang jarang sekali akan keluar rumah tanpa suami dan anak, dia membelikan tiga kerusi untuk saya.

Bukanlah bermakna membeli tiga kerusi itu saya sudah anggap sahabat, tetapi niat di sebaliknya yang sentiasa ingin melihat saya berubah ke arah kebaikan, dengan mengajak saya tanpa jemu, tidak pernah memaksa, tetapi sentiasa ‘mendidik’ saya dalam diam-diam dengan menunjukkan akhlak yang mulia.

Beliau juga tidak pernah memperlekehkan saya sebagai seorang perempuan yang tidak pernah bertudung, dia tetap bersahabat dengan saya secara ‘diam-diam’ sehinggalah sekarang saya menutup aurat atas keinsafan sendiri.

Dialah sahabat wanita yang mendoakan saya dan tumpang gembira apabila saya dapat menunaikan umrah tahun lalu secara percuma.

Oh ya, seorang lagi sahabat lain turut menyumbangkan wang saku supaya saya dapat ke Tanah Suci, beribadah tanpa rasa bimbang. Dengan lain kata, saya dapat bersolat di Masjidil Haram, di Masjid Nabawi dan berdoa di Raudhah secara percuma, semuanya kerana beberapa sahabat dan seorang bos yang berhati mulia.

Ketika mendengar forum di iftar berkenaan yang turut memberi penjelasan mengenai makna sahabat, iaitu mereka yang ‘menyelamatkan’ anda, saya kini boleh menarik nafas lega kerana rupa-rupanya saya ada sahabat, mungkin tidak ramai, tetapi sentiasa ‘menyelamatkan’ saya.

Dan sekarang, saya berazam untuk menjadi seorang sahabat yang baik pula kepada orang lain dengan cara saya yang tersendiri, iaitu membantu ‘menyelamatkan’ orang lain, tanpa perlu mengenalinya pun. Saya kini boleh ‘bersahabat’ dengan saudara baru, rakyat Palestin dan golongan miskin, malah pembaca Sinar Harian sendiri.
Nampaknya, cara ini lebih sesuai untuk seorang antisosial seperti saya ‘bersahabat’


Sinar Harian, 14/09/2009, m/s N6

Monday, September 14, 2009

Perbezaan Antara Penganut Islam Dan Bukan islam

Islam telah meletakkan satu prinsip agama yang penting iaitu kewajipan berbeza dengan amalan golongan bukan Islam, baik dari segi kepercayaan, cara ibadah mahupun budaya hidup. Islam menuntut umatnya supaya tidak meniru cara ibadat dan budaya hidup golongan bukan Islam kerana peniruan itu dibimbangi boleh membawa kepada asimilasi agama dan budaya yang akhirnya akan menghakis identiti umat dan seterusnya melemahkan jati diri mereka.

Asas bagi prinsip ini terkandung dalam banyak nas-nas al-Qur’an dan as- Sunnah, antaranya firman Allah swt dalam surah al- Jaathiah, 45:18. Yang bermaksud:
“Kesudahannya, Kami jadikan engkau ( Muhammad ) menjalankan satu syariat ( yang cukup lengkap ) dari perkara agama, maka turutlah syariat itu, dan janganlah engkau menurut hawa nafsu orang yang tidak mengetahui.”


“Orang yang tidak mengetahui’ di sini dimaksudkan sebagai semua golongan bukan Islam kerena mereka adalah kumpulan orang yang jahil dengan syariat Nabi Muhammad saw.

Terdapat banyak hadis Nabi saw yang menjadi asas bagi prinsip ini, sehingga ada ulama yang mengumpulkan lebih daripada 30 buah hadis sahih mengenainya, seperti:

1. Larangan Nabi saw terhadap umatnya daripada menggunakan serunai dan loceng sebagai seruan solat pada zaman awal Islam kerana ia menyerupai cara puak Yahudi dan Nasrani sehinggalah Nabi saw diwahyukan dengan azan (Shahih Sunan Abi Daud, no : 498)

2. Larangan Nabi saw daripada solat pada waktu matahari sedang terbit dan waktu sedang terbenam kerana ia adalah waktu sujud golongan penyembah matahari (Shahih Muslim, no : 832)

3. Larangan Nabi saw daripada menjadikan perkuburan para anbiya’ dan shalihin sebagai tempat ibadah kerana yang demikian itu adalah amalan golongan Yahudi dan Nasrani (Shahih Muslim, no : 530-532)

4. Larangan Nabi saw daripada bersolat dengan berbungkus sehelai kain tanpa mengilasnya di tempat kilasan kerana yang demikian itu adalah perbuatan golongan Yahudi. (Sahih Sunan Abi Daud, no : 635).

5. Suruhan Nabi saw supaya umatnya sekali sekala bersolat sambil memakai selipar dan khuf kerana puak Yahudi tidak mengharuskannya (Shahih Sunan Abi Daud, no,: 652)

6. Larangan Nabi saw daripada duduk bertongkat dengan tangan kiri dalam solat kerana yang demikian itu adalah cara duduk puak Yahudi (Mustadrak al-Hakim, lihat: Jilbab al-Mar’ah, hal:175)

7. Peringatan Nabi saw terhadap umatnya supaya bersahur bila berpuasa kerana golongan ahli kitab berpuasa tanpa bersahur (Shahih Muslim, no: 1096)

8. Saranan Nabi saw supaya umatnya menyegerakan berbuka puasa kerana golongan Yahudi dan Nasrani melewatkannya (Musnad Ahmad, lihat: al-Jilbab al-Mar’ah, hal:175)

9. Saranan Nabi saw supaya umatnya berpuasa ‘Asyura’ pada hari kesembilan dan kesepuluh kerana golongan Yahudi dan Nasrani hanya berpuasa pada hari kesepuluh sahaja (Shahih Muslim, no: 1134)

10. Saranan Nabi saw supaya jemaah haji bergerak dari Mudzalifah ke Mina sebelum terbit matahari kerana golongan Musyrikin biasanya bergerak selepas matahari terbit melepasi puncak Bukit Thubair di Makkah (Shahih Muslim, no: 3626)

(Dipetik dari Majalah I,Kumpulan Karangkraf, Bil. 83,September 2009, m/s 47)

"Aku akan rogol kau Rodziah" ke balai polis


Sumber : HarakahDaily.Net
Abdul Aziz Mustafa
Sun Sep 13, 09 10:31:23 am

SHAH ALAM, 13 Sept: "Aku akan rogol kau, Rodziah!" adalah antara kata-kata cabul yang dihamburkan terhadap Exco Kerajaan Selangor, Rodziah Ismail ketika majlis dialog antara penduduk Seksyen 23, Shah Alam dengan kerajaan Selangor 5 September lalu.
Dalam kenyataannya ketika membuat laporan polis semalam, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Tiga itu menceritakan, beliau telah dihamburkan pelbagai kata-kata cabul lain oleh mereka yang mencetuskan kekecohan dalam dialog yang di adakan di dewan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) itu.

"Antara kata-kata kesat terhadap saya yang dikenalpasti ialah 'jalang!', 'Rodziah mengalahkan pelacur!', 'pelacur lebih baik dari kau!', 'babi!', 'sundal!', 'kau jangan bersuara, Rodziah!', (dan) lemparan kata, 'aku akan rogol kau, Rozdiah!'," kata beliau.

Rodziah membuat laporan polis itu di ibu pejabat polis daerah Shah Alam di Seksyen 11 di sini, kira-kira pukul 12 tengahari semalam iaitu kira-kira seminggu selepas sesi dialog itu.

Turut serta memberikan sokongan moral kepada beliau adalah Ketua Muslimat PAS, Nuridah Salleh, anggota Parlimen Kota Raja, Dr Mariah Mahmud dan rakan exco beliau, Elizabeth Wong.
Menurut Rodziah, selain klip video, ungkapan-ungkapan tidak bermoral itu telah didengar dan disaksikan oleh ramai penduduk, wartawan, dan para petugas keselamatan MBSA yang telah hadir melihat sendiri gelagat segelintir mereka yang memporak-perandakan majlis secara sengaja.

Beliau menyifatkan kelakuan liar kumpulan kecil ini telah merosakkan majlis yang bertujuan untuk membuka ruang kepada penduduk berdialog secara berhemah.

Kepada beliau, tindakan kumpulan itu jelas bukan untuk berdialog tetapi mencemarkan kerajaan negeri dan nama individu atas agenda politik tertentu.

"Intimidasi ini jelas adalah untuk memburukkan nama dan menghina saya.

"Saya berasa amat kecewa dengan sikap yang ditunjukkan oleh segelintir mereka ini sehingga merasakan keselamatan dan kehormatan diri saya terancam," katanya.

Menurut Rodziah, bukan hasrat beliau untuk memanjangkan isu tersebut kerana fokusnya adalah isu sebenar yakni pemindahan kuil Seksyen 19, namun keputusan membuat laporan polis itu dibuat kerana kegusaran tentang keselamatan dirinya, keluarga serta pegawainya makin hari makin bertambah memandangkan pihak polis belum lagi mengambil sebarang tindakan dalam perkara ini.

"Kerisauan saya ialah, jika saya seorang Adun dan Exco Kerajaan Negeri boleh dilemparkan kata-kata kesat and ugutan sebegini, apakah wanita-wanita lain akan terasa selamat menghadapi atau berurusan dengan mereka yang seperti itu?", katanya.
Bagi Rodziah, kedurjanaan yang menganjur keburukan, membudayakan unsur keganasan, seksisme, dan menakut-nakutkan orang lain serta merosakkan keharmonian sesama insan yang telah ditunjukkan oleh golongan tersebut wajar diperangi dan dibanteras sehingga rakyat, khususnya wanita dikembalikan nikmat rasa selamat dan aman di mana-mana saja mereka berada.

Kekecohan telah ditimbulkan oleh mereka yang bertindak liar itu sepanjang sesi penerangan daripada Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim, Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad, Datuk Bandar Shah Alam dan Rodziah sendiri sebagai Adun Batu Tiga.

Ketika dihubungi Bernama, Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Noor Azam Jamaluddin mengesahkan menerima laporan itu dan memberi jaminan akan menyiasat perkara berkenaan.
Dua lagi laporan polis telah dibuat oleh Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor, Khairul Anuar Ahmad Zainuddin dan Ahli MBSA, K. Uthayasoorian.

Wednesday, September 09, 2009

Jemputan Majlis Berbuka Puasa - Ahad (13 Sept)

Assalamualaikum wbt,

Salam Ramadhan! Menemui semua sahabat-sahabat sekalian semoga di bawah limpahan rahmatNya sentiasa pada bulan Ramadhan yang penuh keberkatan ini.

JIM Titiwangsa dengan sukacitanya mempelawa sahabat-sahabat sekalian berserta keluarga dan rakan-rakan untuk hadir ke majlis berbuka puasa yang akan diadakan seperti berikut:

Tarikh: 13 September (Ahad)
Tempat:
PUSAT KHIDMAT RAKYAT PARLIMEN GOMBAK
No. 2, Lorong Perak, Pusat Bandar Melawati,
53100 Kuala Lumpur

Aturcara:
5.30 ptg Ketibaan AJK dan Petugas
6.45 ptg Ketibaan jemputan
7.19 mlm Berbuka Puasa
7.50 mlm Solat Magrib berjamaah
8.30 mlm Solat Isya' berjamaah dan tarawih
9.20 mlm Bersurai


Sehubungan itu, mohon sahabat-sahabat semua untuk membuat pengesahan kehadiran dan jumlah ahli keluarga/rakan yang akan hadir sama ada melalui e-mel (mohammadweb@yahoo.com), kepada mana-mana AJK JIM Titiwangsa atau pun terus sms ke 019-2656782 (mohd) untuk tujuan penyediaan makanan agar mencukupi dan tidak pula membazir.

Sebarang sumbangan sama ada dalam bentuk tenaga, wang ringgit atau pun juadah (kurma, air, kuih dll) amatlah dialu-alukan.

Jaza kumullahu khairan katheera.

Selamat menyambut ketibaan sepertiga akhir Ramadhan dan selamat menambahgiatkan amalan semoga Ramadhan kali ini menjadi yang terbaik buat kita semua dan supaya Lailatul Qadar akan berada di dalam genggaman kita....insyaAllah. ..ameen.

wassalam,
mohd
AJK JIM TTW 2009-2011

Sunday, September 06, 2009

Nikmat puasa, cahaya hidayah bagi saudara baru

Sumber : HarakahDaily.Net
Azamin Amin I Foto Shukri Mohd

Mon Aug 31, 09 9:39:26 pm MYT

Walaupun baru memeluk agama Islam 26 hari lalu, dia mampu berpuasa penuh sejak Ramadan bermula. Ini merupakan pertama kali, tidak perit atau pedih malah baginya pengalaman menjalani ibadah itu cukup menyeronokkan!

Dia, Azman Yap Abdullah, 32 sentiasa tersenyum dan ceria. Tiada raut keletihan atau kerut di wajahnya. Sungguhpun agak malu-malu bercerita pada awalnya, tetapi bersemangat sekali mengungkap pengalaman berpuasa, satu-satu ibadah yang dijalankan tanpa banyak tanya.

Sejak hari pertama sehingga kini, masih berpuasa tanpa tangguh. Tidak sekerat-sekerat atau separuh hari tetapi penuh, sehingga menjelang waktu berbuka.

"Saya tidak merasa susah, sakit ataupun pedih perut. Semuanya baik dan ianya cukup menyeronokkan!"

Menceritakan pengalaman, kata Azman dia bersahur beberapa minit sebelum masuk waktu subuh hanya dengan menjamah beberapa biji kurma, seperti yang disunnah oleh Rasullulah s.a.w.

"Saya buka puasa pun makan kurma juga. Kemudian cari nasi atau makan di KFC. Ada masa saya berbuka dengan cornflakes atau coco crunch," katanya sambil tersenyum lebar kepada kami. Image

Itu perasaan yang diluahkan Azman (gambar) kepada Harakahdaily yang diberi peluang Allah SWT bertemu dengan insan yang mendapat cahaya hidayah 2 Ogos lalu, lalu mengucapkan kalimah syahadah di Hidayah Centre Pusat Komuniti Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM) dekat sini.

Dia mula mengenali agama indah ini sejak 3 bulan lalu, melalui sahabatnya yang juga merupakan saudara baru.Sahabatnya itu, turut menghadiahkan al-Quran terjemahan bahasa melayu untuk dia lebih mengenali dan memahami agama Allah itu.

"Saya baca terjemahan melayu sebab tak berapa pandai bahasa inggeris. Dari situ, saya mula percaya, bahawa agama Islam ini adalah agama yang baik,"jelasnya dengan tenang.

Masih bertatih dan belajar, dia mengakui baru solat hanya sekali sahaja tetapi terus mendapat bimbingan dua orang ustaz daripada JIM dikenali sebagai Johan dan Abdul Rahim.

Azman merupakan seorang guru tuisyen sepenuh masa, sejak sembilan tahun lalu. Dia mengajar Bahasa Melayu, Mandarin dan Sains untuk pelajar sekolah rendah di Jalan Klang Lama.

Lelaki berketurunan Cina ini masih bujang dan agak segan untuk ditemubual pada mulanya, tetapi kemudian menjadi teman mesra kepada kami berdua dari Harakahdaily.

Katanya dia masih menyembunyikan keIslamannya daripada ibunya untuk sementara waktu kerana tahu akan reaksi negatif yang bakal diterima.

"Lambat laun, saya akan beritahu juga...cuma perlahan-lahanlah. Tak mau mak saya marah..."katanya masih tersenyum dengan sinar cahaya di wajahnya.

Ditanya tentang tip kuat semangat untuk berpuasa dan petua untuk orang yang punya 'banyak alasan' untuk culas melakukan ibadah itu, Azman menjawab ringkas tetapi tajam.

"Di belakang rumah kami, ada juga orang Islam makan di restoran Cina waktu bulan puasa.

"Bagi saya, hati mesti baik dan jangan lupa, Tuhan ada tengok kita." Image

Setelah berkongsi rasa dengan Azman, kami beralih pula kepada Siti Aisyah Tresa, 38 (gambar) yang memeluk agama Islam sejak 1993 di Melaka. . p>Sambil matanya mula berkaca, hampir tumpah air mata, Siti menceritakan detik-detik awal mula menyintai dan menaruh minat kepada agama Islam.

"Saya bekerja kilang dan tinggal di asrama di Johor. Ketika itu saya begitu tertarik melihat kawan sebilik yang sentiasa mengerjakan sembahyang.

"Tiap kali waktu azan, dia akan terus bersiap-siap untuk sembahyang. Saya tengok dia sembahyang, buat hati saya cukup tenang dan saya jadi minat sangat untuk tahu agama kawan saya itu,"kata Siti.

Katanya kerana terlalu minat, adakala bila di kampung, dia akan sembahyang sendiri-sendiri meniru gerak gaya kawannya itu.

Namun, setelah masuk agama Islam, cabaran hebat diterima apabila ditentang hebat oleh kaum keluarga yang masih menganut Kristian. Selama hampir enam tahun, dia melalui tekanan dan asakan hebat.

Tetapi selama itu jugalah, dia tabahkan hati dan tidak terputus hubungan dengan kaum keluarga malah secara rutin, setiap sebulan sekali akan pulang ke kampungnya di Kg Layang-Layang, Johor.

"Selama enam tahun, biar apa pun keluarga buat dan beri tekanan, saya cekalkan hati balik juga bertemu mereka sebulan sekali...

"Alhamdulillah, kini mereka sudah boleh menerima saya dan hubungan masih baik seperti sediakala. Syukur kepada tuhan," katanya cuba menahan sebak

Kini Siti yang mempunyai dua cahaya mata bahagia bersama suami dikasihi, Khaidir Maidin dan merindui sahabatnya Zainab yang rajin solat itu, yang kini sudah terputus hubungan sejak sekian lamanya.

Siti memberitahu, pengalaman berpuasa bukanlah sesuatu yang asing dan menjalani seperti biasa sama seperti umat Islam yang lain.

Beliau juga menolak tanggapan bahawa saudara baru sepertinya, sering diabaikan kebajikan dan disisihkan daripada masyarakat Islam.

"Saya sentiasa rasa diperlukan. Tak pernah saudara seagama menyisih saya malah merekalah yang banyak membantu tatkala saya menghadapi kesulitan.

Sebelum mengakhiri perbualan, Siti sempat menyuntik semangat kepada rakan-rakan saudara baru baik yang sudah lama atau yang masih baru memeluk agama Islam agar terus istiqamah bersama agama tercinta ini.

"Walau apa pun berlaku, teruslah bersama agama Islam. Percayalah, setiap kesusahan yang dihadapi, ada jalan penyelesaian yang diberikan oleh Allah...percayalah, saya juga pernah melaluinya...,"tersenyum mengucapkan terima kasih kepada Harakahdaily.

Turut mencuri perhatian ialah seorang saudara baru yang berasal daripada Afnka yng dikenali sebagai Hilal Abdullah, bakal melanjutkan pelajaran di Kanada dalam masa terdekat.

Cuma kisah pilu Hilal yang berasal dari satu kawasan bernama Brundi,ialah kedua-dua ibu bapanya mati dibunuh kerana berhasrat memeluk agama Islam.

Sebenarnya insan-insan bertuah ini antara 11 orang saudara baru yang kami temui di Hidayah Centre, Pusat Komuniti JIM, petang semalam.

Hidayah Centre adalah sebuah institusi di bawah JIM yang ditubuhkan sejak 2005, berperanan sebagai pusat sokongan kepada saudara baru membawa tema hidayah yang menarik perhatian iaitu "Saudara baru, Saudara Kita"

Objektif penubuhannya adalah untuk memberi penempatan sementara serta memberi bimbingan dalam bentuk kelas-kelas pengajian dan khidmat nasihat. Image

Semalam, Hidayah Centre mengadakan sidang media Majlis Pelancaran Buka Puasa yang dihadiri saudara-saudara baru yang kelihatan begitu ceria tetapi malu-malu dan tersipu bilamana lensa kameramenyorot wajah bercahaya mereka.

Sebelum sidang media dimulakan oleh jurucakap Hidayah Centre,Joannes Lukas yang juga seorang saudara baru, majlis dimulakan dengan penyampaian sumbangan kepada saudara-saudara baru yang hadir.

Ketika ditanya tentang aduan, masalah dan antara kekangan yang dihadapi oleh saudara baru, Joannes menjelaskan ianya terbahagi kepada beberapa perkara antara yang utama ialah ancaman daripada keluarga dan ketiadaan pekerjaan.

"Bila ada ancaman, maka kita berusaha sediakan penempatan dan penginapan sementara kepada mereka.

"Bagi yang tiada pekerjaan kerana terpaksa berpindah atau disishkan, kita mempunyai jaringan dengan NGO Islam dan syarikat yang bersedia memberi peluang pekerjaan bagi saudara baru ini,"katanya.

Setakat ini Hidayah Centre telah beroperasi di 14 cawangan di sembilan buah negeri manakala sejumlah 432 saudara baru yang berdaftar dengan pusat ini. Image

Bagi meneruskan pengoperasian dan untuk memberi bantuan kepada saudara-saudara baru, Hidayah Care akan menganjurkan Program Majlis Berbuka Puasa pada 12 September ini, di Putrajaya.

Menurut Pengarah Program Nasiruddin Tahir majlis itu bertujuan bagi mengutip dana melalui tajaan meja makan ataupun sumbangan syarikat, kumpulan atau individu yang berasa terpanggil untuk membantu saudara baru.

Untuk sebarang pertanyaan lanjut boleh hubungi Joannes Lukas atau Rosmawati Zainal di 03-41053159 atau 03-41089669.

Moga sudi membantu dan meringankan beban saudara baru yang juga saudara kita.

Friday, September 04, 2009

Dr Hafidzah & Che Rahimi dalam jendela Keluarga Majalah-i Sept'09


Dr. Hafidzah & Che Rahimi Antara Kerjaya, Keluarga & Organisasi

“Saya ni bukannya gemar sangat publisiti. Lagi pun tiada yang terlalu istimewa mengenai diri dan keluarga saya,” ujar Dr. Hafidzah Mustakim sebagai respon awal ketika pujukan penulis untuk menemubualnya.


Bagi memastikan jiwa anak-anak sentiasa segar dengan pegangan agama, mereka sekeluarga membaca Al-Ma’thurat secara berjemaah selepas solat Maghrib setiap hari. Namun, semuanya berjalan baik kerana keterbukaan Ketua Wanita Jamaah Islah Malaysia (JIM) Kelantan ini berkongsi mengenai kehidupannya bersama suami, Che Rahimi Samat bersama anak-anak mereka. Segmen Keluarga Pilihan kali ini membawakan kepada pembaca untuk mengenali dan menyelami kehidupan keluarga pasangan aktivis JIM berkenaan.

Kehidupan berumah tangga Dr. Hafidzah, 45, dan Che Rahimi, 46, bermula pada 1985 ketika masing-masing bergelar penuntut di Australia, tetapi di universiti yang berbeza. Bagaimanapun, keaktifan mereka dalam persatuan pelajar telah menemukan dua insan ini sebelum perkenalan berkenaan telah menyatukan mereka sebagai suami isteri.
“Saya ketika itu menuntut di Monash University, sementara suami pula merupakan penuntut di University of Melbourne. Perkenalan kami bermula ketika masing-masing aktif di bawah persatuan pelajar Malaysia di Australia.
“Selepas berbincang, kami sepakat untuk mengikat hubungan ini sebagai suami isteri. Maklumlah, saya berasal dari Pontian, Johor dan suami pula dari Kota Bharu, Kelantan. Masing-masing jauh daripada keluarga. Sementara cabaran kehidupan di luar negara juga agak membimbangkan,” ujar Dr. Hafidzah yang turut dilantik sebagai ahli Jawatankuasa Pengurusan Raudatus Sakinah.

Kesedian berumah tangga di usia yang muda, malah ketika masih bergelar penuntut seharusnya tidak mudah dilakukan. Namun bagaimana semuanya menjadi kenyataan? Che Rahimi yang kini merupakan ahli perniagaan berkata, dugaan tetap hadir ketika dia dan isteri meluahkan kepada keluarga masing-masing mengenai hasrat yang telah disepakati.
“Cabaran berkenaan hadir terutama ketika kami mahu meyakinkan pihak keluarga mengenai hasrat untuk berumah tangga. Namun, keyakinan yang kuat kepada Allah akhirnya melancarkan perkahwinan ini. “Saya tentu sekali berterima kasih kepada abang angkat saya sewaktu di universiti kerana dialah yang banyak memainkan peranan terutama ketika awal perkenalan dengan isteri. Kiranya, peranan dia adalah sebagai orang tengah,” ujar Che Rahimi.

Cabaran Selepas Perkahwinan

Perkahwinan yang berlangsung ketika Che Rahimi berada tahun akhir jurusan ukur tanah, sementara isteri pasti banyak pahit dan manisnya. Apatah lagi mereka perlu berhadapan dengan cabaran pengurusan hidup termasuk faktor ekonomi dan harus menyesuaikan diri sebagai suami isteri.
“Kami menyewa sebuah rumah dan syukur kerana saya ketika itu mempunyai sebuah kereta. Ini memudahkan pergerakan kami untuk menghadiri kelas. Namun di awal perkahwinan, sudah tentu masing-masing perlu menyesuaikan diri dengan kehidupan berumah-tangga. Bagaimanapun di sinilah sikap bertolak ansur dan saling berbincang memainkan peranan,” kata Che Rahimi.

Ikuti kisah selanjutnya di dalam Majalah i edisi September 2009

Kenyataan Media Wanita JIM - Isu Kartika


Wanita Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM)

28 Ogos 2009 ( 8 Ramadhan 1430H)

ISU KARTIKA - Tangani dengan objektif dan rasional

Di awal bulan mulia Ramadhan dan di ambang sambutan ulangtahun kemerdekaan yang ke-52, Malaysia digemparkan dengan isu pelaksanaan hukuman sebat ke atas seorang ibu berusia 32 tahun, Kartika Sari Dewi Shukarnor yang didapati bersalah oleh Mahkamah Syariah Pahang meminum arak di sebuah hotel di Cherating, Pahang. Pelbagai pihak memberikan maklumbalas yang berbeza, sementara media dalam dan luar negara pula menggembar-gemburka n isu ini hingga ianya menjadi satu polemik yang sensasi. Menurut perkembangan terkini, hukuman tersebut dikatakan akan disemak semula oleh pihak Mahkamah Syariah Pahang, atas desakan dan tekanan yang diterima.

Wanita JIM berpandangan perlunya isu ini dilihat dan dinilai dengan penuh objektif dan rasional, tidak semata-mata penuh emosi dan sensasi. Beberapa persoalan penting yang timbul berikutan polemik ini memerlukan jawapan tepat dan tindakan segera agar isu ini dapat selesai dengan cara terbaik, tanpa menggadaikan kredibiliti dan mengaibkan sesiapapun, khususnya institusi kehakiman syariah yang memayungi kehidupan umat Islam di Malaysia selama ini, juga tidak Kartika Sari Dewi dan keluarganya.

Isu hukuman sebat Kartika menimbulkan banyak persoalan, antaranya :

Sejauhmanakah sebenarnya tahap kesungguhan dan kesediaan umat Islam di Malaysia , struktur sistem pentadbiran dan kepimpinan negara yang ditunjangi oleh orang Islam dalam mempraktikkan ajaran Islam yang syumul dan menjanjikan kesejahteraan yang hakiki? Apabila mahkamah syariah di sebuah negeri menghukum dengan peruntukan enakmen yang diluluskan melalui prosedur yang betul, mengapa begitu ramai yang mempersoalkan keadilan dan kebijaksanaan keputusan tersebut? Bukankah itu boleh dianggap sebagai menghina mahkamah? Bagaimanakah pula caranya kejahilan dan kekeliruan umat Islam ini boleh diatasi – sehingga dibimbangi akidah dan keyakinan mereka begitu mudah terhakis dan tergugat, mengambil pendirian lebih berdasarkan emosi dan bukan berasaskan fakta dan sumber ilmu yang sahih?

Bagaimanakah boleh terjadi ketidakseragaman sistem, di mana apabila hukuman telah dijatuhkan oleh pihak penghakiman berdasarkan bukti dan hujah pihak pendakwaan, pihak pelaksana pula yang belum bersedia untuk melaksanakan hukuman tersebut kepada sipesalah? Di manakah silap dan salahnya, sehingga jelas sungguh ketempangan dan kekurangan yang ada dalam sistem kehakiman syariah di negara ini? Sampai bilakah harus berlaku perkara yang boleh memalukan institusi Islam khususnya dan umat Islam amnya?

Sampai bilakah agaknya, umat Islam di Malaysia terhalang dari menjalani kehidupan beragama sebagaimana yang digariskan oleh Islam. Berapa ramai lagi orang Islam yang ikhlas dan insaf serta rela diadili dan menerima hukuman yang ditetapkan oleh kehakiman Islam tidak terbela dan dihalang dari melaksanakan ajaran agama mereka, sebagaimana juga Kartika Sari Dewi? Bagaimana pula dengan golongan yang menggelar diri mereka Muslim, namun terang-terangan tidak langsung menghormati ketetapan agama, malahan sentiasa pula mencemuh, memperlekeh dan mempersendakan Islam itu sendiri?

Wanita JIM menuntut jawapan yang tegas dan tindakan susulan yang segera bagi semua soalan-soalan di atas. Selagi mana tiada usaha merungkai persoalan asas tersebut, umat Islam di Malaysia akan terus menerus diselubungi kemelut kekeliruan dan kejahilan yang semakin menebal dan merugikan.

Wanita JIM mendesak agar semua pihak yang `menangguk di air keruh’, menggunakan kemelut isu hukuman sebat Kartika ini sebagai satu lagi `bukti’ ketidakadilan syariah Islam yang dianggap sentiasa menindas wanita, memberhentikan segera tindakan tersebut. Dalam masa yang sama, Wanita JIM menuntut sepenuh komitmen dan kebijaksanaan yang sewajarnya dari pihak kehakiman syariah di Malaysia agar segera melipatgandakan usaha meningkatkan kredibiliti institusi tersebut demi menjaga maruah dan nama baik Islam di mata masyarakat Malaysia dan antarabangsa.

Untuk Kartika Sari Dewi dan keluarganya, Wanita JIM mendoakan agar Allah SWT terus memberikan kekuatan dan sokongan untuk beliau menghayati kehidupan Islam yang sejahtera. Segala kesilapan dan dosa yang lalu, biarlah kekal menjadi sempadan dan peringatan

Semoga kemelut isu Kartika juga menjadi `pembuka mata’ kepada kita semua, betapa perlunya umat Islam di negara ini kembali kepada akidah yang sahih, penghayatan ilmu yang mantap dan keazaman yang tinggi dalam mempraktikkan Islam dalam kehidupan.

Prof. Madya Dr. Harlina Halizah Siraj
Ketua Wanita Pusat
Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM)