Saturday, May 23, 2009

Sekecil-kecil amalan tetap jadi penyelamat kita di akhirat

Oleh Ibrahim Abdullah

IBNU Qayyim al-Jauziyah menukilkan sebuah hadis Rasulullah SAW yang panjang mengenai amalan yang boleh menyelamatkan seseorang daripada kesulitan pada akhirat kelak.
Diriwayatkan oleh Abu Musa al-Madini, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya aku semalam bermimpi melihat hal yang sangat menakjubkan. Aku melihat seorang daripada umatku didatangi oleh malaikat untuk mencabut nyawanya, lalu datang amalannya kepadanya dalam berbakti kepada kedua-dua orang tuanya, sehingga amalan itu membuat malaikat kembali semula.
“Aku melihat seseorang yang sudah dipersiapkan kepadanya seksa kubur, lalu datang wuduknya sehingga wuduknya itu menyelamatkannya daripada seksa kubur.
“Aku melihat seseorang yang sudah dikepung banyak syaitan, lalu datang kepadanya zikirnya kepada Allah, sehingga zikirnya itu mengusir syaitan darinya.
“Aku melihat seseorang yang kehausan, sedang tiap kali ia mendekati telaga, ia diusir darinya. Lalu datanglah puasa Ramadan, sehingga puasanya itu memberikan minum kepadanya.
“Aku melihat seseorang di mana nabi masing-masing duduk dalam majlis halaqah, ia diusir dan dilarang untuk bergabung di dalamnya. Lalu datanglah mandinya dari hadas besar, sehingga mandinya itu membimbing ia dengan memegang tangannya seraya mendudukkannya di sampingku.

“Aku melihat seseorang yang di depannya gelap sekali, begitu pula di belakangnya, atasnya dan bawahnya, sehingga ia kebingungan mencari arah jalannya. Datanglah kepadanya haji dan umrahnya, lalu keduanya mengeluarkan ia daripada kegelapan dan memasukkannya ke tempat yang terang sekali.
“Aku melihat seseorang yang melindungi mukanya dengan tangannya daripada panasnya gejolok api, lalu datang sedekahnya kepadanya dengan menutupi gejolakan api dari mukanya seraya membimbingnya ke hadapan Allah.
“Aku melihat seseorang yang mengajak bercakap orang Mukmin, tetapi mereka mendiamkan diri. Datanglah silaturahim seraya berkata: “Wahai orang beriman, sesungguhnya ia adalah orang yang melakukan silaturahim, maka ajaklah dia bercakap.”
“Maka orang itu diajak bercakap oleh semua orang Mukmin dan mereka menghulurkan tangan untuk berjabat dengannya, sementara ia pun menghulurkan tangannya untuk berjabat dengan mereka.
“Aku melihat seseorang yang sudah dicengkam malaikat Zabaniyah, lalu datanglah kepadanya amal makruf dan nahi munkarnya, hingga amalannya itu menyelamatkan ia daripada seksa Zabaniyah dan memasukkannya ke dalam lingkungan malaikat rahmat.
“Aku melihat seseorang yang jalannya merangkak dengan kedua-dua lututnya dan di depannya ada tabir yang memisahkan ia dengan Allah, lalu datanglah akhlak baiknya seraya memegang tangan dan membimbingnya ke hadrat Allah.
“Aku melihat seseorang yang catatan amalannya datang dari sebelah kirinya, lalu datanglah takwanya kepada Allah dan mengambil buku itu dengan meletakkannya di tangan kanannya.
“Aku melihat orang yang timbangan amalannya sangat ringan, lalu datang anaknya yang meninggal dunia waktu kecil, sehingga mereka memberatkan timbangan amalan baiknya itu.
“Aku melihat seseorang yang berdiri di tebing Jahanam, lalu datanglah harapannya kepada Allah, hingga harapannya itu menyelamatkannya dari Jahanam dan ia berjalan menuju syurga dengan selamat.
“Aku melihat seseorang yang terpelanting di atas neraka, lalu datanglah air matanya kerana takut kepada Allah hingga air mata itu menyelamatkannya dari jatuh ke neraka.
“Aku melihat seseorang yang sedang berada di atas jambatan (sirat) dengan tubuh gementar, lalu datang husnuzannya (sangka baik) pada Allah, hingga sikapnya itu menjadikan dia tenang dan ia berjalan dengan lancar.
“Aku melihat seseorang yang jatuh bangun di atas jambatan, kadang-kadang ia merangkak, kadang-kadang pula ia bergantung, lalu datanglah solatnya menegakkan kedua kakinya dan menyelamatkannya hingga ia mampu menyeberangi jambatan sampai ke pintu syurga.
“Akupun melihat pula seseorang yang sudah sampai ke pintu syurga, semua pintu ditutup baginya, lalu datanglah syahadahnya, sehingga dibukakan pintu syurga dan ia pun boleh masuk ke dalamnya.”
Itulah gambaran amalan yang dengan izin Allah boleh menyelamatkan umat Muhammad SAW yang benar-benar melaksanakan perintah Allah dan sunnah Rasulullah SAW dengan hati ikhlas.

Tuesday, May 19, 2009

Manusia rugi jika umur panjang tidak dimanfaat

oleh Nik Salida Suhaila Nik Salleh

NIKMAT kehidupan yang dikurniakan adalah gambaran bahawa Allah amat mengasihi dan menyayangi hamba-Nya. Kesusahan hilang dengan kesenangan, kejahilan lenyap dengan pengetahuan, kesakitan terhapus dengan kesihatan dan kegelapan berganti gemerlapan.
Terlalu banyak nikmat dilimpahkan kepada isi dunia, tinggal lagi kita memanfaatkan setiap satunya dengan harapan untuk mendapat keberkatan daripada-Nya. Ada manusia cuba menghitung nikmat, membandingkannya dengan kesusahan hidup dihadapi, lalu ternyata kemewahan Allah kurniakan tidak terkira dengan jari.
Nikmat melihat, mendengar, merasa, berfikir malah berkongsi kehidupan dengan penuh kasih sayang sesama makhluk Allah lainnya tidak akan diperoleh jika tiada kuasa yang menganugerahkan. Tentulah kita tidak boleh menyesali kepayahan dan kesukaran hidup di dunia, malah anggaplah ada hikmah menanti sementara iman diuji, tetapi berusahalah untuk mencari kesenangan.

Firman Allah yang bermaksud: “Dan jika kamu menghitung nikmat Allah yang dilimpahkan-Nya kepada kamu, tiadalah kamu akan dapat menghitungnya satu persatu. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.” (Surah An-Nahl, ayat 18).
Ada kala kita tidak sedar apa yang dimiliki hari ini adalah nikmat bukannya sedia ada untuk setiap manusia kerana ada yang tidak dapat merasainya. Sebab itulah kita tidak harus lupa mensyukuri kemurahan hati Allah menganugerahkan kehidupan lengkap buat makhluk-Nya, cuma ada kemudahan yang Allah sediakan tidak dapat dimanfaatkan akibat sikap manusia tidak tahu menghargai nikmat.
Sikap manusia yang mudah lalai dan lupa juga menyebabkan nikmat dikurniakan tidak memberi apa-apa faedah kepada manusia sendiri. Usia yang panjang sepatutnya diisi dengan kebajikan dan faedah kepada diri sendiri serta orang lain tetapi ada pula menghabiskan kehidupan dari awal hingga saki bakinya dengan judi dan zina.

Tidak pula terkilan dengan kezaliman serta kejahatan meragut dan merompak, bahkan ada kehidupan orang lain yang terkesan dengan kejahilan itu.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tidak berganjak kedua-dua kaki seorang hamba pada hari kiamat sehingga ia disoal mengenai umurnya pada perkara apakah ia habiskan, dan ilmunya untuk apakah ia gunakan, dan harta bendanya dari manakah ia peroleh dan pada apakah ia belanjakan, dan juga tubuh badannya pada perkara apakah ia susutkan kemudaan dan kecergasannya.” (Hadis riwayat at-Tirmizi)
Adanya tenaga dan akal, gunalah untuk mencari rezeki halal. Apa salahnya berasa nikmat yang Allah berikan percuma untuk dilaburkan bagi mendapat nikmat lainnya. Buat orang yang berhati-hati menjaga amanah Allah, mereka tidak akan alpa dengan kemewahan dunia kerana mereka tahu semuanya adalah pinjaman saja.
Sebaliknya, mereka berusaha meningkatkan limpahan rahmat dan nikmat itu supaya nikmat Allah yang ada padanya dapat dikongsi dengan orang lain yang kurang berkemampuan, memanfaatkan nikmat yang Allah kurniakan kerana pelbagai sebab.

Allah berfirman yang bermaksud: “Dan ingatlah bahawa kehidupan dunia ini meliputi segala kesenangan dan kemewahan, jika dinilaikan dengan kehidupan akhirat tidak lain hanyalah ibarat hiburan dan permainan: Dan sesungguhnya negeri akhirat itu ialah kehidupan yang sebenar-benarnya, kalaulah mereka mengetahui hakikat ini tentulah mereka tidak akan melupakan hari akhirat.” (Surah al-Ankabut, ayat 64).
Orang yang tidak melupakan hari akhirat walaupun dunia ini menjanjikan seribu kemewahan adalah orang yang tidak membazirkan nikmat Allah dengan keangkuhannya sebagai manusia. Memusnahkan imbangan alam, mengotorkan sumber air, membiarkan tanah tanpa tanaman dan menzalimi sesama makhluk Allah lainnya untuk nikmat sementara adalah petanda orang yang tidak mengetahui hakikat kurniaan nikmat dunia untuk menuju kehidupan akhirat yang lebih senang dan mewah.
Sambutan ulang tahun kelahiran saban tahun diraikan haruslah dijadikan kayu pengukur sama ada nikmat usia dikurniakan benar-benar kita hargai. Antaranya, jantung yang masih berdegup, adakah kita terus menjadi hamba yang taat atau ingkar, adakah kita menjaga hubungan sesama insan dengan baik atau kita menyusahkan orang lain, adakah kita banyak memanfaatkan kurniaan Allah atau kita membinasakannya dan adakah kita berbaloi diizinkan terus bernafas?
Daripada Abdul Rahman bin Abi Bakrah daripada ayahnya, seorang lelaki berkata: “Wahai Rasulullah! Siapakah sebaik-baik manusia? Berkata Rasulullah: Sebaik-baik manusia ialah orang yang dipanjangkan umurnya dan umur itu dipergunakan untuk berbuat kebaikan. Berkata lelaki itu lagi: Siapakah sejahat-jahat manusia? Rasulullah berkata: Sejahat-jahat manusia ialah orang yang dipanjangkan umurnya tetapi digunakannya untuk berbuat kejahatan.” (Hadis riwayat at-Tirmizi)
Usia yang panjang adalah satu nikmat tidak ternilai, dengannya kita terus dapat beribadat, merasai kehidupan, berkongsi kebahagiaan dan merencana masa depan. Jika nikmat usia diambil semula pemiliknya, maka kita tiada peluang untuk terus menjadi hamba yang taat dan bersyukur.
Sebab itulah jika kita beringat bahawa setiap yang bermula itu ada akhirnya, maka usia adalah satu peringatan sangat bermakna. Firman Allah yang bermaksud: “Dan bagi tiap-tiap umat ada tempoh yang sudah ditetapkan, maka apabila datang tempohnya, tidak dapat dikemudiankan walau sesaat pun dan tidak dapat pula mereka didahulukan.” (Surah al-‘Araaf, ayat 34).
Justeru, jika kita mengerti bahawa nikmat Allah yang satu ini tidak boleh dirayu jika Allah menghendakinya semula, apalah daya kita. Sedangkan bertahun-tahun lamanya Dia berikan kita peluang dan ruang untuk memanfaatkannya demi kehidupan lebih abadi.
Janji kosong juga tidak mampu menukar qada’ dan qadar-Nya, dan kita sepatutnya tersedar dari awal dan tahu bahawa kematian adalah pengakhirnya. Sedang pintu taubat sentiasa terbuka, janganlah kita longlai usaha untuk menjadi insan.
Firman Allah yang bermaksud: “Dan mereka menjerit-jerit di dalam neraka itu sambil merayu: Wahai Tuhan kami, keluarkanlah kami dari azab ini, kami akan mengerjakan amal soleh yang lain dari apa yang kami pernah kerjakan. Lalu Allah menempelak mereka, bukankah Kami sudah melanjutkan umur kamu dan memberikan masa yang cukup untuk berfikir dan beringat padanya oleh sesiapa yang suka berfikir dan beringat?. Oleh itu, rasalah azab seksa kerana orang yang zalim tidak akan beroleh sesiapa pun yang dapat memberikan pertolongan.” (Surah Faathir, ayat 37)

Penulis ialah Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-undang Universiti Sains Islam Malaysia (Usim)
Berita Harian 14.05.2009

Memperingati 61 tahun an Nakbah

Kenyataan PACE

Apabila Israel melancarkan serangan teramat biadap ke atas Gaza pada penghujung bulan Disember 2008 dan berakhir pada 23 Januari 2009, seluruh dunia amat terkejut dan bangkit membuat bantahan yang terbesar pernah disaksikan.
Bantahan dan kemarahan ini tiba-tiba reda dan berakhir apabila Israel menghentikan operasi ‘Cast lead’nya di Gaza. Meskipun media masih memberi liputan tentang kemusnahan dan penderitaan rakyat Gaza terutama pendirian Mesir yang terus menutup sempadan dan menyekat rakyat Gaza yang tercedera menyeberang di sempadan Rafah untuk mendapat rawatan, namun tumpuan kepada isu ini dalam media antarabangsa hanya bertahan sekitar dua minggu sebelum ia dilupakan samasekali.
Kini isu Gaza bahkan isu Palestin kembali kepada status qou iaitu satu konflik yang berpanjangan sejak 1948 tanpa menunjukkan sebarang petanda ia dapat diselesaikan dalam masa beberapa tahun bahkan beberapa dekad akan datang. Realiti inilah yang mungkin menjadikan tumpuan terhadap isu ini turun dan naik seiring dengan insiden serangan besar-besaran atau pencerobohan regim Israel ke atas mana-mana wilayah Palestin dari masa ke semasa.

Kebetulan bulan Mei ini genaplah ulangtahun peristiwa Nakbah yang ke 61. Peristiwa Nakbah atau ‘Malapetaka besar’ dalam Bahasa Arab secara rasminya diingati pada 15 Mei setiap tahun. Ia merujuk kepada pengistiharan Negara haram Israel pada 15 Mei atau disambut di Israel sebagai ‘Hari Kemerdekaan’ Israel setelah mereka memenangi peperangan ‘War of Independence’ (Peperangan bagi memperoleh kemerdekaan) ke atas wilayah Palestin yang mereka rampas dan kuasai dengan cara-cara penuh biadap dan kebinatangan. Apa yang berlaku, Negara Israel yang diistiharkan pada 15 Mei 1948 itu adalah kemuncak kepada penderitaan rakyat Palestin yang diusir dan terdedah kepada aksi-aksi terorisme, gerombolan bersenjata Yahudi yang di bekalkan oleh penjajah British.. Maka peristiwa Nakbah merujuk kepada pengusiran 800,000 rakyat Palestin dari rumah dan kampong halaman mereka lalu mencari perlindungan di wilayah sempadan Syria,. Lubnan, Tebing Barat, Jordan dan Semenanjung Gaza.

Kini enam puluh satu tahun peristiwa Nakbah berlalu, namun penderitaan yang ditanggung oleh 800,000 pelarian asal kini diwarisi pula oleh tidak kurang 5 juta anak-anak dan cucu-cucu mereka. Bererti, selama enam puluh tahun mereka masih menunggu dengan penuh harapan bila mereka dibenarkan pulang ke rumah-rumah mereka di Palestin. Setidak-tidaknya mereka mengharapkan waris mereka mendapat hak untuk pulang ke tanah air demi memenuhi hasrat mereka yang tidak kesampaian kerana ajal telah menjemput mereka. Jika pahlawan kemanusiaan dan hak asasi manusia terulung diraikan oleh seluruh masyarakat antarabangsa iaitu Nelson Mandela kerana sanggup menanti 30 tahun di dalam penjara untuk mengembalikan hak dan kebebasan bangsa kulit hitam Afrika Selatan yang terbelenggu akibat Sistem Apatheid, maka pejuang dan rakyat Palestin yang mendiami khemah-khemah pelarian sejak enam puluh tahun lalu lebih wajar untuk dinobatkan sebagai pahlawan hak asasi yang tidak pernah mengenal erti putus asa dan kecewa.

Kini yang menjadi masalah dari kemelut kemanusiaan ini adalah sikap dan pendirian masyarakat antarabangsa. Seluruh Negara bangsa mempunyai pandangan umum yang dibentuk hasil dari prapoganda regim zionis Israel terhadap isu ini. Yang pertama, Israel mempunyai hak untuk wujud dan keselamatan Israel dari jiran-jirannya dan sebarang usaha yang dilihat boleh mengancam keselamatan Israel, walau sekecil manapun tidak boleh dibenarkan. Kedua, rakyat Palestin yang tidak mengiktiraf Israel dan menentang pendudukan Israel dilihat sebagai musuh kepada proses damai dan ancaman kepada keamanan di timur tengah dalam konteks yang lebih luas. Ketiga Israel punya hak untuk melaksanakan program keselamatannya termasuklah melancarkan ‘pre-emptive’ strike ke atas mana-mana sasaran di timur tengah untuk menjamin keselamatannya.

Inilah cabaran terbesar yang perlu diatasi oleh masyarakat antarabangsa untuk mencabar pandangan umum yang amat berat sebelah dan memihak secara melulu kepada Israel. Kecelaruan berfikir ini digambarkan dengan baik sekali oleh Mahaguru ilmu Sejarah Barat yang bernama Arnold Toynbee di mana beliau mengatakan

“Benar dan salah di Palestin adalah sama sebagaimana di tempat-tempat lain. Masaalahnya, dunia memilih untuk mendengar pihak yang melakukan kezaliman (Israel) dan memilih untuk memekakkan telinga dari mendengar dari pihak mangsa (rakyat Palestin)”

Sesuai dengan pengamatan ini, adalah menjadi tanggungjawab masyarakat madani (civil society) untuk menilai isu ini secara objektif dan berdasarkan fakta. Isu ini tidak akan diselesaikan dengan menggunakan pendekatan memihak atau ‘sektarianism’ samada dari sudut keagamaan, kebangsaan atau politik kesukuan. Seluruh dunia harus keluar dari melihat isu ini dari perspektif ‘muslim’ lawan ‘yahudi’ atau perebutan rakyat Palestin dan rakyat Israel ke atas satu wilayah di antara Laut Mediterranean dan Sungai Jordan, atau perebutan ke atas Baitul Maqdis yang menempatkan Haram al-Sharif dan Masjid al-Aqsa bagi muslim dan Jerusalem dan Temple Mount bagi Yahudi.

Ia harus dilihat dari sudut undang-undang antarabangsa sebagaimana yang termaktub dalam piagam bangsa-bangsa Bersatu 1945, hak asasi sebagaimana yang dipertahankan oleh Deklarasi Hak Asasi Manusia 1948 dan Konvensyen Geneva ke IV, 1949. Jika diteliti tingkah-laku regim zionis semenjak ia berdiri sebagai sebuah entiti bernama Israel, maka jelas siapa yang melakukan pelanggaran undang-undang dan konvensyen antarabangsa. Asas inilah yang digunakan dalam menilai tindak-tanduk Israel sejak 61 tahun yang lalu.

Meskipun PBB telah meluluskan Resolusi 181 yang membenarkan 55% wilayah Palestin diserahkan kepada pendatang Yahudi, namun perlaksanaan resolusi ini tidak pernah mewajarkan pendudukan Israel ke atas 45% wilayah Palestin yang selebihnya iaitu Baitul Maqdis timur, Tebing barat dan Genting Gaza. Bahkan PBB telah meluluskan Resolusi 242 dan 338 supaya Israel berundur kembali ke garisan hijau yang dilakarkan oleh Rhodes Armistice pada tahun 1949. Ini bermakna Israel wajib keluar dari wilayah Palestin yang diduduki pada tahun 1967 dan tidak ada sebarang kewajaran sedikitpun untuk Israel menguasai wilayah tersebut. Juga PBB telah meluluskan Resolusi 194 pada tahun 1949 mengizinkan pelarian Palestin pulang. Apa yang berlaku kini ialah Israel bukan sahaja tidak akur kepada resolusi-resolusi utama ini (landmark resolutions) bahkan puluhan dan ratusan resolusi yang menegaskan kembali tentang hak rakyat Palestin, bahkan telah mencabul hak rakyat Palestin di wilayah yang diduduki pada tahun 1967 dengan mendirikan kawasan perumahan ekslusif untuk kaum yahudi di atas tanah rakyat Palestin, mengusir dan merampas tanah rakyat Palestin dan kini membina tembok pemisah dari utara ke selatan Tebing Barat dalam wilayah Palestin.

Kini setelah Hamas muncul sebagai juara memperjuangkan hak rakyat Palestin yang tertindas, regim zionis melaksanakan pula program mengepung Gaza dari semua arah dan menukarnya menjadi penjara terbesar di dunia. Apabila tirai 2008 berlabuh bermulalah serangan paling biadap ke atas Gaza yang tidak perlu lagi diulas kerana liputan media yang meluas.

Dalam memperingati Nakbah pd bulan Mei 2009 ini, adalah amat penting bagi seluruh masyarakat antarabangsa mendedahkan hakikat sebenar di Palestin, supaya regim zionis tidak boleh lagi berselindung dan mempertahankan tindakan biadapnya atas alasan mempertahan ‘hak’ dan ‘keselamatn’ Israel

Prof. Madya Dr Hafidzi Mohd Noor
Pengarah PACE
Palestine Centre of Excellence
18 Mei 2009

Monday, May 18, 2009

Mengapa Muslim biarkan hati mati

Oleh Ustaz Zainudin Hashim
Fri, Apr 17, 09

Hati adalah organ paling utama dalam tubuh manusia dan ia nikmat paling agung diberikan Allah. Hati menjadi tempat Allah membuat penilaian terhadap hamba-Nya. Pada hatilah letaknya niat seseorang.

Niat ikhlas itu akan diberi pahala. Hati perlu dijaga dan dipelihara dengan baik agar tidak rosak, sakit, buta, keras dan lebih-lebih lagi tidak mati. Sekiranya berlaku pada hati keadaan seperti ini, kesannya membabitkan seluruh anggota tubuh manusia. Akibatnya, akan lahir penyakit masyarakat berpunca daripada hati yang sudah rosak itu.

Justeru, hati menjadi amanah yang wajib dijaga sebagaimana kita diamanahkan menjaga mata, telinga, mulut, kaki, tangan dan sebagainya daripada berbuat dosa dan maksiat.

Hati yang hitam ialah hati yang menjadi gelap kerana bergelumang dengan dosa. Setiap dosa yang dilakukan tanpa bertaubat akan menyebabkan satu titik hitam pada hati. Itu baru satu dosa. Bayangkan bagaimana kalau 10 dosa? 100 dosa? 1,000 dosa? Alangkah hitam dan kotornya hati ketika itu.

Perkara ini jelas digambarkan melalui hadis Rasulullah yang bermaksud: "Sesiapa yang melakukan satu dosa, maka akan tumbuh pada hatinya setitik hitam, sekiranya dia bertaubat akan terkikislah titik hitam itu daripada hatinya. Jika dia tidak bertaubat maka titik hitam itu akan terus merebak hingga seluruh hatinya menjadi hitam." (Hadis riwayat Ibn Majah).

Hadis ini selari dengan firman Allah bermaksud: "Sebenarnya ayat-ayat Kami tidak ada cacatnya, bahkan mata hati mereka sudah diselaputi kotoran dosa dengan sebab perbuatan kufur dan maksiat yang mereka kerjakan." (Surah al-Muthaffifiin, ayat 14).

Hati yang kotor dan hitam akan menjadi keras. Apabila hati keras, kemanisan dan kelazatan beribadat tidak dapat dirasakan. Ia akan menjadi penghalang kepada masuknya nur iman dan ilmu. Belajar sebanyak mana pun ilmu yang bermanfaat atau ilmu yang boleh memandu kita, namun ilmu itu tidak masuk ke dalam hati, kalau pun kita faham, tidak ada daya dan kekuatan untuk mengamalkannya.

Dalam hal ini Allah berfirman yang bermaksud: "Kemudian selepas itu, hati kamu menjadi keras seperti batu, bahkan lebih keras lagi. Pada hal antara batu-batu itu ada yang terpancar dan mengalir sungai daripadanya dan ada pula antaranya yang pecah-pecah terbelah lalu keluar mata air daripadanya. Dan ada juga antaranya yang jatuh ke bawah kerana takut kepada Allah sedang Allah tidak sekali-kali lalai daripada apa yang kamu kerjakan." (Surah al-Baqarah ayat 74) Begitulah Allah mendatangkan contoh dan menerangkan batu yang keras itu pun ada kalanya boleh mengalirkan air dan boleh terpecah kerana amat takutkan Allah. Oleh itu, apakah hati manusia lebih keras daripada batu hingga tidak boleh menerima petunjuk dan hidayah daripada Allah.

Perkara paling membimbangkan ialah apabila hati mati akan berlaku kemusnahan amat besar terhadap manusia. Matinya hati adalah bencana dan malapetaka besar yang bakal menghitamkan seluruh kehidupan. Inilah akibatnya apabila kita lalai dan cuai mengubati dan membersihkan hati. Kegagalan kita menghidupkan hati akan dipertanggungjawabkan Allah pada hari akhirat kelak.

Kenapa hati mati?

Hati mati disebabkan perkara berikut:
* Hati mati kerana tidak berfungsi mengikut perintah Allah
iaitu tidak mengambil iktibar dan pengajaran daripada didikan dan ujian Allah.
Allah berfirman bermaksud:
"Maka kecelakaan besarlah bagi orang yang keras membatu hatinya daripada menerima peringatan yang diberi oleh Allah. Mereka yang demikian keadaannya adalah dalam kesesatan yang nyata."
(Surah al-Zumar ayat 22)
* Hati juga mati jika tidak diberikan makanan dan santapan rohani dengan sewajarnya. Kalau tubuh badan boleh mati kerana tuannya tidak makan dan tidak minum, begitu juga hati.

Apabila ia tidak diberikan santapan dan tidak diubati, ia bukan saja akan sakit dan buta, malah akan mati akhirnya. Santapan rohani yang dimaksudkan itu ialah zikrullah dan muhasabah diri.
Oleh itu, jaga dan peliharalah hati dengan sebaik-baiknya supaya tidak menjadi kotor, hitam, keras, sakit, buta dan mati. Gilap dan bersihkannya dengan cara banyak mengingati Allah (berzikir).
Firman Allah bermaksud:
"Iaitu orang yang beriman dan tenteram hati mereka dengan mengingati Allah. Ketahuilah! Dengan mengingati Allah itu tenang tenteramlah hati manusia." (Surah al-Ra'd ayat 28)
Firman-Nya lagi bermaksud: "Hari yang padanya harta benda dan anak-anak tidak dapat memberikan sebarang pertolongan, kecuali harta benda dan anak-anak orang yang datang menghadap Allah dengan hati yang selamat sejahtera daripada syirik dan munafik." (Surah al-Syura ayat 88-89)

Tanda-tanda hati mati

Menurut Syeikh Ibrahim Adham, antara sebab atau tanda-tanda hati mati ialah:
1. Mengaku kenal Allah SWT, tetapi tidak menunaikan hak-hak-Nya.
2. Mengaku cinta kepada Rasulullah s.a.w., tetapi mengabaikan sunnah baginda.
3. Membaca al-Quran, tetapi tidak beramal dengan hukum-hukum di dalamnya.
4. Memakan nikmat-nikmat Allah SWT, tetapi tidak mensyukuri atas pemberian-Nya.
5. Mengaku syaitan itu musuh, tetapi tidak berjuang menentangnya.
6. Mengaku adanya nikmat syurga, tetapi tidak beramal untuk mendapatkannya.
7. Mengaku adanya seksa neraka, tetapi tidak berusaha untuk menjauhinya.
8. Mengaku kematian pasti tiba bagi setiap jiwa, tetapi masih tidak bersedia untuknya.
9. Menyibukkan diri membuka keaiban orang lain, tetapi lupa akan keaiban diri sendiri.
10. Menghantar dan menguburkan jenazah/mayat saudara se-Islam, tetapi tidak mengambil pengajaran daripadanya. Semoga dengan panduan yang di sampaikan itu akan dapat kita sama-sama mengambil iktibar semoga segala apa yang kita kerjakan akan diredai Allah SWT.

Menurut Sheikh Ibni Athoillah Iskandari dalam kalam hikmahnya yang berikutnya:
Sebahagian daripada tanda mati hati itu ialah jika tidak merasa dukacita kerana tertinggal sesuatu amal perbuatan kebajikan juga tidak menyesal jika terjadi berbuat sesuatu pelanggaran dosa.

Mati hati itu adalah kerana tiga perkara iaitu;
* Hubbul dunia (kasihkan dunia)
* Lalai daripada zikirullah (mengingati Allah)
* Membanyakkan makan dan menjatuhkan anggota badan kepada maksiat kepada Allah.

Hidup hati itu kerana tiga perkara iaitu;
* Zuhud dengan dunia
* Zikrullah
* Bergaul atau berkawan dengan aulia Allah.

Friday, May 15, 2009

Cegah dan kawal penyakit wanita

Oleh RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAHadawiyah.koh@utusan.com.my

KITA sering mengungkap kasih ibu membawa ke syurga. Sentuhan ibu juga yang mengeratkan hubungan anak serta membina kesejahteraan keluarga. Bukan itu sahaja, peranan wanita yang bergelar ibu cukup besar dalam menguruskan rutin keluarga, malahan, mereka yang bekerja terpaksa menguruskan dua tugas setiap hari.

Walaupun masa mereka terhad, seorang ibu akan berusaha melaksanakan tugas di rumah dan pejabat dengan sempurna. Di sebalik wajah yang tabah dan tenang, golongan ini tidak akan lari daripada risiko serangan penyakit berbahaya.

Bahkan, peranan seorang ibu bukan sedar mendidik atau membesarkan anak tetapi dia merupakan wanita pertama yang hadir dalam hidup setiap insan. Ibu jugalah mengandungkan kita selama sembilan bulan dan kita menghuni rahimnya, sebelum kita melihat dunia. Tidak hanya itu, ibu jugalah yang bertarung nyawa, menjaga, membelai, membesarkan dan sanggup melakukan apa sahaja demi untuk kita yang bergelar anak.

Hakikatnya, membahagikan masa antara kerjaya dan keluarga memang memenatkan buat wanita moden kini. Ada kalanya tiada masa untuk memikirkan diri sendiri. Ada juga yang mengambil berat soal kesihatan tetapi terlalu sibuk untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai kandungan khasiat pada label makanan. Ada juga yang tidak pasti jika ia membekalkan pelbagai khasiat diperlukan untuk kehidupan seharian.

Kekurangan khasiat penting boleh mengakibatkan seseorang itu tidak mampu berfungsi pada tahap sewajarnya. Ia boleh menyebabkan keletihan, mudah dijangkiti penyakit dan tiada rangsangan untuk melakukan kerja seharian. Apabila tahap tenaga semakin rendah, kita sangat mudah untuk tidak melakukan aktiviti fizikal seperti senaman dan ini menganggu gaya hidup wanita.

Emosi wanita sebagai isteri, ibu dan pengurus rumah tangga mempunyai pengaruh besar kepada seisi keluarga. Masalah akan bertambah teruk jika suami dan anak tidak faham apa yang dilalui wanita sehingga ada yang mengalami tekanan dan kemurungan. Jadi wanita berkemungkinan berasa rendah diri atau malu kerana mereka mempunyai gejala penyakit seperti gangguan hormon ketika kehamilan, menopaus dan sebagainya hingga gangguan emosi.

Sempena hari ibu yang jatuh pada hari ini, seisi keluarga perlu memahami penyakit-penyakit yang boleh menyerang seorang ibu. Tidak hanya meraikan hari istimewa ini di tempat-tempat makan malam seperti hotel, namun sebagai suami dan anak, anda perlu memahami keperluan kesihatan ibu. Pencegahan awal dan penjagaan berterusan kesihatan ibu amat penting untung membina kesejahteraan keluarga dan membendung kemurungan emosi golongan ini. Dalam membicarakan penyakit serius wanita, terdapat empat peringkat umur yang harus difahami wanita.

Keempat-empat peringkat ini termasuk 18 hingga 30 tahun, 30 hingga 50 tahun, 50 hingga 70 tahun dan 70 tahun ke atas.

Masing-masing mempunyai risiko penyakit yang berbeza. Bagi golongan ibu, terdapat enam penyakit yang sering dihidapi iaitu kanser payu dara, kanser rahim atau serviks, menopaus, serangan jantung, kehamilan dan osteoporosis. Namun, terdapat juga penyakit puan lain yang sering dialami seperti penyakit seksual dan mata. Kehadiran penyakit ini dalam diri wanita memberi impak terhadap emosi wanita kerana ketidakstabilan perasaan.

Menurut Pakar Perunding Kanan Obstetrik dan Sakit Puan, Datuk Dr. Nor Ashikin Mokhtar, kanser payu dara masih menjadi penyakit umum wanita di seluruh dunia. Menurut nisbah penyakit ini, 19 wanita daripada jumlah penduduk mempunyai risiko menghidap penyakit ini.
"Kanser payu dara ialah ketumbuhan atau tumor payu dara boleh jadi berkanser atau benigna (tumor bukan barah). Ketumbuhan mungkin disebabkan oleh fibroadenoma dan penyakit fibrosistik. Kedua-dua bengkak ini bagaimanapun hampir tidak pernah bertukar menjadi kanser," katanya pada bengkel media anjuran Weber Shandwick dengan sokongan Novartis.

Gejala utama yang dialami oleh pesakit adalah kehadiran ketumbuhan, disusuli dengan lelehan yang keluar dari puting, kadang kala mengandungi darah. Bagi mengesan awal penyakit ini, wanita yang berumur 50 tahun ke atas disarankan melakukan pemeriksaan mamogram. Namun, wanita berumur 40 hingga 49 tahun yang mempunyai sejarah keluarga berkaitan kanser ini perlu melakukan pemeriksaan mamogram awal.

"Selain mamogram, kaedah pemeriksaan payu dara sendiri (BSE) membantu wanita mengenali tubuh sendiri dan dapat mengesan keganjilan pada payu dara mereka. Tidak dapat dinafikan masih ramai wanita malu untuk memeriksa dan berasa tidak selesa menyentuh tubuh sendiri. Jika ada benjolan, segera berjumpa doktor bagi mendapatkan pemeriksaan lanjut. Usah tunggu benjolan menjadi sakit kerana risiko penyakit bertambah buruk sangat tinggi," ujarnya.

Selain kanser payu dara, seorang ibu juga berisiko tinggi diserang kanser rahim atau serviks..
Menurut laporan Pejabat Pendaftaran Kanser Kebangsaan, kanser ini merupakan jumlah kanser kedua tertinggi. Jumlah 12.9 peratus pesakit kanser wanita dengan 19.7 peratus kes daripada 10000 penduduk.


"Pendarahan selepas mengadakan hubungan seks antara tanda penting barah kian membesar. Oleh kerana tiada tanda atau kesakitan pada peringkat awal barah pangkal rahim, ramai wanita kurang memberi perhatian pada penyakit ini. Barah pangkal rahim boleh dikesan melalui ujian lumuran pap (pap smear) yang diperkenalkan sejak 60 tahun lalu," jelas Dr. Nor Ashikin.

Sebenarnya semua wanita terdedah pada jangkitan HPV, tetapi biasanya sistem imun badan dapat menghapuskannya dalam masa satu atau dua tahun. Namun dalam sesetengah keadaan, virus ini terus tinggal dalam badan sehingga wanita tua tanpa menyebabkan barah.

"Virus akan membiak dan mula menyebabkan barah apabila sistem imun badan lemah. Proses ini mengambil masa lama; antara lima hingga 10 tahun untuk membentuk fasa pra kanser. Dari fasa ini ia mengambil masa lima hingga 10 tahun lagi untuk menjadi kanser. Ini sebabnya wanita disaran menjalani ujian lumuran pap yang boleh mengesan kehadiran sel kanser dari peringkat awal," jelasnya.

Tidak ketinggalan, seorang ibu yang meningkat usia, mereka akan melalui fasa menopaus. Kebanyakan orang ada persepsi kurang menyenangkan terhadap menopaus, terutama apabila ia dikaitkan dengan perubahan sikap dan emosi wanita.

"Hakikatnya, perubahan emosi wanita yang di ambang atau menjalani proses menopaus bukan dibuat-buat kerana semuanya berkaitan dengan perubahan hormon estrogen dan progesteron. Menopaus adalah proses yang berlaku secara perlahan-lahan dan diiringi beberapa gejala seperti selaran kepanasan, perubahan emosi, kekeringan dan sukar tidur malam," jelasnya.

Seseorang wanita hanya dikatakan menopaus apabila haidnya terhenti selama setahun. Selepas setahun bebas haid, sebarang pendarahan vagina dianggap tidak normal dan jika ia berlaku pada anda, segera berjumpa pakar sakit puan untuk pemeriksaan lanjut. Kekurangan maklumat dan kewujudan pelbagai teori tidak tepat menyebabkan ramai orang, termasuk wanita, mempunyai persepsi negatif terhadap menopaus. Kaedah terapi penggantian hormon (HRT) penting untuk mencegah penyakit jantung dan osteoporosis. Namun yang lebih penting ialah kesejahteraan seseorang wanita selepas menopaus khususnya kestabilan emosi. Sebagai persediaan, setiap wanita perlu bersedia menghadapi fasa menopaus dengan sikap terbuka dan berfikiran positif.

Selain tiga penyakit ini, Dr. Nor Ashikin memberitahu, wanita juga berisiko menghidap serangan jantung. Sakit jantung menjadi faktor utama kematian lelaki dan wanita di seluruh dunia termasuk 22.5 peratus penyebab kematian wanita Malaysia ialah sakit jantung. "Apabila wanita mencapai umur 50 tahun, dia mudah diserang sakit jantung. Wanita yang mengalami menopaus, peningkatan umur, sejarah keluarga, merokok, kandungan kolestrol yang tinggi dan kurang aktiviti fizikal berisiko menghidap menyakit ini," jelasnya.

Bagi menjaga kesihatan jantung, anda perlu mengurangkan atau menjauhi asap rokok, menjaga berat badan, bersenam sekurang-kurangnya 30 hingga 40 minit untuk lima kali seminggu, berdiet dam merawat atau kawal aras gula dalam darah (diabetes), kolestrol dan tekanan darah.
Sementara itu, perubahan hormon ketika kehamilan juga mempengaruhi kesihatan bakal ibu.
Mana tidaknya, tekanan dan kebimbangan yang dirasai boleh menganggu emosi.


Dr. Nor Ashikin berkata, persedian ibu perlu dilakukan bermula saat kehamilan hingga kelahiran. Misalnya, bakal ibu boleh mereka mengalami masalah pedih ulu hati dan morning sickness, ia pasti menimbulkan kesakitan dan ketidakselesaan berpanjangan. Tidak ketinggalan, wanita juga akan mengalami masalah penyakit ketika datang haid, kesuburan, pencegah kehamilan dan gejala jangkitan akibat seks STD. Penyakit-penyakit ini mempengaruhi perubahan emosi wanita dan menganggu rutin harian mereka.

Pada bengkel media yang sama, Pakar Perunding Kanan Endrokrinologis, Profesor Chan Siew Pheng turut melahirkan kebimbangan tentang kurangnya kepekaan wanita tentang kesihatan tulang iaitu osteoporosis. Peningkatan usia, pemakanan dan gaya hidup menjadi antara faktor risiko osteoporosis. "Semakin lanjut usia seseorang, semakin tinggi risiko mendapat penyakit ini dan tulang menjadi lebih cepat rapuh jika merokok, tidak bersenam dan kurang memberi penekanan terhadap penjagaan makanan. Selain itu, sejarah keluarga, berat badan, minum alkohol, menopaus dan pengambilan ubat-ubatan," jelasnya.

Apabila umur meningkat, kita mengalami proses kehilangan jisim tulang dan osteoporosis lebih banyak berlaku pada wanita kerana lelaki mempunyai rangka tulang lebih besar. Selain meminum susu khusus untuk menguatkan kalsium, wanita boleh mengambil suplemen kalsium kerana susu bukan jaminan untuk memperolehi kalsium. Selain itu, berjemur di bawah cahaya matahari, dapat memberi tambahan vitamin D terutamanya ketika matahari sedang sederhana terik dan bukannya pada awal pagi dan lewat petang.

Sebagai ibu, melakukan senaman dapat membantu mengawal osteoporosis.

Ibu, dikaulah ratu hatiku!

Ibu, dikaulah ratu hatiku!
Oleh NURUL IZZAH SIDEK

BU, Siti dah balik!," aku memanggil ibu dengan gembira. Inginku tunjukkan hadiah yang kuterima atas kejayaanku dalam peperiksaan baru-baru ini. Ia aku anggap hadiah sempena hari Ibu. Namun tiada jawapan daripada ibu. Barangkali ibu di dapur. Bila ku jengah ke dapur, ibu tiada di situ. Agaknya dalam bilik. Benar sekali sangkaanku, ibu dalam bilik, tidur dengan adikku.

Ibu barangkali sudah sangat penat. Sudah dua malam adikku itu demam. Dan selama itulah ibuku tidak tidur lena. Sudahlah tidur tak lena, pagi-pagi sudah bangun menguruskan kami adik-beradik yang seramai lapan orang ini sehingga ke lewat malam. Menguruskan makan pakai kami, memantau persekolahan kami dan memastikan kami dapat hidup dengan selesa mungkin, biarpun dalam keadaan sederhana.

Kasihan aku melihat ibu. Aku membiarkan ibu tidur. Aku kemudian ke dapur untuk makan, solat dan kemudian sambung untuk membantu ibuku membuat persiapan kuih untuk esok serta bantu dengan kerja-kerja sekolah adik-adik. Begitulah rutin harianku selepas pulang daripada sekolah. Kadangkala ibu marah padaku dan menyuruh aku membaca buku dan mengulangkaji pelajaran. Aku tak pernah mengabai pelajaranku. Tetapi dalam masa yang sama aku tak sanggup lihat ibu bersusah payah seorang diri menyiapkan persiapan kuih untuk dijual. Ayah di luar negara, melanjutkan pelajaran di peringkat doktor falsafah yang masih berbaki setahun. Kami pulang ke tanah air awal daripada ayah kerana aku akan mengambil peperiksaan menengah rendah.

Sejak kecil, kami faham akan perjuangan ayah. Ayah bercita-cita tinggi. Kata ibu dari zaman mudanya lagi ayah seorang yang kuat semangat dan tidak mudah putus asa. Sentiasa belajar dan belajar biarpun hidup susah. Ibu menanamkan azam yang kuat dalam diri kami supaya mencontohi ayah. Ayah juga sangat menyanjung tinggi pengorbanan ibu berhenti bekerja kerana hendak menjaga kami. Ibu berhenti di saat ibu mendapat tawaran yang lebih tinggi dan lumayan. Atas kesedaran bahawa peranan ibu tidak boleh ditukar ganti, ibu mencurahkan sepenuh kasih sayangnya pada kami dan dengan kasih sayang itulah kami membesar dengan sempurna dan bahagia.

Ibu dan ayah selalu menceritakan pengalaman membesarkan kami lapan beradik di negara orang. Bukan sedikit cabarannya. Biarpun aku ada kalanya tak faham akan cerita-cerita ibu dan ayah, pengalaman melihat ibu membesarkan kami menjadi sekolah hidup pada kami. Banyak pengorbanannya pada kami sekeluarga yang tak mampu kami balas sehingga bila-bila. Aku masih ingat lagi akan susah payahnya ibu menguruskan kami ketika ayah sedang sibuk dengan pelajarannya di universiti. Biasiswa ayah sahaja tidak cukup untuk menampung kehidupan kami sepuluh orang di rantau asing.

Membesar

Tinggal pun di rumah dua bilik atas masjid. Di situlah kami membesar selama empat tahun. Tapi kami ceria dan gembira tinggal beramai-ramai di bawah limpahan kasih ibu dan ayah. Rumah kecil terasa bagai syurga. Ibu membuat pelbagai jenis masakan untuk dijual secara kecil-kecilan di masjid komuniti tempat kami tinggal untuk menampung kehidupan. Pakaian dan barangan dibeli secara berhemah.


Aku masih ingat ibuku menceritakan bahawa baki wang ayah di bank tinggal kurang daripada 10 dolar saat menyambut Hari Raya. Pun begitu, ibu dan ayah berusaha menceriakan kami dengan membeli baju-baju terpakai yang masih elok. Kami adik-beradik menerimanya dengan hati yang gembira. Biarpun begitu, aku tahu ibu dan ayah sayu di sebalik senyuman mereka. Dari situ kami dididik supaya sentiasa bersyukur dengan pemberian orang dan tidak mengeluh dengan kesusahan. Dan ibu, aku lihat begitu setia di samping ayah dan tidak pernah mengeluh dengan cabaran yang datang.

Umurku baru hendak menginjak ke alam remaja, namun aku mengerti akan tanggungjawabku sebagai anak sulung. Membantu ibu dan ayah dalam membesarkan adik-adik adalah tugasku juga. Apatah lagi dalam keadaan sekarang ayahku di luar negara, maka tanggungjawab ibu menjadi lebih besar. Menguruskan anak-anak seramai ini seorang diri bukanlah mudah. Justeru aku sedaya upaya membantu ibuku untuk meringankan tanggungjawabnya.

Kadangkala aku sedikit cemburu melihat rakan-rakan lain yang sebaya denganku begitu bertuah kerana dilimpahi dengan kemewahan dan kesenangan. Tak perlu bersusah payah seperti aku, belajar dan pada masa yang sama membantu menguruskan adik-adik yang masih kecil. Namun aku bersyukur kerana aku telah dididik bahawa wang amat perlu dalam kehidupan, namun ia bukanlah segala-galanya. Tanpa ilmu dan amal, harta tidak dapat dimanfaatkan sebaik-baiknya. Aku insaf bahawa harta setimbun mana pun tidak berguna jika miskin kasih sayang.

Aku lihat ada antara kawanku yang dibesarkan dengan kemewahan, tetapi sentiasa dahagakan kasih sayang dan perhatian ibu bapa mereka. Lebih malang lagi ada yang terjebak dengan perbuatan yang tidak elok.
Aku berasa amat kesal apabila ada rakanku yang tidak menghargai pengorbanan ibu ayah mereka dengan melakukan perbuatan yang kurang baik. Tetapi aku juga mengerti bahawa ibu ayah juga memainkan peranan yang sangat penting dalam mendidik anak mereka.
Aku makin mengerti bahawa ibu bukan sahaja berperanan sebagai seorang ibu, tetapi juga sebagai teman yang setia pada suami dan anak-anak, tonggak penting keluarga, tempat meluahkan perasaan dan mengadu masalah serta pembakar semangat di kala keresahan. Aku amat kagum dengan sikap tenang ibu, kemurahan dan kebaikan hati ibu kepada kami sekeluarga selama ini. Terasa kecil dengan jasa-jasa ibu dan aku percaya setiap orang akhirnya akan mendapati bahawa tiada sesuatu pun yang boleh dibandingkan dengan kesucian kasih sayang seorang ibu.

Justeru, aku insaf bahawa pengorbanan di dalam kehidupan sememangnya lumrah kehidupan seorang manusia. Pengorbanan seorang ibu, pengorbanan seorang ayah, pengorbanan seorang cikgu dan lain-lain jenis pengorbanan yang dilakukan adalah untuk membahagiakan anak-anak atau orang lain. Pengorbanan ibu bapa kita merupakan pengorbanan paling tinggi yang kita tidak wajar untuk melupakannya. Susah payah mereka membesarkan kita sehingga menjadi insan yang berguna kepada agama, bangsa, masyarakat dan negara.
Insan tinggi
Perlu diinsafi, ibu adalah insan yang tinggi kedudukan dan martabatnya di sisi Islam sehingga Rasulullah SAW pernah menegaskan bahawa syurga itu berada di bawah telapak kaki ibu. Ia bermakna seseorang anak sudah pasti tidak dapat masuk syurga tanpa keredaan ibunya walaupun sebaik mana sekalipun amal soleh yang dilakukannya.

Sedang aku leka melayur daun pisang untuk dibuat lepat, tiba-tiba ibu menepuk lembut bahuku dari belakang. Ibu hanya senyum melihat aku sambil bertanyakan apakah aku sudah makan atau belum. Aku mengangguk perlahan. Tiba-tiba sahaja aku terasa sebak. Terus aku peluk ibuku dan menangis. Bukan kerana sedih, tetapi bersyukur kerana Tuhan telah menganugerahkan aku sekeluarga dengan seorang ibu yang berhati mulia, cekal dan mewah dengan kasih sayang.

Aku pasti ibu pelik dengan tingkah laku ku, tetapi kurasakan dakapan ibu semakin erat, seolah-olah mengerti dengan apa yang kurasakan sekarang. Sesungguhnya jasa ibu tidak ternilai. Ibu, dikaulah ratu hatiku!

Firman Allah bermaksud: Dan kami perintahkan kepada manusia (berbuat baik) kepada kedua orang tuanya; ibunya mengandungnya dalam keadaan lemah yang bertambah-tambah dan menyusunya dalam dua tahun. Bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua orang tuamu. Hanya kepada-Ku tempat kembalimu. Dan jika keduanya memaksamu untuk mempersekutukan dengan Aku sesuatu yang tidak ada pengetahuannya mengenai itu, maka janganlah kamu mentaati keduanya dan pergaulilah keduanya di dunia dengan baik dan ikutilah jalan orang yang kembali kepada-Ku, kemudian hanya kepada-Kulah kembalimu, maka Ku beritahukan kepadamu apa yang kamu kerjakan. (Luqman: 14-15)

Dari Saidina Ali


Ibu Madrasah Pertama Ku

Ibu Madrasah Pertama Ku
Oleh ZUARIDA MOHYIN


RASANYA masih belum terlewat untuk penulis merakamkan ucapan Selamat Hari Ibu kepada semua ibu, umi, mama dan emak di Malaysia yang disambut Ahad lalu.

Sesungguhnya, walau apa juga gelaran yang diberikan kepada insan istimewa dan mulia ini, jasa mereka memang tidak terhingga. Tanpa ibu, kita tidak akan lahir ke dunia ini.

Bagi penulis yang memiliki seorang ibu yang garang, ia tidak pernah merenggangkan hubungan antara kami. Ini kerana kami adik-beradik mengetahui bahawa garang ibu adalah untuk mengasuh dan mendidik kami agar menjadi manusia berguna.

Malah saya hairan, apabila berlaku kes lari dari rumah dengan alasan ibu atau bapa mereka garang. Bagi saya, ibu dahulu jauh lebih garang berbanding dengan ibu-ibu moden sekarang yang begitu toleransi terhadap anak-anak mereka.

Cuma mungkin ibu kurang mahir untuk menunjukkan kasih sayang dengan perkataan. Namun saya tahu, jauh di sudut hati ibu, apa juga tindakannya adalah demi kebaikan kami. Sementelah pula, tidak semua manusia itu sempurna kejadiannya.Sesungguhnya kami reda dan bersyukur dianugerahkan oleh Allah seorang ibu bernama Ja'emah Hussein.

Apa kata untuk kenangan sambutan hari ibu kali ini kita menghadiahkan senaskah buku berjudul Ibu Madrasah Pertama Ku susunan Roha Hassan buat koleksi peribadi ataupun kepada insan tersayang yang berstatus ibu bakal ibu.

Buku kecil ini bolehlah dianggap sebagai sebutir permata. Harapan semoga ia menjadi penyuluh kehidupan generasi kita dan selepas kita dalam mengharungi liku-liku kehidupan sebagai seorang insan soleh wa musleh.
Ia memuatkan kompilasi kisah 23 orang ibu membesarkan anak-anak yang kini telah berjaya. Selain itu turut disertakan tips yang diharap dapat memberi pelbagai pengajaran serta panduan dalam mendewasakan anak-anak dan generasi muda di zaman ini dan akan datang.

Ketua Wanita JIM Pusat, Prof. Madya Dr. Harlina Halizah Siraj adalah antara insan yang berkongsi kisahnya mengenai ibu tercinta beliau. Selain beliau, buku ini turut mengetengahkan kisah-kisah wanita daripada pelbagai latar kerjaya seperti pengetua, pensyarah, ahli korporat, usahawan dan pelajar.
Di dalam buku ini turut disertakan borang bagi mereka yang sudah membaca buku ini untuk meluahkan perasaan.

Buku-buku ini boleh diperoleh di pejabat Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM) di Lot 3000.3, Lorong Selangor, Pusat Bandar Melawati, Kuala Lumpur atau menghubungi 03-4108 9669.

Wanita cemerlang sejak zaman Rasulullah

Wanita cemerlang sejak zaman Rasulullah
Oleh Masmawi Abdullah


WANITA masa kini sudah mencapai kejayaan memberangsangkan dalam pendidikan. Realitinya yang tidak boleh dinafikan, ada yang lebih berjaya daripada lelaki dalam bidang diceburi dan pencapaian itu mendorong lebih ramai wanita turut serta dalam pekerjaan. Malah, ada yang terbabit dalam bidang yang sebelum ini dikuasai lelaki lantaran kebolehan dimiliki untuk berhadapan pelbagai cabaran di sektor swasta, mahu pun kerajaan. Mereka juga mampu menjawat jawatan tinggi atau berpangkat melebihi lelaki. Ini menyebabkan masa mereka lebih banyak di luar rumah demi menguruskan tugas serta tanggungjawab bidang pekerjaan.

Dalam konteks ini, Islam tidak melarang atau menghalang, malah membenarkan wanita bekerja di luar rumah dengan syarat pekerjaan itu mestilah pekerjaan yang baik lagi halal, diredai Allah serta mendapat ganjaran baik. Firman Allah bermaksud: "Sesiapa beramal salih daripada lelaki atau perempuan sedang ia beriman, maka sesungguhnya Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik dan sesungguhnya Kami akan membalas mereka dengan memberikan pahala yang lebih baik daripada apa yang mereka kerjakan." (Surah an-Nahl, ayat 97) Sejarah Islam membuktikan bagaimana peranan wanita yang turut serta dalam pekerjaan di luar rumahnya berjaya membantu ke arah kecemerlangan Islam, malah orang yang pertama gugur syahid dalam Islam juga daripada kalangan wanita iaitu Saiyidah Sumayyah.

Pembantu Rasulullah SAW iaitu Laila al-Ghafariyah turut membantu Rasulullah SAW dalam peperangan dengan merawat tentera Islam yang cedera sakit. Dalam bidang perniagaan pula, isteri Rasulullah SAW, Khadijah Khuwailid dengan beraninya menerokai bidang itu hingga menjadi saudagar kaya dan dikenali sebagai 'Tahirah' yang bermaksud suci disebabkan beliau amat memelihara diri, kehormatan serta sifat peribadinya sebagai seorang wanita. Saidatina Aisyah Abu Bakar, isteri Rasulullah SAW adalah wanita contoh dalam bidang pendidikan. Beliau mempunyai ilmu yang luas dalam bidang fiqh, kemasyarakatan dan politik. Beliau menjadi pakar rujuk ilmu hadis, seorang pemidato dan sasterawan. Urwah ibni al Zubir menyifatkan Aisyah wanita paling alim dalam ilmu al-Quran, fiqh, syair dan hadis. Isteri Harun al Rasyid, Sayidah Zubaidah, adalah seorang pahlawan Islam dan puteri dari Bani Nasyim. Beliau mempunyai kedudukan tinggi ketika hayatnya kerana dengan arahannya penduduk Makkah dapat menikmati air minum bersih daripada mata air terkenal iaitu mata air Zubaidah.

Beliau juga memerintah supaya dibina semula bandar Iskandariah yang musnah dihancurkan tentera Bizantiyum. Saiyidah Zubaidah terkenal dengan penulisan ayat yang baik serta mempunyai pendapat bernas dalam bidang politik dan pentadbiran. Dalam bidang perubatan, kitab Tahaqat al Atibba karya Ibni Abi Usaybiah, menyebut Zainab sebagai doktor dalam bidang perubatan mata, manakala seorang lagi bernama Ummul Hassan binti al-Qadi Abi Jaafar Atangali sebagai doktor pakar dalam pelbagai bidang perubatan sementara dua anak perempuannya juga doktor pakar dalam bidang sakit puan.
Sebenarnya ramai wanita sejak daripada dulu terbabit dalam kerja di luar rumah dan mereka berjaya apabila dapat menghadapi segala cabaran yang datang, di samping menjaga akhlak serta sifat sebagai wanita muslim. Ada banyak cabaran kepada wanita yang bekerja di luar rumah antaranya untuk menyesuaikan dan mengatur masa menunaikan tanggungjawab isteri, ibu di rumah dan pada masa sama berperanan sebagai pekerja atau majikan di luar rumah.
Tugas utama wanita adalah sebagai isteri, ibu dan pendidik kepada anaknya. Oleh itu, apabila wanita bekerja, dia perlu menyesuaikan diri dengan suasana di mana dia perlu menyelesaikan kerja rumah sebelum memberi tumpuan kepada tugas pejabat. Wanita yang bekerjaya tidak digalakkan membawa beban tugas atau masalah pejabat ke rumah kerana dikhuatiri akan menyebabkan hilang tumpuan kepada rumah tangga hingga anak terabai dan tidak terurus. Prof Dr Miqdad Yaljan pernah menyatakan, kita pada adatnya menganggap suri rumah sepenuh masa adalah wanita yang tidak bekerja, sedangkan hakikatnya suri rumah adalah tugas kemasyarakatan, ekonomi, pendidikan dan psikologi. Beberapa negara maju membayar gaji kepada suri rumah yang bekerja sebagai suri rumah sepenuh masa.
Dr Miqdad turut menjangkakan suatu masa nanti, wanita berada antara dua persimpangan untuk memilih antara kerjaya atau keluarga. Beliau percaya wanita pada masa itu akan memilih anak dan duduk di rumah untuk mendidik mereka. Oleh itu, kita perlu ada kesungguhan dalam menilai dan menghargai peranan wanita serta memahami perasaan, jiwa dan kerohanian yang ada pada setiap wanita.
Syeikh Muhamad al-Ghazali berpendapat, jika ada 100,000 guru, tidak ada halangan bagi wanita menjadi sebahagian daripada bilangan itu, tetapi yang penting dalam masyarakat ialah pelaksanaan akhlak dan tingkah laku yang baik selaras dengan syariat. Dalam hal itu, perkara utama perlu dipelihara setiap individu wanita yang bekerja di luar rumah ialah kehormatan diri dan ketakwaan kepada Allah. Walau dalam apa juga keadaan, setiap wanita jangan terlalu ghairah mencari persamaan dengan lelaki hingga membelakangkan ajaran Islam. Pada masa sama, wanita bekerja tidak boleh mengabaikan tanggungjawab sebagai isteri dan ibu. Sesungguhnya alangkah bahagia wanita yang dapat menyumbang kepada kesejahteraan serta kebahagiaan suami, anak, keluarga, masyarakat dan negara.
INTI PATI
· Islam tidak melarang atau menghalang, malah membenarkan wanita bekerja di luar rumah dengan syarat pekerjaan itu mesti pekerjaan halal, diredai Allah serta mendapat ganjaran baik.
· Sejarah Islam membuktikan bagaimana peranan wanita yang turut serta dalam pekerjaan di luar rumahnya berjaya membantu ke arah kecemerlangan Islam.
· Apabila wanita bekerja, dia perlu menyesuaikan diri dengan suasana di mana dia perlu menyelesaikan kerja rumah sebelum memberi tumpuan kepada tugas pejabat.
· Setiap individu wanita yang bekerja di luar rumah perlu menjaga kehormatan diri dan ketakwaan kepada Allah.

Firman Allah

"Apakah kamu mengira akan masuk ke dalam syurga sedangkan kepada kamu belum datang penderitaan sebagaimana yang dideritai orang-orang terdahulu daripada kamu, iaitu mereka ditimpa kesengsaraan, kemelaratan dan kegoncangan, sehingga Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya merintih: "Bilakah datangnya pertolongan Allah?"" (Surah al-Baqarah: 214)

Thursday, May 14, 2009

Lagu Wanita Jim

Lagu Wanita Jim
Lembut dan sopan gerak langkahmu
Tangkas menyahut cabaran waktu
Dalam kelembutan ada semua
Keyakinan dan sifat kepimpinan
Dalam keluarga dan rumah tangga
Engkau isteri dan ibu teladan
Mesra ceria di dalam bekerja
Kemas ikhlas dalam persatuan
Dengan Islam kita mengorak langkah Berserah pada Allah
Yakini Rasulullah
Peribadi solehah
Berbakti pada insan
Suburkan kasih sayang Kekalkan kemesraan
Mari sambut seruan
Mari berpimpin tangan
Kita mara ke depan
Teruskan perjuangan
Didik anak warisan
Pemimpin yang beriman.