Thursday, March 25, 2010

Semua pihak bertanggungjawab - Raudhatus Sakinah

TM Lim

KUALA LUMPUR, 23 Mac - Pendedahan yang dibuat oleh Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Datuk Alwi Ibrahim mengenai jumlah anak luar nikah di Malaysia baru-baru ini benar-benar menakutkan. Ia membuktikan gejala sosial yang berlaku di negara ini semakin membarah. Ia juga memberi isyarat bahawa setiap orang perlu berganding bahu menganjurkan kebaikan serta mencegah kemungkaran (amar makruf nahi mungkar) dalam masyarakat.

Alwi, sebagaimana yang disiarkan dalam sebuah portal berita media perdana Ahad lalu berkata, seramai 17,303 anak luar nikah Melayu atau tidak sah taraf didaftarkan di seluruh negara sepanjang tahun 2009.

Pengarah Raudhatus Sakinah (RS), Puan Rosmawati Zainal menjelaskan, tanggungjawab membimbing dan menegur remaja yang terjebak dengan gejala sosial ini terpikul ke atas setiap orang Islam yang beriman. Hal ini kerana jumlah remaja terlalu ramai. Dianggarkan daripada seluruh penduduk dunia, 25% terdiri daripada remaja berusia 10-19 tahun.

"Bayangkan angka 17,303 itu cuma dalam masa setahun, dan yang lebih menyedihkan berbangsa Melayu. Angka ini terlalu besar dan menakutkan. Kami di Raudhatus Sakinah sejak 1998 hingga 2010 baru dapat membimbing 447 orang remaja perempuan, bermakna banyak lagi kerja kita. Kerja ini pula mesti dilakukan oleh semua pihak. Menghidupkan rumah perlindungan hanya dapat membantu mangsa (perempuan). Bagaimana halnya dengan pasangan mereka (lelaki) dan remaja lain yang lebih ramai di luar sana?" soalnya.

Katanya lagi, RS mahu melangkah jauh ke hadapan. Kempen 'Anda Bijak Jauhi Zina' yang sedang dijalankan sekarang berusaha menyedarkan remaja tentang bahaya zina, penyakit kelamin dan bagaimana mengurus cinta dengan betul.

"Cinta itu bukan setakat antara sesama manusia. Mereka lupa yang pertama sekali mestilah cinta kepada yang mencipta cinta itu sendiri iaitu Allah."

Visi RS ialah 'ke arah gejala sosial sifar menjelang 2020'. Dengan perkembangan terkini ini, tidakkah nampak agak mustahil untuk mencapai visi ini? Tidakkah ia terlalu 'ambitious'?

"Memang, kalau kita tengok secara zahir memang mustahil. Tapi apa-apa pun kalau Allah menghendaki, ia akan berlaku. Cuma yang penting bagi kita berusaha dan terus berusaha. Sebab itulah pentingnya penglibatan semua orang, peranan masyarakat dan sokongan keluarga. Bagi pihak keluarga, jangan rasakan apa yang ada dalam rumah mereka sahaja hak milik mereka. Mereka kena tengok di luar rumah juga. Di sana, masih ada ramai anak lain yang sangat memerlukan perhatian, nasihat dan teguran.

"Bagi pihak masyarakat pula, jangan letakkan tugas amar makruf nahi mungkar ini kepada orang atau jabatan tertentu sahaja. Kita semua hamba Allah, tapi kalau tak menjadi khalifah (yang menguruskan dunia mengikut peraturan) Allah, maka tak berjalanlah kebaikan ini. Dalam al-Quran pun Allah sudah jelaskan, orang-orang yang menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran inilah golongan yang beruntung," jelas Rosmawati.

Menurutnya lagi, zaman sekarang bukan zaman bercakap sahaja. Pendakwah mesti 'walk the talk', menasihati dan menunjukkan teladan. Beliau memetik kisah Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam yang tidak berhenti memberi makan seorang buta di hujung kampung walaupun orang itu menghina Rasullah setiap hari. Adakah tindakan itu menjatuhkan imej baginda? Tidak. Begitulah peranan yang mesti dimainkan oleh masyarakat walaupun hari ini. Walaupun mereka berpangkat dan berimej hebat, tiada celanya mereka menegur remaja yang hidup berpeleseran bagaikan tiada matlamat hidup.

"Saya yakin jika keseluruhan masyarakat prihatin dalam membina dan membimbing remaja, gejala sosial akan berkurangan, dan sasaran sifar pada tahun 2020 itu tidak lagi mustahil. Kita kena yakin bahawa bagi Allah, 'kun fayakun'. Yang penting tugas ini kena bermula. Selagi ia tidak dimulakan, kita tak nampak macam mana nak ubah dunia," katanya sambil menguntum senyum.

Gejala sosial ini ibarat api yang menyala antara dua pihak. Satu pihak menyiram air untuk memadamkannya, tetapi satu pihak lagi mencurah minyak yang memarakkannya, malahan yang mencurah minyak itu lebih banyak. Tidakkah usaha RS ini dikira sia-sia dan membuang masa?

"Sesetengah orang mungkin menganggap ia kerja sia-sia, tetapi ambillah semangat daripada seekor burung yang terbang berulang-alik membawa setitik air untuk cuba memadamkan api yang membakar Nabi Ibrahim alaihissalam. Akhirnya nanti kita semua akan ditanya oleh Allah apakah yang telah kita lakukan untuk membendung gejala sosial ini, dan kita terpaksa menjawabnya."

RS tidak bermaksud untuk terus kekal di persada negara. Cita-citanya ialah menjelang 2020, RS sudah tidak diperlukan lagi (jika visi sifar gejala sosial dicapai). Malah kata Rosmawati, kalau boleh, rumah-rumah perlindungan ini tidak perlu ada lagi pada masa hadapan, tetapi buat masa ini ia terpaksa diwujudkan kerana terlalu ramai yang menjadi mangsa (kepada keadaan).

"Jadi, kalau tak mahu rumah-rumah perlindungan ini tumbuh macam cendawan, kita kena proaktif, membantu menyedarkan remaja agar kembali kepada Islam sebagai cara hidup."

Sehubungan dengan hal itu, RS akan mengadakan 'Malam Amal Raudhatus Sakinah' (MARS) di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) pada 2 Mei 2010 ini. Dengan tema 'Lelaki Pelindung Wanita', program ini mahu menggembar-gemburkan bahawa golongan lelaki sepatutnya membimbing wanita yang tersasar, bukan mengambil kesempatan. Lelaki juga menjadi contih terbaik kepada wanita sebagaimana yang ditunjukkan oleh Rasulullah sallallahu alaihi wasallam. Persembahan akan dijayakan oleh kumpulan Demascus, Xifu, Algebra dan anak-anak remaja, manakala tetamu undangn khas ialah Penaung RS, YTM Tengku Besar Terenganu, bonda SPB Yang Di-Pertuan Agung. RS mengajak syarikat, badan kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan dan individu tampil membantu RS dalam usaha pencegahan gejala sosial ini bersama-sama.

(Raudhatus Sakinah merupakan sebuah Pusat Perlindungan Remaja Puteri yang berdaftar di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat dan ditubuhkan pada tahun 1998. Sehingga kini, sebanyak empat buah pusat perlindungan remaja RS yang sedang beroperasi iaitu di Selangor, Kelantan, Pulau Pinang dan Johor.)

Tuesday, March 23, 2010

Masalah sosial: 22 Mac 2010: Buang bayi

Harian Metro
Bayi menggigil

Oleh Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz
am@hmetro.com.my

2010/03/22

IPOH: Menyedihkan apabila seorang bayi yang baru dilahirkan ditemui dalam keadaan menggigil kesejukan ketika hujan lebat selepas ditinggalkan dekat kawasan pembuangan sampah di Jalan Medan Ipoh, di sini, petang kelmarin.

Bayi perempuan seberat 2.8 kilogram cukup sifat itu dipercayai baru dilahirkan berdasarkan keadaannya masih bertali pusat ditinggalkan dalam semak di belakang sebuah pasar raya besar, di sini.

Ketua Polis Ipoh, Asisten Komisioner Azisman Alias berkata, bayi itu ditemui orang awam yang melalui kawasan berkenaan kira-kira jam 5.30 petang.

“Bayi ini dipercayai baru dilahirkan dan ketika dijumpai berada dalam keadaan pucat dan menggigil kesejukan kerana ditinggalkan dalam hujan lebat.

“Bayi ini juga ditemui dalam keadaan lemah akibat ditinggalkan dalam tempoh yang agak lama sehingga tidak mampu menangis,” katanya.

Katanya, bayi malang itu dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) dan untuk rawatan sebelum tindakan lanjut diambil.

Bayi itu dilihat mengalami luka dan calar di muka dan kepalanya mungkin akibat dihurung semut.

Sementara itu, Timbalan Pengarah HRPB, Dr Rahimi Goon berkata, bayi itu dihantar ke hospital berkenaan kira-kira jam 8 malam.

“Pemeriksaan mendapati bayi itu sihat dan tidak mengalami sebarang komplikasi kesihatan dan kini ditempatkan di wad,” katanya selepas melawat bayi berkenaan bersama Pengerusi Lembaga Pelawat HRPB, Datuk Omar Ahmad.

Katanya, bayi itu ditempatkan sementara di hospital sebelum diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat.

------------ --------- --------- --------- --------- --------- --------- --------- --------- --------- --------- 
Utusan Malaysia
Bayi dibuang diselamatkan
Oleh Siti Mariam Md. Zain
pengarang@utusan.com.my

IPOH 21 Mac - Tindakan pantas seorang lelaki yang tidak sanggup lagi mendengar kisah menyayat hati tentang kejadian buang bayi, berjaya menyelamatkan nyawa seorang bayi perempuan yang dibuang oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Bayi perempuan yang baru lahir dan masih bertali pusat itu ditemui basah kuyup dalam semak berhampiran tempat pembuangan sampah di Jalan Medan Ipoh Satu di sini semalam.

Ketika ditemui kira-kira pukul 6 petang, bayi yang hanya dibaluti tuala mandi itu agak lemah dan sudah tidak mampu untuk menangis lagi.

Badannya juga kebiru-biruan kerana terlalu sejuk akibat hujan lebat yang turun sebelum itu.

Dia dipercayai berketurunan Melayu atau Indonesia.

Menurut individu yang bertanggungjawab menyelamatkan bayi tersebut, Mohd. Mazran Satar, 32, dia mendapat tahu tentang penemuan bayi itu daripada seorang lelaki India yang bertanyakan di mana balai polis.

"Ketika itu saya berada di pejabat. Sebaik sahaja mengetahui ada bayi dibuang, saya bersama seorang lagi rakan bergegas ke tempat kejadian dan kami terkejut melihat kaki dan tangan bayi itu masih bergerak.

"Tanpa buang masa, saya peluk bayi yang kesejukan itu dan terus membawanya ke hospital," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut Mohd. Mazran, jarak antara tempat pembuangan sampah itu dengan pejabatnya hanya kira-kira 500 meter.

Dia bersyukur dapat menyelamatkan bayi itu kerana sebelum ini hanya membaca kes pembuangan bayi yang disiarkan di akhbar dan televisyen.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Azisman Alias ketika dihubungi mengesahkan penemuan bayi tersebut.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Dr. Raimi Goon berkata, bayi seberat 2.8 kilogram itu kini berada dalam keadaan stabil.

''Berdasarkan pemeriksaan lanjut pakar di sini, dia dilahirkan cukup bulan dan dipercayai telah ditinggalkan beberapa jam di kawasan tersebut, '' katanya di sini hari ini.

Raimi turut mengesahkan bahawa bayi berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Pihak hospital, katanya, bagaimanapun masih belum dapat mengenal pasti keturunan bayi tersebut.

Bayi perempuan itu akan ditempatkan di HRPB sehingga mendapat arahan seterusnya daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat.

------------ --------- --------- --------- --------- --------- --------- ---------


Utusan Malaysia

Utusan lancar Kami Prihatin elak bayi dianiaya


KUALA LUMPUR 21 Mac - Gejala penderaan kanak-kanak dan buang bayi yang semakin menjadi-jadi, mendorong akhbar Utusan Malaysia dan karyawan tanah air berganding bahu menggerakkan kempen Kami Prihatin.

Projek amal itu bertujuan membangkitkan kesedaran masyarakat tentang gejala-gejala sosial yang menyebabkan berlakunya perbuatan tidak berperikemanusiaan itu.

Ia juga bermatlamat mengajak masyarakat tampil membantu mengurangkan kes-kes sebegitu dengan cara menjadi mata dan telinga kepada pihak berkuasa melaporkan sebarang perbuatan mendera dan menganiaya kanak-kanak.

Melalui projek itu, satu klip video yang memaparkan lagu dengan lirik bertemakan kasih-sayang dan kesedaran terhadap nasib kanak-kanak yang didera dan diabaikan serta bayi yang dibuang akan dihasilkan.

Komposer terkenal, S. Atan dan penulis lirik yang tidak asing lagi, Habsah Hassan telah bersetuju menyumbangkan idea kreatif mereka secara percuma bagi menghasilkan lagu khas itu.

Sementara itu, beberapa artis tempatan juga menyatakan kesediaan menyumbang tenaga dan suara bagi menjayakan projek amal tersebut.

Menurut Habsah, beliau terpanggil menyokong kempen tersebut sebagai satu tanggungjawab sosial terhadap masyarakat.

Katanya, media terutama yang mempunyai pengaruh besar seperti Utusan Malaysia mampu bertindak sebagai ejen membangkitkan kesedaran masyarakat bahawa kanak-kanak dan bayi mempunyai hak untuk hidup bahagia di dunia ini.

"Keadaan yang berlaku pada hari ini amat menyedihkan. Memang wajar kita memberi perhatian kepada apa yang berlaku ini," katanya.

Ditanya mengenai ilham lirik yang bakal ditulis, Habsah berkata, beliau akan cuba menyelami suara hati dan perasaan kanak-kanak serta bayi yang menjadi mangsa dera dan penganiayaan orang dewasa.

Katanya, lirik lagu tersebut dijangka siap dalam masa dua tiga hari lagi.

Dalam pada itu, S. Atan yang menggubah lagu bagi kempen tersebut berkata, projek seperti itu sepatutnya sudah lama dianjurkan.

"Saya sememangnya menyokong penuh usaha ini dan bersemangat melakukannya bersama-sama Utusan Malaysia," katanya.

Menurutnya, lagu bagi kempen tersebut yang siap digubah dalam masa dua hari sudahpun diserahkan kepada Habsah untuk digubah liriknya.

Info Daripada Media Tempatan : Keluarga: 22 Mac 2010: Hak anak lebih utama daripada penjaga

Salam...

Mohon manfaatkan info yang diperolehi daripada pelbagai media tempatan ini agar kita sentiasa terdedah kepada isu-isu semasa.

Jzkk

Roha Hassan

JK Media JKPW

2010/03/22
Berita Harian
Hak anak lebih utama daripada penjaga
Oleh Zainul Rijal Abu Bakar


Saudara baru tidak boleh diperintah serah penjagaan kanak-kanak kepada bukan Islam

POLEMIK berkaitan hak penjagaan anak apabila salah seorang ibu atau bapa bukan Islam memeluk Islam masih belum dapat dirungkaikan. Walaupun Islam mempunyai kedudukannya yang istimewa di dalam Perlembagaan Persekutuan, ia seolah-olah tidak memberi tiket istimewa bagi mualaf mendapat hak jagaan anaknya dan mengIslamkan anak terbabit.

Persoalan ini masih lagi dibicara dan disensasikan oleh beberapa pihak. Penghakiman Mahkamah Persekutuan di dalam kes Subahsini lawan Saravanan nampaknya tidak dapat menyelesaikan permasalahan yang timbul.

Daripada lensa hukum syarak pula, seorang kanak-kanak itu dikira Islam jika ibu atau bapanya seorang Islam. Ia berlaku secara automatik tatkala ibu atau bapa berkenaan memeluk Islam. Melainkan di dalam keadaan tertentu orang bukan Islam tidak harus diberikan hak penjagaan kanak-kanak Islam, kerana hak penjagaan adalah hak penguasaan (haq al-wilayah). Orang bukan Islam tidak mempunyai hak penguasaan terhadap orang Islam. Firman Allah di dalam Surah An Nisa’ ayat 141 bermaksud: “Dan Allah tidak sekali-kali akan memberi jalan kepada orang kafir untuk membinasakan orang beriman” menjelaskan perkara ini.

Wlaupun sekiranya orang bukan Islam diberikan hak jagaan anak-anak Islam, mestilah diletakkan beberapa syarat ketat bagi memberi hadanah ini kepada orang bukan Islam. Hal yang demikian bagi memastikan al maqasid al syariah yang lima itu dapat dipelihara. Lima al maqasid al syariah itu ialah menjaga agama, harta, keturunan, aqal dan nyawa.

Dr Wahbah al-Zuhaili dalam kitabnya al fiqhu islamiy wa adillatuhu mengutip pandangan Imam al Shafie bahawa syarat umum pihak yang diberi hak penjagaan anak (haadin) adalah cukup umur, sempurna akal, berkeupayaan mendidik kanak-kanak, berkelakuan baik dari segi akhlak Islamiah dan seorang Islam. Islam adalah syarat penting untuk seseorang menjaga kanak-kanak Islam.

Al-Syeikh Muhammad al-Khatib al-Syarbini dalam kitabnya Mughni al muhtaj pula menegaskan “Hadanah dari segi syarak membawa maksud tanggungjawab menjaga seseorang yang tidak mampu menguruskan dirinya sendiri, oleh kerana masih belum mampu atau tidak mampu membuat pilihan mana satu yang baik dan mana satu yang buruk, seperti kanak-kanak kecil atau orang dewasa yang gila, dan juga tanggungjawab memberi pendidikan kepada mereka yang berkenaan itu hingga menyebabkan mereka berjaya menjadi manusia baik, serta tanggungjawab memberi makan minum dan seumpamanya kepada mereka.”

Walau apapun, objektif hadanah dalam Islam sebenarnya bertujuan menjaga kebajikan dan kepentingan kanak-kanak itu dari segi agama, harta, keturunan, aqal dan nyawa sejajar dengan al maqasid al syariah seperti dinyatakan di atas tadi. Asas dan objektif hadanah ialah maslahat dan kebaikan budak yang dipelihara dan dijaga sebagai hak asasi budak itu.

Hak kanak-kanak ini mesti diutamakan lebih daripada hak pihak yang memelihara seperti dinyatakan oleh Sayid Sabiq dalam Kitab Fiqhul al-Sunnah, yang bermaksud, “Sesungguhnya setiap menjaga dan dijaga (anak) mempunyai hak dalam pemeliharaan tetapi hak dijaga lebih kuat daripada hak yang menjaga.” Ibnu Qadamah pula berpandangan “Sabit hadanah adalah untuk menentukan nasib (kepentingan) budak (kanak-kanak) itu.”

Daripada kacamata perundangan Islam pula, perbuatan seorang Islam yang menyerahkan, memberikan atau menjual anaknya atau kanak-kanak di bawah peliharaannya kepada seorang bukan Islam untuk menjaganya adalah satu kesalahan di bawah Enakmen Jenayah Syariah.

Umpamanya Seksyen 35 Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 memperuntukkan: “Mana-mana orang yang menjual, memberikan atau menyerahkan anaknya atau kanak-kanak di bawah peliharaannya kepada seseorang yang tidak beragama Islam adalah melakukan suatu kesalahan, dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, dan mahkamah boleh membuat apa-apa perintah yang difikirkan patut berkenaan dengan anak atau kanak-kanak itu.”

Maka dalam hal sedemikian timbullah polemik kepada mualaf sekiranya diperintahkan memberi hak jagaan anak Muslimnya itu kepada pasangannya yang bukan Islam. Mengikut undang-undang syariah ini beliau melakukan kesalahan tetapi pada masa sama, sekiranya beliau ingkar perintah mahkamah mualaf ini boleh disabitkan atas kesalahan menghina mahkamah. Sudah tentu mualaf yang patuh kepada undang-undang diletakkan di dalam keadaan yang amat sukar di antara kesalahan Seksyen 35 itu dan menghina mahkamah.

Pada pandangan saya, tatkala seseorang itu memeluk Islam maka undang-undang Islamlah yang terpakai ke atasnya. Oleh itu Enakmen Jenayah Syariah yang disebut di atas hendaklah terpakai ke atas mualaf ini. Pada masa sama, mahkamah sama ada mahkamah sivil atau mahkamah syariah hendaklah tidak menjadi alat kepada sebarang tindakan melakukan kesalahan seperti Seksyen 35 di atas.

Dalam hal yang sedemikian mualaf tidak boleh diperintahkan memberikan hak jagaan anak Islamnya kepada orang bukan Islam. Tindakan sebegini boleh dilihat seolah-olah mempromosikan perlakuan jenayah yang sudah tentu tidak selari dengan objektif kewujudan sesuatu mahkamah untuk menegakkan keadilan mengikut undang-undang yang berkuatkuasa.

Polemik ini hanya boleh diselesaikan jika makna sebenar Perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan diberikan seperti dijelaskan di dalam beberapa penghakiman terdahulu seperti Nenduchilian dan Subahsini. Malah kedudukan istimewa Islam mesti diterima oleh semua rakyat Malaysia tanpa mengira batasan ras dan agama.

Kedudukan istimewa ini bukanlah memaksa orang bukan Islam memeluk Islam tetapi mempertegaskan modul penyelesaian sesuatu kemelut perlulah berasaskan penyelesaian yang digariskan oleh agama negara iaitu Islam di samping menjamin hak orang bukan Islam menganut dan mengamalkan agama mereka seperti di dalam Perkara 3 dan Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan.

Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Peguam Muslim Malaysia (PPMM) dan boleh dihubungi melalui e-mel di zainul.rijal@ abubakar. my

Friday, March 19, 2010

Teman baik bagai penjual minyak wangi




Oleh Hashim Ahmad

Minda - Harian Metro
2010/03/19
 
SESUNGGUHNYA keadaan hidup seseorang itu adalah sesuai dengan sahabat karibnya. Persahabatan dan pergaulan mempunyai pengaruh yang amat besar dalam mendatangkan kebaikan dan manfaat bagi seseorang. Begitu juga sebaliknya, kemaksiatan dan kemudaratan.
 
Justeru, setiap seorang hendaklah memerhatikan siapa yang dijadikannya sebagai sahabat - siapa yang diajak berteman, bergaul dan berkawan. Apakah kita berkawan dengan orang soleh dan baik-baik atau dengan orang fasik dan jahat.
 
Pengaruh berkenaan tidak kelihatan secara spontan. Ia tampak sedikit demi sedikit dan sesuai dengan lamanya persahabatan dan pergaulan - dengan orang baik-baik atau dengan yang jahat tadi.
 
Nabi s.a.w pernah bersabda yang bermaksud: “Seseorang akan dikumpulkan bersama kawan karibnya (atau seseorang akan dikumpulkan bersama siapa yang dicintainya”. (Hadis riwayat Ibn Mas’ud)
 
Dalam hadis lain Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Keadaan hidup seseorang sesuai dengan sahabat karibnya, maka hendaknya setiap orang memerhatikan siapa yang dijadikan sahabat.” (Hadis riwayat Bukhari)
 
Rasulullah bersabda lagi yang bermaksud: “Perumpamaan teman berbincang yang baik, ibarat seorang penjual wangian. Adakalanya engkau diberinya atau membeli daripadanya atau beroleh bau wanginya. Dan, perumpamaan sahabat yang jahat ibarat peniup tukang besi, ada kalanya engkau terbakar dengan percikan apinya atau terkena bau busuknya.” (Hadis riwayat Muslim)
 
Apakah neraca yang boleh dijadikan ukuran untuk menilai pergaulan? Sesiapa ingin mengetahui adakah daripada sahabatnya ia boleh menambah iman, agama dan amal atau menderita kekurangan daripadanya, maka hendaklah ia merenung kembali keadaannya sebelum persahabatan dan pergaulannya dengan orang berkenaan.
 
Dengan lain perkataan, bagaimana keadaannya dalam hal keteguhan iman, agama dan akhlak mulia yang disandangnya, niat baik yang dipendamnya, serta semangatnya yang kuat untuk melakukan ketaatan dan kebajikan.
 
Kemudian, perhatikan keadaannya dalam semua itu setelah bergaul dan berteman. Jika ia mendapati sifat dan amal baik itu telah bertambah kuat dan kukuh, semangatnya serta tekadnya untuk mempertahankannya pun semakin bertambah, maka dia dapat berasa lega kerana pergaulan dan persahabatannya telah mendatangkan manfaat baginya dalam agama dan jiwanya.
 
Jika ia meneruskan persahabatannya dan menjadikannya sebagai kebiasaan yang dipegangnya erat-erat, pasti akan membawanya kepada manfaat yang lebih besar serta kebaikan yang lebih berlimpah, insya-Allah.
 
Namun, jika ia memerhatikan keadaan dirinya setelah pergaulannya itu berlangsung dan melihat bahawa perilaku dan semangat keagamaannya menjadi lebih lemah dan goyah, hal itu menunjukkan pergaulan dan persahabatannya telah mendatangkan mudarat bagi agama dan jiwanya.
 
Jika ia meneruskan pergaulan dan persahabatannya, nescaya hal itu akan menjerumuskannya ke dalam mudarat dan kejahatan yang lebih besar serta lebih banyak. Semoga Allah s.w.t melindungi kita daripadanya.
 
Dengan cara itu pula, hendaknya kita memerhatikan kembali sifat buruk yang ada pada dirinya sendiri sebelum persahabatan itu dan sesudahnya.
 
Dengan neraca yang disebutkan di atas, hendaknya ia menimbang masing-masing sifat dan perilaku diri sendiri dan membandingkannya dengan sifat kebalikannya pada diri teman pergaulan. Hendaknya ia menyedari bahawa kemenangan akan berada di pihak yang lebih kuat dan lebih dominan, dalam kebaikan atau kejahatan.
 
Ertinya, apabila kebaikan di antara sesama teman itu lebih kuat atau lebih dominan, dapat diharapkan bahawa teman yang jahat akan tertarik pada kebaikan dan pelakunya. Tetapi, apabila kejahatan lebih kuat dan lebih dominan, dikhuatiri orang yang baik akan tertarik pada kejahatan dan pelakunya.
 
Inilah makna yang amat pelik yang benar-benar dimengerti orang yang berpengalaman dan dicerahkan jiwanya dalam perkembangan pelbagai perilaku seperti ini.
 
Sesungguhnya teman berbincang yang baik lebih utama daripada duduk bersendiri, tetapi bersendirian lebih utama daripada duduk bersama teman yang jahat.

Thursday, March 18, 2010

Bersatu perjuangkan Palestin

Penduduk berhaluan kiri Israel, Islam Palestin dan aktivis keamanan asing mengadakan demonstrasi ekoran insiden seorang aktivis dirempuh jentolak Israel semasa tunjuk perasaan di Gaza pada 2003.
--------------------------------------------------------------------------------

TIDAK pernah berlaku dalam sejarah, sesebuah negara dikepung dan dikenakan sekatan ekonomi yang berlarutan lebih tiga tahun kecuali Palestin. Inilah sikap sebenar Israel dan konco-konconya terutama payung utamanya Amerika Syarikat (AS) yang kononnya sentiasa memperjuangkan hak kebebasan dalam demokrasi.

Malangnya, kekejaman dan penindasan zionis ke atas rakyat Palestin ini seolah-olah ‘disapu ke bawah karpet’. Sehinggakan nyawa manusia yang tidak berdosa bagaikan tidak berharga.

Sekatan ekonomi yang dikenakan pula menyebabkan 80 peratus rakyat Palestin kehilangan pekerjaan. Sekali gus menambah sengsara rakyat Palestin dikepung di ‘neraka dunia’ itu.

Wartawan MOHD. RADZI MOHD. ZIN menemu bual Pengarah Pusat Kecemerlangan Palestin (Pace), Prof. Madya Dr. Hafidzi Mohd. Noor bagi mengupas isu ini.

Mega: Perjuangan umat Islam untuk membantu Palestin sudah berlaku lebih 60 tahun. Namun sehingga hari ini belum nampak hasil yang konkrit. Adakah ini bermakna kita telah gagal?

DR. HAFIDZI: Perjuangan untuk membebaskan diri daripada cengkaman penjajahan memang memakan masa yang lama. Sejarah menunjukkan ada perjuangan yang memakan masa sehingga ratusan tahun sebelum sesebuah negara yang terjajah memperoleh kemerdekaan.

Begitu juga perjuangan yang berlaku di Palestin pada hari ini. Bahkan bukan sekali ini Palestin dijajah. Kira-kira 1,000 tahun yang silam, bumi Palestin pernah dikuasai oleh tentera Salib dan pendudukan tentera Salibiah berlangsung selama 100 tahun (1090 sehingga 1187) sehinggalah bumi Palestin dibebaskan oleh Salahuddin al-Ayubbi.

Meskipun perjuangan di Palestin kini sudah memasuki tahun yang ke 62 (jika dikira dari tarikh penubuhan negara haram Israel pada tahun 1948) namun untuk menganggap perjuangan ini belum mencapai hasil yang konkrit tidak begitu tepat.

Ini kerana perjuangan yang dipelopori oleh rakyat Palestin semenjak enam dasawarsa lalu telah berjaya mematahkan cita-cita Israel untuk meluaskan jajahan takluknya sebagaimana yang diimpikan melalui agenda Israel raya (Eretz Israel) yang menganjur dari Sungai Nil di Mesir sehingga Sungai Furat di Iraq. Bahkan kita menyaksikan jajahan takluk Israel semakin mengecil.

Bermula dengan pemulangan Semenanjung Sinai kepada Mesir pada tahun 1981, pengunduran tentera Israel dari Selatan Lebanon pada tahun 2000.

Pengunduran Israel dari Gaza (2005) meskipun kemudiannya mereka mengenakan kepungan ke atas Gaza dan penyerahan sebahagian kecil dari wilayah di Tebing Barat berdasarkan perjanjian Oslo kepada pihak berkuasa Palestin (meskipun kuasa tersebut terbatas pada kuasa sivil dan bukan aspek keselamatan).

Semua ini menjadi kenyataan kerana semangat juang rakyat Palestin yang tidak pernah luntur untuk memerdekakan tanah air mereka.

Satu lagi perkembangan menarik mengenai perjuangan pembebasan Palestin ialah pendapat umum masyarakat antarabangsa kini semakin memihak kepada perjuangan rakyat Palestin.

Sehingga tahun 2000 (dengan tercetusnya Intifadah al-Aqsa) masyarakat antarabangsa khususnya barat memandang serong kepada perjuangan rakyat Palestin.

Mereka sentiasa menyokong Israel yang kononnya menjadi mangsa kepada ancaman keganasan rakyat Palestin. Tetapi kini seiring dengan perkembangan teknologi maklumat dan media baru, masyarakat antarabangsa mula terdedah kepada realiti sebenar perjuangan rakyat Palestin.

Sikap prejudis kini beransur-ansur bertukar kepada simpati dan akhirnya menyokong perjuangan rakyat Palestin untuk membebaskan tanah air mereka.

Israel kini mula mendapat kritikan dan cemuhan terutama daripada masyarakat barat yang peka dengan hak asasi manusia dan prinsip undang-undang antarabangsa. Rakyat Palestin kini dianggap sebagai mangsa yang perlu dibela daripada kekejaman rejim zionis Israel. Perkembangan ini juga terhasil daripada strategi jaringan antarabangsa yang dibangunkan oleh pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO), sama ada di dalam dan di luar Palestin untuk menyebarluaskan kesedaran dan sokongan terhadap rakyat Palestin yang tertindas dan dinafikan hak di tanah air mereka sendiri.

Kesimpulannya, rakyat Palestin tidak gagal, bahkan mencipta kemenangan demi kemenangan dalam konflik yang berpanjangan ini.

Pada 9 Mac lalu, Israel luluskan 1,600 penempatan baru pendatang haram Yahudi di timur Baitul Maqdis. Tindakan ini membuktikan rejim zionis itu hanya berpura-pura untuk merealisasi proses damai. Apa komen Dr.?

DR. HAFIDZI: Ini langsung tidak memeranjatkan. Sebenarnya Israel sama sekali tidak akan menyerahkan Baitul Maqdis timur dan Tebing Barat yang mereka duduki sejak tahun 1967.

Tebing Barat dirujuk sebagai 'Judea' dan 'Samaria' oleh orang-orang Yahudi dan Jerusalem pula telah diistiharkan sebagai ibu kota abadi Israel.

Oleh kerana itu mereka tidak akan menghentikan projek membina penempatan untuk penduduk Yahudi di sana.

Segala komitmen untuk membekukan aktiviti pembinaan penempatan Yahudi adalah omong kosong zionis Israel yang dijadikan umpan setiap kali berlangsungnya rundingan damai.

Hakikatnya Israel tidak pernah menghormati mana-mana syarat rundingan dengan pihak berkuasa Palestin termasuk dalam isu penempatan Yahudi.

Bahkan selepas perjanjian Oslo pada tahun 1993, Israel terus giat membina penempatan tambahan Yahudi sehingga jumlahnya meningkat lebih daripada sekali ganda mencapai 200 kawasan menjelang tahun 2000.

Sedangkan menurut penjanjian Oslo, dalam tempoh lima tahun (1998) negara Palestin yang terdiri dari Tebing Barat dan Semenanjung Gaza akan diisytiharkan sebagai wilayah Palestin yang berdaulat dan merdeka.

Bagaimana ini menjadi kenyataan jika Tebing Barat dan Baitul Maqdis timur dipenuhi dengan penempatan Yahudi yang merupakan penduduk Israel?

Situasi yang sama berlaku semasa Persidangan Annapolis pada 27 Disember 2007 di mana delegasi Israel berjanji akan menghentikan aktiviti penempatan Yahudi.

Namun sejurus selesai persidangan itu, pengumuman rasmi dibuat oleh Tel Aviv, mereka akan meneruskan aktiviti membina penempatan Yahudi.

Apabila Benjamin Netanyahu dipilih sebagai Perdana Menteri Israel antara langkah pertama yang beliau umumkan ialah penambahan unit-unit kediaman Yahudi di Tebing Barat dan Baitul Maqdis.

Mempamerkan kekuatan ketenteraan terbaru iaitu pesawat tanpa pemandu Israel yang boleh terbang sepanjang hari pada 22 Februari lalu, disifatkan antara perang saraf zionis kepada rakyat Palestin. Mungkinkah lebih banyak serangan ke atas penempatan awam Palestin selepas ini?

DR. HAFIDZI: Serangan ke atas sasaran awam tidak pernah berhenti semenjak tahun 1967. Israel sama sekali tidak akan mengubah polisinya menyerang tempat-tempat awam tanpa mempedulikan peraturan dan undang-undang antarabangsa.

Dalam banyak kejadian Israel tidak pernah mengisytiharkan perang bahkan melancarkan peperangan melalui pengisytiharan sepihak.

Kini mereka menggunakan pesawat tanpa pemandu predator untuk memilih sasaran-sasaran rawak di Palestin. Kehadiran predator yang berlegar-legar di ruang angkasa Palestin sudah tentu merupakan satu gambaran yang menakutkan rakyat Palestin.

Bahkan senjata kawalan jauh ini seringkali tidak disedari kehadirannya kerana tidak mengeluarkan bunyi dan ditalakan kepada sasaran secara mendadak.

Situasi ini boleh menjadi alat perang saraf yang berkesan kepada Israel. Namun hidup dalam ketakutan sudah menjadi semacam sebahagian dari kehidupan rakyat Palestin.

Kehadiran pesawat pejuang F16 atau helikopter Apache di ruang udara sudah cukup menggoncang dada. Adakalanya bangunan-bangunan menjadi sasaran bedilan meriam dan kereta kebal pada saat-saat yang tidak diduga.

Semua ini sudah menjadi pakaian hidup rakyat Palestin. Saya kira kehadiran pesawat kawalan jauh 'predator' ini adalah sebahagian daripada perancangan Israel untuk terus menimbulkan kesan psikologi takut yang melampau kepada rakyat Palestin.

Namun sebagai rakyat yang sudah terdedah kepada semua bentuk kekejaman dan keganasan, kehadiran predator adalah satu realiti baru yang akan dihadapi oleh rakyat Palestin dengan tabah.

Apa pula status terkini di Palestin?

DR. HAFIDZI: Israel telah membuat perisytiharan untuk memilik negarakan beberapa tempat di Palestin sebagai hak warisan Yahudi. Ini termasuk wilayah Hebron atau Ibrahimi yang ada di dalamnya Masjid Ibrahim.

Dikatakan juga kawasan tersebut pernah menjadi tempat tinggal Nabi Ibrahim dan anak-anaknya.

Tindakan ini adalah provokasi dan untuk mencuba ke atas orang Islam. Sebabnya Baitul Maqdis dan sekitar Al-Quds adalah bumi terbuka sebagai mana yang diisytiharkan oleh Saidina Umar sebelum ini. Maknanya, tidak ada sesiapa boleh mendakwa kawasan tersebut hak mereka.

Keadaan ini berlangsung sekian lama sehingga tercetusnya Perang Salib walaupun majoriti penduduk kawasan itu adalah Yahudi dan Kristian.

Ini dianggap boleh mengeruhkan lagi suasana dan menimbulkan ketegangan dalam usaha mahu mencapai perdamaian.

Saya melihat perbuatan ini akan ditolak bukan sahaja oleh orang Islam tetapi juga penduduk bukan Islam.

Amerika Syarikat (AS) terus berdolak-dalih dalam memberi tekanan kepada Israel untuk menjayakan misi perdamaian. Jika ini berterusan, adakah bermaksud kedamaian di Palestin hanya impian?

DR. HAFIDZI: Dasar luar AS terhadap Timur Tengah, amnya dan Israel, khasnya memang telah diketahui sejak dahulu. Dasar luar AS terhadap Israel sangat konsisten iaitu tetap menyokong apa-apa juga tindakan Israel dalam isu Palestin dan jiran-jiran negara Arabnya meskipun tindakan tersebut dilihat melanggar ketetapan PBB dan peraturan antarabangsa.

Bahkan AS mempamerkan rekod sangat cemerlang di dalam menggunakan kuasa veto atau pembatalnya di dalam menolak apa juga ketetapan PBB yang dilihat tidak memihak kepada Israel.

Contoh terbaru adalah laporan Goldstone yang mendedahkan jenayah perang yang dilakukan oleh Israel ke atas Gaza yang dibentangkan di PBB.

Majoriti negara anggota PBB mengundi menyokong dapatan yang terkandung di dalam Laporan Goldstone terhadap jenayah perang yang dilakukan oleh Israel.

AS sebagaimana yang dijangka membidas laporan tersebut dan menunjukkan sikap yang amat bertentangan dengan pendirian masyarakat antarabangsa yang mahu melihat keadilan ditegakkan untuk rakyat Palestin yang teraniaya dan dizalimi dengan mengheret Ketua-ketua negara Israel ke muka pengadilan.

Berdasarkan kepada realiti ini memang sukar meletakkan sebarang harapan kepada AS untuk mencapai kata sepakat dalam isu Palestin. Namun harapan sebenarnya bukan terletak di tangan AS.

Meskipun Amerika kini adalah sebuah kuasa dunia tunggal namun corak kuasa unipolar yang mencorakkan politik antarabangsa bakal berubah.

Kemunculan kuasa-kuasa baru seperti Cina, India dan Rusia di samping EU (Kesatuan Eropah) dan negara-negara Amerika Selatan yang semakin lantang seperti Venezuela, Bolivia, Chile dan Argentina bakal mengimbangi kuasa politik dan ekonomi AS, sekali gus boleh mendatangkan kesan terhadap dasar luarnya.

Lama-kelamaan AS tidak boleh lagi mengenepikan pandangan umum masyarakat antarabangsa terhadap dasar luarnya. Kita bakal menyaksikan AS akan melunakkan sikapnya dalam isu Palestin dan lebih tegas terhadap Israel meskipun pentadbiran AS berada di bawah pengaruh pelobi yahudi zionis.

Peranan yang lebih besar sebenarnya dimainkan oleh masyarakat madani (masyarakat sivil) dalam bentuk NGO dan pertubuhan hak asasi.

Pertubuhan-pertubuh an ini semakin mendapat pengiktirafan dan bakal memimpin perubahan di peringkat antarabangsa.

Kini kita melihat usaha-usaha mencabar kepungan Israel dan sekatan ekonomi ke atas Gaza bukan diterajui oleh negara-negara tertentu tetapi oleh pertubuhan-pertubuh an sukarelawan yang bergabung dan melancarkan kempen serta bantuan kemanusiaan rentas sempadan ke Gaza seperti Viva Palestina, Gaza Life line, Break the siege dan sebagainya.

Kita jangan lupa tekanan daripada masyarakat sivillah yang telah menyebabkan kerajaan AS mengubah polisinya di Asia Tenggara dan mengundurkan tenteranya dari Vietnam.

Keadaan yang sama boleh berulang di mana rakyat AS sendiri semakin peka dengan penderitaan yang ditanggung oleh rakyat Palestin.

Bahkan kita melihat demonstrasi dianjurkan oleh rakyat AS sendiri di bandar-bandar besar dan kecil mengutuk serangan Israel ke atas Gaza.

Ada juga pihak yang mempertikaikan apa yang boleh negara kecil seperti Malaysia lakukan untuk bantu Palestin jika kuasa besar tidak menunjukkan komitmen mereka. Adakah ini melemahkan perjuangan Pace?

DR. HAFIDZI: Untuk menangani isu Palestin yang sudah menjadi isu global, tidak ada satu negara pun yang boleh bertindak sendirian.

Hatta sebuah negara besar dan paling berkuasa pun seperti AS akhirnya terpaksa tunduk kepada kehendak masyarakat antarabangsa.

Jadi Malaysia perlu berperanan membantu membentuk pandangan masyarakat antarabangsa yang membawa ke arah penegakkan hukum dan keadilan sejagat dalam isu Palestin.

Ini boleh dilakukan dalam forum-forum antarabangsa. Mungkin PBB bukanlah forum yang berkesan kerana kita tahu PBB ditubuhkan dengan matlamat untuk menjaga kepentingan negara-negara berkuasa.

Kuasa veto

Ini terbukti daripda struktur PBB itu sendiri yang memberikan kuasa veto tanpa had kepada lima negara kuasa besar iaitu AS, Rusia, Britain, Perancis dan China.

Maka Malaysia perlu menerajui isu Palestin melalui forum-forum seperti Pergerakan Negara Berkecuali (NAM), Pertubuhan Persidangan Negara-negara Islam (OIC), Dialog Selatan-Selatan, Kumpulan 77 (G77) dan Pertubuhan negara Komanwel.

Dengan memimpin pandangan umum terhadap isu Palestin dalam pertubuhan-pertubuh an ini, maka suara yang lebih kuat dalam diketengahkan di dalam PBB dan boleh mempengaruhi trend pengundian dan sokongan di Persidangan Agung PBB dan juga Majlis Keselamatan PBB.

Satu lagi pendekatan yang berkesan ialah melalui boikot (BDS - Boycott, Divestment and Sanction) yang kini sedang rancak diperjuangkan dan dikempenkan oleh pertubuhan-pertubuh an hak asasi dan pengguna di seluruh dunia).

Malaysia harus menyokong kempen BDS ini bahkan wajar menerajui kempen BDS ini di peringkat serantau - Asia Tenggara dan negara-negara membangun.

Kempen boikot ekonomi amat berkesan. Model boikot ini telah dibuktikan di dalam menangani kerajaan Aparteid Afrika Selatan. Apabila kempen boikot ini disambut di seluruh dunia maka rejim Aparteid Afrika Selatan terpaksa akur dan mengembalikan hak demokrasi rakyat kulit hitam dan berwarna di sana.

Tidak mustahil bahkan amat mungkin rejim zionis Israel terpaksa tunduk kepada masyarakat antarabangsa apabila mereka tertekan dan terkesan dengan kempen boikot di peringkat antarabangsa ini.

Atas dasar inilah Pace sentiasa mengambil inisiatif untuk mengadakan pemuafakatan dan kerjasama dengan semua pihak sama ada di peringkat nasional atau antarabangsa dalam menangani isu Palestin.

Pace mempunyai jalinan antarabangsa dan seringkali berhubung dan menyokong usaha-usaha semua pihak di dalam memperjuangkan hak rakyat Palestin.

Dalam konteks Malaysia dan global, Pace bergabung di bawah satu pakatan Viva Palestina Malaysia (VPM) yang bergabung dengan Viva Palestina - International (VP) dan turut terlibat di dalam menyalurkan bantuan melalui Konvoi 3 ke Gaza, baru-baru ini.

Ia menyaksikan lebih 200 ambulans dengan bekalan ubat-ubatan dan bahan makanan dibawa masuk ke Gaza mengikut jalan darat merentas benua Eropah ke Gaza melalui Rafah di Mesir.

Pace juga bernaung di bawah Al-Quds Institute, sebuah badan antarabangsa yang dipengerusikan oleh ulama tersohor Prof. Dr. Yusuf Al-Qaradawi yang mengkoordinasi bantuan dan juga menyusun strategi perjuangan bagi membantu rakyat Palestin membebaskan diri daripada cengkaman zionis.

Kesimpulannya, Pace sama sekali tidak akan merasa hampa dengan apa juga situasi yang berlaku di Palestin. Perjuangan membela rakyat Palestin pasti diteruskan dan akan terus dipacu tanpa jemu.

Friday, March 12, 2010

Resolusi pembuangan bayi


Pesona
Kosmo

KEMPEN Anda Bijak Jauhi Zina (ABJZ) anjuran Pertubuhan Jemaah Islam Malaysia (JIM) amat dialu-alukan ketika masyarakat digemparkan dengan insiden pembuangan bayi yang seolah-olah tiada kesudahan.


Setelah lebih dua dekad isu pembuangan bayi yang disyaki dilakukan oleh remaja, kempen ABJZ JIM memang tepat pada waktunya. Mengapa?


Sebahagian besar daripada mereka yang terlibat dalam gejala seks luar nikah adalah kalangan kumpulan remaja dan awal dewasa. Menurut JIM bilangan kelahiran bayi luar nikah dilakukan oleh pelajar Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) meningkat. Ini merupakan satu jumlah yang amat menggerunkan.

Dalam memperkatakan ABJZ, JIM menggunakan terma zina. JIM menolak penggunaan terma seks bebas, seks rambang, hubungan luar nikah dan terlanjur. Penolakan kepada terma-terma yang menjurus kepada perspektif psikologi Barat itu adalah tindakan berani JIM.

Terma zina lebih berat kerana ia merangkumi isu moral, sahsiah, hukum hakam, dosa dan hukuman di dunia dan di akhirat. Malah, zina turut diiringi dengan konsep taubat yang dapat membersihkan diri daripada dosa selagi perbuatan itu tidak diulangi.

Memang banyak pendapat dan kritikan daripada pelbagai pihak diutarakan apabila gejala pembuangan bayi mendapat liputan meluas media. Ada yang menyalahkan remaja yang tidak berupaya mengawal tuntutan nafsu, malah ada juga yang menuding jari kepada institusi keluarga yang goyah.

Pasca pemodenan

Ada juga yang mengatakan gejala pembuangan bayi kesan akibat pembangunan pasca pemodenan.

Pada era globalisasi dengan kecanggihan perkembangan teknologi komunikasi turut mempengaruhi perlakuan seksual remaja.

Setakat ini, JIM dengan Rumah Perlindungan Pusat Bimbingan Remaja Puteri Raudatus Sakinah di Sungai Buluh, Selangor dan Sungai Bakap, Pulau Pinang termasuk Kem Modal Insan Pusat Kebahagiaan Wanita Remaja (Kewaja) di Gombak dan Baitul Figh di Hulu Langat, Selangor begitu proaktif dalam mengurus remaja dan gadis-gadis malang yang trauma, ketakutan dan kebimbangan akibat keterlanjuran seksual.

Ketiga-tiga badan bukan kerajaan (NGO) itu bertungkus- lumus mengurus dan membimbing remaja serta gadis malang yang mengandung luar nikah bagi meneruskan kehidupan semasa, sewaktu dan selepas melahirkan anak menerusi pendekatan Islam.

NGO itu ternyata menzahirkan keprihatinan mereka dalam bentuk tindakan. Isu pembuangan bayi di kemuncaknya apabila berlaku kes bayi yang dibuang kemudian di bakar di tempat pembuangan sampah.

Adakah persatuan-persatuan profesional dan kementerian terbabit masih dilihat lambat menangani situasi itu? Atau mungkinkah disebabkan dana kementerian atau jabatan terbabit makin berkurangan akibat kegawatan ekonomi global yang menghindar mereka daripada terus bertindak proaktif?

Realitinya, persatuan-persatuan dan agensi-agensi terbabit tidak mempunyai rumah-rumah perlindungan. Mereka juga tidak mempunyai pusat bantuan dengan kakitangan-kakitangan yang boleh mengurus remaja dan gadis mengandung luar nikah dalam masa terdekat.

Dalam keadaan mendesak dapatkah ahli persatuan, graduan profesional dan kakitangan kementerian terbabit menguruskan kes-kes kehamilan luar nikah sehingga saat mereka melahirkan anak?

Dalam memperkatakan tentang tindakan membuang bayi itu, kita mungkin terlupa malah mengenepikan sama sekali salah satu punca utama bencana musibah kehamilan luar nikah itu.

Tumpuan lebih kepada bayi malang yang mati dibuang dan dosa kesilapan yang dilakukan oleh gadis yang terlanjur.

Kita alpa kepada lelaki durjana yang bertanggungjawab di atas bencana keterlanjuran seksual itu. Mereka perlu diburu, dipertanggungjawabkan di atas apa yang telah dan sedang berlaku.

Tidak adil dengan hanya menyalahkan gadis perempuan yang menanggung beban penderitaan keterlajuran seksual ini.

Lelaki itu wajar diheret ke muka pengadilan di atas perbuatan salah laku seksual mereka. Gadis-gadis malang itu ditinggalkan menanggung trauma mengandung luar nikah dengan sokongan sosial yang lebih banyak mencemuh, mencerca daripada membantu.

Memandangkan perbuatan zina kebanyakannya dituruti dengan pembuangan bayi dalam kalangan remaja sekolah mahupun di institusi pengajian tinggi (IPT), peranan kaunselor amat penting.

Di Amerika Syarikat (AS), di samping kaunselor, jawatan pekerja sosial diwujudkan di sekolah bagi meluaskan lagi peranan proses bantuan.

Kepekaan, kesanggupan, kerelaan berkerjasama, memberi sumbangan dalam apa juga bentuk amat diperlukan tanpa mengharapkan pengiktirafan. Persoalannya, sanggupkah kita?

Monday, March 08, 2010

Usah rosakkan orang lain

Oleh Maiamalina Mohamed Amin
maiamalina@hmetro.com.my
2010/03/08


KUALA LUMPUR: “Ini bukan hanya merosakkan diri mereka sendiri tapi orang lain juga, jadi tolonglah jadi lebih bertanggungjawab kepada masyarakat,” kata Naib Presiden Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM), Prof Madya Dr Harlina Halizah Siraj.


Beliau mengulas pembabitan seorang artis terkenal dipercayai menjadi dalang kepada kegiatan tidak bermoral di sebuah pusat hiburan eksklusif, dekat sini yang membawa kepada penahanan lebih 20 pasangan kekasih beragama Islam.


Menurutnya, laporan tidak elok mengenai kelakuan buruk artis sejak akhir-akhir ini sedikit sebanyak menjejaskan kerukunan masyarakat apabila kebanyakan anak muda lebih mudah terpengaruh dengan ikon yang menonjol seperti artis.


“Nak tak nak pun, setiap kelakuan artis itu menjadi perhatian masyarakat lebih-lebih lagi remaja yang cenderung melihat penggiat seni sebagai ikon atau idola berbanding zaman dulu lebih memilih ibu bapa.


“Jadi bila ada artis kita yang berbuat perkara tidak elok, ini sedikit sebanyak memberi impak tidak baik kepada mereka, remaja kita mudah terpengaruh dan tak bagus kalau begini. Seeloknya kita bersama-sama membaiki masyarakat.


“Kalau perlu artis harus sedar dan cuba memperbaiki kesilapan diri, bersihkan nama baik mereka, janganlah pula kata alang-alang sudah jadi buruk...biar terus busuk sebab kita mahu membentuk masyarakat yang baik,” katanya ketika dihubungi, semalam.


Metro Ahad semalam melaporkan penahanan lebih 20 pasangan kekasih beragama Islam dalam keadaan khayal serta berpelukan dan melakukan mukadimah zina ketika serbuan pihak berkuasa di sebuah pusat hiburan eksklusif, membongkar pembabitan seorang artis terkenal yang dipercayai menjadi dalang kepada kegiatan tidak bermoral di situ.


Menurut sumber Jais, serbuan mengejut itu menyebabkan sebahagian pengunjung beragama Islam bertempiaran lari menggunakan pintu belakang bagi mengelak ditahan kira-kira 20 anggota penguat kuasa, namun ada pula yang mabuk turut ‘merapu’ dan berani menggoda penguat kuasa.


Dr Harlina berkata remaja yang cenderung memuja artis pilihan mereka perlu berhati-hati menilai kelakuan golongan terbabit.


“Artis pun manusia biasa juga, ada yang baik dan ada pula yang tidak terkawal. Kita yang perlu berhati-hati menilai seseorang dan jangan mudah terpengaruh dengan perlakuan buruk sebaliknya pilih yang baik untuk dicontohi,” katanya.

Friday, March 05, 2010

Musibah tingkat darjat Mukmin

Minda - Harian Metro
2010/03/05

DALAM hidup ini Allah sentiasa menguji kita. Ujian Allah pelbagai dan orang yang diuji Allah juga pelbagai. Ada yang diuji Allah dengan musibah seperti kematian orang disayangi, kebakaran, kemalangan, kehilangan, bencana alam dan yang selalu diuji Allah kepada kita ialah dengan mendatangkan sakit.

Tidak seorang pun daripada kita yang hidup di dunia ini terlepas daripada menerima ujian Allah. Yang membezakannya hanya bentuk ujian itu. Ada yang ringan dan ada yang berat ujiannya.
 Walau apa saja yang kita alami di dunia ini, ia adalah sunnatullah yang telah ditetapkan menurut hikmah-Nya sebagai cubaan dan ujian. Dalam al-Quran banyak disebut mengenai ujian Allah ini. Dengan kata lain, manusia sentiasa diuji oleh Allah dengan pelbagai bentuk sama ada manusia suka atau tidak Allah tetap mengujinya.

Al-Quran dalam surah Al-Anbiya ayat 35 Allah berfirman yang bermaksud: “Tiap-tiap diri akan merasai mati dan Kami akan menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai cubaan (yang sebenar-benarnya). Dan hanya kepada Kamilah kamu dikembalikan.” Dalam surah Al-A’raf ayat 168 pula Allah berfirman yang bermaksud: “Dan, Kami cuba mereka dengan (nikmat) yang baik-baik dan (bencana) yang buruk, agar mereka kembali (kepada kebenaran).” Melihat dua firman Allah di atas, jelas bahawa pelbagai penyakit yang menimpa umat Islam itu adalah sebahagian daripada cubaan ataupun ujian Allah yang diberikan kepada hamba-Nya. Sesungguhnya cubaan dan ujian itu adalah sunnatullah yang telah ditetapkan berdasarkan rahmat dan hikmah-Nya, di mana di dalamnya terkandung kebaikan dan rahmat bagi hamba-Nya.

Harus kita ingat bahawa Allah memberikan hidayah dan taufik kepada setiap hamba-Nya dengan jalan yang berbeza-beza. Salah satunya dengan mendatangkan musibah sakit kepada hamba-Nya.
 Kita hendaklah sentiasa bersangka baik dengan Allah terutama ketika kita ditimpa musibah sakit atau musibah lain. Ujian sakit yang diberikan-Nya itu tanda kasih sayang-Nya dari Khalik kepada makhluk-Nya. Allah selalu mencintai hamba-Nya yang sabar, ikhlas dan reda. Dan sebagai hamba-Nya yang beriman, kita hendaklah selalu memuji Allah yang tak pernah putus-putus memberi rahmat kepada kita hatta ketika kita sakit.

Sehubungan itu, Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Sesungguhnya, besarnya pahala sesuai dengan besarnya cubaan. Sesungguhnya, jika Allah mencintai suatu kaum, maka Dia akan menguji mereka. Barang siapa yang reda dengan musibah itu maka baginya keredaan Allah. Dan barang siapa yang marah (tidak reda) dengan musibah berkenaan, maka baginya kemurkaan Allah.” (Hadis riwayat Tirmidzi) Sabda Rasulullah lagi yang maksudnya: “Setiap sesuatu itu mempunyai hakikat dan tidaklah seorang hamba mencapai hakikat iman sehingga dia menyedari musibah yang menimpanya bukan untuk menyalahkannya dan kesalahan yang dilakukannya bukan sebab untuk ditimpakan musibah kepadanya.” Syuraih rahimahullah berkata: “Aku benar-benar ditimpa musibah. Namun aku memuji kerana empat perkara. Aku memuji kerana musibah itu, bukan yang paling kuat, kerana kau dianugerahkan kesabaran menghadapinya. Kerana aku diberi taufik untuk mengucapkan ‘Ina lillahi wa inna ilaihi raji’un’ sehingga aku boleh memohon pahala, dan kerana musibah itu tidak dijadikan pada agamaku.” Sementara Al Ghazali rahimahullah pula berkata: “Setiap musibah dan penyakit harus digambarkan ada yang lebih besar lagi. Sebab ketetapan Allah tidak boleh dicegah. Sekiranya Allah melipat ganda dan menambahkannya apakah yang boleh menolaknya? Walaupun demikian, dia tetap harus bersyukur kerana hal ini bukan yang paling besar di dunia. Jadi, tidak seorang pun ditimpa musibah, melainkan dia harus melihat hal Allah yang boleh menimpakan musibah yang lebih besar lagi di dunia pun di akhirat.” Sebenarnya ada hikmah bagi orang mukmin bila ditimpa sakit kerana dalam sakit itu terkandung pahala dan keampunan serta sekali gus mengingatkan kepada kita akan kekuasaan dan kebesaran Allah. Dan darjat yang tinggi Allah berikan kepada mereka yang tabah dan sabar dalam menghadapi musibah sakit ini, dengan syarat pesakit tidak melupakan kewajipan solat lima waktu. Betapa pun sakit itu tidak membolehkan kita untuk berdiri atau bersuci, namun kita tidak boleh meninggalkannya hanya atas sebab itu.

Sesungguhnya solat adalah jalan terbaik mendekatkan diri kita dengan Allah, di mana hanya Dia saja tempat untuk kita mohon pertolongan bila ditimpa musibah. Hanya Allah saja yang boleh membantu dan memberikan pertolongan kepada kita.

Sabda Rasulullah yang bermaksud: “Solatlah di atas tanah selama kamu mampu. Jika tidak, cukup kamu memberi isyarat dengan menggerakkan badan dan lakukanlah sujudmu lebih rendah daripada rukukmu.” (Hadis riwayat Thabrani dan disahihkan oleh Al-Albani).

Sementara Allah berfirman dalam al-Quran yang maksudnya: “Bertakwalah kepada Allah menurut kesanggupanmu.” (Surah At-Taqhaabun ayat 16) Sama ada berat atau ringan sakit yang kita alami, semuanya cubaan dan ujian Allah kepada kita. Tapi kita tidak perlu bersangka buruk terhadap Allah kerana Allah tidak menurunkan sesuatu penyakit itu tanpa ubatnya. Ertinya setiap penyakit yang ada di dunia ini ada ubatnya disediakan oleh Allah. Hanya mati saja tidak ada ubatnya.

Dari Abu Hurairah r.a. dia berkata, Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Allah tidak menurunkan penyakit melainkan pasti menurunkan ubatnya.” (Hadis riwayat Al Bukhari) Selain ubat, doa juga penting untuk cepat menyembuhkan penyakit. Berdoa bererti memohon kepada Allah yang Maha Mengetahui penyakit yang kita deritai dan Dia yang Maha Berkuasa dapat menyembuhkannya. Bersungguh-sungguhlah berdoa kepada Allah. Firman Allah dalam al-Quran surah Al-Baqarah ayat 186 yang bermaksud: “Dan apabila hamba-Ku bertanya kepadamu (Muhammad) mengenai Aku, maka sesungguhnya Aku ini dekat. Aku mengabulkan permintaan orang yang berdoa, jika ia benar-benar memohon pada-Ku".