Monday, April 19, 2010

Lelaki anggap wanita 'lauk'

IBU empat orang anak, Nor Shamila A. Majid yang menjadi mangsa tetak suaminya Februari lalu.


Sumber : Rencana Utama, KOSMO

REALITINYA, setiap hari sepuluh wanita menjadi mangsa dera di negara ini. Namun, itu hanya melibatkan kes yang dilaporkan kepada pihak polis.

Jumlahnya mungkin lebih tinggi, demikian menurut pendedahan pegawai polis Jabatan Siasatan Jenayah Bahagian D11 Bukit Aman, Superintendan Ong Chin Lan dalam satu seminar tidak lama dahulu.

Ujarnya, kejadian keganasan terhadap wanita boleh berlaku di banyak tempat termasuk rumah, tempat kerja, kawasan awam, jalan raya dan di dalam kenderaan.

"Laporan polis menunjukkan, keganasan terhadap wanita kebanyakannya dilakukan oleh individu yang paling hampir dengan wanita berkenaan seperti suami, ahli keluarga lain atau kekasih," katanya.

Bicaranya lagi, jenayah itu berlaku disebabkan mentaliti segelintir lelaki yang menganggap wanita serta kanak-kanak perempuan adalah insan lemah yang boleh disakiti.

"Gejala ini berlaku dalam semua budaya, bangsa, agama serta status atau kedudukan ekonomi.

"Sesuatu tindak-tanduk itu dianggap sebagai keganasan apabila ia menyebabkan kesakitan fizikal, kesakitan akibat senjata, kesedihan, tekanan minda, jenayah ugut, pengkhianatan hingga merendahkan keyakinan, rogol, liwat dan pembunuhan," katanya.

Sementara itu, Ketua Wanita Pusat, Jemaah Islah Malaysia (JIM), Dr. Harlina Halizah Siraj pula berpendapat, sejak Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 diwujudkan serta dilaksanakan pada 1996 nasib wanita yang didera suami tidak banyak berubah.

"Pada tahun 2005 sahaja terdapat 18,079 kes keganasan rumah tangga yang dilaporkan. Jika dibahagikan, terdapat 50 kes dilaporkan setiap hari sepanjang tahun itu.

"Saya yakin angka ini meningkat setiap tahun. Saya telah berjuang berhubung keganasan terhadap wanita ini lebih 10 tahun tetapi tidak banyak yang berubah," katanya.

Kata Harlina, semua pihak harus kembali kepada hukum Islam untuk menyelesaikan segala permasalahan manusia kerana agama ini lengkap dari segala aspek kehidupan dunia malah di akhirat jua.

Tuesday, April 13, 2010

Program kesedaran - Harian Metro 11.04.2010

KUALA LUMPUR: Atas dasar prihatin dengan isu keganasan rumah tangga, keluarga dan masalah sosial di kalangan remaja yang semakin meningkat ketika ini, Jemaah Islah Malaysia (JIM) cawangan Titiwangsa akan memperbanyakkan program kesedaran untuk institusi kekeluargaan.

Ketua Wanita JIM Titiwangsa, Arbayah Samion, berkata langkah ini antara komitmen serta matlamat JIM untuk memastikan masyarakat dibentuk dengan amalan dan nilai murni.

Beliau berkata, pihaknya sentiasa tampil dengan program kesedaran di setiap kawasan perumahan atau pusat komuniti di daerah berdekatan, antaranya Taman Melati dan Hulu Klang.

“Kami akan mengadakan sekurang-kurangnya tiga program kesedaran setiap tahun dengan kerjasama penduduk dalam usaha membentuk minda masyarakat ke arah nilai positif berlandaskan syariah Islam.

“Program ini akan terus dipacu dan diperbanyakkan lagi dalam usaha mengurangkan masalah sosial di kalangan masyarakat, terutama ketika ini seperti dipaparkan media, antaranya suami pukul isteri, simbah asid, anak perempuan lari ikut teman lelaki dan isteri curang,” katanya pada Seminar Kecemerlangan Wanita, Ibu Tunggal, Kecemerlangan Anak-Anak di Taman Melati Kawasan 8, Setapak, di sini. Hadir sama, Pengerusi Perbadanan Pengurusan Rumah Pangsa Kawasan 8, Komander Abdul Rahman Othman.

Seminar separuh hari itu memaparkan barisan tokoh JIM merangkap pakar motivasi kekeluargaan diiktiraf universiti tempatan dan dihadiri penduduk.

Laporan SMIWI Wanita JIM Titiwangsa - 10 April 2010

Bismillahirrahmanir rahim,

Segala puji hanya bagi Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang, Yang selalu melimpahkan kenikmatan dan keutamaan kepada hambaNya yang beriman, hambaNya yang selalu tunduk kepadaNya, hambaNya yang selalu memenuhi panggilanNya.

Selawat dan salam kami sanjungkan kepada rasulNya, yang selalu menaruh rasa belas kasihan kepada orang2 yang beriman, keluarganya yang mulia, para sahabatnya dan orang2 yang mengikuti baginda hingga ke Hari Kiamat.

Sedikit perkongsian laporan SMIWI dari Wanita JIM Titiwangsa..

Dengan izin dan rahmat daripada Allah SWT, Wanita JIM Titiwangsa, dengan kerjasama JK Penduduk, Perbadanan Pengurusan Rumah Pangsa Kawasan 8 (PPRPK8) Taman Melati, beserta PIBG Sekolah Rendah Islam Pintar Desa Melawati, telah menganjurkan Seminar Kecemerlangan Wanita Islam dengan tema " Ibu Tonggak Kecemerlangan Anak-Anak" pada 10 April bertempat di dewan Pusat Aktiviti Masyarakat, Taman Melati fasa 8. Seminar ini telah dihadiri oleh seramai 70 orang penduduk PPRPK8 dan guru-guru SRIP Desa Melawati.

Seminar yang bermula pada jam 8.30 pagi - 1:00 tengahari ini dimulakan dengan pengisian pertama ceramah oleh al fadhil Ustaz Alias Othman dengan tajuk "Pembangunan Kecerdasan Anak-Anak Bermula Dari Rumah". Tajuk ini telah dikupas dengan amat baik oleh Ustaz Alias serta merangkumi ilmu pendidikan anak-anak dari pelbagai perspektif. Kami mendapat feedback yang baik dari penduduk Taman Melati yang merasakan , "panduan-panduan yang diberikan benar-benar membuka minda", menurut mereka.

Selepas selesai sesi rehat, program diteruskan dengan slot seterusnya, forum yang bertajuk "Membentuk Remaja Cemerlang, Menepati Piawaian Islam". Forum ini dijayakan oleh dua orang penalis Wanita JIM yang tidak asing lagi, Ir Hajjah Endok Sempo Mohd Tahir, Wanita JIM yg juga Pengarah WIRDA Selangor beserta Dr. Hajjah Roselainy Abdul Rahman, JKP JIM yang juga merupakan Timbalan Ketua Wanita JIM Pusat. Kedua-dua penalis ini diperkenalkan juga sebagai motivator isu kekeluargaan dan contoh ibu masakini yang kaya dengan pengalaman mendidik anak-anak remaja mereka di rumah serta remaja di dalam masyarakat. Di antara ilmu yang dikongsikan bersama audiens termasuklah memberi kefahaman tentang apakah ukuran sebenar kecemerlangan dari perspektif Islam, membawa contoh-contoh remaja cemerlang berdasarkan realiti sejarah, berkongsi tips bagaimana membantu remaja mencapai kecemerlangan dalam pelbagai aspek kehidupan, serta langkah-langkah yang disarankan kepada ibubapa untuk menangani remaja bermasalah.

Moderator untuk forum ini adalah moderator yang tidak asing lagi di kalangan wanita JIM Kuala Lumpur, ukht Siti Zaiton Abdul Aziz, seorang aktivis program remaja anjuran JIMKL, AJK Wanita JIMKL, juga Penolong Pengetua Sekolah Islam Adni. Hasil dari perkongsian masalah audien bersama penalis semasa sesi soal jawab, moderator forum sempat meninggalkan pesanan yang sungguh mengesankan kepada audiens supaya sentiasa menjadikan doa ibadur rahman seperti yang dinukilkan di dalam al-Qur'an, surah al Furqan:74, sebagai zikir yang tidak ditinggalkan setiap kali selepas solat, serta pesanan supaya jangan berputus asa dari rahmat Allah SWT, mudah-mudahan setiap penat lelah dan kesabaran mendidik anak-anak ini, bakal menjadi amal soleh yang akan dipersembahkan di hadapan Allah SWT pada hari pertemuan denganNya kelak.

Acara penutup yg merupakan acara kemuncak ialah Penganugerahan Tokoh Ibu Mithali PPRPK8. Kami menerima 14 pencalonan dari penduduk PPRPK8 yang telah mengisi borang soal selidik yang disediakan oleh JK Penganjur. Tokoh Ibu Mithali PPRPK8 telah dianugerahkan kepada Hajjah Rokimah Hj Amran, 59 tahun, berasal dari Johor. Selepas penganugerahan Tokoh Ibu Mithali, acara terakhir adalah penyampaian hadiah untuk acara futsal remaja bawah 12 dan 16 tahun yang diadakan selari dengan seminar di padang PPRPK8. Futsal yang diatur bersama, oleh JIM Titiwangsa, JK Penduduk dan PIBG SRIP ini telah menerima penyertaan dari 6 pasukan . Program tamat pada jam 1:15 tengahari dan diakhiri dengan jamuan makan tengahari.

Setinggi-tinggi penghargaan kepada JIM Daerah Titiwangsa yang banyak membantu kami menjayakan seminar wanita ini, akh YDP Titiwangsa Che Zam Hamzah serta team JK Daerah yang berusaha memastikan program ini dapat dijalankan dengan jayanya. Juga kepada akh Abdullah Hassan yang sudi bertindak sebagai MC seminar kali ini dengan berkesan, Akh Saifurrahman yang menjaga logistik serta akh Hj Rahman dan Hj Zainal yang menguruskan futsal dan urusan-urusan lain. Juga kepada Wanita JIMKL yang telah memberi sokongan moral kepada kami untuk menganjurkan seminar ini. Wartawan dari Bernama dan Harian Metro telah hadir membuat liputan di seminar ini dan telah menemuramah JK Penganjur dan wakil penduduk Taman Melati.

Sekian laporan dari WJIM Titiwangsa

Jzkk.

Wassalam

Siti Zaidatul Akma Mohammad
TKW JIM Titiwangsa

Monday, April 12, 2010

Hanya keinsafan mampu sekat zina, kes buang bayi

Oleh Zainul Rijal Abu Bakar
zainul.rijal@abubakar.my
2010/04/12

Dangkal ilmu, iman tipis punca keruntuhan moral, akhlak masyarakat

GEJALA membuang bayi begitu menjadi-jadi sejak kebelakangan ini. Tanpa naluri kemanusiaan, bayi yang dilahirkan itu dibunuh dengan kejam semata-mata bagi menutup dosa ibu dan pasangan ibu bayi berkenaan. Bayi tidak berdosa itu menjadi mangsa. Hak mereka untuk hidup di dunia dihakis manusia tidak berperi kemanusiaan itu. Mungkin di dunia ini mereka boleh terlepas daripada hukuman kerana pihak berkuasa tidak dapat mengesan orang yang membunuh bayi ini namun sudah pasti di akhirat kelak Allah akan membalas perbuatan mereka dengan azab seksaan. Di akhirat nanti kita sudah pasti tidak akan terlepas daripada hukuman Allah

Di sana, tiada peguam yang akan mampu membela orang yang melakukan kesalahan di sisi Allah. Perbicaraan di padang mahsyar begitu adil. Setiap amalan walau sebesar zarah akan dibalas sewajarnya. Gejala membunuh bayi begitu berleluasa kerana masyarakat sudah tidak lagi memandang aspek akhlak dan moral sebagai suatu yang begitu perlu dipertahankan. Sudah tidak ada lagi perasaan malu berdua-duaan ataupun melakukan perkara sumbang di kalangan masyarakat. Sudah sering kita lihat muda-mudi terkinja-kinja dalam parti dan disko tanpa segan silu, meminum arak dan berpelukan sudah menjadi kebiasaan di sesetengah tempat.

Malah, cubaan untuk mengawal moral sebegini sering ditentang kononnya melangkaui hak asasi manusia. Penggubalan undang-undang berkaitan kawalan moral tidak dapat dilakukan, malah undang-undang sedia ada berkaitan dengan moral juga hendak dihapuskan.

Persoalan mengenai sama ada ada undang-undang boleh mencampuri hal ehwal moral dicetuskan semula beberapa badan bukan kerajaan (NGO). Badan itu melihat undang-undang semata-mata dari lensa Barat dan tidak diadunkan dengan budaya masyarakat tempatan yang disulami dengan jahitan agama. Mereka menolak penggunaan undang-undang dalam menjaga moral individu. Mereka mengatakan undang-undang tidak boleh mengawal salah laku moral. Jika seseorang itu berdosa, hanya Tuhan yang layak menghukum mereka. Namun, apabila gejala membuang bayi berlaku, tidak pula kedengaran usaha bagi mengetatkan undang-undang moral.

Sebenarnya budi pekerti dan moral yang mulia adalah satu-satunya asas paling kuat untuk melahirkan masyarakat yang ikhlas dan amanah. Orang yang tidak bermoral akan mudah terjerumus di dalam aktiviti jenayah. Undang-undang sebenarnya bersandarkan kepada moral dan moral bertunjangkan kepada agama.

Walaupun satu daripada Rukun Negara adalah Kesopanan dan Kesusilaan, permasalahan moral ini sering diketepikan. Memang benar Rukun Negara tidak mempunyai kekuatan undang-undang untuk dilaksanakan, namun apa gunanya berikrar atas nama Rukun Negara sekiranya ia tidak mahu dipatuhi.

Sepatutnya dalam membuat sesuatu keputusan, kita merujuk kembali kepada Islam sebagai agama negara. Seperti diriwayatkan ketika ditanya kepada Saidatina Aishah: “Apakah akhlak Rasulullah” maka Aishah menjawab: “Akhlak Rasulullah ialah al-Quran.” Oleh itu, apabila al-Quran melarang orang Islam meminum arak, apakah salah kerajaan membuat perundangan bagi mengharamkan orang Islam minum arak? Apabila al-Quran melarang berzina, apakah silap kerajaan membuat perundangan mengharamkan perzinaan dan pelacuran?

Rasulullah pernah bersabda bermaksud: “Sesungguhnya Rasulullah SAW itu diutus untuk menyempurnakan akhlak yang terpuji.” Pada masa sekarang, kita tidak dapat lari dari mengkodifikasikan ajaran Islam kerana masyarakat Islam itu sendiri begitu asing dari Islam.

Kalau dulu apabila ayat al-Quran mengenai pengharaman arak diturunkan maka sahabat berduyun-duyun membuang arak tanpa mempersoalkannya. Tetapi sekarang selepas 1,400 tahun berlalu, penghayatan terhadap al-Quran amat rendah. Oleh itu hukuman berbentuk keduniaan ini perlu bagi berperanan sebagai penghalang kepada budaya meminum arak ini.

Akhlak manusia tidak akan terdidik tanpa panduan undang-undang. Pada masa ini, dengan perundangan yang adapun akhlak masyarakat amat menyedihkan. Apa akan jadi jika semua perundangan itu dihapuskan. Maka wujud lakonan dalam perundangan ini. Secara hipotetikal, apabila undang-undang dihapuskan, apa akan jadi jika dua orang melakukan perbuatan tidak sopan di depan kita atau keluarga kita. Biarkan saja kerana ia hak asasi mereka? Biarkan remaja kita menonton aksi tidak bermoral itu? Apa yang hendak kita lakukan? Bagaimana pula dengan hak asasi kita yang berasa jijik melihat perbuatan seperti itu?

Tidak dinafikan pendidikan adalah elemen penting mengawal moral. Tetapi pendidikan saja tidak mencukupi kerana ia bertindak sebagai ‘amar maaruf’, manakala hukuman dalam bentuk perundangan bertindak sebagai ‘nahi mungkar’.

Kedua-dua kaedah ini sebenarnya tidak boleh dipisahkan antara satu sama lain apatah lagi dalam keadaan negara mengambil Islam di dalam ruang yang begitu terhad dan berpilih saja. Amar makruf dan nahi mungkar sebenarnya saling melengkapi antara satu sama lain.

Dalam Islam, penguatkuasaan agama terletak dalam wilayah al hisbah. Mereka mempunyai hak dan tanggungjawab tersendiri. Jika kita meneliti kaedah hukum syarak, tidak timbul andaian suatu hari nanti mungkin ada undang-undang Islam yang membenarkan pegawai penguat kuasa masuk ke rumah dan periksa sama ada seseorang itu solat lima kali sehari atau tidak? Andaian ini adalah melampau dan meleset serta tidak diasaskan kepada kaedah fekah dan syariah Islam sebenar kerana Khalifah Umar yang terkenal garang pun pernah ditegur kerana mengintip rakyatnya melakukan kesalahan.

Selagi seseorang itu beragama Islam maka ia berada dalam suatu sistem yang lengkap. Islam tidak sekadar rutin ritual harian, tetapi suatu cara hidup yang merangkumi semua aspek kehidupan termasuk kawalan moral ataupun akhlak Islamiah.

Berbalik kepada gejala pembuangan bayi ini, sudah pasti jawapan bagi menangani gejala ini ialah berbalik kepada al-Quran dan al-Sunnah dengan memakai undang-undang yang digariskan Islam. Menjauhi zina adalah kewajipan setiap umat Islam. Memastikan zina tidak berlaku pula tanggungjawab masyarakat.

Orang yang melakukan zina adalah orang yang dangkal ilmunya. Keimanannya tipis. Zina akan membawa kepada pelbagai masalah sosial di kalangan masyarakat serta memusnahkan susun atur sosiobudaya masyarakat. Apatah lagi masyarakat Timur yang dibina atas dasar keimanan dan ketakwaan. Undang-undang tanpa kesedaran juga mungkin tidak dapat membendung perzinaan. Anda bertindak bijak dengan menjauhi zina!

Penulis adalah Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia dan boleh dihubungi melalui e-mel - zainul.rijal@abubakar.my

Thursday, April 08, 2010

Cerita hitam wanita bergelar ibu

Oleh Nor Afzan Mohamad Yusof
afzan@bharian.com.my
2010/04/08


Gadai harga diri berikutan cinta kepada lelaki

TEMBOK berjeriji besi itu menyimpan seribu satu kisah hitam jenayah dilakukan wanita, banduan terdiri daripada warga tempatan dan pendatang asing tanpa izin (Pati) dengan pelbagai kesalahan.

Walaupun jumlah banduan wanita tempatan di Penjara Wanita Kajang kurang 20 peratus daripada keseluruhan kes di situ, kisah hitam mereka hingga terseret ke penjara, menimbulkan pelbagai persoalan. Bagaimana wanita yang jiwanya halus, sarat dengan naluri keibuan, boleh menerima hukuman di situ.

Ratu memaparkan dua kisah banduan wanita hingga membawa mereka ke dunia penjara. Berbeza latar hidup, tetapi persamaan mereka, lantaran tidak berpendidikan selain gelodak nafsu membawa mereka terus hanyut ke lembah hina.

Sofea ibu kepada dua cahaya mata seorang anak sah seorang lagi anak luar nikah hasil hubungan sulit dan bersekedudukan dengan lelaki tanpa sebarang ikatan perkahwinan. Puncanya, suami yang hilang entah di mana meninggalkan dirinya ‘gantung tidak bertali’. Mengambil jalan mudah, Sofea merelakan diri diperlaku bagaikan isteri kepada teman lelaki.

Cerita Mala, ibu kepada empat cahaya mata dengan tiga daripadanya anak luar nikah. Percaya kepada janji manis insan bergelar lelaki, Mala bertuhankan nafsu. Penghujung cerita dia dan teman lelaki ditangkap atas tuduhan kecuaian hingga membawa kematian anaknya yang tidak berdosa.

Kisah Sofea

Hening pagi Taman Perumahan Aman (bukan lokasi sebenar) bertukar resah. Jeritan Mimi (bukan nama sebenar) menahan kesakitan memecah sunyi malam. Jiran tetangga yang mendengar jeritan itu lantas membuat panggilan polis mensyaki kerja maksiat dijalankan di rumah berkenaan. Dalam serbuan itu, lima ditahan termasuk seorang wanita, membongkar perniagaan adn kehidupan murahan Sofea (bukan nama sebenar) bersama teman lelakinya.

Sofea merengkok dalam Penjara Wanita Kajang, selama 18 tahun atas tiga kesalahan jenayah, ibu ayam (372A); melacurkan perempuan (41 (1B)) dan menggugurkan kandungan budak bawah umur (313).

Menceritakan kepada Ratu, kejadian hingga membawa kepada terbongkarnya jenayah dilakukan, Sofea berkata pada malam kejadian, beliau dan teman lelakinya mengambil keputusan menggugurkan kandungan budak bawah umur, Mimi kerana tidak mahu kegiatannya sebagai ibu ayam terbongkar.

“Saya menjadi ibu ayam pada sebelah malam. Sebelah siang saya menguruskan restoran. Pada 2009 saya mengenali Mimi, remaja berusia 14 tahun. Budak ini memohon bekerja di restoran tempat saya bekerja itu. Tanpa banyak menyoalnya saya mengambilnya bekerja di bahagian dapur. Mimi tinggal bersama saya dan saya tidak pernah ambil kisah latar belakangnya.

“Ketika tinggal dengan saya, Mimi dapat menghidu kerja saya sebagai ibu ayam, tetapi dia tidaklah pula saya dagangkan sebagai anak ayam. Seminggu dua dia berkerja tiba-tiba Mimi jatuh pengsan. Saya dan teman lelaki membawanya untuk membuat pengesanan di sebuah klinik swasta. Ujian dilakukan menunjukkan Mimi sah mengandung empat bulan,” katanya.

Katanya, doktor yang merawat terkejut bagaimana seorang remaja perempuan bawah umur boleh mengandung kerana ia boleh disabitkan di bawah kesalahan merogol. Wajah doktor berkenaan nampak terkejut dan cuba menghubungi seseorang.

“Saya dan teman lelaki jadi panik lantas menipu doktor berkenaan dan mengatakan kami bersaudara. Pulang ke rumah saya meminta budak itu menghubungi keluarganya dan memberitahu hal sebenar.

“Mimi sebenarnya lari dari rumah sebab mengandung luar nikah. Ibunya pula adalah seorang ibu tunggal. Saya tidak tahu mengenai hal itu. Apabila diberitahu mengenai keadaan Mimi, suara ibunya kedengaran sedih dan ibunya berkata kepada saya ‘gugurkan kandungan Mimi’,” katanya.

Takut bercampur resah, Sofea dapat merasakan sekiranya Mimi terus wujud, rahsianya sebagai ibu ayam akan terbongkar. Matlamatnya cuma satu, gugurkan kandungan Mimi, selepas langsai kerja itu, Mimi akan ‘dicampak’ terus di mana-mana asalkan rahsianya tidak terbongkar dan dia terus boleh bergerak bebas sebagai ibu ayam.

“Ketika itu saya langsung tidak terfikir mengenai simpati. Walaupun saya ada dua anak perempuan, naluri keibuan saya memang tiada. Dalam hal ini saya menjadi ‘master mind’. Hari yang sama, saya memberikan Mimi segala benda panas seperti air ragi. Mimi menderita kepanasan dan sakit pada bahagian perutnya.

“Ada keluar sedikit darah, tetapi apabila melakukan ujian kehamilan, masih ada tanda positif. Dua kali kami memaksanya minum air itu, tetapi nyata ia sukar digugurkan,” katanya.

Sofea semakin buntu dan terlintas di fikirannya untuk membawa Mimi melakukan pengguguran menerusi tusukan buluh, tetapi tidak menjadi apabila dia tiba-tiba memikirkan untuk menggugurkan kandungan itu menggunakan tangan.

“Saya suruh teman lelaki saya menyeluk dalam bahagian sulit Mimi menggunakan tangannya. Ketika itu saya berada di luar bilik. Mimi menjerit cukup kuat, tetapi jeritan itu tidak langsung mengganggu perasaan saya. Rintihan Mimi juga tidak saya endahkan. Saya melakukan ujian kehamilan sekali lagi dan ujian berkenaan masih lagi positif,” katanya yang menyatakan keadaan Mimi ketika itu amat lemah.

Jam menunjukkan satu pagi menguji kesabarannya. Sekali lagi Sofea mengarahkan teman lelakinya menyeluk bahagian berkenaan dengan kawan teman lelakinya menutup mulut menggunakan bantal. Terlalu banyak darah keluar, Mimi longlai dan tidak sedarkan diri.

“Melihatkan Mimi dalam keadaan begitu saya panik lantas memutuskan untuk ‘tolak’ Mimi ke Singapura sebagai pelacur pada harga RM30 ribu. Urusan menjual perempuan cukup mudah. Saya telefon ‘tokey’ bapa ayam di Singapura. Pihak di sana bersetuju dan ‘kakinya’ di Melaka sudah pun menyerahkan wang pendahuluan sebanyak RM15 ribu. Dalam masa kuncu bapa ayam itu sampai ke tempat kami itulah, kami diserbu dan tertangkap hingga membawa saya ke penjara,” katanya.

Katanya, teman lelakinya didapati bersalah dan ditempatkan di Penjara Lelaki, bersebelahan Penjara Wanita, di Kajang.

Usianya masih hijau, tetapi pengalamannya dalam dunia maksiat amat menyedihkan. Ketika rakan sebaya sibuk menelah pelajaran, Sofea, pula mengira-gira habuan besar akan masuk ke dalam poketnya setiap hari, hasil pendapatan sebagai ibu ayam.

Sofea berharap paparan itu memberi pengajaran kepada wanita bahawa kecintaan pada wang hanya akan mencampakkan manusia ke lembah paling hina.

Hilang rasa malu yang menjadi perhiasan manusia melenyapkan segala impian bahagia yang sepatutnya dikecapi bersama keluarga.

Hakikatnya episod hitam Sofea bermula selepas perkahwinannya berkecai di tengah jalan. Bersuamikan seorang penagih dadah, kaki pukul dan meninggalkan dirinya gantung tidak bertali hanyalah sebahagian kecil penyebab yang terus ‘menghanyutkan’ dirinya ke lembah hina.

“Saya tidak menyalahkan keluarga. Saya melakukan kesalahan ini atas kebodohan sendiri. Saya tidak habiskan persekolahan sekolah menengah sebab tidak berminat lagi bersekolah. Saya berkenalan dengan suami hanya enam bulan lantas mengambil keputusan untuk berkahwin pada usia 18 tahun.

“Pada peringkat awal memang keluarga berkeras tidak membenarkan saya berkahwin tetapi saya berdegil. Selepas berkahwin dan mempunyai seorang anak, saya dapati suami saya berubah sikap menjadi seorang yang pemarah dan mudah naik tangan. Pantang saya silap sikit, dia akan memukul. Sepak terajang itu makanan harian saya.

“Suatu hari saya nampak suami menghidu sesuatu dan selepas itu menjadi khayal. Saya syak ia dadah tetapi apabila di rujuk kepada kawan-kawan, mereka kata ia benar dadah. Sejak itu saya rasa benci kepada suami saya. Selepas melalui satu pertengkaran yang besar, suami saya sudah melarikan diri dan hingga ke hari ini dia ghaib begitu saja. Saya tidak mahu mencarinya lagi. Kalau mati pun saya saya sudah tidak ambil peduli lagi,” katanya sambil menyeka air mata daripada terus membasahi pipinya.

Lantaran kesempitan hidup, Sofea berkerja sebagai pelayan di restoran. Untuk menambah pendapatan, beliau ditawarkan pekerjaan sebagai GRO. Bekerja sebagai GRO di Melaka, beliau mampu memperoleh pendapatan RM400 sehari.

Anak perempuannya yang ketika itu dijaga oleh ibunya, membolehkan langkahnya lebih panjang. Kerjaya sebagai GRO membawanya berkenalan dengan seorang Datuk N.

“Datuk itu menawarkan saya sebagai rakan kongsi dalam dunia pelacuran. Kami bertukar-tukar pelacur untuk melayan mana-mana lelaki hidung belang.

Berbekalkan pil khayal, seorang pelacur boleh melayan hingga lima lelaki satu malam. Tidak susah menjadi ibu ayam sebab penawaran sentiasa ada, malah perempuan yang datang mencari pekerjaan kepada saya,” katanya yang turut melahirkan anak luar nikah dengan teman lelaki dan turut dijaga oleh ibunya kini. Anaknya berusia lima dan tiga tahun.

Katanya, sekiranya masa dapat diputarkan kembali, Sofea berkata dia akan patuh pada arahan keluarga supaya tidak berkahwin pada usia terlalu awal iaitu 18 tahun dan meneruskan pelajaran walaupun minat semakin pudar.

“Sekolah menanam nilai positif dalam diri manusia. Bila anak sudah tidak minat bersekolah, ibu bapa perlu bantu mencari minat mereka kerana apabila tersilap langkah dan ikutkan nafsu, jadilah seperti saya.

“Walaupun keluarga saya amat baik tetapi saya tegar menipu mereka, dan inilah akibatnya, keluarga entah ke mana, suami pula entah ke mana. Saya amat menyesal dan berharap ada kekuatan berhadapan masa depan. Bermula daripada GRO hingga kejadian membabitkan Mimi itu, ia hanya membabitkan tempoh setahun saja, tetapi lihatlah dalam tempoh berkenaan berapa banyak keburukan saya lakukan. Saya fikir sekiranya jeritan itu tidak didegari, sudah pasti saya masih ligat menjadi ibu ayam.

“Saya sentiasa mendoakan yang terbaik untuk dua orang anak perempuan saya itu dan berharap kisah saya ini menjadi iktibar kepada masyarakat luar bahawa usah menjadi mangsa akibat lalai, tamak dan tidak memikirkan halal dan haram dalam mencari rezeki,” katanya yang menyatakan walaupun Mimi sudah selamat melahirkan bayi, tetapi difahamkan bahagian peranakan Mimi rosak akibat perbuatan tidak bertimbang rasa Sofea dan teman lelakinya itu.

KISAH MALA :

MEMPUNYAI empat orang anak dengan tiga daripadanya anak luar nikah dengan beberapa orang lelaki, langsung tidak meninggalkan keinsafan di hati Mala (bukan nama sebenar).

Berhenti sekolah ketika berusia 15 tahun. Atas alasan tidak lagi berminat, Mala mengambil jalan pintas mengejar bahagia dengan mempercayai janji palsu, suami orang hingga melahirkan seorang anak luar nikah.

Mala, 30 menjadi banduan atas kesalahan 31 (1) Akta Kanak-kanak kerana didapati bersalah mengakibatkan kematian anak perempuannya berusia dua tahun. Mengulas mengenai kejadian itu, hingga disabit dengan kesalahan membunuh, Mala berkata seminggu sebelum kejadian dia membawa anaknya balik kampung tetapi tidak menyedari anaknya terhantuk kuat pada bahagian kepala kerana tiada tanda-tanda kecederaan.

“Bila sampai di rumah di Kuala Terengganu, dia bermain dengan sepupunya pula dan kejadian itu dia terhimpit dan terjatuh ketika bermain. Tetapi saya nampak di biasa saja. Sebelah malam saya menidurkannya sebelum berlalu ke tempat kerja. Saya dapati badannya agak panas tetapi memikirkan ia demam biasa. Pulang dari kerja saya terus masuk ke dalam bilik dan tengok sebelah badannya menjadi lembik dengan kaki sebelah kanan ada tanda lebam.

“Melihatkan keadaannya saya membawanya ke hospital dan selepas urusan pengebumian, saya di tangkap dan didapati bersalah kerana kematian anak saya itu dikaitkan dengan kecuaian,” katanya yang menafikan kemungkinan anaknya mati didera ketika beliau bekerja lantaran anaknya dijaga teman lelakinya ketika dia keluar bekerja sungguhpun pemeriksaan ke atas mayat ada tanda-tandan penderaan.

“Hidup saya amat mengecewakan. Mak dan ayah saya bercerai sebab ayah saya pengedar dadah. Saya bosan dengan keadaan itu lantas mengambil jalan pintas untuk keluar daripada rumah. Memang saya lari dari rumah tetapi saya fikirkan ia menyeronokkan tetapi sebaliknya terjadi,” katanya yang berhenti sekolah pada usia 15 tahun.

Mala berkata bila lari dari rumah dia berkenalan dengan seorang lelaki suami orang. Perhubungan yang tidak membataskan agama menyebabkan dia akhirnya hamil anak luar nikah bersama lelaki itu. Anak itu diserahkan kepada ibunya di kampung untuk dijaga kerana dia tidak mampu. Bersama lelaki sama mereka berdua nikah lari di selatan Thailand tetapi hubungan itu tidak berkekalan dan berakhir dengan perceraian.

Mala tidak berasa sesal, masih dengan sikap sama mencari lelaki. Apa yang dihajati itu tercapai tetapi lelaki yang dijumpai hanyalah hidung belang. Sekali lagi Mala hamil anak kedua. Seperti sebelumnya, anak luar nikahnya itu diserahkan kepada orang.

Mala rela diperlakukan sebegitu, mungkin kerana tiada ajaran agama membawa dirinya hanyut dalam dakapan lelaki yang hanya inginkan hubungan seksual. Bersama teman lelaki dikenali selepas itu bernama Hakimi, dia hamil lagi untuk kali ketiga. Pun diserahkan kepada orang.

“Hakimi tidak pernah ajak saya berkahwin walaupun dia pun bujang. Kami bersekedudukan dan tidak lama selepas itu saya hamil anak ke-empat dengannya.

Anak inilah seorang yang saya jaga. Semasa saya berkerja, Hakimi lah menjaganya tetapi tidak sangka ajalnya pendek,” katanya sambil menitiskan air mata.

Hakimi turut dipenjara atas kesalahan sama dan dihumban dalam penjara.

Ingatannya kepada wanita, usah percaya pada janji manis lelaki kerana mereka selalu mengharapkan balasan berupa seksual berbanding ikhlas membantu.

Tuesday, April 06, 2010

SEMINAR KECEMERLANGAN WANITA ISLAM - "IBU TUNGGAK KECEMERLANGAN ANAK-ANAK"

HEBAHAN PROGRAM :

SEMINAR KECEMERLANGAN WANITA ISLAM

TEMA :

"IBU TONGGAK KECEMERLANGAN ANAK-ANAK"

TARIKH :

10 APRIL 2010


ANJURAN BERSAMA:

WANITA JIM TITIWANGSA
PERSATUAN PENDUDUK TMN MELATI KAWASAN 8
PIBG SEK.REN.ISLAM PINTAR (SRIP)


TEMPAT :

DEWAN PUSAT AKTIVITI MASYARAKAT FASA 8 ,
TAMAN MELATI


WAKTU :

8.30 PAGI HINGGA 12.30 TENGAHARI



PENCERAMAH :

USTAZ ALIAS OTHMAN


PENALIS FORUM:

IR ENDOK SEMPO MOHD TAHIR
DR. ROSELAINY ABDUL RAHMAN


Semua yang berkelapangan dijemput hadir sama

Memohon sumbangan ikhlas utk TABUNG PEMINDAHAN BUAH PINGGANG ABDULLAH ABDUL RAHMAN.

Assalamualaikum wbt..

Berikut adalah email daripada Dzilal Abd Aziz (Mantan SU WJIM Ipoh) berkenaan keadaan suaminya. Mohon sumbangan dan doa daripada semua bagi membantu keluarga mereka yang sedang diuji.

Semoga Allah membalas segala jasa baik semua.

------------ --------- --------- --------- --------- --------- --------- --------- --------
Assalamualaikum,

Apa khabar? saya tgh raise fund untuk masalah kesihatan yang sedang suami saya, Abdullah alami skrang. Detail seperti di bawah ...

Thanks,

Dzilal

TABUNG PEMINDAHAN BUAH PINGGANG ABDULLAH ABDUL RAHMAN.

Tujuan tabung ini adalah untuk mengumpulkan dana sebanyak RM215,000 bagi membiayai perbelanjaan pemindahan buah pinggang Abdullah di China pada bulan April 2010 ini.

Latar belakang Abdullah

Abdullah Abdul Rahman berusia 30 tahun, berasal dari Kuala Lumpur dan kini menetap di Sungai Petani, Kedah. Beliau merupakan seorang jurutera di PETRONAS Fertilizer Kedah dan berkelulusan Ijazah Sarjana Muda (kepujian) Kejuruteraan Mekanikal dari Universiti Manchester, UK. Beliau sudah berkahwin kepada Dzilal Abdul Aziz dan mempunyai seorang cahaya mata.

Penyakit Buah Pinggang (End Stage Renal Disease)

Abdullah telah disahkan mengalami kerosakan kedua-dua buah pinggangnya (End Stage Renal Disease (ESRD)) pada Februari 2009. Punca kepada kerosakan buah pinggang beliau tidak diketahui dan tidak dapat dikenal pasti.

Rawatan Sekarang

Kini beliau terpaksa menjalani rawatan Haemodialisis (mencuci darah) 3 kali seminggu. Rawatan ini akan berterusan sehingga ke akhir hayat beliau kecuali pemindahan buah pinggang (kidney transplant) dapat dilakukan. Rawatan Haemodialisis tidak dapat memberikan tahap kesihatan yg sebaiknya . Pelbagai komplikasi kesihatan seperti masalah jantung, paru –paru, dan sebagainya akan berlaku. Doktor juga memaklumkan bahawa pemindahan buah pinggang ini jika dilakukan lebih cepat lebih baik kerana fizikalnya masih kuat dan kesan kerosakan buah pinggang pada badannya masih minimal. Penyakitnya setakat ini telah pun menimbulkan pelbagai komplikasi lain yang membataskan pergerakannya dan melemahkan fizikal beliau.

Masalah pemindahan buah pinggang di Malaysia

Usaha untuk mendapatkan penderma yang sesuai daripada kalangan ahli keluarga telah dilaksanakan, malangnya tidak berjaya. Manakala menunggu giliran dalam senarai menunggu pemindahan buah pinggang kementerian kesihatan di Malaysia memakan masa yang lama (l0 -12 tahun).

Mohon Sumbangan Anda

Kami memohon sumbangan ikhlas anda dengan harapan dapat mempercepatkan pengumpulan dana tersebut seterusnya membolehkan Abdullah menjalani rawatan pemindahan buah pinggangnya.

Kami juga mengharapkan doa dari tuan/puan agar usaha ini berjaya dan Abdullah dikurniakan kesembuhan berpanjangan oleh Allah swt.

Sumbangan boleh disalurkan melalui :

a. "bank in" terus ke akaun Maybank - a/c: 564490210905
b. Sumbangan atas nama : Abdullah bin Abdul Rahman
c. Tunai – boleh hubungi nama di bawah


Sebarang pertanyaan lanjut bolehlah hubungi :
En. Abdul Rahman Hussein 012–2053484
Pn. Noriah Jusoh 019–2692441
I.r. Abdul Aziz Omar 016–6654212
Pn. Kerisisiah Mohd Daud 019–5769272
Pn. Dzilal Abdul Aziz 016–4101607

Semua sumbangan dan doa didahului dengan ucapan terima kasih. Semoga diterima Allah sebagai amal soleh dan dibalas Allah dengan ganjaran berlipat kali ganda.