Saturday, May 15, 2010

Wanita perlu segera kenal pasti punca jika tertekan

Utusan Malaysia
14 Mei 2010

KUALA LUMPUR 13 Mei - Wanita Islam disaran segera mengenal pasti punca yang menyebabkan perasaan mereka tertekan sehingga gagal untuk mengimbangi tanggungjawab terhadap keluarga dan juga kerjaya.

Ketua Wanita Jamaah Islah Malaysia (JIM) Kuala Lumpur, Dr. Niekmah Adam berkata, jika perasaan tertekan terus dibiarkan, ia akan membuatkan seseorang wanita tidak mampu untuk menjalankan tanggungjawabnya dengan baik.

''Tekanan ini juga akan memberi kesan yang ketara terhadap ahli keluarga khususnya anak-anak sehingga boleh menyebabkan berlaku keruntuhan akhlak dan juga gejala sosial,'' ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis perasmian Seminar Wanita, Keluarga dan Kerjaya anjuran Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dengan kerjasama Persatuan Suri dan Anggota Perkhidmatan Awam Wanita (Puspanita) Jawi dan Wanita JIM di Dewan Hadhari, Kompleks Pusat Islam di sini hari ini.

Majlis perasmian itu disempurnakan oleh Presiden Puspanita Jawi, Toh Puan Rakiah Mariana Latiff.
Sehubungan itu, kata Dr. Niekmah, wanita diminta menyiapkan diri dengan mendalami ilmu-ilmu yang berguna supaya dapat mengendalikan segala tanggungjawab dengan berkesan.

''Antaranya termasuklah mendalami ilmu agama, pengurusan rumah tangga dan kerjaya, pengurusan tekanan dan juga pengurusan kewangan,'' katanya.

Selain itu katanya, wanita juga digalakkan mempelajari komunikasi dengan lebih berkesan dalam keluarga, pendidikan anak-anak, pengurusan masa, perundangan keluarga dan juga mengenai kesihatan diri dan keluarga.

Katanya, setiap wanita Islam disaran supaya memahami dengan lebih jelas matlamat mereka untuk keluar bekerja supaya ia tidak terkeluar daripada landasan dan peraturan yang ditetapkan agama.

''Ada kalangan wanita yang bekerja untuk membantu ekonomi keluarga, mengamalkan bidang yang diceburi, menjadi ketua keluarga kerana suami sakit atau ibu tunggal,'' katanya.

Dr. Neikmah berkata, majoriti wanita masa kini juga mempunyai kerjaya maka peranan dalam membangunkan masyarakat dan negara juga adalah penting.

''Islam tidak menghalang wanita untuk melakukan pekerjaan di luar rumah sekiranya ia merupakan keperluan diri, keluarga, masyarakat dan negara,'' katanya.

Dalam pada itu, pensyarah Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM), Prof. Madya Dr. Anisah Ab. Ghani membentangkan kertas kerja bertajuk Keseimbangan Kerjaya dan Keluarga: Antara Harapan dan Cabaran pada seminar itu.

Turut membentangkan kertas kerja ialah Naib Presiden JIM Pusat, Prof. Madya Dr. Harlina Halizah Siraj.

Laporan Wacana Wanita, Keluarga dan Kerjaya

Kompleks Pusat Islam, 13 Mei 2010: Wacana Wanita, Keluarga dan Kerjaya telah berlangsung dengan jayanya. Wacana anjuran bersama Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Wanita Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM) dan Puspanita JAWI ini telah dihadiri oleh hampir 100 orang peserta yang terdiri daripada kakitangan pelbagai jabatan kerajaan dan individu yang bekerja.

 
Peserta yang hadir
 
Objektif utama wacana ini adalah untuk memahami dan melaksanakan tuntutan syarak berhubung keperluan dan kedudukan wanita untuk keluar bekerja dengan batas-batas serta keutamaan yang telah ditetapkan. 

Selain itu, ia juga untuk mengenalpasti cabaran-cabaran mendesak yang dihadapi oleh generasi muda yang baru menyertai alam pekerjaan dan membincangkan saranan, bentuk sokongan, sistem bekerja yang sesuai dan infrastruktur yang diperlukan untuk menyokong penglibatan wanita di luar rumah bagi mencapai keseimbangan kerjaya dan keluarga.  

Wacana ini telah dirasmikan oleh YBhg To’ Puan Hajjah Rakiah Mariana binti Latiff, Pengerusi Puspanita JAWI.
 
Ucap utama dan Perasmian oleh Pengerusi Puspanita JAWI

Satu kenyataan media telah dikeluarkan oleh Wanita JIM Kuala Lumpur bersesuaian dengan tema Mengurus Keseimbangan: Utamakan Keluarga. Kenyataan ini telah dibacakan oleh Dr Niekmah Adam, Ketua Wanita JIM Kuala Lumpur. Kenyataan dilampirkan bersama.
 
 Sesi Sidang Media

Sesi pembentangan telah dimulakan oleh Prof Madya Dr Anisah Ab Ghani, Pensyarah Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya dengan tajuk “Wanita dan Kerjaya Menurut Pandangan Syarak”. Dalam pembentangan ini, PM Dr Anisah telah menyentuh pendapat mengenai wanita yang bekerja yang terbahagi kepada tiga pendapat iaitu menghalalkan wanita berkerjaya secara mutlak, mengharamkan wanita berkerjaya secara mutlak dan mengambil sikap pertengahan.
 
 
PM Dr Anisah Ab Ghani menyampaikan pembentangannya.
  
Dalam Islam, wanita berhak bekerja berdasarkan beberapa surah dalam ayat al-Quran tetapi mesti mengikut beberapa syarat iaitu pekerjaan itu mestilah halal dari segi syarak, pekerjaan itu tidak menafikan fungsi utama wanita, menjaga adab-adab Islam yang merangkumi adab keluar rumah, berpakaian, bergerak, bercakap dan bertabarruj.

Pembentangan kedua telah disampaikan oleh Prof Madya Dr Harlina Halizah Hj Siraj, Pakar Perunding Obstetrik dan Ginekologi HUKM merangkap Naib Presiden JIM dengan tajuknya “Mengurus Keseimbangan, Utamakan Keluarga”.
 
 
Pembentangan oleh PM Dr Harlina Halizah Hj Siraj
 
Dalam pembentangan ini peserta dibawa untuk kembali mengkoreksi diri tentang tujuan sebenar kita bekerja. Banyak soalan yang telah ditimbulkan oleh penceramah yang memerlukan para peserta untuk menilai sendiri diri masing-masing mengenai tujuan sebenar kita bekerja dan sejauh manakah kita akan pergi dengan kerjaya kita itu? Adakah kita rela mengabaikan tanggungjawab terhadap keluarga semata-mata gaji yang kita perolehi itu? 

Selain itu, beliau menekankan supaya kita menjadikan keluarga kita sebagai 5 bintang di mana kita bertindak sebagai pemimpin masyarakat, pembuat keputusan, contoh teladan, penghubung dan pengurus yang berjaya.. Beliau juga menerangkan evolusi pembabitan wanita sebelum dan selepas merdeka, senario semasa wanita yang bekerja dan konsep “Life balance”.

Wacana tamat kira-kira pukul 1.00 tengah hari. 

Dilaporkan oleh:

Nazirah Idris


KENYATAAN MEDIA : WANITA- KESEIMBANGAN KERJAYA DAN KELUARGA

13 Mei 2010

WANITA - KESEIMBANGAN KERJAYA DAN KELUARGA

Wanita masa kini majoritinya adalah wanita yang berkerjaya. Tidak dinafikan penglibatan dan peranan wanita dalam membangunkan masyarakat dan negara adalah penting. Islam tidak menghalang wanita untuk melakukan pekerjaan di luar rumah sekiranya ia merupakan keperluan diri, keluarga, masyarakat dan negara. Malahan Islam menganggap pekerjaan yang dilakukan oleh wanita atau lelaki merupakan suatu ibadah selagi dilakukan dengan niat yang ikhlas dan tidak terkeluar dari landasan dan peraturan syariat Islam.

Wanita yang bekerja perlu faham dan jelas tentang kenapa dan matlamat  mereka keluar bekerja. Antara tujuan wanita bekerja adalah kerana membantu ekonomi keluarga, mengamalkan bidang yang telah diceburi, menjadi ketua keluarga seperti ibu tunggal atau suami yang sakit. Terdapat juga wanita yang keluar bekerja kerana ingin bersosial dan materialistik.

Walau bagaimanapun wanita Islam yang berkerjaya di saran:

1.      Berada di dalam  batasan syarak
2.      Menutup aurat
3.      Menjaga perhubungan silang jantina
4.      Memastikan pekerjaan itu tidak melanggar fitrah
5.      Menjaga akhlak
6.      Menjaga maruah suami dan keluarga
7.      Tidak mengabaikan tanggungjawab pada keluarga

Di  dalam Islam tugas utama kaum wanita ialah menjaga kebajikan keluarga dan juga pembangunan jati diri setiap ahli keluarga. Tanggungjawab wanita yang bekerja akan bertambah. Wanita bekerja perlu bijak menyeimbangkan antara tanggungjawab keluarga dan kerjaya supaya dapat melahirkan keluarga yang soleh dan musleh. Wanita perlu mencari jalan keluar agar tidak tertekan apabila tidak dapat berperanan dengan baik. Wanita bekerja yang tertekan akan memberi kesan yang ketara kepada ahli keluarganya terutama anak-anak., Keruntuhan akhlak dan masalah sosial mungkin berlaku.

Wanita JIM mengajak wanita-wanita Islam terutama di kota metropolitan supaya menyiapkan diri dengan ilmu-ilmu berkaitan:

1.       Islam
2.       Pengurusan rumahtangga dan kerjaya
3.       Pengurusan ‘stress
4.       Pengurusan kewangan
5.      Komunikasi berkesan (dengan suami agar mendapat sokongan dan dokongan utama)
6.      Pendidikan anak-anak
7.      Pengurusan masa
8.      Perundangan keluarga
9.      Ilmu mengenai kesihatan diri dan keluarga

Harapan Wanita JIM terhadap  wanita Islam yang berkerjaya agar dapat menyeimbangkan peranan mereka di antara kerjaya dan keluarga. Bak kata pepatah jangan jadi seperti ‘yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran’

Dr Niekmah Adam
Ketua Wanita JIM Kuala Lumpur

Thursday, May 13, 2010

Di Sinar Harian : Pertingkat Keprihatinan Sosial Untuk Saling Melindungi

MH : Wahai lelaki, sempurnakanlah amanahmu!

Selasa, 04 Mei 2010 16:07 TM Lim

KUALA LUMPUR – Lelaki, selaku ketua keluarga dan ketua masyarakat perlu lebih memberi keutamaan menyempurnakan amanah yang telah dipikulkan ke atas bahu mereka, khususnya dalam melindungi dan membela ahli keluarga mereka sebaik mungkin. Demikian mesej yang terpancar dalam Malam Amal Raudhatus Sakinah (MARS) 2010 di Pusat Konvensyen Shah Alam Ahad lalu.

Sebagai sebuah pusat bimbingan dan perlindungan untuk remaja puteri, Raudhatus Sakinah (RS) yang dikendalikan oleh Wanita Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM) terus menunjukkan komitmen yang tinggi dalam usaha menangani gejala sosial dan seksual yang semakin meruncing dalam masyarakat hari ini. Selain rancak meningkatkan kempen ‘Anda Bijak Jauhi Zina’ yang dilancarkan sejak 2007, empat buah cawangan RS yang telah ditubuhkan di Selangor, Kelantan, Pulau Pinang dan Johor terus memberikan khidmat bakti membimbing remaja kembali ke pangkal jalan.

Naib Presiden JIM yang juga Pengerusi Lembaga Pengurusan Induk RS, Prof Madya Dr Harlina Halizah Siraj berkata, berikutan mendadaknya peningkatan perzinaan, bilangan kehamilan remaja dan belia di luar nikah serta pembuangan bayi yang dilaporkan akhir-akhir ini, JIM terpanggil untuk memperhebat usaha menuntut semua pihak dan lapisan masyarakat memainkan peranan yang serius dalam membendung gejala yang mampu merosakkan nasab keturunan generasi akan datang ini.

“Isu gejala sosial dan seksual hari ini tidak boleh dilihat sebagai isu yang hanya membabitkan satu kelompok atau pihak yang menjadi mangsa sahaja, malahan golongan pemangsa yang mengambil kesempatan amat perlu ditangani segera. Dalam masa yang sama, segala situasi dan keadaan yang membuka peluang dan kesempatan menggalakkan berlakunya gejala ini mestilah segera dibendung habis-habisan,” tegasnya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan bersempena dengan program malam tersebut.

MARS 2010 dianjurkan dengan objektif utama mengajak semua individu masyarakat khususnya kaum lelaki untuk kembali melaksanakan amanah melindungi, membela dan menjaga wanita sebagaimana yang dinyatakan dengan jelas dalam al-Quran, surah an-Nisa’ ayat yang ke-34. Dengan tema ’Lelaki Pelindung Wanita’, MARS 2010 meminta kaum Adam untuk lebih komited dalam menjalankan amanah yang telah dipikulkan oleh Allah subhanahu watala. Sebaliknya, jika kaum lelaki cuai dalam melaksanakan tanggungjawab tersebut, mereka akan menjadi `perosak dan pemusnah’ yang mengeksploitasi masa depan serta kehidupan wanita, kanak-kanak dan masyarakat umum.

”Contoh sejati yang terbaik dan mampu menterjemahkan amanah tersebut dalam kehidupan seharian adalah Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam. Malahan baginda membuat penegasan khusus mengenai tanggungjawab kaum lelaki terhadap wanita dalam khutbah terakhir sebelum kewafatan baginda,

‘Wahai manusia, sebagaimana kamu mempunyai hak ke atas isteri kamu, mereka juga mempunyai hak ke atas kamu. Sekiranya mereka menyempurnakan hak mereka ke atas kamu maka mereka juga berhak untuk diberi makan dan pakaian dalam suasana kasih sayang. Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik, berlemah lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu yang setia. Dan hak kamu ke atas mereka ialah mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang kamu tidak sukai ke dalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina,’” katanya.

Kaum lelaki juga, tambah Harlina, diperingatkan dalam al-Quran agar memelihara diri mereka sendiri dan ahli keluarga (anak isteri) daripada azab api neraka (surah at-Tahrim ayat ke-6). Rasa tanggungjawab yang tinggi terhadap keselamatan dan kesejahteraan kaum wanita semestinya disemai awal dalam pendidikan anak-anak lelaki. Lelaki dewasa dalam komuniti seharusnya mampu menunjukkan sikap, layanan dan tingkah laku yang benar terhadap wanita, agar dicontohi pula oleh generasi lelaki muda, belia dan remaja. Kaum lelaki yang secara amnya lebih kuat fizikal dari wanita, tidak seharusnya mengambil kesempatan dengan kelemahan dan kekurangan kaum Hawa.

Namun kaum lelaki tidak seharusnya pula menjadi ‘over-protective’ sehingga mengurung isteri dan anak perempuan di rumah, menyekat peluang mereka untuk menuntut ilmu atau terlibat aktif dalam urusan kerjaya dan kemasyarakatan serta membuat segala keputusan tanpa melibatkan pandangan wanita sendiri!

“Apa yang sebenarnya digariskan oleh Islam, adalah kewajipan lelaki memastikan suasana, keadaan dan situasi sosial, politik dan ekonomi berada pada tahap yang baik untuk membolehkan wanita mencapai potensi tertinggi keupayaan mereka, agar sumbangan wanita mampu terus disalurkan untuk membangunkan tamadun dan kemajuan ummah.

”Dalam masa yang sama, kaum wanita juga memikul amanah menjaga maruah, kesejahteraan suami dan anak-anak serta harta benda. Mereka juga bertanggungjawab sepenuhnya melindungi suami daripada terbabit dalam kemungkaran yang mengundang kemurkaan Allah subhanahu wataala. Dengan keprihatinan bersama, kedua lelaki dan wanita memerlukan satu sama lain untuk tujuan melindungi, membela dan menjaga kepentingan bersama dengan harmoni dan bahagia,” ujar Harlina lagi.

Dalam konteks negara pula, JIM mendesak agar pihak kepemimpinan eksekutif negara yang diketuai oleh Perdana Menteri meletakkan prioriti utama dalam menangani isu gejala sosial dan seksual, di samping mencari jalan terbaik untuk membendung masalah ini. Amatlah tidak wajar sekiranya hanya sebuah kementerian sahaja yang dipertanggungjawabkan sepenuhnya berkaitan isu ini. Sebuah jawatankuasa kabinet khas sepatutnya dibentuk untuk merungkai permasalahan dan memikirkan tindakan selanjutnya. Kawalan sosial yang lebih berkesan perlu diwujudkan semula.

Segala usaha ini perlu dilaksanakan secara bersepadu dan berterusan agar gejala sosial dan seksual tidak terus menjadi `barah’ dalam kehidupan masyarakat Malaysia.

Sumber : MalaysiaHarmoni

Selamat Hari Ibu, Isteriku!

Artikel ini diambil daripada catatan Akhi Nahar, SUA JIM Pusat. Semoga ianya bermanfaat buat semua.


Assalamu’alaikum.


Semoga dirahmati Allah swt. Catatan berikut memang agak peribadi (personal).
Mungkin elok dimasukkan ke dalam blog. Tapi blog belum diwujudkan.

Lagi pun ia agak peribadi untuk dikongsi dengan seluruh dunia. Namun ana memberanikan diri untuk berkongsi dengan para aktivis JIM dan Karisma di sini.

Tambahan pula ramai juga yang bertanyakan keadaan kesihatan Ustazah Marhamah.

Kalau ada manfaat dari catatan ini, ambillah.

Kalau sebaliknya, ana minta maaf kepada semua.

Selamat membaca.

##################################################################################


SELAMAT HARI IBU BUAT ISTERIKU!


“Mar, boleh tolong tengokkan tafsir Surah Al Isra’, ayat 7”. 


Ujarku kepada isteriku yang sedang berehat setelah selesai melayan tetamu yang baru bertolak ke Fraser Hill. 


Pagi tadi kami sama-sama ke Pasar Tani membeli stok makanan untuk seminggu. Selepas siap memasak, dibantu oleh pembantu rumah dan anak-anak, kami menerima kehadiran tetamu istimewa. 


Sepasang aktivis JIM, Hj Amran Sakir dan isterinya Hajjah Salmi. Mereka baru turun daripada Bukit Fraser dan terus ke rumah kami untuk mengambil Acik, anak kami yang ketiga bagi menyertai gathering Alumni MHI.


Perancangan asalnya, kami hantar Acik ke tol Bukit Beruntung. Namun seperti mereka dapat merasai kekangan masa kami, maka mereka dengan gigih dan sukarela memandu satu jam lagi untuk sampai ke rumah kami. Lagi pun, mereka belum pernah bertandang ke rumah kami. 


Ana dah telefon Hj Amran, menjemput mereka makan tengahari di rumah. Kami masak sup tulang!


Isteriku turun ke tingkat bawah rumah kami untuk mengambil kitab tafsir. Aku masih meneliti beberapa website berkaitan Palestin, termasuklah website PACE, Palestininfo dan lain-lain bagi mencari bahan-bahan tambahan berkaitan Palestin.


Malam ini adalah malam yang bersejarah bagiku. Sdr Presiden telah meminta aku menggantikannya bagi menyampaikan pidato dan ucapan pada Perhimpunan Perdana Palestin di Stadium Melawati Shah Alam. Inilah kali pertama aku akan menyampaikan ucapan dan pidato berkaitan Palestin di hadapan khalayak yang begitu ramai.


Perasaan risau tetap ada. Ini bukan bidang kepakaranku. Aku dah minta pandangan JKP dan mereka memberi kepercayaan kepada aku untuk mewakili mereka dan JIM. 


Beberapa panduan dan maklumat telah aku perolehi daripada pakar-pakar Palestin: Dr Hafidzi dan Hj Ridzuan Harun. Jzkk.


Tidak berapa lama kemudian isteriku masuk ke dalam bilik dan membuka kitab tafsir Fi Zilal. Biasanya dia akan meneliti naskhah Bahasa Arab. 


Namun petang ini yang diteliti adalah versi terjemahan Bahasa Melayu. Barangkali bagi memudahkan suaminya turut membaca bersama-sama.


Dibacanya kuat-kuat perkara-perkara penting dari Surah Al Isra’ bermula dari ayat 1 hingga ayat 7 agar aku dapat mengikutinya sambil terus melayari internet. 


Ternyata semua ayat-ayat tersebut amat relevan dengan perjuangan rakyat Palestin. Ayat-ayat ini menceritakan tentang peristiwa Isra’ Mi’raj dan diikuti dengan kisah tentang Bani Israel; kezaliman mereka serta padah yang mereka terima buat kali pertama dan kedua.


AsSyahid Syed Qutb menyebut, bukan setakat kali pertama dan kedua malah boleh jadi kali ketiga, keempat dan seterusnya.


Keinginan untuk meneliti ayat ketujuh surah Al Isra’ ini timbul setelah membaca perutusan terkini berkaitan Palestin oleh Mursyidul Am Ikhwan Muslimun, Dr Mohd Bade’ yang terjemahannya terdapat dalam website PACE. 


Pada suatu bahagian beliau menyebut:


“Allah telah menyampaikan berita kepada kita dalam surat Al-Isra’ bahawa zionis akan berada dalam kesombongan sebanyak dua kali .. dan pada saat ini kita sedang menghadapi kesombongan yang kedua kalinya dan untuk kali yang terakhir ini Allah akan menghancurkan mereka dan memberi mereka dengan azab yang buruk; sebagai ganjaran di atas kesombongan mereka di hadapan Allah, dan penghinaan mereka terhadap tanah haram dan tempat-tempat suci. 


Allah berfirman, yang bermaksud:”Dan apabila datang saat hukuman bagi (kejahatan) yang kedua, (kami datangkan orang-orang lain) untuk menyuramkan muka-muka kamu dan mereka masuk ke dalam mesjid, sebagaimana musuh-musuhmu memasukinya pada kali pertama dan untuk membinasakan sehabis-habisnya apa saja yang mereka kuasai”. (Al-Isra:7)”


Dalam Tafsir Zilal, Syed Qutb menyebut bahawa setiap kali kaum Yahudi berlaku sombong dan bertindak zalim, Allah swt akan membalasnya dengan balasan yang sewajarnya.


Kami bersepakat bahawa ayat-ayat awal surah Al Isra’ serta penegasan Dr Mohd Bade’ tentang optimisnya beliau akan kemenangan perjuangan di Palestin akan menjadi tema pidato pada malam ini.


Sekitar jam 5.00 petang Along dan Angah masuk ke bilik kami meminta izin untuk bergerak dahulu ke Stadium Melawati. Katanya Angah bertugas. Kami bersalaman dan mengucapkan, nanti kita jumpa di stadium.


Sekitar jam 6 petang. Aku telefon Presiden, Hj Zaid Kamaruddin untuk dapatkan noktoh-noktah dan panduan daripadanya. Noktah-noktah tersebut aku catit.


Persiapan menyiapkan nota siap hampir jam 7.00 malam. SMS diterima memaklumkan bahawa kami perlu berada di stadium jam 7.45 malam dan majlis akan bermula jam 8.00 malam. Walaubagaimanapun kami telah ambil keputusan untuk solat Maghrib dahulu sebelum bertolak. Anggaran jarak perjalanan sekitar setengah jam.


Alhamdulillah kami bersama anak bongsu kami, Sofiah Kauthar tiba sekitar jam 8.10 malam disambut oleh Along dan Angah serta urusetia. Aku ditempatkan di sebelah Presiden Haluan.Tidak berapa lama kemudian majlis bermula dengan ucapan Pengarah Perhimpunan, Ucapan Presiden Haluan dan diikuti oleh persembahan Mu’az. 


Selepas Mu’az adalah giliran aku berpidato.


Muaz memang aku kenal lama. Sejak beliau menuntut di Sekolah Hira’ lagi. Keakraban bertambah kerana beliau kemudiannya mendirikan rumahtangga dengan junior aku beberapa tahun di sekolah menengah yang juga berasal dari Bukit Mertajam.


Ketika Muaz membuat persembahan, aku dijemput ke tepi pentas untuk standby. SMS diterima daripada Timbalan Presiden, Hj Syed Ibrahim yang turut hadir, memberi semangat dan sokongan moral.


Maka tibalah giliran aku. Namaku dipanggil. Sedikit debaran memang ada. Namun pengalaman pidato serta beberapa teknik mengawal keadaan dan suasana telah dapat dilakukan. 


Walaubagaimanapun spotlight sangat cerah dan menganggu pandanganku kepada audien. Kukumpulkan semangat dan kulafazkan setiap patah perkataan sebaik mungkin.


Selesai ucapan, aku menerima beberapa SMS daripada beberapa orang aktivis JIM termasuk Hj Syed Ibrahim dan Hj Raji, menyampaikan tahniah dan syabas.


Namun aku sendiri dapat rasakan bahawa pidato dapat dimulakan dengan baik namun di bahagian pertengahan dan akhir kurang mantap atau boleh diperbaiki lagi. 


Prof Sahrim bila diminta pandangan melalui SMS membalas: “Starting excellent, ending good, well done!”..begitu berdiplomasi Naib Presiden kita ini.


Dalam perjalanan pulang aku meminta pandangan isteriku. Beliau memberi markah 7/10, dan memberi beberapa cadangan penambahbaikan untuk masa hadapan. Ini adalah kebiasaan kami yang saling memberi komen dan cadangan penambahbaikan setiap kali selesai sesuatu ucapan atau penyampaian kami.


Sementara itu Timbalan Presiden, Hj Syed Ibrahim menghantar sms: “Kami bagi 7.5/10. Ana dan Mela”.


Sampai ke rumah, badan terasa amat penat. Kerehatan yang cukup diperlukan kerana esok ada agenda lain pula.


Esok paginya…


“Bang, apa doa yang Mar nak baca nanti..?”


Isteriku pula bertanyaku, meminta pandangan tentang isi doa yang akan dibacakannya pada petang nanti sempena majlis penutup Multaqa Akhawat 03.


“Apa kata Mar bagi tazkirah ringkas dulu..? Maklumkan bahawa program begini amatlah diharapkan dilaksanakan dan ini tercatat dalam RJIM2 versi 2010 di mana dalam KRA TPSM usaha-usaha dan aktiviti-aktiviti bersepadu dengan semua institusi hendaklah dilaksanakan menjelang pelancaran IKRAM. Ucapkan tahniah kepada semua yang hadir dan beri semangat agar semua bersama-sama menyumbang bagi menjayakan IKRAM. Selepas itu baru bacakan doa.”


Isteriku setuju dengan cadangan itu dan mula menaip teks tazkirah dan doa yang akan disampaikan. 


Sementara itu Angah masuk ke bilik dan meminta izin untuk pergi kerana beliau hari ini bertugas di VPM Charity Bazaar di Bangsar pula.


Sekitar jam11.30pagi teks tazkirah dan doa siap ditaip dan dicetak.


Kami bersiap dan bertolak sekitar jam 12.00 tengahari. Hari ini aku menjadi driver. Rasa sangat bahagia..


Selepas majlis selesai, aku terserempak dengan beberapa mantan aktivis Karisma yang menjadi peserta multaqa dan bertanyakan tentang doa Ustazah Marhamah. Mereka mengatakan sangat syahdu, ramai yang menangis. Ustazah pun menangis. Aku sedikit terpegun. Kenapa sampai begitu sekali…?


Selepas selesai majlis kami singgah di cafeteria tempat program diadakan kerana memenuhi permintaan seorang ukht yang memohon untuk mendapatkan sedikit tips bagi beliau yang akan mendirikan rumahtangga tidak lama lagi. Aku membiarkan mereka berdua berbual lama sebelum masuk dan turut serta dalam perbincangan.


Memang khuatir untuk memberi tips ini kerana pengalaman kami tidaklah seberapa banyak dan juga dikhuatiri diuji Allah swt. Namun setakat ini ada juga beberapa orang akhawat/anak-anak yang datang berjumpa isteriku untuk mendapat panduan-panduan sebelum mendirikan rumah tangga.



Dalam perjalanan pulang, aku bertanya: “Kenapa menangis masa baca doa?”


Isteriku melihat kepadaku dia berkata: “Menangis ketika sampai ke doa yang berkaitan api neraka. Hati amat gerun kepada api neraka. Umur Mar pun tak tahu berapa panjang lagi..Mudah-mudahan Allah swt beri Mar kekuatan”.


Air mata ku turut berlinang.


Keazamanku juga turut meningkat. 


Keazaman untuk memberi yang terbaik kepada isteriku. Menjaga sebaik mungkin isteri yang telah banyak berjasa kepadaku. “I must give more attention and concentration in taking care of her”….beri perhatian yang lebih untuk menjaganya…


Alhamdulillah, setakat ini isteriku masih menjalani hidup seperti manusia biasa. Aku doakan beliau akan terus sihat kerana kami amat memerlukan kehadirannya.


Aku doakan kami tidak diuji dengan ujian yang tidak dapat ditanggung oleh kami. Aku pohon ikhwah dan akhawat akan turut mendoakan kami.


Hari ini adalah Hari Ibu. Kami dan anak-anak telah menghabiskan hujung minggu dengan aktiviti yang amat menyenangkan hati kami.


Sempena Hari Ibu ini, kepada isteriku, aku ingin diucapkan:


“Mar, Selamat Hari Ibu. Terima kasih kerana melahirkan dan mendidik anak-anakku!!!”


Wassalam


Nahar Md Nor
9 Mei 2010

Program untuk semua: JOM kita join!!!!

SAMBUTAN HARI IBU

Ibu Gigih, Alam Bersih

Tarikh
15 Mei 2010 (Sabtu)

Masa
8.30-12.00 tengahari

Tempat
Masjid As-Sobirin, AU5C Lembah Keramat

Anjuran:
Masjid As-Sobirin dan Wanita JIM Ampang Jaya

Objektif:

Memberi pengetahuan dan kesedaran kepada masyarakat umum mengenai alam sekitar.

Mewujudkan pusat pengumpulan minyak masak terpakai untuk dikitar semula.

Meraikan para ibu dan merapatkan hubungan sesama peserta.

Aturcara:

Masa     Program
8.30-8.50 pagi    Pendaftaran
8.50-9.00 pagi   Ucapan pengerusi majlis dan ucapan aluan oleh Hjh Jeriah Manap, Ketua Wanita JIM Ampang Jaya
9.00-9.45 pagi  Peranan ibu dalam menjaga alam sekitar oleh Puan Che Asmah Ibrahim, Pengarah Jabatan Alam Sekitar Selangor
9.45-10.00 pagi   Sesi soal jawab
10.00-10.15 pagi   Cabutan hadiah
10.15-10.30 pagi   Deklamasi sajak/puisi oleh anak-anak
10.30-11.30 pagi    Sesi penerangan mengenai kitar semula minyak masak terpakai oleh En Mazlan Idrus, pegawai Lembaga Urus Air Selangor (LUAS)
11.30-11.45 pagi   Cabutan hadiah
11.45-12.00 tengahari    Bacaan doa dan penutup
12.00 tengahari     Jamuan dan bersurai
Hubungi
Hjh Marsiah-0192077883
Hjh Latifah Mohd Meerah-0162383045

************ ********* ********* ********* ********* ********* ********* *********

ASUH FITRAH 2

Penyusuan Susu Ibu Berjaya bagi Ibu berkerjaya.

Tarikh:
22 Mei 2010

Masa:
9.00 am-1.00 pm

Tempat:
Pusat Khidmat Parlimen Gombak

Yuran Individu : RM40
Berpasangan : RM75

Anjuran:
Akademi Islah dan JK Aulad JIM

Objektif:

* Menekankan Kepentingan Susu Ibu
* Bagaimana menyusukan anak anda
* Pemerahan dan penjadualan pemerahan susu ibu
* Penyimpanan Susu Ibu
* Sokongan kepada penyusuan susu ibu
* Menyusu tanpa menyusahi!!

Penceramah :

1. Puan Khadijah - mempunyai sijil pentauliahan dalam kumpulan sokongan penyusuan susu ibu
2. Puan Rosnah Ahmad – Perunding cara dalam Asuh Fitrah
3. Penampilan khas - sesi perkongsian

Hubungi:

Puan Siti Hamisah Manan - 03-41089669 atau 019-2227506


************ ********* ********* ********* ********* ********* ********* *********

Wacana

“Rebut Harta Rebut Anak”

Tarikh:
23hb Mei 2010 (Ahad)

Tempat:
Dewan Kuliah A,USM PP

Masa:
8.30-1.15 petang

Anjuran:
WJIMPP, WCC, PERKEP, LKPI, ISLAMIC OUTREACH ABIM, DPMMPP, JKM, PERSIAP & PSI USM.

Aturcara
Masa      Atur cara
8.30 pagi     Pendaftaran & Minum Pagi
9.00 pagi    Pembukaan majlis & Bacaan suci Al-Quran

9.15 pagi      Ceramah: Penceraian: Nafkah dan Hadanah
Oleh Prof Madya Dr Najibah Bt Md Zin, Pensyarah Undang-undang Keluarga Islam
11.00 pagi   Rehat Sejenak

11.15 pagi    Dialog ”Rebut Harta Rebut Anak”
1. Prof Madya Dr Najibah Bt Md Zin,
2. Encik Ahmad Munawir Bin Abdul Aziz
3. Wakil Mahkamah Syariah PP

1.00 petang   Penutup & Makan tengahari
1.15 petang    Bersurai

Hubungi:
Puan Rosmarizan -04-6452740 (off)
Puan Farihah -019-4589624

************ ********* ********* ********* ********* ********* ********* *********