Friday, June 25, 2010

Raudhatus Sakinah bantu remaja bermasalah

Wartawan Kita
Harakahdaily

KOTA BHARU, 24 Jun: Berita seorang pelajar meninggal dunia akibat pendarahan dan komplikasi keguguran di bilik penginapan sebuah resort di sini mengejutkan semua pihak.

Lebih malang lagi gadis itu menjadi mangsa pergaulan bebas, perbuatan zina sehingga mengandung luar nikah yang berakhir dengan kematian akibat pengguguran.

Ketua Wanita Jamaah Islah Malaysia (JIM) Kelantan, Dr Hafidzah Mustakim berkata, gejala seperti itu berlaku kerana kurangnya pendidikan dan penghayatan agama.

Selain itu lemah jatidiri, pengaruh kawan dan persekitaran serta kurang mendapat kasih sayang dalam keluarga.

”Berdasarkan pengalaman membimbing remaja di Raudhatus Sakinah, sebuah pusat bimbingan dan perlindungan remaja puteri kami mendapati empat faktor terbabit menyebabkan remaja terjerumus ke kancah gejala sosial,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Baru-baru ini media melaporkan seorang pelajar perempuan sebuah sekolah di Pasir Mas meninggal dunia akibat pendarahan dan komplikasi keguguran di bilik penginapan sebuah resort.

Sebelum itu pada bulan Julai tahun lepas seorang pelajar sebuah universiti juga dijumpai mati di bilik kediamannya dipercayai akibat komplikasi melahirkan kandungan luar nikah.

Dr Hafidzah berkata, Wanita JIM merasa sungguh kesal dan dukacita di atas kejadian yang berlaku itu.

Katanya, sampai bilakah situasi itu akan terus dibiarkan berlaku.

”Kami berharap semua pihak boleh memainkan peranan secara lebih berkesan untuk menghentikan penyakit sosial sehingga boleh menghancurkan keutuhan masyarakat dan negara.

”Apalah ertinya pembangunan fizikal dan kebendaan sesuatu negara jika tidak disertakan pembangunan insaniah merangkumi aspek emosi dan spiritual,” katanya.

Menurutnya juga Raudhatus Sakinah turut menyumbang kepada masyarakat melalui perkhidmatan pencegahan dan perawatan terhadap masalah gejala sosial.

Kata beliau dari aspek pencegahan pihaknya mengendalikan kempen Anda Bijak Jauhi Zina (ABJZ) dan Pakej Pendidikan Kesihatan Reproduksi Remaja.

Manakala dari sudut perawatan Raudhatus Sakinah membimbing remaja yang tersasar untuk kembali ke pangkal jalan.

Oleh itu katanya, remaja perempuan yang bermasalah boleh menghubungi pusat berkenaan bagi mendapatkan perkhidmatan yang disediakan di talian 013-9964077.

Monday, June 21, 2010

Ikram perteguh gerakan dakwah

Nazri Abdullah
Harakahdaily

SERDANG, 20 Jun: Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) menggabungkan beberapa kumpulan bukan kerajaan (NGO) Islam di negara ini di bawah satu nama dalam usaha menegakkan Islam di Malaysia.

Mereka antaranya terdiri daripada JIM, MIG, Ausis dan Muslih digabungkan bagi mewujudkan tadbir urus gerakan dakwah Islam yang baik, tersusun di samping memperteguh kegiatan dakwah mereka.

Presidennya, Dr. Mohd Parid Sheikh Haji Ahmad berkata, Ikram mahu menjadi NGO massa menggunakan pendekatan aman, mendekati masyarakat dengan memberi pendidikan agama ke arah perubahan negara akan datang.

"Ikram memberi keutamaan kepada pendekatan mendidik dan yakin perubahan masyarakat bermula dengan perubahan diri dari sudut ilmu, kepercayaan, dan amal.

"Oleh itu tarbiah dan pembangunan insan mencirikan Ikram dan menjadi sumbangan utama kepada masyarakat," katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran NGO tersebut di Pusat Konvensyen dan Pameran Antarabangsa Malaysia, The Mines, Seri Kembangan pagi tadi.

Perlembagaan Ikram menyebut mereka mempunyai lapan matlamat antaranya menyebar risalah Islam melalui dakwah, mengumpul dan membina akhlak mulia individu muslim, meninggikan taraf sosio-ekonomi umat Islam, memperjuang hak umat Islam dan menegakkan syariat Islam secara praktikal.

Ditanya sama ada Ikram akan bekerjasama dengan PAS untuk tujuan menegakkan Islam, Mohd Parid berkata, mereka terbuka untuk bersama dalam apa-apa isu yang berkaitan kepentingan umat Islam.

"Kita akan bekerjasama dalam bidang yang sama dengan sesiapa sahaja, dan jika tidak sama, kita hanya akan bagi pandangan," katanya lagi.

Ikram didaftarkan pada 22 Oktober 2009 dengan moto "Ukhuwah Teras Kegemilangan", beribu pejabat di Putrajaya.

Sehingga kini mereka mempunyai 69 cawangan daerah dan 14 cawangan negeri dengan keahlian seramai 3,500 orang.

Selain Mohd Parid sebagai Presiden, Timbalannya adalah Prof Dr. Mohamed Hatta Shaharom, dua Naib Presiden, Wan Subki Wan Salleh dan Syed Ibrahim Syed Noh yang juga pengerusi Gerakan Mansuhkan ISA (GMI).

Setiausahanya pula Zaid Kamaruddin manakala bendahari, Prof Dr Alauddin Mohd Ali.

Wednesday, June 02, 2010

Dampingilah Puterimu Duhai Ayah!

Salam,

Artikel di bawah ditulis sebagai tribut untuk arwah ayahanda ana yang sangat dirindui yang telah mendidik kami dengan penuh cinta dan cemburu. Dikongsikan artikel yang ditulis untuk booklet MARS yang tidak disiarkan. Ana hantar 2 artikel dan hanya satu yang tersiar. Mudah2an bermanfaat untuk semua. Boleh sebarkan ke mailing list lain.

Azlina

=-=-=-=-=-=- =-=-=-=-= -=-=-=-=- =-=-=-=-= -=-=-=-=- =-=-=-=-= -=-=-=-=- =-=-=-=-= -=-=-=-

Dampingilah Puterimu Duhai Ayah!

Cerita 1

Zaza (bukan nama sebenar) berumur akhir 20an, baru empat tahun mendirikan rumahtangga dan dikurniakan dua orang cahayamata. Beliau merupakan anak bongsu di mana bapanya sudah meninggal dunia sewaktu ibunya mengandungkannya. Beliau mengadu tentang perangai suaminya yang mula berubah ketika beliau di dalam pantang selepas melahirkan anak kedua. Mereka berkahwin suka sama suka setelah berkenalan sewaktu masih sama-sama menuntut di universiti. Zaza mengaku sering mencurigai suaminya walaupun beliau merasakan suaminya seorang yang baik, penyayang dan bertanggungjawab. Namun mereka agak sering bertengkar mengenai hal-hal yang melibatkan pengurusan rumahtangga dan penjagaan anak-anak. Zaza pernah terfikir untuk bercerai setelah suaminya mengaku curang namun membatalkan hasratnya apabila suami memohon maaf dan berjanji untuk tidak mengulanginya lagi. Zaza tetap sukar mempercayai suaminya malah sering membaca mesej di telefon bimbit suaminya dan memeriksa dompet mahupun poket seluar si suami untuk mencari bukti kecurangan si suami. Zaza sukar memaafkan suaminya. Zaza hidup dalam keresahan dan kebimbangan menanti saat-saat kecurangan suaminya sekali lagi.

Cerita 2

Mira (bukan nama sebenar), sudah berkahwin dan bekerja di ibukota. Hatinya hancur apabila suaminya membuka rahsia yang beliau ingin berkahwin seorang lagi. Rupa-rupanya si suami telah terlanjur dengan seorang gadis yang bekerja sepejabat dengannya sewaktu kedua-dua mereka ditugaskan ke luar kota. Dengan teresak-esak, Mira membuka cerita tentang perkahwinannya. Beliau mengakui kurang kemesraan dengan suami semenjak kebelakangan ini kerana kesibukan kerjaya masing-masing. Sementelah suaminya sering ditugaskan ke luar kawasan. Mira sangat sayangkan suaminya dan telahpun memberi keizinan untuk suaminya bernikah lagi walaupun hatinya sangat berat. Tambahan lagi, mereka sama-sama masih muda dan sedang membina karier. Mira tidak menyangka suaminya sanggup mengkhianati cinta mereka. Mira mula mengingati sikap bapanya sendiri yang berpoligami dan sering mengabaikan kasih sayang terhadapnya. Ibu Mira merupakan isteri pertama. Mira mengakui bapanya sering menyisihkan beliau dan adik beradik serta melebihkan keluarga isteri kedua. Anak-anak isteri kedua semuanya mempunyai basikal untuk ke sekolah sedangkan Mira terpaksa menumpang abangnya.

Cerita 3

Tati (bukan nama sebenar), merupakan anak bongsu dari lapan adik beradik. Dibesarkan dengan penuh kemewahan dan kemanjaan namun Tati tidak dibenarkan bergaul bebas dengan rakan-rakannya yang lain. Bapanya seorang yang sangat tegas. Beliau memberikan didikan agama dengan cara yang cukup ketat dan tegas serta mengawal segala pergerakan Tati sehingga beliau terasa dikongkong. Namun, sebagai anak yang taat, Tati tidak pernah membantah. Bapanya juga yang memutuskan bidang apa yang beliau patut ambil di peringkat pengajian ijazahnya. Setelah tamat ijazah, Tati mendapat pekerjaan di ibukota. Tati jatuh cinta dengan seorang lelaki yang rupa-rupanya telah berkahwin. Demi cinta dan pujuk rayu si lelaki, Tati telah menggadaikan maruah dirinya. Menurut Tati, lelaki itu bersungguh-sungguh ingin mengahwininya dan sedang memujuk isteri pertama untk membenarkannya. Sebagai bukti cintanya, lelaki tersebut menyewakan sebuah kondominium untuk Tati di kawasan yang agak terpencil agar mudah mereka bertemu. Tati mengaku masih menunaikan solat tetapi melayan teman lelakinya itu seperti suami. Malah jiran-jiran menganggap mereka pasangan suami isteri kerana kerapnya lelaki tersebut mengunjungi Tati di rumahnya. Tati datang ke klinik psikologi kerana mengidap kemurungan di atas komplikasi emosi lantaran hubungan luar nikahnya. Dia ingin bernikah dan menamatkan segala dosa-dosanya tetapi masih menaruh harapan teman lelakinya akan menunaikan janjinya walaupun telah empat tahun berlalu.

Apakah persamaan di antara ketiga-tiga wanita ini? Ketiga-tiganya adalah wanita yang menarik, masih muda dan bergaya, berpendidikan tinggi dan bekerjaya tetapi menghadapi masalah di dalam hubungan mereka dengan lelaki. Mereka berjaya tetapi tidak bahagia. Mereka juga tidak mempunyai hubungan yang positif dengan bapa masing-masing. Mereka mengalami kesukaran menguruskan emosi lantas sering tersilap di dalam melakukan keputusan.

Zaza dilahirkan tanpa sempat mengecapi belaian kasih sayang seorang ayah. Mira pula melalui banyak episod duka dalam hubungan yang tidak mesra dengan ayahnya. Mira ingin sekali dibelai dan dikasihi oleh ayahnya sewaktu kecil namun setelah ayahnya berpoligami, ayah sangat jarang pulang ke rumah. Mira cuba berbaik dengan adik tirinya agar ayahnya mengasihinya namun si ayah tidak menyedarinya di samping sikap negatif ibu tirinya. Tati pula tidak pernah diberi peluang membuat keputusan. Dibesarkan dengan penuh kawalan, Tati tidak tahu apa ertinya berdikari. Menyebabkan dia tidak pandai membantah dan hanya menurut kata-kata orang yang dikasihinya. Tati yakin orang lain lebih tahu apa yang terbaik untuk dirinya.

Apakah peranan seorang bapa? Masyarakat sering menganggap seorang ibu sangat penting di dalam peringkat awal kehidupan seorang manusia. Ibulah yang membelai, mendidik dan membesarkan anak dengan penuh kasih sayang. Sebenarnya bapa juga berperanan besar di dalam mendidik anak-anak. Hubungan kasih sayang yang mesra di antara seorang bapa dan anak akan membentuk keyakinan diri, kepuasan emosi yang tinggi dan seterusnya membantu membina jati diri dan penghargaan kendiri seseorang.

Hubungan di antara seorang bapa dan anak perempuannya adalah satu hubungan yang sangat istimewa. Bapa berperanan memberikan gambaran bagaimana seseorang wanita akan menjalinkan hubungan dengan lelaki di waktu dewasanya kelak. Bapa yang sering tiada atau ketiadaan figur bapa akan mempengaruhi perkembangan emosi kanak-kanak perempuan. Dia akan merasakan bahawa lelaki memang tidak boleh digantung harap atau dipercayai. Oleh itu ketika dewasanya kelak, wanita ini akan mempunyai masalah di dalam hubungannya dengan lelaki. Di peringkat awal hubungan dia terlalu mempercayai lelaki bahkan sanggup menggadaikan maruahnya untuk meraih cinta si lelaki. Namun kemudian dia sukar mempercayai lelaki walaupun telah bersuami. Sikap bapanya yang sering tiada di waktu dia memerlukan akan menyebabkan wanita ini sering mencurigai suaminya. Sudah tentu sikap ini akan membosankan suami dan mungkinkah akhirnya suami akan betul-betul curang?

Kanak-kanak perempuan yang menikmati hubungan yang rapat, kemesraan, penghargaan, didikan dan kasih sayang yang wajar dari bapanya akan mempunyai pandangan yang positif di dalam hubungannya dengan lelaki. Kanak-kanak suka didengar. Oleh itu para bapa luangkanlah masa mendengar celoteh mereka, dengar pendapat mereka dan beri peluang mereka membuat pilihan. Apabila remaja atau dewasa, mereka akan menjadi wanita yang tahu menilai maruah diri. Dia tidak terburu-buru mendapatkan teman lelaki. Dia tidak terlalu mudah mempercayai lelaki dan akan menilai kejujuran dan kebaikan yang dilihat. Dia akan meletakkan nilai-nilai yang tinggi kepada lelaki yang mendampinginya. Dia hanya akan menyerahkan dirinya kepada lelaki yang sudah sah menjadi suaminya. Setelah berkahwin, dia akan mencintai suaminya sepenuh hati serta berfikiran positif bahawa setiap masalah yang dilalui di dalam perkahwinan akan dapat diatasi dengan persefahaman, kejujuran dan toleransi yang tinggi. Wanita ini juga mudah memaafkan sekiranya suami berbuat silap dan dapat menerimanya kembali tanpa menjejaskan maruah dirinya sendiri. Wanita ini mempunyai emosi yang berdikari (emotional independence) , boleh mempercayai orang lain secara wajar dan tidak terlalu bergantung kepada orang lain. Dia boleh membuat keputusannya sendiri dan hanya akan melakukan keputusan yang menguntungkan dirinya tanpa merugikan pihak lain terutamanya keluarganya.

Oleh itu para bapa, kasih sayang, pujian, didikan, nasihat, teguran membina dan penghargaan yang engkau curahkan kepada anak perempuanmu merupakan hadiah terbaik yang boleh engkau berikan agar anakmu dapat mengharungi kehidupannya dengan penuh bermaruah, mempunyai keyakinan diri yang tinggi, sayang kepada dirinya sendiri serta mampu menyayangi orang lain.

Dari Anas bin Malik r.a., ‘Telah berkata Rasulullah s.a.w: Siapa yang menanggung dua anak perempuan hingga mereka baligh, nescaya dia akan datang di Hari Kiamat, aku dan dia seperti ini – dikumpulkan semua jari jemarinya’. [Hadis Riwayat Muslim]

Dari Uqbah bin Amir Al Juhani katanya; ‘Saya mendengar Rasulullah s.a.w. berkata: Siapa yang mempunyai tiga orang anak perempuan, lalu dia sabar terhadap mereka, serta diberinya mereka makan minum dan pakaian dari hartanya, nescaya mereka akan menjadi pelindungnya dari api neraka’. [Hadis Riwayat Imam Ahmad]


Azlina Roszy Mohamad Ghaffar
Psikologis Klinikal

Tuesday, June 01, 2010

Doakan untuk mereka yang telah SYAHID

Kembali ke Rahmatullah Ayah Merua Abd Aziz Awang

Innalillahi wainailaihirajiun...

Kami ingin mungucapkan salam takziah daripada seluruh warga JIM Titiwangsa buat akhi Abdul Aziz Awang sekeluarga di atas pemergian ayahanda ukhti Jaslina.

Moga ditempatkan almarhum dikalangan para muttaqeen

Allahummaghfirlahu warhamhu....

b/p 
Wanita JIM Titiwangsa
------------------------------------------------------------------------------------------------------

Date: Friday, 28 May, 2010, 2:25

Salam,

Dukacita dimaklumkan ayah kepada Jaslina Jamaluddin bekas guru TADIKA Amal Kuala Lumpur juga ayah mertua kepada Akh Abd Aziz Awang (sekarang JIM Perak - sebelum JIM Titiwangsa) meninggal dunia dalam jam 8.00mlm semalam di Hospital Sik Kedah. Almarhum Jamaludin Mohd Nor adalah juga bapa saudara saya.

Jenazah akan disemadikan di Jeniang Kedah insya Allah pagi ini. Muga Allah menerima almarhum dari golongan orang diberi keampunan dan berjaya disisi Nya. Amin.

Fadzil bin Hj Abdullah
................................................................................................................................................................

Salam~

Salam takziah dari kami warga JIM KL. Semoga almarhum ayahanda Jamaludin dicucuri rahmat dan diampun segala dosanya. Bersabar kepada keluarga yang tinggal.

Abdul Aziz Awang adalah bekas Bendahari JIM KL dan bekas YDP JIM Titiwangsa.

ZULKEFLI AHMAD