Thursday, July 29, 2010

Pendidikan kesihatan reproduktif

Oleh Jami’ah Shukri
Sumber : Berita Harian
2010/07/29


Program perintis di lima sekolah diharap kurangkan gejala sosial


AJARKAN remaja kemahiran menolak seks atau katakan tidak kepada seks, hindarkan diri dengan seks sebelum berkahwin, dedahkan apakah risiko kehamilan.


Itu adalah antara inti pati modul kokurikulum pendidikan kesihatan reproduktif yang sedang dijalankan di lima sekolah membabitkan 308 pelajar berusia 16 tahun sebagai membendung kegiatan seks rambang, kehamilan luar nikah dan keruntuhan sosial lain membabitkan remaja, mulai awal bulan ini. Ternyata, gejala keruntuhan moral itu semakin menjadi-jadi dengan saban hari ada saja laporan berkaitan kes terbabit, membuatkan kita berfikir apakah sebenarnya punca yang membelenggu segala pemasalahan itu sehingga ia seakan sukar dibendung. Semua pihak perlu buka mata dan bertindak segera mengelak negara berhadapan cabaran lebih hebat terutama dengan kepantasan dunia tanpa sempadan, kebebasan dan kemudahan melayari internet dapat melihat apa saja termasuk laman web lucah membuka ruang pendedahan lebih luas.


Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), umpamanya melaporkan sebanyak 131 kes remaja hamil luar nikah dicatatkan pada 2008 dan jumlah itu meningkat 111 kes hanya dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini.


Statistik itu itu tidak menggambarkan keseluruhan kes kerana tidak termasuk yang dikumpul oleh pihak hospital dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).


Jika semua kegiatan dilaporkan, ia pastinya menimbulkan kebimbangan masyarakat. Kita tidak perlu lagi menuding jari siapa yang patut dipersalahkan, sebaliknya bersama-sama menangani isu ini dengan lebih tuntas.
Isu keruntuhan sosial pelajar melakukan seks dan hamil luar nikah banyak diperdebatkan sebelum ini sehingga ada pihak mencadangkan memperkenalkan pendidikan seks di sekolah dan kemudian polimik mengenainya berpanjangan kerana sebilangannya menganggap ia kurang sesuai kerana dikhuatiri tidak mencapai matlamatnya, sebaliknya menggalakkan lebih ramai remaja melakukannya akibat daripada pendedahan subjek itu.


Wujud pro dan kontra berkaitannya, selain mahu perkataan pendidikan seks ditukar kepada pendidikan kesihatan reproduktif yang difikirkan lebih sesuai dan menepis persepsi masyarakat, bahawa projek itu menggalakkan remaja melakukan seks bebas.


Justeru, tindakan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dengan kerjasama Kementerian Pelajaran dan agensi berkaitan menggerakkan projek perintis kesihatan reproduktif melalui kokurikulum di sekolah itu dianggap sebagai langkah positif ke arah penyelesaian masalah lebih berkesan.


Projek yang dilaksanakan menerusi Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) itu di lima sekolah terpilih iaitu Pulau Pinang, Selangor, Kuala Lumpur, Kelantan dan Terengganu itu juga antara lain diharap dapat membendung kes kehamilan luar nikah.


Idea utamanya bukan menjadikan pendidikan kesihatan reproduktif itu satu subjek, tetapi satu modul kukuh di sekolah.


Ketua Pengarah LPPKN, Datuk Aminah Abdul Rahman, berkata sudah tiba masanya projek berkenaan diperkenalkan selepas melihat trend remaja yang berubah pada zaman ini serta pelbagai bentuk keruntuhan sosial di kalangan golongan itu.


Katanya, berdasarkan kajian daripada pelbagai pihak termasuk LPPKN, wajar projek itu diperkenalkan sebelum diperluaskan secara menyeluruh di semua 10,000 sekolah di seluruh negara.


“Remaja mempunyai banyak masalah, kekurangan pengetahuan, jati diri, mudah terpengaruh, teruja mencuba perkara baru, tiada kemahiran atau kekuatan untuk berkata tidak ketika berhadapan dengan situasi membahayakan.


“Oleh itu, dalam projek perintis itu yang diadakan sebagai satu ko-kurikulum pelajar dapat memberikan banyak maklumat dan pendedahan kepada mereka khususnya maklumat kesihatan reproduktif termasuk mengenai definisi seksualiti, nilai dan tanggungjawab berkaitannya,” katanya.


Selain itu, berdasarkan modul, fokus projek kepada pelajar berusia 16 tahun itu juga didedahkan kepada tingkah laku membawa kepada risiko kehamilan, HIV atau AIDS dan penyakit jangkitan seksual, tingkah laku berisiko mengundang HIV, kesan pengguguran, pembuangan bayi dan rogol.


Dalam projek disediakan itu pelajar diberi input seperti teknik menghindarkan seks sebelum berkahwin kerana ia adalah perkara asas yang perlu diketahui mereka terjebak kepada kehamilan luar nikah.


Aminah menambah walaupun, mengikut kajian purata pelajar melakukan seks sekitar mereka berumur 17 tahun, namun memang sudah ada laporan pelajar seawal 10 tahun juga terdedah kepada gejala itu.


Cuma, katanya, projek perintis membabitkan lima sekolah membabitkan 308 pelajar iaitu seramai 157 pelajar lelaki dan 151 perempuan menyertai bengkel itu akan menjadi penanda aras untuk program seterusnya dan penambahbaikkan dilakukan.


“Kita akan lihat dulu dan pantau program itu. Berdasarkan program ini, kita juga akan dapat kenal pasti mana-mana pelajar yang sudah terbabit dengan gejala itu. Kemudian kita sediakan program khusus untuk pelajar sedemikian mengubah diri dan tidak terjebak lagi,” katanya.


Beliau tidak menolak kemungkinan, projek sama dengan modul tersendiri juga akan diperkenalkan kepada semua peringkat usia pelajar, pada masa depan.


Katanya, program sama juga akan membabitkan ibu bapa supaya dapat mengubah persepsi mereka yang sebilangannya beranggapan ia memberi kesan negatif serta menggalakkan lebih ramai melakukan seks bebas.


Penyertaan ibu bapa adalah penting kerana mereka adalah tunggak dalam institusi kekeluargaan. Malangnya, berdasarkan sambutan, LPPKN agak kecewa kerana setakat ini hanya 50 ibu bapa yang berminat menyertai projek berkenaan.


“Bagi saya, bengkel ini banyak memberi manfaat kepada ibu bapa dalam membantu mendidik anak, dapat memahami tingkah laku remaja pada zaman ini, mengajar mengesan bermula dari peringkat awal kesihatan reproduktif. Semua maklumat dan pengetahuan ini memudahkan mereka berkomunikasi dengan anak mengenai perkara itu,” katanya.