Friday, August 28, 2009

Tabung Ukhuwah Rawatan Dr Hafidzi Mohd Nor Dilancarkan



Ikhwah dan Akhawat yang dirahmati Allah SWT.

Berita mengenai perkembangan kesihatan sahabat kita yang dikasihi telahpun disebarkan dalam Naqib-Net baru-baru ini sebelum kita menyambut Ramadhan Al-Mubarak. Mesyuarat JKP Ke-20 yang lepas telahpun membincangkan perkara ini dan keputusan telahpun dimaklumkan oleh SUA. Satu JK telah dibentuk untuk merancang rawatan dan kutipan dana untuk membantu Akhi Dr.Hafidzi Mohd Nor. Sebahagian antum telahpun mula menyumbang.JZKK. Pledges dan sumbangan sehingga hari ini hampir 50K.

Ana bagi pihak JIM dan JK Rawatan dengan ini secara rasminya melancarkan Tabung Ukhuwah Rawatan HMN.

Dr Hafidzi – Yang Berat Sama Dipikul Yang Ringan Sama Dijinjing

Kenali Dr Hafizi Mohd Nor

Prof Madya Dr Hj Hafidzi Mohd Noor berusia 46 tahun berasal dari Seremban, Negeri Sembilan dan kini menetap di Bandar Baru Bangi, Selangor Darul Ehsan. Berkelulusan PhD Zoology (University of Aberdeen, Scotland) dan kini bertugas sebagai Pensyarah di Jabatan Perlindungan Tumbuhan, Fakulti Pertanian, Universiti Putra Malaysia. Berkahwin dengan Hajjah Zuraidah Kornain dan dikurniakan tiga orang cahayamata.

Beliau merupakan pendakwah dan aktivis kemasyarakatan sejak masih menuntut di universiti sehinggalah hari ini. Antara jawatan yang pernah dan sedang disandang oleh beliau ialah Pengerusi JIM INTERNATIONAL (1999–2000), Setiausaha Agong JIM (2001–2003), Mantan Naib Presiden JIM (2004–2005) dan Pengarah PACE (Palestine Centre of Excellence). Beliau juga sering menjadi tetamu Jemputan dan wawancara (TV/Akhbar Harian/Majalah), Radio IKIM (Ruangan Duniaku Buku dan Slot Fast-2-Fund untuk Palestin), Media Prima: TV3 (Buletin Utama), Astro Awani dan aktif menulis dalam Utusan Malaysia, Berita Harian, The Star, Majalah i, Majalah ANIS, Majalah Ummi.

Selain dari itu beliau juga sering dijemput untuk mengendalikan kursus-kursus motivasi belajar dan persediaan menghadapi peperiksaan di sekolah-sekolah. Memberikan kuliah bulanan mengenai Sejarah Islam di Nusantara di Masjid Negeri Shah Alam dan beberapa buah masjid dan institusi di sekitar Kuala Lembah Kelang.

Kasihnya Pada Palestin

Kasihnya pada Palestin memang tidak terungkap oleh kata-kata. Beliau begitu komited dalam memperjuang isu Palestin secara aktif semenjak tahun 1999. Tanpa penat lelah. Ketika sihat dan sakit. Beliau secara berterusan berceramah di surau, masjid, pejabat, kilang, sekolah, jabatan dan institusi kerajaan.

Program kecil atau besar, selagi ia atas nama Palestine, dia akan berdiri penuh bersemangat memberikan pengisian dan perkongsian. Tidak sedikit program kecil dan besar yang beliau sertai. Cukuplah disenarai beberapa program di antara banyak program yang melibatkan beliau.

Antaranya program Nakbah dengan Kerajaan Negeri Kedah pada bulan Jun 2008, Program bersama Pejabat Mufti Kerajaan Negeri Perlis pada bulan Julai 2008 dan Forum al Quds anjuran gabungan NGO Indonesia di Jakarta pada bulan Ogos 2008.

Selain dari isu palestin, keprihatinannya terhadap keadaan umat Islam memang tidak pernah disembunyikannya. Beliau pernah mengulas dan menjadi ahli panel isu-isu antarabangsa Umat Islam – Kempen Bantah Serangan Afghanistan dan Kempen Anti Perang Iraq.

Beliau juga tidak melepaskan kesempatan untuk bersama dalam misi-misi kemanusiaan, antaranya :

  1. Menyertai misi kemanusiaan ke Mindanao (pasca perang tahun 2001) - melawat kem-kem pelarian umat Islam di Cotabatu dan Maguindanao.
  2. Mengetuai misi kemanusiaan ke Maluku ketika berlaku rusuhan RMS (Republik Maluku Selatan) dan pembunuhan beramai-ramai umat Islam di Maluku (2000).
  3. Mengetuai misi Kasih Aceh pasca tsunami pada tahun 2005 di bawah anjuran JIM-PKS (Indonesia).

Rindunya Pada Kegemilangan Ummah dan Islam

Rindunya pada kegemilangan ummah dan Islam sering dilontarkan dalam penulisan dalam forum maya atau media cetak. Beliau bukan sahaja berkongsi ilmu malah mendidik masyarakat melalui penulisannya. Antara buku-buku penulisan beliau ialah :

1. Ciri-ciri Pelajar Cemerlang

2. Panel Penulis Ensaiklopedia Sejarah dan Kebudayaan Melayu (DBP)

3. Panel Penulis Ensaiklopedia Sains untuk pelajar (DBP)

4. Israel: Kenapa Dunia Tidak Boleh Mengiktirafnya (JIM Media)

5. Berdamai Dengan Israel Berapa Harganya (JIM Media)

6. Dalang di Palestin: Hamas atau Israell (JIM Media & PACE)

7. Jejak Risalah di Nusantara 1: Dari Pra Islam Hingga Era Admiral Muhammad Cheng Ho (JIM Media)

8. Lambaian Kaabah (Penulisan bersama isteri Zuraidah Kornain) (JIM Media)

Azam Dan Keinginan Sentiasa Kuat, Namun Ujian Penyakit Membataskan Pergerakan

Azamnya dan keinginannya sentiasa kuat. Namun sebagai insan, kita semua diuji. Beliau turut diuji dengan sakit buah pinggang “Polycystic Disease of the Kidneys”. (It is a rare disease but is Autosomal Dominant,-.inherited.) yang semakin hari semakin membataskan pergerakan dan kekuatan fizikalnya.

Setelah 5 tahun melalui proses dialisis, kesakitan yang dialaminya semakin kuat sehingga ada ketikanya ia membataskan pergerakan insan yang sentiasa ingin mencurahkan baktinya pada ummah dan agama.

Walaupun semangatnya sangat kental dan keinginannya sentiasa kuat, beliau terpaksa akur dengan keadaan fizikalnya. Kerana cita-cita dan kerja-kerja dakwah yang baginya masih banyak untuk dilaksanakan. Beliau mula mencari ruang untuk mendapatkan rawatan lanjut seperti pembedahan buah pinggang agar beliau dapat terus memperjuangkan apa yang ingin sangat dilihat iaitu kemenangan palestin dan kegemilangan ummah dan Islam dimana-mana jua diatas muka bumi ini.

Namun, atas sikapnya yang tidak suka meminta-minta membuatkan pendakwah ini terus berusaha mendapatkan kos rawatan bersama keluarganya. Kalau boleh mereka ingin berdikit-dikit mengumpul perbelanjaan dan menjual apa-apa aset yang dimiliki untuk membiayai kos pemindahan buah pinggangnya yang dijangka menelan belanja lebih kurang RM250 ribu.

Atas Dasar Ukhuwah Islamiah

Memandangkan Dr Hafidzi bukanlah pendakwah yang bergerak sendirian. Segala perjuangannya selama ini juga bukan atas agenda peribadi. Beliau adalah seorang ikhwah yang sangat komited dengan apa juga tugas dakwah yang diberikan kepadanya.

Oleh itu, kita berasa sangat dukacita jika seorang ikhwah yang sangat komited dan kini sedang menderita sakit dibiarkan menguruskan keadaannya sendirian.

Atas dasar ukhuwwah Islamiah, Jawatan Kuasa Tabung Ukhuwah Dana Perubatan Dr Hafidzi Mohd Nor ditubuhkan dan diluluskan dalam mesyuarat bulanan JKP pada Ogos yang lalu.

Tujuan penubuhan tabung ini ialah untuk mengumpul dana sebanyak RM250K bagi menampung kos pemindahan buah pinggang Dr Hafidzi. Jawatankuasa ini juga berperanan mengenalpasti kaedah rawatan lain dengan nasihat pegawai perubatan yang merupakan ahli JK ini.

Yang Berat Sama Dipikul, Yang Ringan Sama Dijinjing

Yang berat sama dipikul, yang sama dijinjing. Ukhuwah bukanlah satu ikatan yang boleh diterjemahkan dengan kata-kata semata-mata. Terjemahan terbaik tanda kasih dan ukhuwah seorang sahabat kepada sahabatnya yang lain ialah melalui perbuatan.

Sebagai peringatan marilah kita hayati apa yang ditulis oleh Iman Al-Ghazali tentang sahabat. Menurut al-Ghazali, Alqamah berpesan kepada puteranya, katanya: “Wahai anakku! Kiranya engkau berasa perlu untuk bersahabat dengan seseorang, maka hendaklah engkau memilih orang yang sifatnya seperti berikut”:

Jika engkau membuat bakti kepadanya, dia akan melindungimu. Jika engkau rapatkan persahabatan dengannya, dia akan membalas baik persahabatanmu itu. Jika engkau memerlukan pertolongan daripadanya berupa wang dan sebagainya, dia akan membantumu. Jika engkau menghulurkan sesuatu kebaikan kepadanya, dia akan menerimanya dengan baik. Jika dia mendapat sesuatu kebajikan (bantuan) daripadamu, dia akan menghargai dan menyebut kebaikanmu. Jika dia melihat sesuatu yang tidak baik daripadamu, dia akan menutupnya. Jika engkau meminta sesuatu bantuan daripadanya, dia akan mengusahakannya. Jika engkau berdiam diri (kerana malu untuk meminta), dia akan menanyakan kesusahanmu. Jika datang sesuatu bencana menimpa dirimu, dia akan meringankan kesusahanmu (membuat sesuatu untuk menghilangkan kesusahan itu). Jika engkau berkata kepadanya, nescaya dia akan membenarkanmu. Jika engkau merancang sesuatu, nescaya dia akan membantumu. Jika kamu berdua berselisih faham, nescaya dia lebih senang mengalah untuk menjaga kepentingan persahabatan.

Ayuh! Bersegeralah Menyumbang

Marilah kita segera memberikan sumbangan kepada Dr Hafidzi Mohd Nor dalam Bulan Ramadhan yang penuh rahmat ini. Sumbangan antum akan dilipatganda ganjaran oleh Allah SWT.

Sumbangan boleh dilakukan melalui :

a. "bank in" terus ke akaun Bank Islam - a/c: 1403-2010-0092- 52

b. Sumbangan atas nama : Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia.

c. Tunai - kaunter Ibu Pejabat JIM Pusat, Tmn Melawati

Sila nyatakan sumbangan seperti "bank in slip" melalui emel, faks atau telefon -

Emel : amrullahjim09@yahoo.com @ NaqibNet-Operasi@yahoogroups.com

Faks : 03-4107 1754

Telefon: 03-4108 9669

Sasaran

JK sedang merancang untuk mempercepatkan rawatan beliau bermula di bulan Ramadhan ini. InsyaAllah jika ke China mungkin pada September/Oktober.

Penutup

Semoga segala sumbangan ikhlas antum akan dihitung sebagai amal salih dan dilipatganda di bulan Ramadhan Al-Mubarak ini di hari perhitungan nanti di hadapan Allah SWT Pencipta Alam ini.

JK Tabung Ukhuwah Dana Perubatan Dr.Hafidzi

Sahrim Haji Ahmad (Pengerusi)

Prof. Dr. Abd. Latiff Mohamed

Dr.Hj.Selamat Aliman

Dato’ Hj.Mustafa Kamal Mohd Zaini

Roha Hassan

Jusri Jusoh


7 Ramadhan 1430

28 Ogos 2009

Prof. Madya Dr. Hafidzi Mohd. Noor - PACE

Sumber : Bicara Agama, Utusan Malaysia
ARKIB : 04/03/2008

Jangan putus asa berjuang untuk Palestin


Dr. Hafidzi Mohd. Noor.

Ilmuwan Islam
Kekejaman puak zionis terhadap masyarakat Islam Palestin tidak pernah reda. Dalam kes terbaru, Israel melancarkan serangan roket yang mengorbankan sekurang-kurangnya tujuh rakyat Palestin termasuk kanak-kanak berusia sebulan.

Biarpun, dari segi geografinya kita dan Palestin agak jauh namun sebagai saudara seIslam, kita sewajarnya turut mengambil berat serta membantu mereka.

Ini sebagaimana firman Allah: Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat. (al-Hujurat: 10)

Kepada wartawan MOHD. RADZI MOHD. ZIN dan jurufoto HAYAT SUEET, Pengarah Pusat Kecemerlangan Palestin (PACE), Prof. Madya Dr. Hafidzi Mohd. Noor membincangkan isu ini.

Apakah keadaan terkini umat Islam di Palestin?

DR. HAFIDZI: Sebenarnya situasi di Gaza tidak banyak berubah dalam tempoh satu dua bulan ini. Malah, ia semakin gawat sebenarnya.

Cuma kalau kita mahu gambaran sebenar kita tidak boleh bergantung kepada media antarabangsa Barat. Sebabnya mereka lebih diselubungi isu lain terutama pemilihan Presiden Amerika Syarikat (AS). Di Malaysia pula, kita juga lebih tertumpu kepada kempen Pilihan Raya Umum ke-12.

Saya ada mendapat maklumat terkini daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iaitu Azzaituna Institute yang beribu pejabat di Beirut. Pertubuhan ini menangani isu Palestin dan juga nasib pelarian.

Daripada mereka gambaran di Palestin adalah seperti berikut:

*Tiada lagi transaksi masuk atau keluar bekalan makanan, kecuali yang sangat asas dan itu pun sangat minimum dan sebahagian besarnya adalah melalui agensi Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB). Sebagai gambaran, suri rumah di Semenanjung Gaza hanya membelanjakan 10 peratus daripada perbelanjaan mereka sebelum ini. Contohnya, kalau sebelum ini suri rumah membelanjakan RM100 seminggu, kini mereka hanya belanja RM10 seminggu.

*Israel juga menyekat bekalan klorin yang mana sebelum ini sudah pun berhadapan dengan krisis air. Klorin ini digunakan untuk merawat air minuman kerana ia membunuh bakteria. Apabila Israel sebelum ini menyekat bekalan minyak, telaga-telaga air di Palestin sudah tidak boleh digunakan kerana telaga ini menggunakan pam yang memerlukan tenaga elektrik untuk berfungsi. Dilaporkan kira-kira satu pertiga (1/3) daripada pam tidak berfungsi bermakna 1/3 daripada penduduk Palestin tidak dapat bekalan air bersih.

*Dari segi kesihatan, setakat Januari lalu 75 pesakit mati akibat peralatan hospital tidak berfungsi. Alat-alat seperti bantuan pernafasan, mesin hemodialisis dan inkubator semuanya tidak berfungsi kerana ketiadaan bekalan elektrik.

*Penduduk Gaza juga berhadapan

dengan serangan roket Israel setiap hari. Disebabkan peralatan hospital banyak yang tidak berfungsi, sudah tentulah mereka yang cedera tidak akan dapat rawatan yang sewajarnya.

*Bilangan pengangguran di Palestin kini mencecah 50 peratus setakat Januari lalu. Sebabnya kilang-kilang perusahaan tidak dapat beroperasi. Apabila tidak bekerja, maka sudah tentu tidak dapat menyediakan keperluan asas keluarga.

*Situasi ini diburukkan lagi apabila pada 20 Januari lalu, Israel menyekat bekalan minyak. Natijahnya, hampir seluruh Gaza bergelap. Stesen janakuasa sedia ada hanya mampu bekalkan elektrik ke 1/3 kawasan Gaza. Selebihnya dibekalkan oleh Israel sebelum ini.

Melihatkan kepada perbuatan zalim dan ganas Israel seolah-olah tiada berakhirnya penderitaan rakyat Palestin. Jadi apakah penyelesaian dalam hal ini?

DR. HAFIDZI: Kita perlu kembali kepada asas isu. Siapakah yang menceroboh, lakukan penjajahan dan melanggar hak asasi manusia. Jawapannya, tidak syak lagi yang berada di pihak yang salah ialah Israel.

Jadi, kalau nak selesai Israel kena berundur dari wilayah yang ditaklukinya iaitu Tebing Barat, Semenanjung Gaza dan Baitul Maqdis Timur. Memang ini pun Resolusi 242 yang dibuat di PBB pada 1967.

Pada tahun 2005, Israel berundur dari Gaza dan memindahkan semua pendatang haram Israel. Namun, pada masa yang sama, rejim zionis itu melakukan sekatan udara, laut dan darat. Dengan kata lain, Gaza masih terus terjajah.

Apabila isu ini tidak mendapat pembelaan masyarakat antarabangsa, sudah tentulah rakyat Palestin perlu membela diri sendiri. Ini adalah tindakan semula jadi manusia.

Para pejuang Palestin menyerang sebab mahu mempertahankan diri dan melepaskan daripada kepungan.

Bagaimanapun, media antarabangsa Barat pula sering melabelkan serangan itu sebagai kumpulan pengganas. Apakah kesannya dalam jangka panjang?

DR. HAFIDZI: Kadang-kadang media Barat dan masyarakat antarabangsa tidak adil menilai situasi di Gaza. Mereka lebih banyak menguar-uarkan serangan oleh pejuang Palestin tetapi tidak kaitkan langsung serangan Israel ke atas penduduk Palestin.

Apalah sangat kesan serangan pejuang Palestin yang hanya guna roket buatan sendiri berbanding Israel yang menggunakan segala kekuatan tentera baik kereta kebal, serangan udara dan juga meriam.

Roket pejuang Palestin ini jarang mengenai sasaran dan boleh dibilang rakyat Israel yang cedera atau terkorban disebabkannya. Dalam tempoh dua tahun ini, tidak sampai 10 rakyat Israel yang terbunuh.

Walhal setiap kali serangan Israel membunuh 10 ke 20 penduduk Palestin. Malah, kanak-kanak kecil dan wanita kerap menjadi mangsa kekejaman zionis.

Apa pula tindakan negara-negara Arab dalam hal ini?

DR. HAFIDZI: Saya suka membahagikan isu ini kepada dua iaitu pemimpin Arab dan masyarakat Arab.

Rakyat Arab memang amat prihatin terhadap apa yang berlaku di Gaza. Antara sebab ia masih bertahan sehingga kini ialah bantuan daripada masyarakat Arab dan saudara yang berdekatan.

Sebagai contoh, apabila Israel menyekat bekalan ubat-ubatan, Persatuan Doktor di Mesir mengumpulkan 5 juta pound membeli bekalan ubat-ubatan untuk dihantar ke Gaza.

Pergerakan Ikhwan Muslimin pula bersetuju mengetepikan 25 peratus pendapatan mereka untuk disalurkan kepada rakyat Palestin.

Cuma masalahnya ialah para pemimpin Arab. Untuk menyelesaikan isu serantau begini ia perlukan campur tangan rasmi kerajaan. Dan di sinilah para pemimpin Arab gagal.

Sebabnya, pemimpin yang ada itu tunduk kepada kehendak dasar luar AS atas kepentingan peribadi atau politik. Negara-negara Arab kini setidak-tidaknya sudah ada hubungan dagang dengan Israel menyebabkan mereka tidak bersungguh dalam isu Palestin.

Mereka lebih pentingkan hubungan dagang itu dan bimbang jika cuba ‘khianati’ syarat damai sebelum ini, mereka mungkin dikenakan tindakan oleh AS.

Contohnya, apabila Tembok Rafah diletupkan oleh rakyat Palestin untuk mendapatkan bekalan makanan di Mesir, ia ditutup semula atas desakan Israel. Alasan Israel, supaya Palestin tidak diceroboh oleh kumpulan pengganas.

Kerajaan Mesir nampaknya tunduk kepada Israel mengatasi tanggungjawabnya kepada penduduk Gaza.

Apakah nasib perjanjian damai yang kononnya mahu dimuktamadkan sebelum Presiden Bush tamatkan penggalnya tahun 2009?

DR. HAFIDZI: Memang Bush sudah beberapa kali cuba mencari jalan damai dalam isu ini. Bukan beliau sahaja, malah ia dilakukan oleh semua presiden AS sebelum ini. Mereka cuba mencipta nama dengan wujudkan usaha damai di Asia Barat tetapi semuanya gagal.

Sebab utama kegagalan ialah Israel sendiri yang tidak bersungguh-sungguh sejak tahun 1948 lagi. Hamas yang muncul pada 1987 hanya dijadikan alasan untuk tidak mahu berdamai. Apa yang mereka mahukan ialah penjajahan yang berkekalan.

Apakah peranan yang boleh dimainkan oleh Malaysia dalam isu ini?

DR. HAFIDZI: Kita berada dalam kedudukan yang baik untuk membantu sebagai Pengerusi Persidangan Negara-negara Islam (OIC).

Sewajarnya, usaha menjuarai isu ini di peringkat antarabangsa sehingga ke PBB dilakukan. Ruang ini belum kita terokai dengan baik.

Kita masih ada ruang menghulurkan pelbagai bantuan. Beberapa NGO seperti Aman Palestin, Jamaah Islah Malaysia dan PACE adalah antara yang aktif menggerakkan kesedaran masyarakat dalam isu ini.

Media juga diharap membantu mengetengahkan isu ini untuk elak rakyat beranggapan isu ini dah reda. Hakikatnya, keadaan makin tenat.

Kita sememangnya telah, sedang dan akan bantu Palestin. Yang penting jangan putus asa. Ingatlah sabda Rasulullah s.a.w, Seorang Muslim itu adalah bersaudara dengan muslim yang lain. Dia tidak boleh menganiayanya dan tidak boleh menyerahkannya (kepada musuhnya). (Muttafak alaihi)

Sayyid Qutb rela mati membela tauhid


SEORANG pejuang menegakkan kalimah tauhid, Sayyid Qutb, kembali ke rahmatullah 41 tahun lalu. Tokoh dilahirkan pada 9 Oktober itu adalah penulis kitab Fi Zilal Al-Quran, Ma'alim Fi Tariq dan Al-Mustaqbal li haza ad-Din.

Memang ada perbahasan mengenai metod Sayyid Qutb dalam tulisan yang tegas menyatakan kesesatan masyarakat moden berkaitan penghakiman yang tidak merujuk kepada Allah.

Bagaimanapun sejarah Sayyid Qutb perlu diulas sebagai sebahagian daripada perjalanan seorang tokoh yang rela mengorbankan diri untuk membela tauhid yang diyakini kebenarannya.

Sayyid Qutb gugur di tiang gantungan pada 20 Ogos 1966. Ia dikenali sebagai tokoh yang berjuang di jalan Allah, menyerahkan seluruh hidupnya untuk Allah. Seorang mukmin yang begitu kuat keyakinannya. Ia persembahkan nyawa yang murah kepada keyakinan dan akidahnya.

Beliau melalui bertahun usia terakhir di penjara. Ia tuangkan jiwa dan fikiran yang luar biasa dalam lembar tulisan tangannya dengan untaian kata penuh makna dan bernilai sastera. Hampir semua orang yang membacanya, akan rasa getar hati nurani dan fikirannya.

Sayyid Qutb mendapat pendidikan pertama di rumah, daripada orang tuanya yang kuat dan taat beragama. Ketika usia enam tahun, Qutb dihantar ke sekolah rendah di kampungnya, Assiyut. Pada usia tujuh tahun, ia mula menghafal al-Quran dan tiga tahun kemudian menghafal seluruh Al-Quran.

Awal dekad 1940-an, satu era baru bermula dalam kehidupan Sayyid Qutb. Dalam karya pada 1939, beliau mulai menulis beberapa siri At-Taswir Fanni Fi Quran. Tulisan ini mengupas indahnya seni yang ada dalam ayat al-Quran.

Pada 1945, beliau menulis kitab Masyahidul Qiamah Fi Quran yang isinya menggambarkan peristiwa hari kiamat dalam al-Quran. Pada 1948, Sayyid Qutb menghasilkan Al-Adalah al-Ijtima'iyyah Fi Islam atau Keadilan Sosial dalam Islam, menyatakan bahawa keadilan masyarakat sejati hanya akan tercapai apabila masyarakat menerapkan sistem Islam.

Fasa terakhir perjalanan Sayyid Qutb bermula pada 1951, waktu beliau mula bergabung dengan Jama'ah al-Ikhwan al-Muslimun, sehingga beliau meninggal di tali gantung pada 1966. Baginya, masa itu sangat penting dan kerana itu beliau menyatakan 1951 adalah tahun kelahirannya.

Sayyid Qutb bergabung bersama al-Ikhwan al-Muslimun, dua tahun selepas meninggal Imam Hassan al-Banna, pelopor al-Ikhwan pada 1949. Mereka tidak pernah bertemu muka meskipun dilahirkan tahun yang sama 1906 dan mendapat pendidikan di Darul Ulum.

Walaupun begitu, mereka mempunyai kesatuan jiwa dan persamaan orientasi berfikir. Sebelumnya, ketika Hassan al-Banna membaca buku Al-'Adalah al-Ijtima'iyyah Fi Islam karya Sayyid Qutb, dia menganggap pengarang adalah sebahagian daripada Al-Ikhwan. Lalu, Al-Banna menyatakan bahawa ‘orang ini’ (Sayyid Qutb) tidak lama lagi akan bergabung bersama Al-Ikhwan.

Sayyid Qutb juga mempunyai perasaan yang sama terhadap Hassan al-Banna. Kematian al-Banna sangat terasa dalam jiwanya, walaupun belum pernah bersama dengan al-Banna. Berita kematian al-Banna diterimanya dengan perasaan menyayat hati ketika dirawat di sebuah hospital di Amerika.

Disebabkan orang Amerika bergembira menyambut berita kematian al-Banna, selepas pulang dari Amerika, Sayyid Qutb mengkaji kehidupan al-Banna dan membaca seluruh risalah karangannya. Seterusnya ia pun memutuskan untuk memikul amanah perjuangan Hassan al-Banna.

Pesan utama Sayyid Qutb yang ditekankan dalam tulisan adalah konsep al-Tauhid dari sudut al-Uluhiyyah. Menurutnya, inti tauhid Uluhiyyah adalah hak Allah daripada sudut al-Hakimiyyah dan al-Tasyri (pembuatan peraturan).

Beliau berkata, ikrar syahadah adalah pernyataan revolusi terhadap seluruh kedaulatan yang berkuasa di atas muka bumi-Nya. Maka seluruhnya itu mesti dikembalikan kepada hak-Nya.

Pada 13 Januari 1954, Revolusi Mesir melarang al-Ikhwan al-Muslimun dan pimpinannya ditangkap kerana dituduh hendak merampas kuasa. Tanpa bukti yang jelas, tujuh pemimpin tertinggi al-Ikhwan dijatuhi hukuman mati, termasuk Hassan Hudhaibi, Abdul Qadir Audah dan Syeikh Muhammad Farghali, ketua sukarelawan Mujahidin Ikhwan al-Muslimin di dalam Perang Suez 1948.

Tetapi hukuman terhadap Hassan Hudhaibi diubah menjadi penjara seumur hidup dan Sayyid Qutb dihukum penjara 15 tahun dengan kerja berat.

Pada 1964, Sayyid Qutb dibebaskan atas permintaan peribadi Presiden Iraq, Abdul Salam Arif tetapi pemerintahan Revolusi Mesir belum menerima pembebasan itu. Selepas Presiden Abdul Salam Arif meninggal dalam satu musibah pesawat, Sayyid Qutb ditangkap semula pada tahun berikutnya.

Alasannya beliau dituduh hendak merampas kuasa. Selain itu, Mahkamah Revolusi merujuk pada buku Sayyid Qutb terutama Ma'alim Fi Tariq, yang menyatakan seruan revolusi terhadap seluruh kedaulatan yang tidak berdasarkan syariat Allah.

Sayyid Qutb ditahan bersama seluruh anggota keluarganya. Sebelum hukuman gantung dilaksanakan, Presiden Naser menghantar utusan menemui Sayyid Qutb. Melalui utusan itu Presiden Naser meminta Sayyid Qutb menulis pernyataan memohon ampun supaya ia dibebaskan.

Bagaimanapun Sayyid Qutb dengan tegas menjawab: “Telunjuk yang bersyahadah setiap kali dalam solat menegaskan bahawa tiada Tuhan yang disembah dengan sebenarnya melainkan Allah dan Muhammad adalah Rasulullah, dan aku takkan menulis satu perkataan yang hina. Jika aku dipenjara kerana kebenaran, aku reda. Jika aku dipenjara kerana batil, aku tidak akan menuntut rahmat daripada kebatilan.”

Pada pagi Isnin, 29 Ogos 1966, Sayyid Qutb digantung bersama sahabat seperjuangannya, Muhammad Yusuf Hawwasy dan Abdul Fatah Ismail. Dunia Islam kehilangan salah seorang pejuangnya yang berani mempertaruhkan nyawanya untuk membela kalimah tauhid.



Sumber : http://wacana-sq.blogspot.com/

Wednesday, August 26, 2009

JIM anjur Rayuan Ramadan

KUALA LUMPUR: Sempena sambutan bulan Ramadan, Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM) menganjurkan program Rayuan Ramadan iaitu sebuah program penajaan berbuka puasa dan sedekah khusus untuk diagihkan kepada negara Islam yang miskin dan ditimpa musibah.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Penerangan Pertubuhan JIM, Wan Mohd Zukri Che Mat Zin berkata, JIM menganjurkan program sedemikian sejak mula diperkenalkan pada 1999 dengan hanya membabitkan 10 negara termasuk Sudan, Palestin, Filipina (Mindanao), Sri Lanka serta Malaysia.Beliau berkata, mereka mensasarkan 60,000 penerima tahun ini berikutan penambahan bilangan negara fakir seperti Pakistan, Bangladesh, Burma (Rohingya), Iraq dan Turkestan Timur.

“Bagi mereka yang ingin menderma, sumbangan boleh dilakukan melalui transaksi dan dua bank iaitu dengan menulis Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia di Bank Islam dengan nombor akaun 1211301000597 dan Bank Muamalat dengan nombor akaun 14030000391713 ataupun sumbangan secara online dengan melayari laman web www.jim.org.my/e-bazar,” katanya.

Sumber : Harian Metro 25/08/2009

Hak dan adab Ramadan

Panel PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN

ALLAHU akbar wa lillahil hamd! Dengan kuasa dan kurnia Yang Maha Berkuasa, yang mana segala puji-pujian kembali hadrat-Nya, sekali lagi kita dipertemukan dengan bulan Ramadan. Haniian lakum!

Setinggi-tinggi tahniah diucapkan kepada semua umat Islam yang bersama-sama memasuki gerbang Ramadan yang penuh kemuliaan dan keberkatan ini.

Selain daripada amal ibadah khusus, sudah menjadi suatu adat kita menyambut kedatangan Ramadan dengan mengisi ruang-ruang majlis ta'lim, kuliah dan ceramah dengan peringatan tentang kepentingan hakikat dan kelebihan Ramadan.

Walaupun kita mendengar nas-nas yang sama diulang-ulang oleh para ulama dan pendakwah, sebenarnya proses tazkirah Ramadan atau peringatan-peringatan sempena Ramadan adalah persiapan mental-spiritual yang sangat penting serta menjadi kunci yang menentukan mutu dan kualiti penghayatan Ramadan kita.

Ini kerana memang menjadi prinsip dalam agama kita bahawa bagi setiap amal ibadah kita sebagai hamba, sudut dalaman dan maknawi ibadah itulah yang merupakan maksudnya dan penentu nilainya yang utama.

Inilah yang dapat kita fahami di sebalik pelbagai nas dan kaedah seperti hadis, Sesungguhnya setiap amalan itu tergantung pada niatnya dan bagi seseorang itu apa yang diniatkannya… (riwayat Bukhari dan Muslim) serta hadis yang bermaksud "Niat seorang Mukmin itu lebih baik daripada amalannya".

Falsafah yang sama juga dapat diselami di sebalik sepotong hadis Qudsi yang bermaksud, Allah berfirman, "Aku menurut sangkaan (dzan) seseorang hambaKu padaKu".

Oleh itu, walaupun kita sudah saban tahun berpuasa Ramadan, kita tidak harus memandang rendah kepentingan mengingatkan diri kita tentang segala fadilat, kaifiyat dan rahsia Ramadan.

Ia agar kita dapat menghayatinya dengan sebaik-baik niat, azam, pengharapan dan husnu dzan (bersangka baik) yang dengannya, insya-Allah, akan mengangkat tinggi mutu Ramadan kita.


Kita dibekalkan oleh Allah SWT melalui Rasul-Nya SAW sekian banyak nas-nas yang mengingatkan kita tentang keistimewaan Ramadan yang sebahagiannya telah kita himbau pada minggu lepas.

Namun, rasanya antara yang paling istimewa dan jelas adalah sepotong hadis yang kaedah penyampaiannya juga menarik. Abu Hurairah r.a meriwayatkan dalam Sahih Ibnu Hibban, "Bahawa Nabi SAW telah menaiki mimbar lalu bersabda, "Amin. Amin. Amin". Baginda pun ditanya, "Wahai Rasulullah SAW, sesungguhnya engkau telah menaiki mimbar lalu mengucapkan Amin. Amin. Amin?"

Sabda Baginda SAW, "Sesungguhnya Jibril a.s telah datang kepadaku dan berkata, "Sesiapa yang berkesempatan bertemu Ramadan, tetapi tidak diampunkan dosa-dosanya, maka dia akan masuk neraka dan Allah menjauhkannya (dari rahmatNya), ucapkanlah (Wahai Muhammad), 'Amin', maka saya pun mengucapkan 'Amin'.

Sesiapa yang sempat bersama kedua ibu bapanya atau salah seorang daripada keduanya tetapi tidak melakukan kebajikan kepada keduanya kemudiannya dia mati, maka dia akan masuk neraka dan Allah menjauhkannya (dari rahmat-Nya), ucapkanlah (Wahai Muhammad), 'Amin', maka saya pun mengucapkan 'Amin'. Sesiapa yang disebut di sisinya namamu tetapi tidak mengucapkan selawat ke atasmu kemudiannya dia mati, maka dia akan masuk Neraka dan Allah menjauhkannya (dari rahmat-Nya), ucapkanlah (Wahai Muhammad), 'Amin', maka saya pun mengucapkan 'Amin'.

keampunan

Hadis ini mengingatkan kita bahawa peluang mendapatkan keampunan dan Tuhan di Ramadan begitu istimewa. Sehingga sesiapa yang gagal memanfaatkan peluang tersebut cukuplah kelalaiannya itu untuk memasukkan dirinya ke neraka dan menjauhkannya daripada rahmat Allah.

Semoga Allah menjauhkan kita daripada tergolong dalam golongan itu.

Walaupun kita menegaskan niat dan adab hati dalam menghayati Ramadan itu lebih utama, sudah tentu kaifiyat dan cara amalinya juga harus benar dan betul, rukun dan syaratnya, wajib dan sunatnya.

Cuma janganlah pula aspek ini yang menjadi sumber pertikaian dan pertengkaran. Samalah seperti amal ibadat dan hukum-hakam kita yang lain, segalanya sudahpun dihuraikan oleh para ulama umat ini yang adil lagi amanah.

Ilmu berkaitannya tersusun rapi dalam kerangka syariat dan fiqh mengikut mazhab-mazhab yang muktabar.

Telah jelas dinyatakan persoalan-persoalan mana yang muktamad dan mengikat serta isu-isu mana yang masih nisbi (relatif) dan khilafiah yang memberi ada ruang untuk kita berbeza pandangan dan cara amalan.

Bila kita boleh dan bagaimana caranya kita berbeza pandangan dengan penuh hormat dan tanpa menjejaskan ukhuwah juga telah jelas digariskan oleh para ulama.

Mengikut pandangan-pandangan yang muktamad dalam mazhab-mazhab yang muktabar termasuklah Mazhab Shafie yang telah dipilih oleh ulama, umarak dan umat rantau ini sejak sekian lama adalah bererti kita bersungguh-sungguh cuba menghayati Ramadan mengikut cara Nabi SAW.

Pandangan muktamad dalam mazhab-mazhab muktabar adalah pandangan-pandangan terpilih oleh generasi demi generasi para ulama terpilih dan terbaik umat ini.

Mempertikaikan kerangka tasawwur Islam bermazhab atas nama dan slogan 'Berpuasa mengikut al-Quran dan sunnah' atau 'Berpuasa mengikut cara Nabi SAW' adalah suatu kecenderungan dan pendekatan yang berbahaya dan boleh menimbulkan perpecahan dalaman Umat yang dibenci oleh Allah SWT.

Jika kita tidak berhati-hati, hari-hari Ramadan kita akan terbazir pada perselisihan pendapat dan pertengkaran yang sepatutnya dapat dielakkan.

Sebaiknya marilah kita menghitung-hitung dan menumpukan kepada sebanyak mungkin hak dan adab Ramadan yang patut kita tunaikan dengan sesempurna mungkin.

Sekadar sebagai tazkirah atau peringatan, berikut disenaraikan secara am dan ringkas, perkara-perkara wajib, sunat dan penyempurnaan puasa bulan Ramadan sebagai amalan khusus bulan ini.

Perkara wajib puasa:
i. Mengetahui permulaan Ramadan.
ii. Berniat pada setiap malam Ramadan
iii. Menahan diri daripada makan dan minum, jimak, mengeluarkan mani atau muntah dengan sengaja pada siang hari.


Perkara sunat puasa:
i. Bersahur.
ii. Melambat-lambatkan sahur.
iii. Menyegerakan berbuka.
iv. Meninggalkan bersugi setelah tergelincir matahari.
v. Membanyakkan sedekah dan meluaskan belanja bagi keluarga serta menggandakan amalan kebajikan yang lain.
vi. Membanyakkan tadarus al-Quran.
vii. Memperbanyakkan iktikaf di dalam masjid.


Selain perkara-perkara asas di atas, kita juga diajar melalui perantaraan para ulama untuk menjaga perkara-perkara yang menyempurnakan puasa kita, moga-moga kita beroleh puasa ahli Khawas iaitu puasa mereka yang soleh dan bertakwa. Antara perkara itu adalah:
i. Menunduk dan memejamkan mata dari perkara yang tidak sepatutnya.
ii. Memelihara lidah daripada perkataan yang haram dan sia-sia.
iii. Memelihara telinga daripada benda-benda yang haram, makruh dan sia-sia.
iv. Menjaga tangan, kaki dan anggotanya yang lain daripada perkara yang haram, makruh dan sia-sia.
v. Menjaga perutnya ketika berbuka daripada benda-benda yang haram atau syubhat.
vi. Tidak terlalu memenuhkan perutnya dengan makanan yang halal apabila berbuka.
vii. Sentiasa merasa khauf (takut) kiranya puasanya tidak diterima Allah SWT dan raja' (harap) agar-agar Allah SWT menerima puasanya.


Begitulah tujuh perkara yang boleh menyempurnakan lagi puasa kita walaupun ada lagi diriwayatkan pelbagai amalan mereka yang lebih tinggi martabatnya di sisi Tuhan seperti menahan diri daripada apa-apa keinginan dan keasyikan duniawi serta mengosongkan diri dari memikirkan selain daripada Allah SWT dan Akhirat sebagai sebahagian daripada puasa Ramadan.

Marilah kita bersama-sama berusaha bersungguh-sungguh memburu rahmat dan keampunan Allah di bulan Ramadan ini dengan memelihara segala hak dan adab-adabnya, semoga Allah SWT memperkenankan dan mengizinkan. Amin Ya Rabbal 'alamin, Ramadan Karim! Kullu 'aam wa antum bi khayr.

(Rujukan utama: buku Tazkirah Ramadan oleh Muhammad Fuad Kamaluddin al-Maliki, Sofa Productions, Kuala Lumpur: 2002)

Wednesday, August 19, 2009

MAWD TITIWANGSA 16 OGOS 2009

Alhamdulillah, MAWD Daerah Titiwangsa telah selamat berlangsung pada Ahad, 16 Ogos 2009 yang lalu di Pusat Komuniti JIM, Taman Melawati pada 10.00 pagi - 12.30 tghari.

Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada Dr Niekmah Adam, Ketua Wanita JIM KL yang sudi hadir bagi menyampaikan amanat dan merasmikan MAWD. Amanat, nasihat dan pandangan yang disampaikan dalam ucapan perasmian akan dijadikan panduan berguna untuk kami, insyaAllah.

Kami juga ingin mengucapkan terima kasih kepada semua ahli dan AJK yang dapat bersama mengikuti dan menyempurnakan MAWD kali ini.

Berikut disenaraikan barisan kepimpinan yang diputuskan oleh MAWD :-

Barisan AJK Wanita JIM Titiwangsa Sesi 2009-2011
Ketua Wanita : Arbayah Samion
Tim K. Wanita : Siti Zaidatul Akma Mohamad
Setiausaha : W Rasna W Rashid
Bendahari : Nik Roslini Nik Mansor
Penolong SU : Khadijah Riza Atiq
AJK : Jawiah Darmawan, Rozana Hussein, Ustazah Zaiton Nasri

Tahniah kepada barisan kepimpinan baru serta barisan kepimpinan sesi lepas, semoga Allah memudahkan urusan kita dalam menggerakkan aktivitisma di jalan dakwah.

Semoga segala pengorbanan dan usaha murni kita yang sedikit ini mendapat keredhaan Allah SWT.

Jzkk.



Friday, August 07, 2009

Kenyataan Media Wanita JIM - Penahanan ISA

PENDIRIAN TERHADAP PENAHANAN WANITA DAN KANAK-KANAK DALAM HIMPUNAN MANSUHKAN ISA 1 OGOS 2009.

Wanita JIM membantah keras tindakan pihak keselamatan menahan puluhan wanita dan kanak-kanak dalam Himpunan Mansuhkan ISA yang diadakan di ibu kota Kuala Lumpur pada hari Sabtu, 1 Ogos yang lalu.

Wanita JIM menganggap penahanan tersebut adalah satu tindakan yang amat tidak wajar memandangkan kelompok wanita dan kanak-kanak ini bukanlah kelompok yang bertindak ganas dan merusuh atau menimbulkan kacau bilau. Malahan kelompok wanita dan kanak-kanak adalah merupakan golongan yang sepatutnya dilindungi dan dijaga kebajikan mereka dalam sebarang suasana terutamanya dalam situasi yang tegang.

Harus diingat, golongan wanita dan kanak-kanak yang ditahan baru-baru ini adalah merupakan sekelompok rakyat biasa yang ingin menggunakan hak mereka yang dijamin oleh perlembagaan Malaysia, untuk berhimpun secara AMAN bagi menyuarakan keprihatinan dan sokongan mereka terhadap usaha memansuhkan akta kejam ISA.

Wanita JIM mendesak agar pihak berwajib menghentikan segala taktik kotor dan menakut-nakutkan (harassment) melalui penahanan golongan wanita dan kanak-kanak secara rambang sepertimana yang berlaku pada Sabtu lepas.

Wanita JIM juga menggesa pihak kerajaan memansuhkan segera akta kejam ISA yang memberi kesan amat negatif kepada keluarga tahanan ISA terutamanya para isteri dan anak-anak yang masih bergantung kepada suami dan bapa mereka. Penahanan tanpa bicara di bawah akta kejam ISA memisahkan para suami dan bapa dari keluarga mereka tanpa sebarang pembelaan. Isteri dan anak-anak ditinggalkan tertanya-tanya apakah sebenarnya kesalahan `besar’ suami dan bapa kesayangan mereka sehingga dipenjarakan bertahun-tahun lamanya. Tiada mahkamah yang mengadili mereka, tiada pembuktian ke atas tuduhan melulu yang dikenakan, tiada tempoh dan had masa hukuman yang ditetapkan - menjadikan keluarga tahanan ISA hilang punca dan ditinggalkan meraba-raba dalam kegelapan dan ketidakpastian.

Sampai bilakah negara Malaysia yang tercinta ini harus mempunyai satu akta yang sama sekali tidak adil, kuno dan tidak bertepatan dengan ciri-ciri ketamadunan yang boleh dibanggakan?

Yakinlah, semua rakyat Malaysia boleh terus hidup aman sejahtera tanpa belenggu akta kejam ISA. Untuk masa depan yang lebih sempurna, mansuhkan akta ISA segera!

Prof. Madya Dr. Harlina Halizah Siraj
Ketua Wanita JIM Pusat

Kenyataan Media JIM - Perhimpunan Mansuhkan ISA

Perhimpunan Aman Mansuhkan ISA

Jamaah Islah Malaysia, JIM, berpandangan perhimpunan aman Mansuhkan ISA pada 1 Ogos berjaya menarik perhatian masyarakat Malaysia dan antarabangsa tentang Akta Keselamatan dalam Negeri 1960 yang zalim. Ia masih segar dibincangkan dalam media dan di kalangan masyarakat hingga ke hari ini. Tindakan susulan polis serta kes mahkamah yang akan berjalan akan memastikan ingatan masyarakat sentiasa segar tentang kezaliman akta ini.

ISA ini zalim kerana:

1. tidak memberi hak bela diri di mahkamah bebas (no judicial review),
2. tempoh penahanan tanpa had, dan
3. tidak berasaskan pembuktian

Akta ini, walaupun asalnya untuk menangani kebangkitan bersenjata, telah disalahgunakan untuk tujuan politik seperti dalam penahanan DS Anwar Ibrahim, Teresa Kok, Dato’ Ahmad Sebi, DS Zahid Hamidi, Dato’ Zambry, Ahmad Azam, YB Mohd Sabu, YB Saari Sungib dan ramai lagi. Tidak pelikkah, mereka yang dianggap pengancam keselamatan negara ini kini berada dalam pemerintahan negara?

Akta ini juga telah digunakan untuk tujuan yang pelik-pelik seperti penahanan mereka yang dituduh terlibat memalsukan kad pengenalan, mengklon telefon, melindungi pendatang tanpa izin dan memalsukan wang. Oleh kerana tuduhan seperti ini mudah dibuktikan untuk pendakwaan di mahkamah, penggunaannya menimbulkan keraguan tentang keselamatan siapa yang sebenarnya dilindungi.

Pihak kerajaan menyatakan bahawa banyak cara lain untuk mengusahakan pemansuhan ISA. Kerajaan juga katanya kini sedang mengkaji semula akta ini. Dalam masa yang sama kerajaan menyatakan ISA seperti yang sedia ada, disokong oleh majoriti masyarakat. Sebenarnya banyak usaha yang telah dijalankan oleh masyarakat madani, sejak Operasi Lalang, 1987 lagi. Operasi Dalil menyemarakkan usaha terpadu masyarakat madani melalui Gerakan Mansuhkan ISA. SUHAKAM membuat kajian yang menyeluruh dan memberi cadangan yang amat membina. Komuniti antarabangsa juga memberikan tekanan. Keputusan PRU12 yang lalu juga sepatutnya memberi iktibar kepada kerajaan. Memorandum sudah banyak dihantar. Isu ini juga telah ditimbulkan di Parlimen. Dua Dewan Undangan Negeri telah membuat ketetapan. Tun Abdullah pun telah menyatakan pandangan. Perhimpunan aman 1 Ogos 2009 merupakan satu lagi usaha.

Kerajaan sebenarnya tidak serius dan sengaja melambat-lambatkann ya. Walaupun YAB PM telah memaklumkan akan mengkaji akta ini, tidak dimaklumkan badan atau jawatankuasa mana yang dipilih untuk melakukannya. Dalam masa yang sama cadangan dari SUHAKAM sedang reput dalam simpanan kerajaan.
Perhimpunan 1 Ogos 2009 benar-benar aman. Tidak ada sekeping cermin tingkap pun yang pecah, yang dilaporkan setakat ini, melainkan cermin sebuah kereta yang pecah angkara terkena kelongsong gas pemedih mata yang dilepaskan oleh polis. Tidak ada kenderaan yang diterbalikkan. Tidak ada tayar yang dibakar di tengah-tengah jalan.

Hak untuk berhimpun dengan aman termaktub dalam Perlembagaan Malaysia sebagai Kebebasan Asasi (Fundamental Liberties) dan disebut dalam Perkara 10 (1) (b): “semua warganegara adalah berhak berhimpun secara aman dan dengan tidak bersenjata” (all citizens have the right to assemble peacefully and without arms).

Dalam negara yang bertamadun, polis membantu menjayakan perhimpunan aman. Pihak polis akan berkawal agar perhimpunan berjalan dalam keadaan baik dan teratur. Kawalan keselamatan dan pergerakan kenderaan diatur dengan baik.. Sekatan jalanraya di jalan-jalan masuk ke Pusat Bandaraya ada tidak perlu. Mengejar rakyat yang tidak bersenjata adalah tidak perlu. Mendera rakyat dengan tembakan pemedih mata dan simbahan air asid adalah tidak perlu dan keterlaluan.

Perdana Menteri menyalahkan perhimpunan rakyat sebagai punca kesesakan jalanraya sedangkan punca utama adalah sekatan-sekatan jalanraya oleh pihak polis. Jika pihak berkuasa boleh mengurus dengan baik lalulintas dan penutupan jalanraya semasa “Le Tour de Langkawi” dan pelbagai sambutan, mereka juga boleh berbuat demikian pada 1 Ogos 2009.

Tindakan susulan seperti mendakwa ibu bapa dan menuntut gantirugi dari panganjur akan memburukkan lagi imej kerajaan yang telah sedia tercemar dengan isu-isu lain. Jika kerugian penjaja sebanyak yang dihebahkan akhbar, ada baiknya Jabatan Hasil dalam Negeri memberi perhatian.

Zaid Kamaruddin
Presiden

Wednesday, August 05, 2009

Press Statement : Answering Jeff Ooi

YB Ooi Chuan Aun, Member of Parliament for Jelutong, better known as Jeff Ooi, is still campaigning to remove Mohd Razali Abdullah, a Penang Municipal Councillor from the OSC (One-Stop Centre) Committee.

Jeff Ooi had persistently cited Mohd Razali’s membership of Jamaah Islah Malaysia (JIM), an Islamic NGO, as the reason for calling for his removal. To Ooi, Mohd Razali’s membership of JIM put him in a conflict-of- interest situation, alleging that he will put the Islamic interest before the interest of the Pakatan Rakyat and the people.. We assert that the Islamic interest would also serve the good interest of the people. We are confident that his Islamic credentials and professional experience will make him better equipped for the assigned responsibility.

YB Ooi was also reported to have said that Mohd Razali’s appointment was a “dangerous precedent”, alluding to JIM’s vision of a Malaysia that fully implements the syariah. If YB Ooi had not noticed, living by the syariah (Islam) would be the shared aspiration of Muslims not only in Malaysia but all over the world. We are perplexed as to why an appointment of a person that is true to Islam be a dangerous precedent. Islam had been around for so long that surely, peoples’ recent misunderstandings and prejudices against it would not efface its nobility or its relevance to society. This is the same Islam that built a modern civilisation which had great influence on the West. This was the safe haven that welcomed the Jews from the terror of the Inquisition. It would not be beyond the common man to understand and appreciate its beauty.

JIM will continue to advocate for the understanding of Islam as Islam is. We prefer to present Islam as a choice, work on building an acceptance and consensus while leaving it to the people to make their choice. Contrary to Ooi’s assumption, we believe our position has a stronger claim according to the Malaysian Constitution than the secular position he seemed to be championing.

As a responsible NGO we stand for preserving peace, upholding law and order and justice for all. We will continue to campaign for human rights and dignity, good governance (transparency, accountability, efficiency) and for the empowerment of the individuals and communities through effective participation in the democratic process.

Mohd Razali was a PKR appointee to the OSC committee, appointed on the basis of his political association and not for his NGO affiliation. As this is an internal matter, we urge the Pakatan Rakyat and the Penang Government to look into the underlying reasons for this very public spat. However, we expect Mohd Razali to be judged by his performance.

Zaid KamaruddinPresidentPertubuhan Jamaah Islah Malaysia
Press Statement

4 Ogos 2009

APAKAH BENAR ENGKAU PEJUANG

Engkau ingin berjuang tapi tidak mampu menerima ujian
Engkau ingin berjuang tapi engkau rosak oleh pujian
Engkau ingin berjuang tapi tidak sepenuhnya menerima pimpinan

Engkau ingin berjuang tapi tidak begitu setia kawan
Engkau ingin berjuang tapi tidak sanggup berkorban
Engkau ingin berjuang tapi ingin jadi pemimpin
Engkau ingin berjuang, menjadi pengikut agak segan

Engkau ingin berjuang, tolak ansur engkau tidak amalkan
Engkau ingin berjuang tapi tidak sanggup menerima cabaran
Engkau ingin berjuang, kesihatan dan kerehatan tidak sanggup engkau korbankan
Engkau ingin berjuang tapi tidak mampu menerima ujian

Engkau ingin berjuang tapi engkau rosak oleh pujian
Engkau ingin berjuang tapi tidak sepenuhnya menerima pimpinan
Engkau ingin berjuang, masa tidak sanggup engkau luangkan

Engkau ingin berjuang, karenah isteri tidak kau tahan
Engkau ingin berjuang, rumah tangga lintang pukang
Engkau ingin berjuang, diri engkau tidak engkau tingkatkan
Engkau ingin berjuang, disiplin diri engkau abaikan
Engkau ingin berjuang, janji kurang engkau tunaikan
Engkau ingin berjuang, kasih sayang engkau cuaikan
Engkau ingin berjuang, tetamu engkau abaikan

Engkau ingin berjuang, anak isteri engkau lupakan
Engkau ingin berjuang, ilmu berjuang engkau tinggalkan
Engkau ingin berjuang, kekasaran dan kekerasan engkau amalkan
Engkau ingin berjuang, pandangan engkau tidak diselaraskan
Engkau ingin berjuang, rasa bertuhan engkau abaikan
Engkau ingin berjuang, iman dan taqwa engkau lupakan

Yang sebenarnya, apa yang engkau hendak perjuangkan…


Firman Allah: Katakanlah: “Jika bapa-bapa, anak-anak, saudara-saudara, isteri-isteri,kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamukhawatiri kerugiannya, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, adalahlebih kamu cintai daripada Allah dan Rasul-Nya dan (dari) berjihad di jalan-Nya,maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusan-Nya.” Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang fasik. (Surah At Taubah ayat 24)

Sunnah Berjuang

berjuang menempah susah
menanggung derita menempah fitnah
itulah gelombang hidup samudera duka
seorang mujahid memburu syahid

dibuang dia berkelana
dipenjara dia uzlah
di bunuh syahid
namun jiwa tetap mara menuju cita
membara demi Allah dan Rasulnya

berjuang tak pernah senang
ombak derita tiada henti
tenang tegang silih berganti
inilah sunnah orang berjuang

malamnya bagai rahib merintih sayu
dihiris dosa airmata
siangnya bagaikan singa di rimba
memerah keringat meluah tenaga

berjuang ertinya terkorban
rela terhina kerana kebenaran
antara dua pasti terjadi
tunggulah syahid atau menang