Friday, August 07, 2009

Kenyataan Media JIM - Perhimpunan Mansuhkan ISA

Perhimpunan Aman Mansuhkan ISA

Jamaah Islah Malaysia, JIM, berpandangan perhimpunan aman Mansuhkan ISA pada 1 Ogos berjaya menarik perhatian masyarakat Malaysia dan antarabangsa tentang Akta Keselamatan dalam Negeri 1960 yang zalim. Ia masih segar dibincangkan dalam media dan di kalangan masyarakat hingga ke hari ini. Tindakan susulan polis serta kes mahkamah yang akan berjalan akan memastikan ingatan masyarakat sentiasa segar tentang kezaliman akta ini.

ISA ini zalim kerana:

1. tidak memberi hak bela diri di mahkamah bebas (no judicial review),
2. tempoh penahanan tanpa had, dan
3. tidak berasaskan pembuktian

Akta ini, walaupun asalnya untuk menangani kebangkitan bersenjata, telah disalahgunakan untuk tujuan politik seperti dalam penahanan DS Anwar Ibrahim, Teresa Kok, Dato’ Ahmad Sebi, DS Zahid Hamidi, Dato’ Zambry, Ahmad Azam, YB Mohd Sabu, YB Saari Sungib dan ramai lagi. Tidak pelikkah, mereka yang dianggap pengancam keselamatan negara ini kini berada dalam pemerintahan negara?

Akta ini juga telah digunakan untuk tujuan yang pelik-pelik seperti penahanan mereka yang dituduh terlibat memalsukan kad pengenalan, mengklon telefon, melindungi pendatang tanpa izin dan memalsukan wang. Oleh kerana tuduhan seperti ini mudah dibuktikan untuk pendakwaan di mahkamah, penggunaannya menimbulkan keraguan tentang keselamatan siapa yang sebenarnya dilindungi.

Pihak kerajaan menyatakan bahawa banyak cara lain untuk mengusahakan pemansuhan ISA. Kerajaan juga katanya kini sedang mengkaji semula akta ini. Dalam masa yang sama kerajaan menyatakan ISA seperti yang sedia ada, disokong oleh majoriti masyarakat. Sebenarnya banyak usaha yang telah dijalankan oleh masyarakat madani, sejak Operasi Lalang, 1987 lagi. Operasi Dalil menyemarakkan usaha terpadu masyarakat madani melalui Gerakan Mansuhkan ISA. SUHAKAM membuat kajian yang menyeluruh dan memberi cadangan yang amat membina. Komuniti antarabangsa juga memberikan tekanan. Keputusan PRU12 yang lalu juga sepatutnya memberi iktibar kepada kerajaan. Memorandum sudah banyak dihantar. Isu ini juga telah ditimbulkan di Parlimen. Dua Dewan Undangan Negeri telah membuat ketetapan. Tun Abdullah pun telah menyatakan pandangan. Perhimpunan aman 1 Ogos 2009 merupakan satu lagi usaha.

Kerajaan sebenarnya tidak serius dan sengaja melambat-lambatkann ya. Walaupun YAB PM telah memaklumkan akan mengkaji akta ini, tidak dimaklumkan badan atau jawatankuasa mana yang dipilih untuk melakukannya. Dalam masa yang sama cadangan dari SUHAKAM sedang reput dalam simpanan kerajaan.
Perhimpunan 1 Ogos 2009 benar-benar aman. Tidak ada sekeping cermin tingkap pun yang pecah, yang dilaporkan setakat ini, melainkan cermin sebuah kereta yang pecah angkara terkena kelongsong gas pemedih mata yang dilepaskan oleh polis. Tidak ada kenderaan yang diterbalikkan. Tidak ada tayar yang dibakar di tengah-tengah jalan.

Hak untuk berhimpun dengan aman termaktub dalam Perlembagaan Malaysia sebagai Kebebasan Asasi (Fundamental Liberties) dan disebut dalam Perkara 10 (1) (b): “semua warganegara adalah berhak berhimpun secara aman dan dengan tidak bersenjata” (all citizens have the right to assemble peacefully and without arms).

Dalam negara yang bertamadun, polis membantu menjayakan perhimpunan aman. Pihak polis akan berkawal agar perhimpunan berjalan dalam keadaan baik dan teratur. Kawalan keselamatan dan pergerakan kenderaan diatur dengan baik.. Sekatan jalanraya di jalan-jalan masuk ke Pusat Bandaraya ada tidak perlu. Mengejar rakyat yang tidak bersenjata adalah tidak perlu. Mendera rakyat dengan tembakan pemedih mata dan simbahan air asid adalah tidak perlu dan keterlaluan.

Perdana Menteri menyalahkan perhimpunan rakyat sebagai punca kesesakan jalanraya sedangkan punca utama adalah sekatan-sekatan jalanraya oleh pihak polis. Jika pihak berkuasa boleh mengurus dengan baik lalulintas dan penutupan jalanraya semasa “Le Tour de Langkawi” dan pelbagai sambutan, mereka juga boleh berbuat demikian pada 1 Ogos 2009.

Tindakan susulan seperti mendakwa ibu bapa dan menuntut gantirugi dari panganjur akan memburukkan lagi imej kerajaan yang telah sedia tercemar dengan isu-isu lain. Jika kerugian penjaja sebanyak yang dihebahkan akhbar, ada baiknya Jabatan Hasil dalam Negeri memberi perhatian.

Zaid Kamaruddin
Presiden