Monday, October 12, 2009

Sahabat Untuk Dikasihi, Bukan Disakiti (01)

Assalamualaikum wbt...

Insya-Allah pada 22 Oktober yang bakal tiba, saya akan ke Tanah Suci sehingga 05 Disember 2009. Mohon doakan, mudah-mudahan Allah mudahkan segala urusan saya sebelum, ketika dan selepas kembali kelak.

Hari-hari terakhir sebelum menjadi tetamu Allah, saya luangkan masa menyiapkan segala persediaan. Di samping itu memanfaatkan baki masa yang ada untuk muhasabah diri, antaranya perjalanan perjuangan sejak tahun 1990 bersama JIM. Maklumlah hari-hari terakhir ini saya harus menyiapkan sebanyak mungkin tugasan pejabat, dakwah, JIM dan peribadi.

Ketika menyelak amanah dan janji-janji yang belum tertunai, memang tidak boleh mengelakkan diri untuk mengimbas kembali sebanyak mungkin wajah sahabat-sahabat sejak di bangku sekolah, IPT dan ketika bekerja.

Tambahan pula beberapa minggu kebelakangan ini memang kedapatan beberapa situasi yang melibatkan diri saya dan beberapa sahabat!

Di samping itu, di kesempatan begini kalau dapatlah saya berjumpa dan memohon maaf kepada seramai mungkin saudara mara dan sahabat handai memang terasa, alangkah bagus dan bertuahnya.

Manakala bila dihitung betul-betul jumlah sahabat handai yang saya ada, saya dapati yang paling ramai dan sering saya berhubung ialah ikhwah dan akhawat JIM. Yakin benar! Bukan perasan je! Insya-Allah.

Jemaah dan Sahabat

Jemaah dan sahabat! Itulah antara dua perkara yang sangat penting dalam kehidupan saya. Selama saya mula menggabungkan diri dengan JIM, saya jelas dan yakin dengan niat dan tujuan saya. Untuk bersama mencapai hasrat menegakkan syariat Islam di muka bumi ini.

Saya sedar JIM bukanlah sama dengan Persatuan Sain dan Matematik yang pernah saya pimpin semasa di sekolah dulu. Ada wawasan besar yang perlu saya capai sebaik sahaja menggabungkan diri dengan JIM.

Masa mula-mula menggabungkan diri dengan JIM. Gadis remaja yang bukan dari aliran agama yang bernama Roha ini, ketika itu, berasa sungguh istimewa bila ahli-ahli JIM dinamakan “ikhwah” dan “akhawat” menggantikan perkataan ahli-ahli lelaki dan wanita. Bertambah indah bila ungkapan, “ukhti” dan “akhi” juga sering digunakan dalam berkomunikasi disamping gelaran kakak, abang, pak cik, mak cik. Kedengarannya, memang sopan dan akrab.

Bila mengimbas penggunaan perkataan-perkataan yang indah dan istimewa ini, saya teringatkan satu kisah. Baru-baru ini, seorang sahabat telah bergaduh suami isteri apabila beliau membahasakan dirinya “akhi” ketika berkomunikasi dengan saya serta sahabat wanita yang lain. Bila dianalisa, barulah saya mengerti. Mereka berdua sama-sama tidak betul-betul faham maksud disebalik perkataan tersebut. Selalu jika sahabat ini nak bertanya sesuatu kepada saya dia akan menulis, ”Roha, akhi nak maklumkan, tugasan tersebut telah selesai” ataupun, ”akhi sudah menguruskan sumbangan kepada sipolan dan sipolan”.

Maka, beberapa kalilah suami isteri ini bertengkar kerana perkataan ”akhi” ini. Suami menggunakan, ”akhi” mewakili perkataan ”abang”, sedangkan siisteri menyangka perkataan "akhi" itu mewakili sejenis "hubungan mesra".

Oh Tuhan...kadang- kadang kita rasa malas melayan hal yang kita rasa remeh temeh. Namun, mereka berdua adalah sahabat kami. Tiada yang remeh dalam persahabatan. Sesungguhnya ”Sahabat Adalah Untuk Dikasihi Bukan Untuk Disakiti”. Dengan sabar dan perlahan-lahan kami menerangkan kepada kedua-duanya maksud sebenar disebalik perkataan ”ukhti” dan ”akhi” hingga suasana sejuk kembali.

Begitulah dalam bersahabat, hal yang sekecil inilah yang selalu dibisik-bisikan oleh syaitan sehingga membibitkan perasaan tidak senang sesama sendiri. Kemudian secara tidak sedar, saling menjauhkan diri....

Saya Bukan Along, Tapi Mau Tolong

Beberapa minggu kebelakangan ini, saya juga telah menyemak segala hutang piutang dengan lebih teliti terutamanya dengan saudara mara dan sahabat handai. Kalau boleh tidak mahu bertangguh-tangguh lagi. Saya memang tidak cukup kaya dari sudut harta benda. Bukan Bank. Bukan Along. Saya cuma suka menolong!

Tapi dua minggu lalu, saya dihadiahkan dengan berita bahawa nama saya telah disenaraihitamkan oleh sebuah bank. Memang terasa pedih juga pada mulanya. Manakan tidak, ini angkara sahabat sendiri.

12 tahun yang lalu saya telah menjamin seorang akhawat yang kesempitan dan memerlukan. Dan hari ini dia telah menyebabkan saya disenaraihitamkan sebab dia tidak membayar hutang.

Syaitan dan manusia berbisik kepada saya, “bodohnya kamu jamin dia, orang sekarang memang tidak boleh percaya”. “Ish kalau Along, lama dah mati”. “Tak sangka orang baik-baik boleh jadi macam tu”. “Padan muka hang, orang JIM tu kan ....”. Macam-macam bisikan syaitan dan manusia mendatangi.

Lalu saya jawab pada suara-suara tersebut, “Saya tolong sahabat ini dulu dengan tulus ikhlas kerana disaat itu, beliau dalam keadaan amat memerlukan. Mudah-mudahan semua ini tidak memusnahkan niat asal saya dulu ”

Lalu, saya menghubungi dua tiga ikhwah akhawat untuk minta pandangan dan nasihat kerana ini pengalaman pertama saya. Tambahan saya nak ke Mekah, bimbang pulak akan kemungkinan negatif yang boleh berlaku.

Maka dari situ, saya mendapat maklumat bahawa;
- Saya bukanlah orang pertama yang menjamin ikhwah, akhawat dan mengalami situasi begini.
- Ada sahabat yang meminjam tapi susah untuk menepati waktu ketika membayar hutang.
- Ada juga sahabat memberi hutang akhirnya disakiti oleh sahabat yang berhutang dengan lidahnya, apabila hutang dituntut disebabkan oleh sahabat tersebut amat terdesak dan memerlukan wang

Oh Tuhan! Bukan salah berhutang! Tapi teramat salah jika kita tidak berusaha, berusaha dan terus berusaha sehingga berjaya membayar hutang. Bak kata akhawat dalam kes ketiga diatas, ”kalau dia bayar kak sebulah rm50 atau rm 20 pun kira OK sebab dah lebih 10 tahun dia pinjam RM20K dari Kak”. Ini tak, sudah lebih 10 tahun, tak ada bayaran langsung!

Kerana kasihkan sahabat, tak pasal-pasal diriku menanggung hutang beberapa puluh ribu.

Maka saya pujuk diri ini, Ya Allah atas apa jua sebab perkara ini terjadi ke atasku. Aku redha. Kalau kejadian ini akan menjadi penyebab bergandanya rezekiku di masa hadapan, aku redha. Kalau kejadian ini sebagai kifarat dosa-dosaku yang sememangnya banyak itu, aku redha dan jika kejadian ini sebagai pembersihan terhadap segala harta benda ku, aku redha jua”.

Namun, bagi saya, ”sahabat adalah untuk dikasihi bukan untuk disakiti”. Maka, dikesempatan ini, saya mohon, sekiranya ada saya ini berhutang dengan mana-mana ikhwah dan akhawat yang mana saya terlupa atau belum membayarnya. Mohon hubungi saya sebelum saya berangkat ke tanah suci.

Jangan biarkan saya menyakiti sahabat dengan melambat-lambatkan atau tidak berusaha untuk menyelesaikan hutang piutang saya dengan kalian.

"Sahabat untuk dikasihi, bukan untuk disakiti"

jzkk
Roha Hassan