Friday, January 29, 2010

Polis Diminta Kembalikan Nikmat Rasa Selamat dan Aman Kepada Wanita Malaysia

KENYATAAN MEDIA

UNTUK EDARAN SEGERA


Tarikh: 29 Januari 2010


POLIS DIMINTA KEMBALIKAN NIKMAT RASA SELAMAT DAN AMAN KEPADA WANITA MALAYSIA


Wanita KEADILAN merasa kesal dengan insiden anggota PDRM yang telah menembak cedera seorang wanita, ibu tunggal, Norizan Salleh, yang tidak disabit dengan apa-apa kesalahan atau jenayah.


Wanita tersebut telah ditembak beberapa kali dalam insiden kejar-mengejar dengan kereta polis dan kini wanita itu mengalami kecederaan kekal yang memerlukan rawatan berterusan. Beliau tidak mendapat sebarang bantuan dari kerajaan dan tidak diberi pampasan akibat kesilapan mencederakan beliau oleh anggota PDRM.


Wanita KEADILAN juga merasa kesal dengan sikap anggota PDRM yang kasar dan tidak bersikap wajar dalam melayani wanita mangsa yang cedera. Wanita tersebut telah ditendang dengan sepenuh daya ketika keluar dari kenderaan dan mengakibatkan patah tulang rusuknya. Kesihatan dan keupayaan fizikal beliau kini terjejas.


Wanita KEADILAN ingin mempersoalkan tindakan anggota PDRM yang telah menggunakan senjata api terhadap suspek yang jelas tidak memiliki sebarang senjata. Ia menimbulkan kegusaran dan persepsi bahawa anggota PDRM bertujuan wewenang mencedera dan boleh membunuh suspek. Wewenangan seumpama itu adalah penyalahgunaan kuasa dan keganasan yang wajar dibanteras.


Keganasan terhadap wanita, dalam apa jua situasi, merupakan suatu perkara yang sangat ditentang dan diselar oleh Dasar Wanita Negara dan Konvensyen-Konvensy en Antarabangsa. Sikap anggota PDRM yang belum faham tentang asas yang sedemikian menimbulkan tanda tanya apakah lain-lain kakitangan dan jentera kerajaan juga tidak peka dengan etika dan prosedur kerja yang menitikberatkan tiada keganasan terhadap wanita, terutamanya yang memerlukan bantuan dan rawatan.


Sekali lagi Menteri Wanita, Shahrizat Abdul Jalil telah gagal mendidik sebahagian kakitangan awam supaya adil dan peka gender dalam perlaksanaan tugasan mereka dan berlaku wajar ketika melayani mangsa, khususnya wanita, yang disyaki dengan kesalahan.


Wanita KEADILAN menuntut agar kerajaan Malaysia mengambil tindakan disiplin ke atas anggota PDRM yang sabit dan memberi keadilan kepada mangsa tersebut dengan menjamin keselamatan dan menawarkan pampasan yang wajar kepada beliau kerana kesilapan anggota PDRM yang terbabit. Mangsa juga perlu diberi bantuan rawatan percuma sepanjang hayat oleh Kerajaan Malaysia agar beliau boleh menjalani kehidupan dan masa depannya dengan baik dan sihat.


BIRO PENERANGAN
WANITA KEADILAN


Delivered to you by / Dihantarkan kepada saudara melalui:


BIRO KOMUNIKASI
PARTI KEADILAN RAKYAT
A-1-09, Merchant Square
No. 1, Jalan Tropicana Selatan 1
47410 Petaling Jaya
Tel: +603 7885 0530
Fax: +603 7885 0531
E-mail: komunikasi@keadilan rakyat.org
Web: www.keadilanrakyat. org