Friday, February 19, 2010

TASK FORCE SEMPENA VALENTINE DAY 14 Feb 2010

TASK FORCE SEMPENA VALENTINE DAY 14 Feb 2010
JIM dibawah Jawatankuasa Pusat Belia yang diterajui oleh Saudara Wan Muhammad Wan Ibrahim telah bersama-sama dengan lebih 100 ahli Remaja dan Belia JIM dalam program Task Force Cegah Zina pada Hari Valentine Day bertarikh 14hb Februari yang lepas.


Program ini dianjurkan dengan kerjasama antara JAWI, PUM dan JIM. Program ini bertujuan untuk membenteras aktiviti-aktiviti zina yang sering berlaku menjelang Hari Valentine yang dikenali juga di dunia dan di Malaysia sebagai hari memperingati kekasih. Di samping itu rentetan kempen No Panties yang telah dilancarkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab, JAWI, PUM dan JIM semakin berkobar-konar mengatur langkah untuk mengempur remaja dan belia yang berkumpul pada malam hari tersebut dengan pendekatan dakwah dan hikmah.


Dalam menyambut seruan rakan kerjasama JAWI dan PUM ini, pihak JIM yang diketuai oleh Wan Muhammad Wan Ibrahim telah memberikan maklumat kepada ahli-ahli Remaja dan Belia JIM yang ingin terlibat dalam program ini agar berkumpul di Masjid Jamek, Kuala Lumpur sekitar Jam 6 petang. Ini bertujuan untuk mengelakkan kelewatan dalam menyertai taklimat program gerak gempur yang dijadual akan diadakan sejurus selepas Isyak sebagaimana yg dimaklumkan kepada beliau sebagai wakil pihak JIM.


Namun berlaku sedikit perubahan jadual oleh pihak penganjur yg diterajui oleh JAWI. Kesan daripada itu berlaku kelewatan taklimat yang membawa kepada taklimat tersebut diadakan sekitar jam 10 malam. Kelewatan yg berlaku ini adalah diluar bidang kuasa JIM.


Namun kelewatan itu tidak menjejaskan komitmen ahli-ahli Remaja dan Belia JIM untuk melakukan gerak gempur pada malam tersebut bersama-sama JAWI dan PUM. Mereka telah bersama-sama melaksanakan dakwah dengan hikmah kepada pasangan-pasangan yang mereka temui dalam aktiviti yang dirancang. Dengan penuh kesedaran dan kesabaran, pihak penganjur berusaha agar dapat bersama-sama membanteras aktiviti kurang bermoral di kalangan remaja dan belia di Malaysia terutamanya yang melibatkan masyarakat Islam.


Wakil JIM memohon maaf atas kekurangan yang wujud kepada ahli-ahlinya dan mereka yang mengikuti program ini atas jemputan ahli-ahlinya dan berharap agar mereka terus ingin melibatkan diri dengan aktiviti pengislahan sebegini. Semoga segala amal yang telah dilakukan diterima Allah dengan segala kekurangan dan kelompongan yang ada dalam menjayakan program di atas. JIM akan terus komited dengan aktiviti sebegini pada masa hadapan dan akan berusaha memperbaiki segala kekurangan dalam program-program sebegini.

 Sekian.
 Siti Hamisah Manan
Pegawai Perhubungan Korporat JIM