Wednesday, October 21, 2009

Selamat Berangkat ke Tanah Suci

Salam,

Ikhwah akhawat yang dimuliakan Allah SWT,

InshaAllah, setakat yg kami maklum, beberapa orang ahli JIM TTW akan berangkat untuk menunaikan fardhu haji pada tahun ini. Di antaranya: ·

  • Zakinah Dato’ Zainuddin Maidin & Zainal Fitri Abdul Aziz (berlepas hari ini, 21 Oktober 09)
  • Abdul Rahman Abdul Hamid (AJK JIM TTW) (berlepas esok, 22 Oktober 09)
  • ‘Ammar Mohd Zain dan Anfaal Saari (JKPW) ( berlepas pada 10 Nov 09)

Kepada semua bakal haji di TTW dan Kuala Lumpur, Wanita JIM Titiwangsa ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan kepada selamat berangkat ke tanah suci, selamat menjadi tetamu Allah yang dimuliakan, mudah-mudahan Allah SWT merahmati perjalanan antum, ibadah umrah dan haji antum dimudahkan dan disempurnakan dengan haji yang mabrur, juga amalan serta doa antum diterima Allah SWT.

Jangan lupa untuk mendoakan kami yang tinggal, di dalam pemusafiran dan di dalam doa2 antum di hadapan Kaabah al Musyarrafah, agar kami semua terus istiqamah meneruskan usaha dakwah dan di dalam RedhaNya sentiasa hingga ke akhir hayat kami.

Jazakumullahu khairan kathira di atas doa2 antum.

Wassalam

Ummu Awatef (TKW)

b/p Wanita JIM TTW

Monday, October 12, 2009

Sahabat Untuk Dikasihi, Bukan Disakiti (01)

Assalamualaikum wbt...

Insya-Allah pada 22 Oktober yang bakal tiba, saya akan ke Tanah Suci sehingga 05 Disember 2009. Mohon doakan, mudah-mudahan Allah mudahkan segala urusan saya sebelum, ketika dan selepas kembali kelak.

Hari-hari terakhir sebelum menjadi tetamu Allah, saya luangkan masa menyiapkan segala persediaan. Di samping itu memanfaatkan baki masa yang ada untuk muhasabah diri, antaranya perjalanan perjuangan sejak tahun 1990 bersama JIM. Maklumlah hari-hari terakhir ini saya harus menyiapkan sebanyak mungkin tugasan pejabat, dakwah, JIM dan peribadi.

Ketika menyelak amanah dan janji-janji yang belum tertunai, memang tidak boleh mengelakkan diri untuk mengimbas kembali sebanyak mungkin wajah sahabat-sahabat sejak di bangku sekolah, IPT dan ketika bekerja.

Tambahan pula beberapa minggu kebelakangan ini memang kedapatan beberapa situasi yang melibatkan diri saya dan beberapa sahabat!

Di samping itu, di kesempatan begini kalau dapatlah saya berjumpa dan memohon maaf kepada seramai mungkin saudara mara dan sahabat handai memang terasa, alangkah bagus dan bertuahnya.

Manakala bila dihitung betul-betul jumlah sahabat handai yang saya ada, saya dapati yang paling ramai dan sering saya berhubung ialah ikhwah dan akhawat JIM. Yakin benar! Bukan perasan je! Insya-Allah.

Jemaah dan Sahabat

Jemaah dan sahabat! Itulah antara dua perkara yang sangat penting dalam kehidupan saya. Selama saya mula menggabungkan diri dengan JIM, saya jelas dan yakin dengan niat dan tujuan saya. Untuk bersama mencapai hasrat menegakkan syariat Islam di muka bumi ini.

Saya sedar JIM bukanlah sama dengan Persatuan Sain dan Matematik yang pernah saya pimpin semasa di sekolah dulu. Ada wawasan besar yang perlu saya capai sebaik sahaja menggabungkan diri dengan JIM.

Masa mula-mula menggabungkan diri dengan JIM. Gadis remaja yang bukan dari aliran agama yang bernama Roha ini, ketika itu, berasa sungguh istimewa bila ahli-ahli JIM dinamakan “ikhwah” dan “akhawat” menggantikan perkataan ahli-ahli lelaki dan wanita. Bertambah indah bila ungkapan, “ukhti” dan “akhi” juga sering digunakan dalam berkomunikasi disamping gelaran kakak, abang, pak cik, mak cik. Kedengarannya, memang sopan dan akrab.

Bila mengimbas penggunaan perkataan-perkataan yang indah dan istimewa ini, saya teringatkan satu kisah. Baru-baru ini, seorang sahabat telah bergaduh suami isteri apabila beliau membahasakan dirinya “akhi” ketika berkomunikasi dengan saya serta sahabat wanita yang lain. Bila dianalisa, barulah saya mengerti. Mereka berdua sama-sama tidak betul-betul faham maksud disebalik perkataan tersebut. Selalu jika sahabat ini nak bertanya sesuatu kepada saya dia akan menulis, ”Roha, akhi nak maklumkan, tugasan tersebut telah selesai” ataupun, ”akhi sudah menguruskan sumbangan kepada sipolan dan sipolan”.

Maka, beberapa kalilah suami isteri ini bertengkar kerana perkataan ”akhi” ini. Suami menggunakan, ”akhi” mewakili perkataan ”abang”, sedangkan siisteri menyangka perkataan "akhi" itu mewakili sejenis "hubungan mesra".

Oh Tuhan...kadang- kadang kita rasa malas melayan hal yang kita rasa remeh temeh. Namun, mereka berdua adalah sahabat kami. Tiada yang remeh dalam persahabatan. Sesungguhnya ”Sahabat Adalah Untuk Dikasihi Bukan Untuk Disakiti”. Dengan sabar dan perlahan-lahan kami menerangkan kepada kedua-duanya maksud sebenar disebalik perkataan ”ukhti” dan ”akhi” hingga suasana sejuk kembali.

Begitulah dalam bersahabat, hal yang sekecil inilah yang selalu dibisik-bisikan oleh syaitan sehingga membibitkan perasaan tidak senang sesama sendiri. Kemudian secara tidak sedar, saling menjauhkan diri....

Saya Bukan Along, Tapi Mau Tolong

Beberapa minggu kebelakangan ini, saya juga telah menyemak segala hutang piutang dengan lebih teliti terutamanya dengan saudara mara dan sahabat handai. Kalau boleh tidak mahu bertangguh-tangguh lagi. Saya memang tidak cukup kaya dari sudut harta benda. Bukan Bank. Bukan Along. Saya cuma suka menolong!

Tapi dua minggu lalu, saya dihadiahkan dengan berita bahawa nama saya telah disenaraihitamkan oleh sebuah bank. Memang terasa pedih juga pada mulanya. Manakan tidak, ini angkara sahabat sendiri.

12 tahun yang lalu saya telah menjamin seorang akhawat yang kesempitan dan memerlukan. Dan hari ini dia telah menyebabkan saya disenaraihitamkan sebab dia tidak membayar hutang.

Syaitan dan manusia berbisik kepada saya, “bodohnya kamu jamin dia, orang sekarang memang tidak boleh percaya”. “Ish kalau Along, lama dah mati”. “Tak sangka orang baik-baik boleh jadi macam tu”. “Padan muka hang, orang JIM tu kan ....”. Macam-macam bisikan syaitan dan manusia mendatangi.

Lalu saya jawab pada suara-suara tersebut, “Saya tolong sahabat ini dulu dengan tulus ikhlas kerana disaat itu, beliau dalam keadaan amat memerlukan. Mudah-mudahan semua ini tidak memusnahkan niat asal saya dulu ”

Lalu, saya menghubungi dua tiga ikhwah akhawat untuk minta pandangan dan nasihat kerana ini pengalaman pertama saya. Tambahan saya nak ke Mekah, bimbang pulak akan kemungkinan negatif yang boleh berlaku.

Maka dari situ, saya mendapat maklumat bahawa;
- Saya bukanlah orang pertama yang menjamin ikhwah, akhawat dan mengalami situasi begini.
- Ada sahabat yang meminjam tapi susah untuk menepati waktu ketika membayar hutang.
- Ada juga sahabat memberi hutang akhirnya disakiti oleh sahabat yang berhutang dengan lidahnya, apabila hutang dituntut disebabkan oleh sahabat tersebut amat terdesak dan memerlukan wang

Oh Tuhan! Bukan salah berhutang! Tapi teramat salah jika kita tidak berusaha, berusaha dan terus berusaha sehingga berjaya membayar hutang. Bak kata akhawat dalam kes ketiga diatas, ”kalau dia bayar kak sebulah rm50 atau rm 20 pun kira OK sebab dah lebih 10 tahun dia pinjam RM20K dari Kak”. Ini tak, sudah lebih 10 tahun, tak ada bayaran langsung!

Kerana kasihkan sahabat, tak pasal-pasal diriku menanggung hutang beberapa puluh ribu.

Maka saya pujuk diri ini, Ya Allah atas apa jua sebab perkara ini terjadi ke atasku. Aku redha. Kalau kejadian ini akan menjadi penyebab bergandanya rezekiku di masa hadapan, aku redha. Kalau kejadian ini sebagai kifarat dosa-dosaku yang sememangnya banyak itu, aku redha dan jika kejadian ini sebagai pembersihan terhadap segala harta benda ku, aku redha jua”.

Namun, bagi saya, ”sahabat adalah untuk dikasihi bukan untuk disakiti”. Maka, dikesempatan ini, saya mohon, sekiranya ada saya ini berhutang dengan mana-mana ikhwah dan akhawat yang mana saya terlupa atau belum membayarnya. Mohon hubungi saya sebelum saya berangkat ke tanah suci.

Jangan biarkan saya menyakiti sahabat dengan melambat-lambatkan atau tidak berusaha untuk menyelesaikan hutang piutang saya dengan kalian.

"Sahabat untuk dikasihi, bukan untuk disakiti"

jzkk
Roha Hassan

Wednesday, October 07, 2009

Jom Undi Kak Harlina Untuk "The Great Women Of Our Time Awards"

Salam...

Ikhwah dan akhawat yang dikasihi,

Jom Undi Kak Har?

Itulah seruan yang ingin saya katakan kepada ikhwah dan akhawat.

Kenapa?

Jawapannya kerana, nama Dr har yang kita kasihi dicalonkan oleh Majalah, "The Malaysian Women's Weekly" untuk "The Great Women Of Our Time Awards".

Segala perincian lanjut tentang pencalonan dan cara mengundi disertakan disini. Sila rujuk lampiran yang disertakan. Kalau nak lagi power, belilah majalah, "The Malaysian Women's Weekly" sebab boleh baca dengan lebih jelas.

Apa lagi. Jom Undi sahabat yang kita kasihi, Assoc Prof Dr Harlina Halizah Siraj!

jzkk
Roha Hassan








Tuesday, October 06, 2009

Laporan MPWN WJIM KL 2009

Salam,

Alhamdulillah MPWN WJIM KL telah berlangsung dengan jayanya pada 4 Oktober 09 jam 9.00 pagi di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Gombak.


Majlis telah dirasmikan oleh Puan Rosmawati Bt Zainal, wakil Wanita JIM Pusat. MPWN dihadiri oleh 33 orang perwakilan dari 3 daerah di KL iaitu Batu, Cheras dan Titiwangsa.

Mesyuarat dipengerusikan oleh Pn Rushida Bt Abdul Ghani dan selamat disempurnakan pada pukul 12.30 tengahari.

Barisan kepimpinan Wanita JIM KL Sesi 2009/2011 terdiri daripada:-

Ketua Wanita - Dr Niekmah Adam

Timb Ketua Wanita - Susilawati Hamzah

Setiausaha - Norzitah Abdul Karim

Bendahari - Umi Kalthum Hassan

AJK
1. Julie Rosieta Mohamed
2. Siti Zaiton Abdul Aziz
3. Ust Zaiton Nasri


Pengerusi Tetap - Pn Rushida Abdul Ghani
Timb Peng Tetap - Pn Nur Yusmi Md Yusop



Sekian.

Yang Menjalankan tugas,
Norzitah Abdul Karim
Setiausaha
Wanita JIM KL Sesi 2009-2011


Monday, October 05, 2009

Rayuan batal sebat persenda hukum syariah

Oleh Hasliza Hassan haliza@bharian.com.my

Sumber : Berita Harian (5/10/2009)

Semua pihak perlu akur keinsafan Kartika sebagai Muslim untuk jalani tindakan syarie

KETIKA heboh isu sebat, Kartika Sari Dewi Shukarno sendiri sama sekali tidak mempertikaikan hukuman yang diputuskan mahkamah tetapi orang lain pula beriya-iya meminta pelbagai pihak termasuk kerajaan untuk mengkaji semula hukuman yang sudah termaktub dalam undang-undang syariah.

Malah, pengalaman dilalui model sambilan itu yang reda dengan hukuman sebat dijatuhkan atas kesalahan meminum arak, kini membuka lembaran baru dengan penampilan lebih positif.

Pengerusi Jawatankuasa Undang-Undang dan Pelaksanaan Syariah Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM), Dr Zulfakar Ramlee, berkata perubahan itu sepatutnya menjadi tamparan hebat kepada mereka yang memperjuangkan supaya hukuman ditangguhkan dan disemak.

"Itu satu tamparan kepada orang yang memperjuangkan supaya hukuman ditangguhkan sebab orang yang nak disebat sudah nampak perubahan dari segi penampilan tetapi orang yang kononnya nak membela, tidak ada perubahan. Pada saya itu satu tamparan untuk mereka," katanya.

Beliau berkata, tindakan pihak yang mempertikai pelaksanaan undang-undang syariah termasuk hukuman sebat terhadap jenayah syariah boleh menimbulkan tanda tanya serta sangkaan wujudnya motif tidak baik terhadap Islam.

Zulfakar yang ditemui selepas sidang media pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam membantah tuntutan menghapuskan undang-undang jenayah syariah, berkata suara kumpulan minoriti itu tidak seharusnya diberi perhatian.

Katanya, suara sakti majoriti masyarakat Islam yang mendukung kedaulatan undang-undang Islam sepatutnya diambil kira bagi mempercepatkan usaha ke arah meningkatkan martabat serta memperkasakan undang-undang syariah.

"Menjadi harapan NGO Islam supaya suara memperlekeh undang-undang serta mahkamah syariah tidak diberi ruang. Saya tidak fikir kerajaan atau pihak berkaitan ingin menunggu umat Islam menghukum baru hendak mengambil tindakan.

"Inilah masanya kerajaan melakukan sesuatu bagi memastikan kedaulatan undang-undang syariah dipelihara dan dipertahankan. Saya bersetuju keputusan Panel Rayuan Kehakiman Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan memutuskan hukuman enam sebatan terhadap Kartika kekal dan akan tetap dilaksanakan," katanya.

Katanya, Kartika juga bukan orang yang pertama menerima hukuman sebat atas kesalahan minum arak kerana Kelantan sudah melaksanakan 13 hukuman rotan terhadap pesalah jenayah syariah tetapi isu itu tidak diperbesarkan.

Mengenai kewajaran hukuman sebat itu dilaksanakan di khalayak umum, Zulfakar berkata, ramai tidak faham falsafah hukum Islam iaitu untuk mendidik orang lain supaya tidak melakukan kesalahan sama.

Beliau berkata, hukuman sebat mengikut undang-undang syariah boleh diibaratkan seperti hukuman rotan di khalayak ramai di sekolah yang tujuannya memberi pengajaran kepada pelajar lain tidak mengulangi perbuatan dilakukan rakan mereka.

"Apabila orang lain lihat, akan timbul rasa malu jika dirotan. Jika buat di tempat tertutup, tiada siapa pun akan tahu dan mendapat pengajaran. Ini simboliknya dan inilah falsafah Islam tetapi orang tidak faham," katanya.

Kisah Kartika mendapat tumpuan pelbagai pihak termasuk media asing apabila dijatuhkan hukuman maksimum enam sebatan dan denda RM5,000 oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan, 20 Julai lalu selepas mengaku salah minum arak di pusat hiburan di Cherating, dua tahun lalu.

Isu itu kemudian menjadi perbahasan kumpulan yang membuat permintaan supaya hukuman sebat diketepikan dan dibalas pula pelbagai pihak yang melihat kepentingan memastikan hukum syarak dilaksanakan.

Berita Harian turut menyiarkan dua siri rencana mengenai pelaksanaan hukuman sebat mengikut hukum syarak yang merangkumi prosedur hukuman sebat terhadap pesalah wanita serta rotan yang boleh digunakan.

Bagaimanapun, masih ada kenyataan dibuat sehingga kini mengenai hukuman sebat terhadap Kartika Sari yang ditangguhkan pada Ramadan lalu kerana menghormati bulan puasa.

Disebabkan kenyataan demi kenyataan yang dibuat itu, NGO Islam bertindak membuat bantahan terhadap tuntutan Sisters in Islam (SIS), Pertubuhan Pertolongan Wanita dan Kumpulan Bertindak Menentang Keganasan Terhadap Wanita (JAG).

Berikutan itu, Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Persatuan Alumni Kolej Islam (Alkis), Jamaah Islam Malaysia (JIM), Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) dan Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM) mendesak kerajaan mendakwa semua pihak yang membuat tuntutan bersifat menghasut serta menghina ajaran Islam.

NGO berkenaan juga meminta supaya dana diterima pihak berkenaan disiasat, membatalkan permit akhbar dan media menyiarkan pandangan bersifat menghasut untuk menghapuskan undang-undang jenayah Islam.

Mereka juga mahu ajaran Islam dipelihara selaras kedudukan Islam sebagai agama rasmi negara seperti termaktub dalam Perlembagaan serta meminta pihak yang tidak berkenaan usah mencampuri urusan di mahkamah syariah.

Jabatan Undang-Undang Islam, Kuliyyah Undang-undang Ahmad Ibrahim Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dalam kenyataannya berkata, pelaksanaan hukuman sebat bagi pesalah syariah tidak bertentangan undang-undang antarabangsa.

Pelaksanaan hukuman terpakai tanpa mengira jantina walaupun ada perkara perlu diambil kira sebelum hukuman dilaksanakan khususnya jika membabitkan pesalah wanita. Hukuman itu juga bukan satu diskriminasi terhadap wanita dan oleh demikian tidak bertentangan Konvensyen Penghapusan Semua Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW) yang turut dianggotai Malaysia.

"Hukuman sebat mengikut undang-undang Islam bersifat kemanusiaan kerana perlu ambil kira faktor yang boleh memberi mudarat kepada pesalah termasuk tidak melukakan kulit pesalah. Ia juga bukan satu bentuk penderaan, hukuman kejam atau menghina," katanya.

Katanya, menurut Islam hak asasi manusia hendaklah ditafsirkan mengikut kehendak Islam yang mana hak seseorang individu diimbangkan dengan hak masyarakat yang inginkan keselamatan dan kesejahteraan.

Pendirian Kartika untuk mengaku bersalah dan bersedia dihukum harus dilihat sebagai kerelaan bagi mematuhi perintah Allah dalam menegakkan keadilan walau terhadap diri sendiri.