Showing posts with label Program Wanita JIM Ttw. Show all posts
Showing posts with label Program Wanita JIM Ttw. Show all posts

Tuesday, April 13, 2010

Program kesedaran - Harian Metro 11.04.2010

KUALA LUMPUR: Atas dasar prihatin dengan isu keganasan rumah tangga, keluarga dan masalah sosial di kalangan remaja yang semakin meningkat ketika ini, Jemaah Islah Malaysia (JIM) cawangan Titiwangsa akan memperbanyakkan program kesedaran untuk institusi kekeluargaan.

Ketua Wanita JIM Titiwangsa, Arbayah Samion, berkata langkah ini antara komitmen serta matlamat JIM untuk memastikan masyarakat dibentuk dengan amalan dan nilai murni.

Beliau berkata, pihaknya sentiasa tampil dengan program kesedaran di setiap kawasan perumahan atau pusat komuniti di daerah berdekatan, antaranya Taman Melati dan Hulu Klang.

“Kami akan mengadakan sekurang-kurangnya tiga program kesedaran setiap tahun dengan kerjasama penduduk dalam usaha membentuk minda masyarakat ke arah nilai positif berlandaskan syariah Islam.

“Program ini akan terus dipacu dan diperbanyakkan lagi dalam usaha mengurangkan masalah sosial di kalangan masyarakat, terutama ketika ini seperti dipaparkan media, antaranya suami pukul isteri, simbah asid, anak perempuan lari ikut teman lelaki dan isteri curang,” katanya pada Seminar Kecemerlangan Wanita, Ibu Tunggal, Kecemerlangan Anak-Anak di Taman Melati Kawasan 8, Setapak, di sini. Hadir sama, Pengerusi Perbadanan Pengurusan Rumah Pangsa Kawasan 8, Komander Abdul Rahman Othman.

Seminar separuh hari itu memaparkan barisan tokoh JIM merangkap pakar motivasi kekeluargaan diiktiraf universiti tempatan dan dihadiri penduduk.

Laporan SMIWI Wanita JIM Titiwangsa - 10 April 2010

Bismillahirrahmanir rahim,

Segala puji hanya bagi Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang, Yang selalu melimpahkan kenikmatan dan keutamaan kepada hambaNya yang beriman, hambaNya yang selalu tunduk kepadaNya, hambaNya yang selalu memenuhi panggilanNya.

Selawat dan salam kami sanjungkan kepada rasulNya, yang selalu menaruh rasa belas kasihan kepada orang2 yang beriman, keluarganya yang mulia, para sahabatnya dan orang2 yang mengikuti baginda hingga ke Hari Kiamat.

Sedikit perkongsian laporan SMIWI dari Wanita JIM Titiwangsa..

Dengan izin dan rahmat daripada Allah SWT, Wanita JIM Titiwangsa, dengan kerjasama JK Penduduk, Perbadanan Pengurusan Rumah Pangsa Kawasan 8 (PPRPK8) Taman Melati, beserta PIBG Sekolah Rendah Islam Pintar Desa Melawati, telah menganjurkan Seminar Kecemerlangan Wanita Islam dengan tema " Ibu Tonggak Kecemerlangan Anak-Anak" pada 10 April bertempat di dewan Pusat Aktiviti Masyarakat, Taman Melati fasa 8. Seminar ini telah dihadiri oleh seramai 70 orang penduduk PPRPK8 dan guru-guru SRIP Desa Melawati.

Seminar yang bermula pada jam 8.30 pagi - 1:00 tengahari ini dimulakan dengan pengisian pertama ceramah oleh al fadhil Ustaz Alias Othman dengan tajuk "Pembangunan Kecerdasan Anak-Anak Bermula Dari Rumah". Tajuk ini telah dikupas dengan amat baik oleh Ustaz Alias serta merangkumi ilmu pendidikan anak-anak dari pelbagai perspektif. Kami mendapat feedback yang baik dari penduduk Taman Melati yang merasakan , "panduan-panduan yang diberikan benar-benar membuka minda", menurut mereka.

Selepas selesai sesi rehat, program diteruskan dengan slot seterusnya, forum yang bertajuk "Membentuk Remaja Cemerlang, Menepati Piawaian Islam". Forum ini dijayakan oleh dua orang penalis Wanita JIM yang tidak asing lagi, Ir Hajjah Endok Sempo Mohd Tahir, Wanita JIM yg juga Pengarah WIRDA Selangor beserta Dr. Hajjah Roselainy Abdul Rahman, JKP JIM yang juga merupakan Timbalan Ketua Wanita JIM Pusat. Kedua-dua penalis ini diperkenalkan juga sebagai motivator isu kekeluargaan dan contoh ibu masakini yang kaya dengan pengalaman mendidik anak-anak remaja mereka di rumah serta remaja di dalam masyarakat. Di antara ilmu yang dikongsikan bersama audiens termasuklah memberi kefahaman tentang apakah ukuran sebenar kecemerlangan dari perspektif Islam, membawa contoh-contoh remaja cemerlang berdasarkan realiti sejarah, berkongsi tips bagaimana membantu remaja mencapai kecemerlangan dalam pelbagai aspek kehidupan, serta langkah-langkah yang disarankan kepada ibubapa untuk menangani remaja bermasalah.

Moderator untuk forum ini adalah moderator yang tidak asing lagi di kalangan wanita JIM Kuala Lumpur, ukht Siti Zaiton Abdul Aziz, seorang aktivis program remaja anjuran JIMKL, AJK Wanita JIMKL, juga Penolong Pengetua Sekolah Islam Adni. Hasil dari perkongsian masalah audien bersama penalis semasa sesi soal jawab, moderator forum sempat meninggalkan pesanan yang sungguh mengesankan kepada audiens supaya sentiasa menjadikan doa ibadur rahman seperti yang dinukilkan di dalam al-Qur'an, surah al Furqan:74, sebagai zikir yang tidak ditinggalkan setiap kali selepas solat, serta pesanan supaya jangan berputus asa dari rahmat Allah SWT, mudah-mudahan setiap penat lelah dan kesabaran mendidik anak-anak ini, bakal menjadi amal soleh yang akan dipersembahkan di hadapan Allah SWT pada hari pertemuan denganNya kelak.

Acara penutup yg merupakan acara kemuncak ialah Penganugerahan Tokoh Ibu Mithali PPRPK8. Kami menerima 14 pencalonan dari penduduk PPRPK8 yang telah mengisi borang soal selidik yang disediakan oleh JK Penganjur. Tokoh Ibu Mithali PPRPK8 telah dianugerahkan kepada Hajjah Rokimah Hj Amran, 59 tahun, berasal dari Johor. Selepas penganugerahan Tokoh Ibu Mithali, acara terakhir adalah penyampaian hadiah untuk acara futsal remaja bawah 12 dan 16 tahun yang diadakan selari dengan seminar di padang PPRPK8. Futsal yang diatur bersama, oleh JIM Titiwangsa, JK Penduduk dan PIBG SRIP ini telah menerima penyertaan dari 6 pasukan . Program tamat pada jam 1:15 tengahari dan diakhiri dengan jamuan makan tengahari.

Setinggi-tinggi penghargaan kepada JIM Daerah Titiwangsa yang banyak membantu kami menjayakan seminar wanita ini, akh YDP Titiwangsa Che Zam Hamzah serta team JK Daerah yang berusaha memastikan program ini dapat dijalankan dengan jayanya. Juga kepada akh Abdullah Hassan yang sudi bertindak sebagai MC seminar kali ini dengan berkesan, Akh Saifurrahman yang menjaga logistik serta akh Hj Rahman dan Hj Zainal yang menguruskan futsal dan urusan-urusan lain. Juga kepada Wanita JIMKL yang telah memberi sokongan moral kepada kami untuk menganjurkan seminar ini. Wartawan dari Bernama dan Harian Metro telah hadir membuat liputan di seminar ini dan telah menemuramah JK Penganjur dan wakil penduduk Taman Melati.

Sekian laporan dari WJIM Titiwangsa

Jzkk.

Wassalam

Siti Zaidatul Akma Mohammad
TKW JIM Titiwangsa

Tuesday, November 10, 2009

Majlis Hi-Tea bersama NGO Wanita Islam

Program : Majlis Hi-Tea Tautan Kasih
Tarikh : 25 Oktober 2009
Tempat : Pusat Komuniti JIM

Laporan penuh program ini boleh diperolehi di http://wanitajimkl.blogspot.com/2009/10/hati-bertaut-kasih-bersemi.html.

Boleh juga lawati http://ummyida.blogspot.com/2009/10/sahabat-seperjuangan.html.


AJK Wanita JIM Kuala Lumpur bergambar bersama semua wakil NGO yang hadir sebelum majlis berakhir.

Majlis dipengerusikan oleh Puan Siti Zaiton Abd Aziz.


Ketua Wanita JIM Kuala Lumpur, Dr Niekmah Adam menyampaikan ucapan serta objektif majlis Tautan Kasih diadakan.

Sekitar majlis, kelihatan semua hadirin sedang menikmati hidangan Hi-Tea yang simple tapi sedap!

Sambil makan, sambil mendengar ucapan Ketua Wanita, persembahan nasyid serta sessi taaruf bersama semua wakil NGO yang hadir pada petang tersebut.

Alhamdulillah, satu program yang memberi peluang untuk memahami relung dakwah antara NGO-NGO Wanita serta mengeratkan ukhuwah, menguatkan tautan hati antara para pejuang di medan dakwah.

Wednesday, August 19, 2009

MAWD TITIWANGSA 16 OGOS 2009

Alhamdulillah, MAWD Daerah Titiwangsa telah selamat berlangsung pada Ahad, 16 Ogos 2009 yang lalu di Pusat Komuniti JIM, Taman Melawati pada 10.00 pagi - 12.30 tghari.

Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada Dr Niekmah Adam, Ketua Wanita JIM KL yang sudi hadir bagi menyampaikan amanat dan merasmikan MAWD. Amanat, nasihat dan pandangan yang disampaikan dalam ucapan perasmian akan dijadikan panduan berguna untuk kami, insyaAllah.

Kami juga ingin mengucapkan terima kasih kepada semua ahli dan AJK yang dapat bersama mengikuti dan menyempurnakan MAWD kali ini.

Berikut disenaraikan barisan kepimpinan yang diputuskan oleh MAWD :-

Barisan AJK Wanita JIM Titiwangsa Sesi 2009-2011
Ketua Wanita : Arbayah Samion
Tim K. Wanita : Siti Zaidatul Akma Mohamad
Setiausaha : W Rasna W Rashid
Bendahari : Nik Roslini Nik Mansor
Penolong SU : Khadijah Riza Atiq
AJK : Jawiah Darmawan, Rozana Hussein, Ustazah Zaiton Nasri

Tahniah kepada barisan kepimpinan baru serta barisan kepimpinan sesi lepas, semoga Allah memudahkan urusan kita dalam menggerakkan aktivitisma di jalan dakwah.

Semoga segala pengorbanan dan usaha murni kita yang sedikit ini mendapat keredhaan Allah SWT.

Jzkk.



Thursday, July 30, 2009

Iftar Jim Titiwangsa di SRIP

Assalamualaikum wbt...

Alhamdulillah dengan izin dan rahmatNya, program Iftar yang telah diwar-warkan sebelum ini oleh TPSM Jim Titiwangsa telah berjaya dilaksanakan pada Khamis, 23 Julai 2009 bertempat di Sekolah Rendah Islam Pintar (SRIP), Desa Melawati.

Syukur alhamdulillah, teruja dengan kehadiran ahli-ahli Jim Titiwangsa yang hadir bersama ahli keluarga masing-masing pada Iftar kali ini termasuk adik-adik IPT, sehinggakan ada yang tidak dapat merasa ayam goreng terutamanya yang tiba agak lewat sedikit (bagi pihak AJK, kami memohon maaf banyak-banyak di atas kekurangan makanan, semoga Allah memberkati makanan yang kita makan beramai-ramai).

Selesai solat Maghrib berjemaah, slot ringkas yang menunjukkan slide beberapa aktiviti Jim Titiwangsa ditayangkan terutamanya untuk makluman ahli/mereka yang baru pertama kali hadir ke program Iftar Jim Titiwangsa.

Tazkirah telah disampaikan oleh Akhi Che Zam bin Hamzah, TYDP Jim Titiwangsa bertajuk 'Kemelut Ekonomi Mencari Rezeki'. Tazkirah ini merupakan perkongsian yang pernah dibentangkan oleh TYDP di dalam usrah kumpulannya pada September.

Antara usaha yang perlu dilakukan dalam menghadapi kemelut ekonomi kini adalah memperbanyakkan sedekah (walaupun sedikit); banyakkan istighfar dan bertaubat, lebih bertaqwa, menggunakan kesempatan diri untuk beribadah pada Allah serta bertawakal padaNya.

Program diakhiri dengan solat Isyak berjemaah.

Semoga kita semua dapat bersama-sama dalam iftar yang akan datang.

Jazakumullahukhairan.

Tuesday, July 28, 2009

Seminar Keluarga Cemerlang, Jalan Duta

Assalamualaikum wbt...

Akhawat yang dirahmati Allah SWT...

Pada 19 Julai 2009, bertempat di Dewan Komuniti, Kuarters Kerajaan Jalan Duta telah berlangsung Seminar Keluarga Cemerlang anjuran bersama Jim Titiwangsa dan Biro Muslimat Surau al-Mizan.

Kehadiran peserta dari kalangan kakitangan kerajaan yang menetap di kuarters tersebut adalah lebih kurang 70 orang.

Majlis yang dipengerusikan oleh Ustaz Arwani bin Sali dimulakan dengan bacaan Al-Quran oleh pelajar kaedah Asy-Syaathir.

Slot pertama oleh Ustaz Hj Kamal Azhari bin Zuhra yang membentangkan tajuk 'Ibu Bapa Madrasah Pertama Anak-anak'. Antara aspek yang ditekankan adalah pendidikan anak-anak bermula sejak dari dalam kandungan lagi dengan kedua ibu bapa sentiasa membaca ayat-ayat Al-Quran. Tarbiyah agama - Ruhiyyah, Aqiyyah, Jasadiyah dan amalan ibadah hendaklah diterapkan sejak anak-anak masih kecil lagi.

Selesai slot pertama, peserta seminar dihiburkan dengan persembahan nasyid oleh anak-anak dari kelas mengaji kaedah Asy-Syaathir di bawah kendalian Ustaz Arwani bin Sali sambil minum pagi dan menikmati kuih-muih yang dimasak sendiri oleh AJK Biro Muslimat Surau Al-Mizan.

Slot kedua oleh Puan Hjh Endok Sempo Hj Mohd Tahir pula dengan tajuk 'Cabaran dalam Mendidik Anak-anak Masa Kini' dimulakan dengan kisah impian Saidina Umar al-Khattab tentang anak-anak muda yang hebat. Antara peranan ibu bapa di zaman kini adalah untuk menguasai kemahiran ICT seperti yang digunapakai oleh anak-anak sekarang; memahami jurang generasi dengan berkomunikasi secara 2 hala - budaya musyawwarah serta tidak terlalu mengawal anak-anak; juga membina jambatan persahatan dengan anak masing-masing.

Seminar ini berakhir pada pukul 1 tghari dengan jamuan makan tengahari.

Jazakumullahukhairan di atas kerjasama semua pihak dalam menjayakan seminar ini.



*** Beberapa gambar semasa program.










Wednesday, July 15, 2009

Program Qiamullail Wanita JIM TTW - 10 Julai 2009

Salam,

Akhawat yang dirahmati Allah,

Alhamdulillah, dengan izinNYA, Qiamullail utk ahli-ahli wanita jim ttwangsa yang dirancang sebelum ini telah berjaya diadakan pada malam 10 Julai 2009 yang lepas bertempat di Sekolah Islam Adni.

Seramai 30 orang akhawat yg terdiri dari ahli JIM TTW dan kakitangan Sekolah Adni telah menghadiri slot pengisian malam manakala 23 orang telah menyertai slot qiamullail.

Program bermula pada jam 10mlm dengan pengisian disampaikan oleh Puan Faridah Maludin (PAKSI-JIM) yang bertajuk "Ubah Paradigma Anda : Energi dari Al Qur’an". Pengisian tentang mengubah paradigma dengan melihat kembali ke zaman kegemilangan tamadun Islam, pemuda-pemuda Islam yang hebat dan diakhiri dengan tadabbur Surah Fussilat ayat 30-36 ( klip video Imam membacakan ayat-ayat ini ketika mengimamkan qiam sangat menyentuh hati, sehingga ada yg menitiskan airmata).

Qiamullail akhawat bermula pada jam 4:15pagi. Solat sunat tasbih telah diimamkan oleh Ustazah Zaiton Nasri manakala solat subuh pula telah diimamkan oleh Ustazah Zaimah Yaha.

Pengisian untuk kuliah subuh telah disampaikan oleh Puan Siti Zaiton Abdul Aziz tentang salah-satu ciri-ciri orang yang beriman iaitu BERTAUBAT.

Selepas kuliah subuh, akhawat yang hadir telah mengambil peluang keemasan untuk bertanya pelbagai masalah dan persoalan agama kepada kedua-dua ustazah yang ada bersama pada pagi itu.

Jazakumullahu khairan katheera kepada semua yang dapat hadir dan yang terlibat dalam program ini.


InsyaAllah, Wanita Ttw akan mengadakan Qiamullail akan datang sebelum bulan Ramadhan di tempat yang sama. Tarikh akan dimaklumkan kemudian.

Wassalam


Ummu Awatef