Showing posts with label ISA. Show all posts
Showing posts with label ISA. Show all posts

Friday, August 07, 2009

Kenyataan Media Wanita JIM - Penahanan ISA

PENDIRIAN TERHADAP PENAHANAN WANITA DAN KANAK-KANAK DALAM HIMPUNAN MANSUHKAN ISA 1 OGOS 2009.

Wanita JIM membantah keras tindakan pihak keselamatan menahan puluhan wanita dan kanak-kanak dalam Himpunan Mansuhkan ISA yang diadakan di ibu kota Kuala Lumpur pada hari Sabtu, 1 Ogos yang lalu.

Wanita JIM menganggap penahanan tersebut adalah satu tindakan yang amat tidak wajar memandangkan kelompok wanita dan kanak-kanak ini bukanlah kelompok yang bertindak ganas dan merusuh atau menimbulkan kacau bilau. Malahan kelompok wanita dan kanak-kanak adalah merupakan golongan yang sepatutnya dilindungi dan dijaga kebajikan mereka dalam sebarang suasana terutamanya dalam situasi yang tegang.

Harus diingat, golongan wanita dan kanak-kanak yang ditahan baru-baru ini adalah merupakan sekelompok rakyat biasa yang ingin menggunakan hak mereka yang dijamin oleh perlembagaan Malaysia, untuk berhimpun secara AMAN bagi menyuarakan keprihatinan dan sokongan mereka terhadap usaha memansuhkan akta kejam ISA.

Wanita JIM mendesak agar pihak berwajib menghentikan segala taktik kotor dan menakut-nakutkan (harassment) melalui penahanan golongan wanita dan kanak-kanak secara rambang sepertimana yang berlaku pada Sabtu lepas.

Wanita JIM juga menggesa pihak kerajaan memansuhkan segera akta kejam ISA yang memberi kesan amat negatif kepada keluarga tahanan ISA terutamanya para isteri dan anak-anak yang masih bergantung kepada suami dan bapa mereka. Penahanan tanpa bicara di bawah akta kejam ISA memisahkan para suami dan bapa dari keluarga mereka tanpa sebarang pembelaan. Isteri dan anak-anak ditinggalkan tertanya-tanya apakah sebenarnya kesalahan `besar’ suami dan bapa kesayangan mereka sehingga dipenjarakan bertahun-tahun lamanya. Tiada mahkamah yang mengadili mereka, tiada pembuktian ke atas tuduhan melulu yang dikenakan, tiada tempoh dan had masa hukuman yang ditetapkan - menjadikan keluarga tahanan ISA hilang punca dan ditinggalkan meraba-raba dalam kegelapan dan ketidakpastian.

Sampai bilakah negara Malaysia yang tercinta ini harus mempunyai satu akta yang sama sekali tidak adil, kuno dan tidak bertepatan dengan ciri-ciri ketamadunan yang boleh dibanggakan?

Yakinlah, semua rakyat Malaysia boleh terus hidup aman sejahtera tanpa belenggu akta kejam ISA. Untuk masa depan yang lebih sempurna, mansuhkan akta ISA segera!

Prof. Madya Dr. Harlina Halizah Siraj
Ketua Wanita JIM Pusat

Kenyataan Media JIM - Perhimpunan Mansuhkan ISA

Perhimpunan Aman Mansuhkan ISA

Jamaah Islah Malaysia, JIM, berpandangan perhimpunan aman Mansuhkan ISA pada 1 Ogos berjaya menarik perhatian masyarakat Malaysia dan antarabangsa tentang Akta Keselamatan dalam Negeri 1960 yang zalim. Ia masih segar dibincangkan dalam media dan di kalangan masyarakat hingga ke hari ini. Tindakan susulan polis serta kes mahkamah yang akan berjalan akan memastikan ingatan masyarakat sentiasa segar tentang kezaliman akta ini.

ISA ini zalim kerana:

1. tidak memberi hak bela diri di mahkamah bebas (no judicial review),
2. tempoh penahanan tanpa had, dan
3. tidak berasaskan pembuktian

Akta ini, walaupun asalnya untuk menangani kebangkitan bersenjata, telah disalahgunakan untuk tujuan politik seperti dalam penahanan DS Anwar Ibrahim, Teresa Kok, Dato’ Ahmad Sebi, DS Zahid Hamidi, Dato’ Zambry, Ahmad Azam, YB Mohd Sabu, YB Saari Sungib dan ramai lagi. Tidak pelikkah, mereka yang dianggap pengancam keselamatan negara ini kini berada dalam pemerintahan negara?

Akta ini juga telah digunakan untuk tujuan yang pelik-pelik seperti penahanan mereka yang dituduh terlibat memalsukan kad pengenalan, mengklon telefon, melindungi pendatang tanpa izin dan memalsukan wang. Oleh kerana tuduhan seperti ini mudah dibuktikan untuk pendakwaan di mahkamah, penggunaannya menimbulkan keraguan tentang keselamatan siapa yang sebenarnya dilindungi.

Pihak kerajaan menyatakan bahawa banyak cara lain untuk mengusahakan pemansuhan ISA. Kerajaan juga katanya kini sedang mengkaji semula akta ini. Dalam masa yang sama kerajaan menyatakan ISA seperti yang sedia ada, disokong oleh majoriti masyarakat. Sebenarnya banyak usaha yang telah dijalankan oleh masyarakat madani, sejak Operasi Lalang, 1987 lagi. Operasi Dalil menyemarakkan usaha terpadu masyarakat madani melalui Gerakan Mansuhkan ISA. SUHAKAM membuat kajian yang menyeluruh dan memberi cadangan yang amat membina. Komuniti antarabangsa juga memberikan tekanan. Keputusan PRU12 yang lalu juga sepatutnya memberi iktibar kepada kerajaan. Memorandum sudah banyak dihantar. Isu ini juga telah ditimbulkan di Parlimen. Dua Dewan Undangan Negeri telah membuat ketetapan. Tun Abdullah pun telah menyatakan pandangan. Perhimpunan aman 1 Ogos 2009 merupakan satu lagi usaha.

Kerajaan sebenarnya tidak serius dan sengaja melambat-lambatkann ya. Walaupun YAB PM telah memaklumkan akan mengkaji akta ini, tidak dimaklumkan badan atau jawatankuasa mana yang dipilih untuk melakukannya. Dalam masa yang sama cadangan dari SUHAKAM sedang reput dalam simpanan kerajaan.
Perhimpunan 1 Ogos 2009 benar-benar aman. Tidak ada sekeping cermin tingkap pun yang pecah, yang dilaporkan setakat ini, melainkan cermin sebuah kereta yang pecah angkara terkena kelongsong gas pemedih mata yang dilepaskan oleh polis. Tidak ada kenderaan yang diterbalikkan. Tidak ada tayar yang dibakar di tengah-tengah jalan.

Hak untuk berhimpun dengan aman termaktub dalam Perlembagaan Malaysia sebagai Kebebasan Asasi (Fundamental Liberties) dan disebut dalam Perkara 10 (1) (b): “semua warganegara adalah berhak berhimpun secara aman dan dengan tidak bersenjata” (all citizens have the right to assemble peacefully and without arms).

Dalam negara yang bertamadun, polis membantu menjayakan perhimpunan aman. Pihak polis akan berkawal agar perhimpunan berjalan dalam keadaan baik dan teratur. Kawalan keselamatan dan pergerakan kenderaan diatur dengan baik.. Sekatan jalanraya di jalan-jalan masuk ke Pusat Bandaraya ada tidak perlu. Mengejar rakyat yang tidak bersenjata adalah tidak perlu. Mendera rakyat dengan tembakan pemedih mata dan simbahan air asid adalah tidak perlu dan keterlaluan.

Perdana Menteri menyalahkan perhimpunan rakyat sebagai punca kesesakan jalanraya sedangkan punca utama adalah sekatan-sekatan jalanraya oleh pihak polis. Jika pihak berkuasa boleh mengurus dengan baik lalulintas dan penutupan jalanraya semasa “Le Tour de Langkawi” dan pelbagai sambutan, mereka juga boleh berbuat demikian pada 1 Ogos 2009.

Tindakan susulan seperti mendakwa ibu bapa dan menuntut gantirugi dari panganjur akan memburukkan lagi imej kerajaan yang telah sedia tercemar dengan isu-isu lain. Jika kerugian penjaja sebanyak yang dihebahkan akhbar, ada baiknya Jabatan Hasil dalam Negeri memberi perhatian.

Zaid Kamaruddin
Presiden

Friday, July 31, 2009

Dosa ISA musnahkan institusi keluarga

Jumaat 31 Julai 2009 8 Sha'ban 1430 Hijrah
Oleh: Norlaila Othman

"PUAN Laila, sepupu saya juga pernah ditahan di bawah ISA. Kasihan pada anak isterinya ...," kata Puan J dalam nada suara yang amat perlahan, separuh sebak, air mukanya kelihatan keruh.

Dalam siri jelajah perkongsian mangsa ISA, saya berkesempatan bertemu wanita-wanita yang tinggal di pedalaman Kedah, Johor dan Pahang. Rupa-rupanya ramai lagi rakyat Malaysia yang pernah ditahan di bawah ISA, tetapi penahanan itu tidak direkodkan kerana pelbagai sebab antaranya, tahanan tidak mahu menghebohkan penahanan itu, mungkin kerana mematuhi arahan pegawai penyiasat cawangan khas dan mungkin juga rasa malu kerana ditahan di bawah ISA yang amat ditakuti oleh rakyat Malaysia.

Bicarakanlah dia ...

"Kenapa saya tidak pernah jemu memberitahu supaya Abah Suhaib dibicarakan? Kerana saya mahu ada pendakwaan oleh pendakwa raya, bukti-bukti dikeluarkan selari dengan tuduhan dan akhirnya, hakim yang membuat keputusan di mahkamah itu. Jika hakim menyatakan beliau tidak bersalah, nama baik beliau dapat dibersihkan.

"Namun jika beliau bersalah dan terpaksa menjalani hukuman, sekurang-kurangnya saya tahu tarikh akhir pemenjaraannya dan beliau sendiri tahu tarikh tetap untuk keluar daripada kehidupan sebagai seorang banduan," kataku kepada semua yang hadir ke sesi perkongsian itu.

Semua tahanan ISA dinafikan proses mahkamah dan mereka tidak pernah mengetahui tarikh akhir berada di Kem Kamunting. Kehidupan mereka berada dalam keadaan tidak pasti sepanjang masa.

Bezanya ISA dengan akta lain ialah, dalam ISA seseorang pesalah itu tidak dibenarkan mendapatkan peguam untuk mewakili dirinya, tiada pendakwaan oleh pendakwa raya, tahanan tidak boleh diikat jamin, tiada bukti yang dikeluarkan selari dengan tuduhan, tiada proses perbicaraan, tiada hakim dan tiada mahkamah yang menjadi tempat segala proses perbicaraan.

Peguam bela, pendakwa raya, bukti-bukti, hakim dan mahkamah semuanya berada di tangan Menteri Dalam Negeri yang kuasanya terlalu besar. Menteri ini pula biasanya tidak tahu apa-apa mengenai mangsa ISA. Menteri Dalam Negeri bebas menjatuhkan hukuman melanjutkan penahanan setelah mendapat laporan daripada polis cawangan khas (Special Branch).

Wanita adalah mangsa utama ISA

"ISA sebenarnya bukan saja akta zalim tetapi juga akta yang menindas golongan wanita kerana mereka (isteri)lah yang akan menerima kesannya ketika suami tiada di rumah. Perasaan isteri amat tertekan dengan penahanan suami, namun terpaksa juga keluar mencari nafkah untuk menyara anak-anak dan meladeni mereka yang pastinya akan bertanya setiap hari, bilakah ayah mereka akan pulang ke rumah.

"Selain menjalankan kewajipan menguruskan anak-anak, wanita malang ini juga terpaksa bersusah payah membawa anak-anak bermusafir beratus-ratus kilometer dari tempat tinggal mereka ke Kem Kamunting.

"Di Kem Kamunting, mereka kemudian terpaksa melalui pemeriksaan di tiga pintu utama dan berpuas hati dengan pertemuan selama 45 minit ...," kata saya lagi.

Tiada siapa yang akan menyangkal dakwaan ini, hatta Menteri Dalam Negeri sekalipun kerana saya sudah mengalaminya lebih tujuh tahun ... dan hingga saat ini, saya masih didiskriminasikan dalam setiap perjumpaan.

Dari tahun 2002 hingga kini, saya dan Suhaib hanya dapat bertemu Mat Sah @ Abah Suhaib selama 45 minit saja. Walaupun beliau, iaitu Abah Suhaib telah ditahan lebih tujuh tahun, tiada sebarang tanda simpati pihak kem kepada kami berdua.

Sewaktu tahanan Hindraf belum dibebaskan, mereka berpeluang bertemu di tempat terbuka antara sejam setengah hinggalah dua jam. Mereka boleh bersalam, bersentuhan dan boleh makan bersama.

Begitu juga dengan tahanan ISA yang dituduh sebagai ahli 'Jemaah Islamiyyah' (JI) yang ditahan selama dua tahun di kem, mereka dan isteri serta anak-anak dapat bertemu di tempat terbuka selama sejam setengah, suami dapat bersalam dengan isteri dan anak-anak serta berpeluang makan bersama.

Tetapi aku dan Suhaib, walaupun status kami dengan tahanan JI lain serta Hindraf adalah sama iaitu sebagai tahanan ISA, kami tetap dianak-tirikan oleh pengurusan kem yang sering berselindung di sebalik kata-kata, "kami hanya mengikut arahan orang atas".

Derita tujuh tahun ...

"Jika puan mahu suami segera dibebaskan, tulislah surat pada Tuan Ayub dengan segera. Tuan Ayub adalah pegawai tertinggi SB yang menjaga semua tahanan ISA. Puan tulislah surat dan merayu pada Tuan Ayub bahawa puan dan suami memang benar-benar bersalah dan mohon dimaafkan segala kesalahan itu.

"Dengan permohonan maaf tersebut, rasanya hati Tuan Ayub akan lembut dan akan segera memberi cadangan supaya Mat Sah dibebaskan," kata seorang SB kepada saya.

"Saya mohon maaf dan mengaku bersalah? Apa yang telah saya lakukan? Orang yang ditahan di bawah ISA ialah suami, kenapa saya pula yang kena mohon maaf bagi pehak dia?" saya bertanya semula pada SB tersebut.

Abah Suhaib ditahan lebih tujuh tahun, tidak pernah dibicarakan dan kini, untuk melihat dia bebas, saya pula yang terpaksa menulis surat memohon maaf.

Tujuh tahun Suhaib membesar tanpa bapa. Tujuh tahun kami berdua terpaksa menerima herdikan pihak tertentu yang tidak memahami ISA. Tujuh tahun Suhaib membesar tanpa sebarang nafkah, kasih sayang, bimbingan dan perhatian daripada bapanya.

Sepanjang tujuh tahun itu, apabila mata Abah Suhaib rabun, sayalah yang terpaksa mengeluarkan duit untuk membeli cermin mata baru.

Ketika lutut beliau terseliuh ketika bermain, saya juga yang terpaksa membelikan 'braces' yang agak mahal untuk digunakan di lutut yang cedera itu.

Apabila gigi beliau rosak dan perlu dibuang, saya juga terpaksa mengeluarkan wang untuk membeli gigi palsu.

Dan setiap bulan, saya juga terpaksa memberi wang poket supaya beliau berpeluang untuk membeli makanan selain daripada yang disediakan oleh Kemta seperti biskut kering, gula-gula dan kacang. Abah Suhaib juga punya keinginan untuk membaca majalah dan buku-buku dari luar. Sayalah juga yang menyediakan segala keperluan itu.

Ketika ditahan di bawah ISA pada tahun 2002 dulu, beliau dikatakan bersalah kerana menjadi ahli JI, dan kini, setelah tujuh tahun, saya pula yang terpaksa menulis surat mohon maaf kepada SB sekiranya saya ingin melihat beliau kembali ke pangkuan keluarga.

Saya terpinggir

"Nama saya Suhaib. Kini saya berusia 16 tahun. Hampir separuh usia saya membesar tanpa abah walaupun beliau masih hidup. Saya membesar bertemankan pertemuan selama satu jam setengah dalam sebulan. Saya sekadar mengikuti nasihat dan kata-kata beliau melalui surat-surat kiriman beliau.

"Jika terlalu rindu padanya, saya akan pakai baju dan guna kain pelikat milik abah. Saya letak gambar Abah di dompet duit. Sejak berusia 9 tahun, saya tidak pernah solat dan baca Quran bersama Abah. Saya tidak mengharapkan duit belanja atau keluar membeli belah kerana memahami semua itu tidak mungkin dapat dilakukan bersama.

"Namun, satu perkara yang amat memedihkan ialah apabila saya melihat Abah di sebalik cermin kaca. Ketika itu, saya teringat binatang di zoo yang diletakkan di dalam kotak kaca. Setiap kali melawat Abah, saya hanya berpeluang bercakap melalui interkom dan duduk di sebalik kaca.

"Saya hanya dapat melihat wajah Abah, tetapi tidak dapat menyentuhnya ... hatiku memang pedih yang teramat sangat. Walaupun sudah tujuh tahun saya dipisahkan daripada Abah, tiada sebarang tanda beliau akan dibebaskan.

"Walaupun ada dua pembebasan beramai-ramai yang mendapat tempat di media dan akhbar, namun Abahku masih dinafikan pembebasannya. Saya yakin Allah sedang menyediakan sesuatu yang lebih baik untuk Abah kerana dia terus menerus dizalimi.

"Perpisahan dengan Abah benar-benar membuat saya rasa terpinggir. Saya juga ingin meneruskan kehidupan sama seperti orang lain yang punya keluarga yang lengkap. Saya tetap berdoa supaya Abah segera dibebaskan ..."

Saya benar-benar tersentak dengan testimoni Suhaib yang ingin diluahkan di hadapan Vijay, salah seorang wartawan Malaysiakini. Suhaib kelihatan tenang dan bersahaja namun tidak disangka, luahan hati beliau amat pilu untuk dibaca ...

Ikutilah jalan Allah

Allah mencipta kita sebagai insan yang bebas dan merdeka. Allah telah menurunkan al-Quran dan mengutus rasul serta nabi untuk dijadikan contoh supaya menjalani kehidupan yang sempurna. Allah telah menggariskan supaya manusia menjadikan keadilan sebagai neraca hidup dan mengelakkan menzalimi sesama manusia.

Tetapi ... kenapa mesti ada peraturan buatan manusia yang menafikan hak dan kebebasan manusia lain sampai begitu rupa? Lupakah kita pada satu ayat 113 dalam Surah Huud yang bermaksud: "Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang zalim ..."

Ingatlah pada ayat 58 dari Surah An-Nisa yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanat kepada yang berhak menerimanya dan menyuruh kamu apabila menetapkan hukum sesama manusia agar menetapkan dengan adil ..."

Allah menyediakan syurga dan neraka sebagai hadiah dan pembalasan kepada makhluk ciptaan-Nya, namun sebelum seseorang itu dihantar ke syurga atau neraka, semua makhluk akan melalui proses perbicaraan di padang Mahsyar.

Allah Maha Besar, Maha Kuasa, Maha Pencipta, Maha Mengetahui, menyediakan 'trial' atau perbicaraan ke atas semua makhluknya di akhirat nanti. Kenapa ISA , akta tahan tanpa bicara masih dihalalkan? Siapakah yang menjadi ikutan? Allah ataupun syaitan?

Kepada semua rakyat Malaysia yang cintakan keamanan dan bencikan kezaliman, marilah sama-sama serlahkan perasaan itu dengan menghadiri himpunan aman MANSUH pada 1 ogos nanti.

Pada sesiapa yang tidak dapat menghadiri kerana ada sebab-sebab peribadi, cubalah juga luahkan dalam bentuk lain seperti mengibarkan bendera separuh tiang, berpakaian hitam ketika keluar rumah dan sebagainya.

MANSUHKAN ISA, BEBASKAN TAHANAN ISA dan TUTUP KEM KAMUNTING!

Kenyataan Media JIM


KENYATAAN MEDIA PERTUBUHAN JAMAAH ISLAH MALAYSIA (JIM)

JIM Menyeru Ahli-ahlinya Dan Orang Ramai Berhimpun Di Kuala Lumpur 1 Ogos 2009

Sudah 49 tahun akta zalim ISA mengancam kebebasan rakyat. Ramai tokoh negara yang ditahan tanpa bicara. Ramai isteri yang dipisahkan dari suami tanpa alasan yang diketahui. Ramai anak yang membesar tanpa kasih sayang ayah, yang dipenjara tanpa diketahui sebabnya.

ISA membolehkan sesiapa sahaja ditahan tanpa bicara. Pihak berkuasa mencari jalan mudah. Tak perlu ada bukti. Polis boleh bertindak tanpa perlu mengemukakan dalil. Mahkamah diketepikan. Nyata sekali tidak profesional.

ISA bertentangan dengan syariat Islam dan prinsip keadilan sejagat. Pemerintah yang diharap menjaga rakyat, dengan sewenang-wenang, tanpa perlu membawa bukti, mengheret rakyatnya ke lokap dan penjara. Anak isteri dan keluarga teraniaya.

Ketika Bush menahan tanpa bicara di Guantanamo Bay, pemerintah Malaysia telah berkokok riuh rendah, menjustifikasikan ISA. Namun, ketika Obama mengarahkan penutupannya, kenapa diam membisu seribu bahasa???

Cukuplah 49 tahun, semenjak 1 Ogos 1960!!!

Sabtu ini, 1 Ogos 2009, JIM menyeru semua ahli-ahlinya dan seluruh rakyat Malaysia untuk berhimpun di Kuala Lumpur bagi menyatakan bantahan dan mendesak agar ISA dimansuhkan.

Perkara besar seringkali dicapai dengan perhimpunan besar dan pengorbanan besar. Perhimpunan besar telah berjaya menggagalkan gagasan Malayan Union. Perhimpunan besar telah berjaya memansuhkan PPSMI. Perhimpunan besar juga diperlukan untuk memansuhkan ISA!!!

Ayoh! Kita ke Kuala Lumpur, esok, 1 Ogos 2009. Kita tuntut:



Mansuhkan ISA

Bebaskan tahanan ISA

Tutup Kem Tahanan Kamunting



Nota: JIM adalah anggota gabungan Gerakan Mansuhkan ISA (GMI)



Hj Nahar Md Nor

Setiausaha Agung JIM
31 Julai 2009