Showing posts with label JIM di Media Massa. Show all posts
Showing posts with label JIM di Media Massa. Show all posts

Wednesday, August 25, 2010

KENYATAAN AKHBAR

KENYATAAN AKHBAR

GABUNGAN NGO-NGO WANITA ISLAM KUALA LUMPUR MEMBANTAH:
KEBANJIRAN BAHAN PORNOGRAFI DI INTERNET DAN MEDIA MASSA




Latarbelakang


1. Umum mengetahui bahawa dunia kini hanya berada di hujung jari. Kehebatan perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi menghasilkan fenomena dunia tanpa sempadan.
 Walaupun bagaimanapun, perkembangan teknologi maklumat merentasi sempadan juga menggusarkan komuniti dunia. Akses yang begitu mudah kepada internet juga mengakibatkan pelbagai masalah di antaranya eksploitasi maklumat peribadi, kurang kawalan terhadap bahan yang diletakkan dalam internet, salah guna jaringan sosial dan yang amat membimbangkan adalah akses mudah pengguna internet bawah umur (kanak-kanak dan remaja) kepada bahan-bahan terlarang yang berbaur pornografi dan juga bahan yang berbentuk “hard core“ pornografi.

Pornografi didefinasikan sebagai bahan bertulis atau visual yang boleh merangsang keinginan seksual, dan bertujuan untuk memberahikan pemerhati atau pembaca. Terdedah kepada unsur-unsur pornografi boleh mengakibatkan pelbagai kesan-kesan yang tidak sihat seperti:

• Ia menggalakkan seks luar nikah dan penzinaan

• Ia menyumbang ke arah penganiayaan seksual kanak-kanak dan keganasan seks

• Pengaruh negatif terhadap perkembangan seksual

• Sikap dan nilai seksual yang negatif. Contoh: kelakuan seks luar tabii, orientasi seks yang tidak normal dan tidak menghormati kaum wanita seperti hanya menganggap mereka sebagai objek seks
• Masalah emosi dan perhubungan. Contoh: rasa bersalah, malu, dan ketagihan
• Masalah undang undang yang melibatkan memiliki, jual beli, mengedar dan menonton bahan bahan VCD lucah.

Satu kajian oleh sekumpulan penyelidik Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS) Universiti Putra Malaysia itu telah mendapati 22 peratus remaja Melayu gemar melayari laman web lucah sama ada di rumah mahupun di kafe siber.

Pendedahan terhadap unsur-unsur pornografi di kalangan remaja ini menjadi salah satu punca utama mengapa kesalahan melibatkan kes jenayah seksual dan juga gejala seksual di kalangan remaja semakin meningkat di Malaysia.

Dan mengikut statistik Google Trends, Malaysia kini berada di tangga kelapan bagi negara yang paling banyak pencari maklumat mengenai seks di internet selepas beberapa negara lain seperti Pakistan, India, Turki dan Indonesia. Ia adalah suatu perkara yang sangat serius dan membimbangkan.

Satu klik yang membawa padah!

2. Muttakhir ini, kita melihat media massa elektronik seperti stesen televisen tempatan lebih mengambil saduran dari siaran barat jahilliyah yang banyak mengorbankan nilai-nilai murni sebaliknya yang diterapkan adalah nilai hedonisme melampau. Rancangan-rancangan serta bahan-bahan yang dihidangkan hampir keseluruhannya mengandungi unsur-unsur pengaruh buruk lebih dari kebaikan. Rancangan bercorak agama atau pembinaan sahsiah diwujudkan dalam keadaan amat terbatas waktunya seolah-olah sekadar melepaskan batuk ditangga.

Kemunculan banyak adegan-adegan ranjang dan aksi-aksi tidak bermoral serta kata-kata lucah yang di siarkan menimbulkan kesan buruk kepada semua terutama remaja dan kanak-kanak. Ini termasuk antaranya ialah penyiaran secara tidak terkawal filem, drama dan iklan komersil yang mempunyai unsur-unsur lucah dan tidak bermoral.

Selain itu, pendedahan berita mengenai rompakan, perbuatan rogol, penipuan dan segala macam keburukan terlampau banyak disogokkan di dada-dada akhbar dan majalah yang disiarkan samada dalam bentuk berita, laporan khas, cerpen atau sebagainya. Berita atau laporan sebegini kekadangnya di tulis dengan begitu explicit sekali dan disensasikan menyebabkan objektif penulisan menjadi samar, Kesannya bahan yang begini bukan sahaja menjadi pembuka mata bahkan ia juga menjadi pembuka nafsu” ingin tahu dan mencuba” para pembaca.

Media harus sedar peranan mendidik yang perlu dimainkan oleh mereka. Berita yang dilaporkan di akhbar harus berunsurkan motif mendidik masyarakat serta membentaras jenayah yang sama berulang dan bukan sebaliknya . Majalah yang diterbitkan harus mempunyai motif yang jelas , bukan sekadar menyebarluaskan gossip dengan selitan gambar-gambar yang memberahikan.

NGO-NGO WANITA ISLAM DENGAN INI SECARA SEBULAT SUARA MENDESAK :-

1. Pihak Kerajaan secara umumnya mengambil langkah serius dan bersungguh-sungguh untuk mengawal kebanjiran bahan porno di internet dan media massa

2. Pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan mengambil tindakan undang-undang yang tegas dan lebih berat kepada mana-mana pihak yang menjual dan mengedar bahan porno dan mengawal lambakan VCD lucah di pasaran

3. Kementerian Dalam Negeri mengawal penerbitan buku,majalah dan akhbar yang memaparkan cerita, berita dan grafik yang mengandungi unsur-unsur kelucahan melampau.

4 Peningkatan penguatkuasaan hukuman dilakukan. Hukuman berbentuk denda dilihat tidak mampu memberi kesedaran kepada pengedar VCD lucah. Sewajarnya kerajaan mempertimbangkan hukuman yang lebih keras.

5. Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan mestilah serius dan konsisten mengawal bahan-bahan siaran samada di stesen penyiar kerajaan mahupun swasta secara telus. Hak penapisan kandungan bahan siaran yang diberikan kepada sesetengah stesen penyiar perlu ditarik balik dan Lembaga Penapisan Filem yang dilihat gagal memainkan peranan dan fungsinya perlu dinilai semula.

6. Ibu bapa memainkan peranan aktif mendidik kanak-kanak dan remaja agar mempunyai benteng kawalan diri yang mantap terhadap gejala-gejala negatif sejak dari kecil lagi



23 OGOS 2010


Wanita Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM) KL
An Nidaa’
Women Institute For Research, Development and Advancement (WIRDA)
Persatuan Kebajikan Darul Najah
Nisa’ Wilayah Persekutuan
Wanita IKRAM Wilayah Persekutuan
Persatuan Wanita dan Ibu Tunggal Hulu Klang

Kerajaan perlu serius kawal pornografi

Hazayani Zakaria
Harakahdaily


KUALA LUMPUR, 23 Ogos: Gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Wanita Islam Kuala Lumpur akan menghantar memorandum kepada tiga kementerian bagi mendesak langkah yang lebih serius diambil dalam mengawal lambakan bahan pornografi di media massa yang dilihat menjadi punca kepada masalah sosial di negara ini.


Jurucakap gabungan yang diwakili lapan NGO itu, Dr Niekmah Adam berkata, memorandum berkenaan akan diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Kementerian Dalam Negeri serta Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan yang dilihat bertanggungjawab dalam masa terdekat ini.


"Setelah buat pertama kali semua NGO ini mengadakan perbincangan mengenai masalah sosial yang dirumuskan salah satunya berpunca daripada lambakan bahan porno, kami sebulat suara mendesak kerajaan secara umumnya mengambil langkah serius dan bersungguh-sungguh untuk mengawal kebanjiran bahan porno di internet dan media massa," kata Niekmah pada sidang media di pejabat Jemaah Islah Malaysia (JIM), dekat sini, hari ini.


Menurutnya, pendedahan terhadap unsur-unsur pornografi di kalangan remaja ini menjadi salah satu punca utama kepada peningkatan kesalahan melibatkan kes jenayah seksual dan juga di kalangan remaja di Malaysia.


Memorandum yang dijangka akan diserahkan awal bulan depan itu mengandungi beberapa desakan kepada kementerian terbabit.


Antaranya gabungan itu mendesak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan mengambil tindakan undang-undang yang tegas dan lebih berat keapda mana-mana pihak yang menjual dan mengedar bahan porno dan mengawal lambakan video cakera padat (VCD) di pasaran.


Mereka juga mendesak Kementerian Dalam Negeri mengawal penerbitan buku, nmajalah dan akhbar yang memaparkan cerita, berita, dan grafik yang mengandungi unsur-unsur kelucahan melampau.


Selain itu, desakan turut dibuat terhadap Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan konsisten dalam mengawal bahan-bahan siaran samaada di stesyen televisyen milik kerajaan atau swasta.


"Hak penapisan kandungan bahan siaran yang diberikan kepada sesetengah stesyen penyiar perlu ditarik balik dan Lembaga Penapisan Filem dilihat gagal memainkan peranan dan fungsinya perlu dinilai semula,” katanya yang juga Ketua Wanita JIM Kuala Lumpur.


Selain itu, gabungan berkenaan berpandangan bahawa penguatkuasaan hukuman perlu ditingkatkan kerana hukuman berbentuk denda dilihat tidak mampu memberi kesedaran kepada pengedar VCD lucah.


Sementara itu, Pengurus Pusat Sokongan Wanita dan Keluarga JIM, Faridah Maludin memberitahu, kebanyakan remaja yang terlibat dalam masalah sosial khususnya zina mengakui mereka terjebak ke dalam tindakan negatif itu kerana terpengaruh dnegan bahan porno yang sangat mudah untuk didapati melalui internet dan telefon bimbit.


Beliau turut berpandangan bahawa ibu bapa memainkan peranan penting mendidik kanak-kanak dan remaj agar mempunyai benteng awalan diri yang mantap terhaap masalah-masalah sosial sejak daripada kecil lagi.


"Saya menyerulah kepada ibu bapa agar tidak memandang remeh isu ini sebaliknya mengawasi anak-anak dengan cara yang betul dan memberikan sepenuh kasih sayang agar mereka tidak mencari keseronokan di luar rumah," katanya.


Pengarah Nisa' Wilayah Persekutuan, Nor Hafiza Fadzil pula berkata, statistik pendaftaran kelahiran anak luar nikah yang dikeluarkan Jabatan Pendaftaran negara dari tahun 2000 hingga 2008 sangat membimbangkan dan memerlukan perhatian daripada semua pihak.


"Berdasarkan kepada laporan rasmi Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) melaporkan terdapat lebih 257,000 sijil kelahiran didaftarkan tanpa catatan nama bapa, sejak tahun 2000 hingga pada bulan Julai 2008.


"Ini sangat membimbangkan, jadi sebab itulah kami selaku NGO membawa isu ini dan bersetuju untuk menghantar memorandum kepada kerajaan," katanya.


Dalam pada itu, ditanya mengenai Konvensyen Sosial Kebangsaan yang akan diadakan oleh Dewan Pemuda PAS Pusat bagi membincangkan masalah sosial dalam masyarakat, Niekmah berkata, pihaknya menyokong penuh usaha itu dan bersedia untuk turut serta.


"Ini satu usaha yang bagus dan kami menyokong penuh konvensyen ini diadakan dan bagi pihak kami, bersedia untuk menyertainya jika diundang untuk turut serta," katanya.


NGO lain yang menyertai gabungan berkenaan ialah Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), An Nidaa', Women Institute For Research, Development and Advancement (Wirda), Persatuan Kebajikan Darul Najah, Wanita IKRAM Wilayah Persekutuan dan Persatuan Wanita dan Ibu Tunggal Hulu Klang.

Friday, June 25, 2010

Raudhatus Sakinah bantu remaja bermasalah

Wartawan Kita
Harakahdaily

KOTA BHARU, 24 Jun: Berita seorang pelajar meninggal dunia akibat pendarahan dan komplikasi keguguran di bilik penginapan sebuah resort di sini mengejutkan semua pihak.

Lebih malang lagi gadis itu menjadi mangsa pergaulan bebas, perbuatan zina sehingga mengandung luar nikah yang berakhir dengan kematian akibat pengguguran.

Ketua Wanita Jamaah Islah Malaysia (JIM) Kelantan, Dr Hafidzah Mustakim berkata, gejala seperti itu berlaku kerana kurangnya pendidikan dan penghayatan agama.

Selain itu lemah jatidiri, pengaruh kawan dan persekitaran serta kurang mendapat kasih sayang dalam keluarga.

”Berdasarkan pengalaman membimbing remaja di Raudhatus Sakinah, sebuah pusat bimbingan dan perlindungan remaja puteri kami mendapati empat faktor terbabit menyebabkan remaja terjerumus ke kancah gejala sosial,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Baru-baru ini media melaporkan seorang pelajar perempuan sebuah sekolah di Pasir Mas meninggal dunia akibat pendarahan dan komplikasi keguguran di bilik penginapan sebuah resort.

Sebelum itu pada bulan Julai tahun lepas seorang pelajar sebuah universiti juga dijumpai mati di bilik kediamannya dipercayai akibat komplikasi melahirkan kandungan luar nikah.

Dr Hafidzah berkata, Wanita JIM merasa sungguh kesal dan dukacita di atas kejadian yang berlaku itu.

Katanya, sampai bilakah situasi itu akan terus dibiarkan berlaku.

”Kami berharap semua pihak boleh memainkan peranan secara lebih berkesan untuk menghentikan penyakit sosial sehingga boleh menghancurkan keutuhan masyarakat dan negara.

”Apalah ertinya pembangunan fizikal dan kebendaan sesuatu negara jika tidak disertakan pembangunan insaniah merangkumi aspek emosi dan spiritual,” katanya.

Menurutnya juga Raudhatus Sakinah turut menyumbang kepada masyarakat melalui perkhidmatan pencegahan dan perawatan terhadap masalah gejala sosial.

Kata beliau dari aspek pencegahan pihaknya mengendalikan kempen Anda Bijak Jauhi Zina (ABJZ) dan Pakej Pendidikan Kesihatan Reproduksi Remaja.

Manakala dari sudut perawatan Raudhatus Sakinah membimbing remaja yang tersasar untuk kembali ke pangkal jalan.

Oleh itu katanya, remaja perempuan yang bermasalah boleh menghubungi pusat berkenaan bagi mendapatkan perkhidmatan yang disediakan di talian 013-9964077.

Saturday, May 15, 2010

Wanita perlu segera kenal pasti punca jika tertekan

Utusan Malaysia
14 Mei 2010

KUALA LUMPUR 13 Mei - Wanita Islam disaran segera mengenal pasti punca yang menyebabkan perasaan mereka tertekan sehingga gagal untuk mengimbangi tanggungjawab terhadap keluarga dan juga kerjaya.

Ketua Wanita Jamaah Islah Malaysia (JIM) Kuala Lumpur, Dr. Niekmah Adam berkata, jika perasaan tertekan terus dibiarkan, ia akan membuatkan seseorang wanita tidak mampu untuk menjalankan tanggungjawabnya dengan baik.

''Tekanan ini juga akan memberi kesan yang ketara terhadap ahli keluarga khususnya anak-anak sehingga boleh menyebabkan berlaku keruntuhan akhlak dan juga gejala sosial,'' ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis perasmian Seminar Wanita, Keluarga dan Kerjaya anjuran Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dengan kerjasama Persatuan Suri dan Anggota Perkhidmatan Awam Wanita (Puspanita) Jawi dan Wanita JIM di Dewan Hadhari, Kompleks Pusat Islam di sini hari ini.

Majlis perasmian itu disempurnakan oleh Presiden Puspanita Jawi, Toh Puan Rakiah Mariana Latiff.
Sehubungan itu, kata Dr. Niekmah, wanita diminta menyiapkan diri dengan mendalami ilmu-ilmu yang berguna supaya dapat mengendalikan segala tanggungjawab dengan berkesan.

''Antaranya termasuklah mendalami ilmu agama, pengurusan rumah tangga dan kerjaya, pengurusan tekanan dan juga pengurusan kewangan,'' katanya.

Selain itu katanya, wanita juga digalakkan mempelajari komunikasi dengan lebih berkesan dalam keluarga, pendidikan anak-anak, pengurusan masa, perundangan keluarga dan juga mengenai kesihatan diri dan keluarga.

Katanya, setiap wanita Islam disaran supaya memahami dengan lebih jelas matlamat mereka untuk keluar bekerja supaya ia tidak terkeluar daripada landasan dan peraturan yang ditetapkan agama.

''Ada kalangan wanita yang bekerja untuk membantu ekonomi keluarga, mengamalkan bidang yang diceburi, menjadi ketua keluarga kerana suami sakit atau ibu tunggal,'' katanya.

Dr. Neikmah berkata, majoriti wanita masa kini juga mempunyai kerjaya maka peranan dalam membangunkan masyarakat dan negara juga adalah penting.

''Islam tidak menghalang wanita untuk melakukan pekerjaan di luar rumah sekiranya ia merupakan keperluan diri, keluarga, masyarakat dan negara,'' katanya.

Dalam pada itu, pensyarah Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM), Prof. Madya Dr. Anisah Ab. Ghani membentangkan kertas kerja bertajuk Keseimbangan Kerjaya dan Keluarga: Antara Harapan dan Cabaran pada seminar itu.

Turut membentangkan kertas kerja ialah Naib Presiden JIM Pusat, Prof. Madya Dr. Harlina Halizah Siraj.

Thursday, May 13, 2010

Di Sinar Harian : Pertingkat Keprihatinan Sosial Untuk Saling Melindungi

MH : Wahai lelaki, sempurnakanlah amanahmu!

Selasa, 04 Mei 2010 16:07 TM Lim

KUALA LUMPUR – Lelaki, selaku ketua keluarga dan ketua masyarakat perlu lebih memberi keutamaan menyempurnakan amanah yang telah dipikulkan ke atas bahu mereka, khususnya dalam melindungi dan membela ahli keluarga mereka sebaik mungkin. Demikian mesej yang terpancar dalam Malam Amal Raudhatus Sakinah (MARS) 2010 di Pusat Konvensyen Shah Alam Ahad lalu.

Sebagai sebuah pusat bimbingan dan perlindungan untuk remaja puteri, Raudhatus Sakinah (RS) yang dikendalikan oleh Wanita Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM) terus menunjukkan komitmen yang tinggi dalam usaha menangani gejala sosial dan seksual yang semakin meruncing dalam masyarakat hari ini. Selain rancak meningkatkan kempen ‘Anda Bijak Jauhi Zina’ yang dilancarkan sejak 2007, empat buah cawangan RS yang telah ditubuhkan di Selangor, Kelantan, Pulau Pinang dan Johor terus memberikan khidmat bakti membimbing remaja kembali ke pangkal jalan.

Naib Presiden JIM yang juga Pengerusi Lembaga Pengurusan Induk RS, Prof Madya Dr Harlina Halizah Siraj berkata, berikutan mendadaknya peningkatan perzinaan, bilangan kehamilan remaja dan belia di luar nikah serta pembuangan bayi yang dilaporkan akhir-akhir ini, JIM terpanggil untuk memperhebat usaha menuntut semua pihak dan lapisan masyarakat memainkan peranan yang serius dalam membendung gejala yang mampu merosakkan nasab keturunan generasi akan datang ini.

“Isu gejala sosial dan seksual hari ini tidak boleh dilihat sebagai isu yang hanya membabitkan satu kelompok atau pihak yang menjadi mangsa sahaja, malahan golongan pemangsa yang mengambil kesempatan amat perlu ditangani segera. Dalam masa yang sama, segala situasi dan keadaan yang membuka peluang dan kesempatan menggalakkan berlakunya gejala ini mestilah segera dibendung habis-habisan,” tegasnya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan bersempena dengan program malam tersebut.

MARS 2010 dianjurkan dengan objektif utama mengajak semua individu masyarakat khususnya kaum lelaki untuk kembali melaksanakan amanah melindungi, membela dan menjaga wanita sebagaimana yang dinyatakan dengan jelas dalam al-Quran, surah an-Nisa’ ayat yang ke-34. Dengan tema ’Lelaki Pelindung Wanita’, MARS 2010 meminta kaum Adam untuk lebih komited dalam menjalankan amanah yang telah dipikulkan oleh Allah subhanahu watala. Sebaliknya, jika kaum lelaki cuai dalam melaksanakan tanggungjawab tersebut, mereka akan menjadi `perosak dan pemusnah’ yang mengeksploitasi masa depan serta kehidupan wanita, kanak-kanak dan masyarakat umum.

”Contoh sejati yang terbaik dan mampu menterjemahkan amanah tersebut dalam kehidupan seharian adalah Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam. Malahan baginda membuat penegasan khusus mengenai tanggungjawab kaum lelaki terhadap wanita dalam khutbah terakhir sebelum kewafatan baginda,

‘Wahai manusia, sebagaimana kamu mempunyai hak ke atas isteri kamu, mereka juga mempunyai hak ke atas kamu. Sekiranya mereka menyempurnakan hak mereka ke atas kamu maka mereka juga berhak untuk diberi makan dan pakaian dalam suasana kasih sayang. Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik, berlemah lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu yang setia. Dan hak kamu ke atas mereka ialah mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang kamu tidak sukai ke dalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina,’” katanya.

Kaum lelaki juga, tambah Harlina, diperingatkan dalam al-Quran agar memelihara diri mereka sendiri dan ahli keluarga (anak isteri) daripada azab api neraka (surah at-Tahrim ayat ke-6). Rasa tanggungjawab yang tinggi terhadap keselamatan dan kesejahteraan kaum wanita semestinya disemai awal dalam pendidikan anak-anak lelaki. Lelaki dewasa dalam komuniti seharusnya mampu menunjukkan sikap, layanan dan tingkah laku yang benar terhadap wanita, agar dicontohi pula oleh generasi lelaki muda, belia dan remaja. Kaum lelaki yang secara amnya lebih kuat fizikal dari wanita, tidak seharusnya mengambil kesempatan dengan kelemahan dan kekurangan kaum Hawa.

Namun kaum lelaki tidak seharusnya pula menjadi ‘over-protective’ sehingga mengurung isteri dan anak perempuan di rumah, menyekat peluang mereka untuk menuntut ilmu atau terlibat aktif dalam urusan kerjaya dan kemasyarakatan serta membuat segala keputusan tanpa melibatkan pandangan wanita sendiri!

“Apa yang sebenarnya digariskan oleh Islam, adalah kewajipan lelaki memastikan suasana, keadaan dan situasi sosial, politik dan ekonomi berada pada tahap yang baik untuk membolehkan wanita mencapai potensi tertinggi keupayaan mereka, agar sumbangan wanita mampu terus disalurkan untuk membangunkan tamadun dan kemajuan ummah.

”Dalam masa yang sama, kaum wanita juga memikul amanah menjaga maruah, kesejahteraan suami dan anak-anak serta harta benda. Mereka juga bertanggungjawab sepenuhnya melindungi suami daripada terbabit dalam kemungkaran yang mengundang kemurkaan Allah subhanahu wataala. Dengan keprihatinan bersama, kedua lelaki dan wanita memerlukan satu sama lain untuk tujuan melindungi, membela dan menjaga kepentingan bersama dengan harmoni dan bahagia,” ujar Harlina lagi.

Dalam konteks negara pula, JIM mendesak agar pihak kepemimpinan eksekutif negara yang diketuai oleh Perdana Menteri meletakkan prioriti utama dalam menangani isu gejala sosial dan seksual, di samping mencari jalan terbaik untuk membendung masalah ini. Amatlah tidak wajar sekiranya hanya sebuah kementerian sahaja yang dipertanggungjawabkan sepenuhnya berkaitan isu ini. Sebuah jawatankuasa kabinet khas sepatutnya dibentuk untuk merungkai permasalahan dan memikirkan tindakan selanjutnya. Kawalan sosial yang lebih berkesan perlu diwujudkan semula.

Segala usaha ini perlu dilaksanakan secara bersepadu dan berterusan agar gejala sosial dan seksual tidak terus menjadi `barah’ dalam kehidupan masyarakat Malaysia.

Sumber : MalaysiaHarmoni

Monday, April 19, 2010

Lelaki anggap wanita 'lauk'

IBU empat orang anak, Nor Shamila A. Majid yang menjadi mangsa tetak suaminya Februari lalu.


Sumber : Rencana Utama, KOSMO

REALITINYA, setiap hari sepuluh wanita menjadi mangsa dera di negara ini. Namun, itu hanya melibatkan kes yang dilaporkan kepada pihak polis.

Jumlahnya mungkin lebih tinggi, demikian menurut pendedahan pegawai polis Jabatan Siasatan Jenayah Bahagian D11 Bukit Aman, Superintendan Ong Chin Lan dalam satu seminar tidak lama dahulu.

Ujarnya, kejadian keganasan terhadap wanita boleh berlaku di banyak tempat termasuk rumah, tempat kerja, kawasan awam, jalan raya dan di dalam kenderaan.

"Laporan polis menunjukkan, keganasan terhadap wanita kebanyakannya dilakukan oleh individu yang paling hampir dengan wanita berkenaan seperti suami, ahli keluarga lain atau kekasih," katanya.

Bicaranya lagi, jenayah itu berlaku disebabkan mentaliti segelintir lelaki yang menganggap wanita serta kanak-kanak perempuan adalah insan lemah yang boleh disakiti.

"Gejala ini berlaku dalam semua budaya, bangsa, agama serta status atau kedudukan ekonomi.

"Sesuatu tindak-tanduk itu dianggap sebagai keganasan apabila ia menyebabkan kesakitan fizikal, kesakitan akibat senjata, kesedihan, tekanan minda, jenayah ugut, pengkhianatan hingga merendahkan keyakinan, rogol, liwat dan pembunuhan," katanya.

Sementara itu, Ketua Wanita Pusat, Jemaah Islah Malaysia (JIM), Dr. Harlina Halizah Siraj pula berpendapat, sejak Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 diwujudkan serta dilaksanakan pada 1996 nasib wanita yang didera suami tidak banyak berubah.

"Pada tahun 2005 sahaja terdapat 18,079 kes keganasan rumah tangga yang dilaporkan. Jika dibahagikan, terdapat 50 kes dilaporkan setiap hari sepanjang tahun itu.

"Saya yakin angka ini meningkat setiap tahun. Saya telah berjuang berhubung keganasan terhadap wanita ini lebih 10 tahun tetapi tidak banyak yang berubah," katanya.

Kata Harlina, semua pihak harus kembali kepada hukum Islam untuk menyelesaikan segala permasalahan manusia kerana agama ini lengkap dari segala aspek kehidupan dunia malah di akhirat jua.

Tuesday, April 13, 2010

Program kesedaran - Harian Metro 11.04.2010

KUALA LUMPUR: Atas dasar prihatin dengan isu keganasan rumah tangga, keluarga dan masalah sosial di kalangan remaja yang semakin meningkat ketika ini, Jemaah Islah Malaysia (JIM) cawangan Titiwangsa akan memperbanyakkan program kesedaran untuk institusi kekeluargaan.

Ketua Wanita JIM Titiwangsa, Arbayah Samion, berkata langkah ini antara komitmen serta matlamat JIM untuk memastikan masyarakat dibentuk dengan amalan dan nilai murni.

Beliau berkata, pihaknya sentiasa tampil dengan program kesedaran di setiap kawasan perumahan atau pusat komuniti di daerah berdekatan, antaranya Taman Melati dan Hulu Klang.

“Kami akan mengadakan sekurang-kurangnya tiga program kesedaran setiap tahun dengan kerjasama penduduk dalam usaha membentuk minda masyarakat ke arah nilai positif berlandaskan syariah Islam.

“Program ini akan terus dipacu dan diperbanyakkan lagi dalam usaha mengurangkan masalah sosial di kalangan masyarakat, terutama ketika ini seperti dipaparkan media, antaranya suami pukul isteri, simbah asid, anak perempuan lari ikut teman lelaki dan isteri curang,” katanya pada Seminar Kecemerlangan Wanita, Ibu Tunggal, Kecemerlangan Anak-Anak di Taman Melati Kawasan 8, Setapak, di sini. Hadir sama, Pengerusi Perbadanan Pengurusan Rumah Pangsa Kawasan 8, Komander Abdul Rahman Othman.

Seminar separuh hari itu memaparkan barisan tokoh JIM merangkap pakar motivasi kekeluargaan diiktiraf universiti tempatan dan dihadiri penduduk.

Thursday, March 25, 2010

Semua pihak bertanggungjawab - Raudhatus Sakinah

TM Lim

KUALA LUMPUR, 23 Mac - Pendedahan yang dibuat oleh Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Datuk Alwi Ibrahim mengenai jumlah anak luar nikah di Malaysia baru-baru ini benar-benar menakutkan. Ia membuktikan gejala sosial yang berlaku di negara ini semakin membarah. Ia juga memberi isyarat bahawa setiap orang perlu berganding bahu menganjurkan kebaikan serta mencegah kemungkaran (amar makruf nahi mungkar) dalam masyarakat.

Alwi, sebagaimana yang disiarkan dalam sebuah portal berita media perdana Ahad lalu berkata, seramai 17,303 anak luar nikah Melayu atau tidak sah taraf didaftarkan di seluruh negara sepanjang tahun 2009.

Pengarah Raudhatus Sakinah (RS), Puan Rosmawati Zainal menjelaskan, tanggungjawab membimbing dan menegur remaja yang terjebak dengan gejala sosial ini terpikul ke atas setiap orang Islam yang beriman. Hal ini kerana jumlah remaja terlalu ramai. Dianggarkan daripada seluruh penduduk dunia, 25% terdiri daripada remaja berusia 10-19 tahun.

"Bayangkan angka 17,303 itu cuma dalam masa setahun, dan yang lebih menyedihkan berbangsa Melayu. Angka ini terlalu besar dan menakutkan. Kami di Raudhatus Sakinah sejak 1998 hingga 2010 baru dapat membimbing 447 orang remaja perempuan, bermakna banyak lagi kerja kita. Kerja ini pula mesti dilakukan oleh semua pihak. Menghidupkan rumah perlindungan hanya dapat membantu mangsa (perempuan). Bagaimana halnya dengan pasangan mereka (lelaki) dan remaja lain yang lebih ramai di luar sana?" soalnya.

Katanya lagi, RS mahu melangkah jauh ke hadapan. Kempen 'Anda Bijak Jauhi Zina' yang sedang dijalankan sekarang berusaha menyedarkan remaja tentang bahaya zina, penyakit kelamin dan bagaimana mengurus cinta dengan betul.

"Cinta itu bukan setakat antara sesama manusia. Mereka lupa yang pertama sekali mestilah cinta kepada yang mencipta cinta itu sendiri iaitu Allah."

Visi RS ialah 'ke arah gejala sosial sifar menjelang 2020'. Dengan perkembangan terkini ini, tidakkah nampak agak mustahil untuk mencapai visi ini? Tidakkah ia terlalu 'ambitious'?

"Memang, kalau kita tengok secara zahir memang mustahil. Tapi apa-apa pun kalau Allah menghendaki, ia akan berlaku. Cuma yang penting bagi kita berusaha dan terus berusaha. Sebab itulah pentingnya penglibatan semua orang, peranan masyarakat dan sokongan keluarga. Bagi pihak keluarga, jangan rasakan apa yang ada dalam rumah mereka sahaja hak milik mereka. Mereka kena tengok di luar rumah juga. Di sana, masih ada ramai anak lain yang sangat memerlukan perhatian, nasihat dan teguran.

"Bagi pihak masyarakat pula, jangan letakkan tugas amar makruf nahi mungkar ini kepada orang atau jabatan tertentu sahaja. Kita semua hamba Allah, tapi kalau tak menjadi khalifah (yang menguruskan dunia mengikut peraturan) Allah, maka tak berjalanlah kebaikan ini. Dalam al-Quran pun Allah sudah jelaskan, orang-orang yang menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran inilah golongan yang beruntung," jelas Rosmawati.

Menurutnya lagi, zaman sekarang bukan zaman bercakap sahaja. Pendakwah mesti 'walk the talk', menasihati dan menunjukkan teladan. Beliau memetik kisah Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam yang tidak berhenti memberi makan seorang buta di hujung kampung walaupun orang itu menghina Rasullah setiap hari. Adakah tindakan itu menjatuhkan imej baginda? Tidak. Begitulah peranan yang mesti dimainkan oleh masyarakat walaupun hari ini. Walaupun mereka berpangkat dan berimej hebat, tiada celanya mereka menegur remaja yang hidup berpeleseran bagaikan tiada matlamat hidup.

"Saya yakin jika keseluruhan masyarakat prihatin dalam membina dan membimbing remaja, gejala sosial akan berkurangan, dan sasaran sifar pada tahun 2020 itu tidak lagi mustahil. Kita kena yakin bahawa bagi Allah, 'kun fayakun'. Yang penting tugas ini kena bermula. Selagi ia tidak dimulakan, kita tak nampak macam mana nak ubah dunia," katanya sambil menguntum senyum.

Gejala sosial ini ibarat api yang menyala antara dua pihak. Satu pihak menyiram air untuk memadamkannya, tetapi satu pihak lagi mencurah minyak yang memarakkannya, malahan yang mencurah minyak itu lebih banyak. Tidakkah usaha RS ini dikira sia-sia dan membuang masa?

"Sesetengah orang mungkin menganggap ia kerja sia-sia, tetapi ambillah semangat daripada seekor burung yang terbang berulang-alik membawa setitik air untuk cuba memadamkan api yang membakar Nabi Ibrahim alaihissalam. Akhirnya nanti kita semua akan ditanya oleh Allah apakah yang telah kita lakukan untuk membendung gejala sosial ini, dan kita terpaksa menjawabnya."

RS tidak bermaksud untuk terus kekal di persada negara. Cita-citanya ialah menjelang 2020, RS sudah tidak diperlukan lagi (jika visi sifar gejala sosial dicapai). Malah kata Rosmawati, kalau boleh, rumah-rumah perlindungan ini tidak perlu ada lagi pada masa hadapan, tetapi buat masa ini ia terpaksa diwujudkan kerana terlalu ramai yang menjadi mangsa (kepada keadaan).

"Jadi, kalau tak mahu rumah-rumah perlindungan ini tumbuh macam cendawan, kita kena proaktif, membantu menyedarkan remaja agar kembali kepada Islam sebagai cara hidup."

Sehubungan dengan hal itu, RS akan mengadakan 'Malam Amal Raudhatus Sakinah' (MARS) di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) pada 2 Mei 2010 ini. Dengan tema 'Lelaki Pelindung Wanita', program ini mahu menggembar-gemburkan bahawa golongan lelaki sepatutnya membimbing wanita yang tersasar, bukan mengambil kesempatan. Lelaki juga menjadi contih terbaik kepada wanita sebagaimana yang ditunjukkan oleh Rasulullah sallallahu alaihi wasallam. Persembahan akan dijayakan oleh kumpulan Demascus, Xifu, Algebra dan anak-anak remaja, manakala tetamu undangn khas ialah Penaung RS, YTM Tengku Besar Terenganu, bonda SPB Yang Di-Pertuan Agung. RS mengajak syarikat, badan kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan dan individu tampil membantu RS dalam usaha pencegahan gejala sosial ini bersama-sama.

(Raudhatus Sakinah merupakan sebuah Pusat Perlindungan Remaja Puteri yang berdaftar di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat dan ditubuhkan pada tahun 1998. Sehingga kini, sebanyak empat buah pusat perlindungan remaja RS yang sedang beroperasi iaitu di Selangor, Kelantan, Pulau Pinang dan Johor.)

Friday, March 12, 2010

Resolusi pembuangan bayi


Pesona
Kosmo

KEMPEN Anda Bijak Jauhi Zina (ABJZ) anjuran Pertubuhan Jemaah Islam Malaysia (JIM) amat dialu-alukan ketika masyarakat digemparkan dengan insiden pembuangan bayi yang seolah-olah tiada kesudahan.


Setelah lebih dua dekad isu pembuangan bayi yang disyaki dilakukan oleh remaja, kempen ABJZ JIM memang tepat pada waktunya. Mengapa?


Sebahagian besar daripada mereka yang terlibat dalam gejala seks luar nikah adalah kalangan kumpulan remaja dan awal dewasa. Menurut JIM bilangan kelahiran bayi luar nikah dilakukan oleh pelajar Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) meningkat. Ini merupakan satu jumlah yang amat menggerunkan.

Dalam memperkatakan ABJZ, JIM menggunakan terma zina. JIM menolak penggunaan terma seks bebas, seks rambang, hubungan luar nikah dan terlanjur. Penolakan kepada terma-terma yang menjurus kepada perspektif psikologi Barat itu adalah tindakan berani JIM.

Terma zina lebih berat kerana ia merangkumi isu moral, sahsiah, hukum hakam, dosa dan hukuman di dunia dan di akhirat. Malah, zina turut diiringi dengan konsep taubat yang dapat membersihkan diri daripada dosa selagi perbuatan itu tidak diulangi.

Memang banyak pendapat dan kritikan daripada pelbagai pihak diutarakan apabila gejala pembuangan bayi mendapat liputan meluas media. Ada yang menyalahkan remaja yang tidak berupaya mengawal tuntutan nafsu, malah ada juga yang menuding jari kepada institusi keluarga yang goyah.

Pasca pemodenan

Ada juga yang mengatakan gejala pembuangan bayi kesan akibat pembangunan pasca pemodenan.

Pada era globalisasi dengan kecanggihan perkembangan teknologi komunikasi turut mempengaruhi perlakuan seksual remaja.

Setakat ini, JIM dengan Rumah Perlindungan Pusat Bimbingan Remaja Puteri Raudatus Sakinah di Sungai Buluh, Selangor dan Sungai Bakap, Pulau Pinang termasuk Kem Modal Insan Pusat Kebahagiaan Wanita Remaja (Kewaja) di Gombak dan Baitul Figh di Hulu Langat, Selangor begitu proaktif dalam mengurus remaja dan gadis-gadis malang yang trauma, ketakutan dan kebimbangan akibat keterlanjuran seksual.

Ketiga-tiga badan bukan kerajaan (NGO) itu bertungkus- lumus mengurus dan membimbing remaja serta gadis malang yang mengandung luar nikah bagi meneruskan kehidupan semasa, sewaktu dan selepas melahirkan anak menerusi pendekatan Islam.

NGO itu ternyata menzahirkan keprihatinan mereka dalam bentuk tindakan. Isu pembuangan bayi di kemuncaknya apabila berlaku kes bayi yang dibuang kemudian di bakar di tempat pembuangan sampah.

Adakah persatuan-persatuan profesional dan kementerian terbabit masih dilihat lambat menangani situasi itu? Atau mungkinkah disebabkan dana kementerian atau jabatan terbabit makin berkurangan akibat kegawatan ekonomi global yang menghindar mereka daripada terus bertindak proaktif?

Realitinya, persatuan-persatuan dan agensi-agensi terbabit tidak mempunyai rumah-rumah perlindungan. Mereka juga tidak mempunyai pusat bantuan dengan kakitangan-kakitangan yang boleh mengurus remaja dan gadis mengandung luar nikah dalam masa terdekat.

Dalam keadaan mendesak dapatkah ahli persatuan, graduan profesional dan kakitangan kementerian terbabit menguruskan kes-kes kehamilan luar nikah sehingga saat mereka melahirkan anak?

Dalam memperkatakan tentang tindakan membuang bayi itu, kita mungkin terlupa malah mengenepikan sama sekali salah satu punca utama bencana musibah kehamilan luar nikah itu.

Tumpuan lebih kepada bayi malang yang mati dibuang dan dosa kesilapan yang dilakukan oleh gadis yang terlanjur.

Kita alpa kepada lelaki durjana yang bertanggungjawab di atas bencana keterlanjuran seksual itu. Mereka perlu diburu, dipertanggungjawabkan di atas apa yang telah dan sedang berlaku.

Tidak adil dengan hanya menyalahkan gadis perempuan yang menanggung beban penderitaan keterlajuran seksual ini.

Lelaki itu wajar diheret ke muka pengadilan di atas perbuatan salah laku seksual mereka. Gadis-gadis malang itu ditinggalkan menanggung trauma mengandung luar nikah dengan sokongan sosial yang lebih banyak mencemuh, mencerca daripada membantu.

Memandangkan perbuatan zina kebanyakannya dituruti dengan pembuangan bayi dalam kalangan remaja sekolah mahupun di institusi pengajian tinggi (IPT), peranan kaunselor amat penting.

Di Amerika Syarikat (AS), di samping kaunselor, jawatan pekerja sosial diwujudkan di sekolah bagi meluaskan lagi peranan proses bantuan.

Kepekaan, kesanggupan, kerelaan berkerjasama, memberi sumbangan dalam apa juga bentuk amat diperlukan tanpa mengharapkan pengiktirafan. Persoalannya, sanggupkah kita?

Monday, October 05, 2009

Rayuan batal sebat persenda hukum syariah

Oleh Hasliza Hassan haliza@bharian.com.my

Sumber : Berita Harian (5/10/2009)

Semua pihak perlu akur keinsafan Kartika sebagai Muslim untuk jalani tindakan syarie

KETIKA heboh isu sebat, Kartika Sari Dewi Shukarno sendiri sama sekali tidak mempertikaikan hukuman yang diputuskan mahkamah tetapi orang lain pula beriya-iya meminta pelbagai pihak termasuk kerajaan untuk mengkaji semula hukuman yang sudah termaktub dalam undang-undang syariah.

Malah, pengalaman dilalui model sambilan itu yang reda dengan hukuman sebat dijatuhkan atas kesalahan meminum arak, kini membuka lembaran baru dengan penampilan lebih positif.

Pengerusi Jawatankuasa Undang-Undang dan Pelaksanaan Syariah Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM), Dr Zulfakar Ramlee, berkata perubahan itu sepatutnya menjadi tamparan hebat kepada mereka yang memperjuangkan supaya hukuman ditangguhkan dan disemak.

"Itu satu tamparan kepada orang yang memperjuangkan supaya hukuman ditangguhkan sebab orang yang nak disebat sudah nampak perubahan dari segi penampilan tetapi orang yang kononnya nak membela, tidak ada perubahan. Pada saya itu satu tamparan untuk mereka," katanya.

Beliau berkata, tindakan pihak yang mempertikai pelaksanaan undang-undang syariah termasuk hukuman sebat terhadap jenayah syariah boleh menimbulkan tanda tanya serta sangkaan wujudnya motif tidak baik terhadap Islam.

Zulfakar yang ditemui selepas sidang media pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam membantah tuntutan menghapuskan undang-undang jenayah syariah, berkata suara kumpulan minoriti itu tidak seharusnya diberi perhatian.

Katanya, suara sakti majoriti masyarakat Islam yang mendukung kedaulatan undang-undang Islam sepatutnya diambil kira bagi mempercepatkan usaha ke arah meningkatkan martabat serta memperkasakan undang-undang syariah.

"Menjadi harapan NGO Islam supaya suara memperlekeh undang-undang serta mahkamah syariah tidak diberi ruang. Saya tidak fikir kerajaan atau pihak berkaitan ingin menunggu umat Islam menghukum baru hendak mengambil tindakan.

"Inilah masanya kerajaan melakukan sesuatu bagi memastikan kedaulatan undang-undang syariah dipelihara dan dipertahankan. Saya bersetuju keputusan Panel Rayuan Kehakiman Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan memutuskan hukuman enam sebatan terhadap Kartika kekal dan akan tetap dilaksanakan," katanya.

Katanya, Kartika juga bukan orang yang pertama menerima hukuman sebat atas kesalahan minum arak kerana Kelantan sudah melaksanakan 13 hukuman rotan terhadap pesalah jenayah syariah tetapi isu itu tidak diperbesarkan.

Mengenai kewajaran hukuman sebat itu dilaksanakan di khalayak umum, Zulfakar berkata, ramai tidak faham falsafah hukum Islam iaitu untuk mendidik orang lain supaya tidak melakukan kesalahan sama.

Beliau berkata, hukuman sebat mengikut undang-undang syariah boleh diibaratkan seperti hukuman rotan di khalayak ramai di sekolah yang tujuannya memberi pengajaran kepada pelajar lain tidak mengulangi perbuatan dilakukan rakan mereka.

"Apabila orang lain lihat, akan timbul rasa malu jika dirotan. Jika buat di tempat tertutup, tiada siapa pun akan tahu dan mendapat pengajaran. Ini simboliknya dan inilah falsafah Islam tetapi orang tidak faham," katanya.

Kisah Kartika mendapat tumpuan pelbagai pihak termasuk media asing apabila dijatuhkan hukuman maksimum enam sebatan dan denda RM5,000 oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan, 20 Julai lalu selepas mengaku salah minum arak di pusat hiburan di Cherating, dua tahun lalu.

Isu itu kemudian menjadi perbahasan kumpulan yang membuat permintaan supaya hukuman sebat diketepikan dan dibalas pula pelbagai pihak yang melihat kepentingan memastikan hukum syarak dilaksanakan.

Berita Harian turut menyiarkan dua siri rencana mengenai pelaksanaan hukuman sebat mengikut hukum syarak yang merangkumi prosedur hukuman sebat terhadap pesalah wanita serta rotan yang boleh digunakan.

Bagaimanapun, masih ada kenyataan dibuat sehingga kini mengenai hukuman sebat terhadap Kartika Sari yang ditangguhkan pada Ramadan lalu kerana menghormati bulan puasa.

Disebabkan kenyataan demi kenyataan yang dibuat itu, NGO Islam bertindak membuat bantahan terhadap tuntutan Sisters in Islam (SIS), Pertubuhan Pertolongan Wanita dan Kumpulan Bertindak Menentang Keganasan Terhadap Wanita (JAG).

Berikutan itu, Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Persatuan Alumni Kolej Islam (Alkis), Jamaah Islam Malaysia (JIM), Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) dan Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM) mendesak kerajaan mendakwa semua pihak yang membuat tuntutan bersifat menghasut serta menghina ajaran Islam.

NGO berkenaan juga meminta supaya dana diterima pihak berkenaan disiasat, membatalkan permit akhbar dan media menyiarkan pandangan bersifat menghasut untuk menghapuskan undang-undang jenayah Islam.

Mereka juga mahu ajaran Islam dipelihara selaras kedudukan Islam sebagai agama rasmi negara seperti termaktub dalam Perlembagaan serta meminta pihak yang tidak berkenaan usah mencampuri urusan di mahkamah syariah.

Jabatan Undang-Undang Islam, Kuliyyah Undang-undang Ahmad Ibrahim Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dalam kenyataannya berkata, pelaksanaan hukuman sebat bagi pesalah syariah tidak bertentangan undang-undang antarabangsa.

Pelaksanaan hukuman terpakai tanpa mengira jantina walaupun ada perkara perlu diambil kira sebelum hukuman dilaksanakan khususnya jika membabitkan pesalah wanita. Hukuman itu juga bukan satu diskriminasi terhadap wanita dan oleh demikian tidak bertentangan Konvensyen Penghapusan Semua Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW) yang turut dianggotai Malaysia.

"Hukuman sebat mengikut undang-undang Islam bersifat kemanusiaan kerana perlu ambil kira faktor yang boleh memberi mudarat kepada pesalah termasuk tidak melukakan kulit pesalah. Ia juga bukan satu bentuk penderaan, hukuman kejam atau menghina," katanya.

Katanya, menurut Islam hak asasi manusia hendaklah ditafsirkan mengikut kehendak Islam yang mana hak seseorang individu diimbangkan dengan hak masyarakat yang inginkan keselamatan dan kesejahteraan.

Pendirian Kartika untuk mengaku bersalah dan bersedia dihukum harus dilihat sebagai kerelaan bagi mematuhi perintah Allah dalam menegakkan keadilan walau terhadap diri sendiri.