skip to main |
skip to sidebar
Oleh Hashim Ahmad
Minda - Harian Metro
2010/03/19
SESUNGGUHNYA keadaan hidup seseorang itu adalah sesuai dengan sahabat karibnya. Persahabatan dan pergaulan mempunyai pengaruh yang amat besar dalam mendatangkan kebaikan dan manfaat bagi seseorang. Begitu juga sebaliknya, kemaksiatan dan kemudaratan.
Justeru, setiap seorang hendaklah memerhatikan siapa yang dijadikannya sebagai sahabat - siapa yang diajak berteman, bergaul dan berkawan. Apakah kita berkawan dengan orang soleh dan baik-baik atau dengan orang fasik dan jahat.
Pengaruh berkenaan tidak kelihatan secara spontan. Ia tampak sedikit demi sedikit dan sesuai dengan lamanya persahabatan dan pergaulan - dengan orang baik-baik atau dengan yang jahat tadi.
Nabi s.a.w pernah bersabda yang bermaksud: “Seseorang akan dikumpulkan bersama kawan karibnya (atau seseorang akan dikumpulkan bersama siapa yang dicintainya”. (Hadis riwayat Ibn Mas’ud)
Dalam hadis lain Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Keadaan hidup seseorang sesuai dengan sahabat karibnya, maka hendaknya setiap orang memerhatikan siapa yang dijadikan sahabat.” (Hadis riwayat Bukhari)
Rasulullah bersabda lagi yang bermaksud: “Perumpamaan teman berbincang yang baik, ibarat seorang penjual wangian. Adakalanya engkau diberinya atau membeli daripadanya atau beroleh bau wanginya. Dan, perumpamaan sahabat yang jahat ibarat peniup tukang besi, ada kalanya engkau terbakar dengan percikan apinya atau terkena bau busuknya.” (Hadis riwayat Muslim)
Apakah neraca yang boleh dijadikan ukuran untuk menilai pergaulan? Sesiapa ingin mengetahui adakah daripada sahabatnya ia boleh menambah iman, agama dan amal atau menderita kekurangan daripadanya, maka hendaklah ia merenung kembali keadaannya sebelum persahabatan dan pergaulannya dengan orang berkenaan.
Dengan lain perkataan, bagaimana keadaannya dalam hal keteguhan iman, agama dan akhlak mulia yang disandangnya, niat baik yang dipendamnya, serta semangatnya yang kuat untuk melakukan ketaatan dan kebajikan.
Kemudian, perhatikan keadaannya dalam semua itu setelah bergaul dan berteman. Jika ia mendapati sifat dan amal baik itu telah bertambah kuat dan kukuh, semangatnya serta tekadnya untuk mempertahankannya pun semakin bertambah, maka dia dapat berasa lega kerana pergaulan dan persahabatannya telah mendatangkan manfaat baginya dalam agama dan jiwanya.
Jika ia meneruskan persahabatannya dan menjadikannya sebagai kebiasaan yang dipegangnya erat-erat, pasti akan membawanya kepada manfaat yang lebih besar serta kebaikan yang lebih berlimpah, insya-Allah.
Namun, jika ia memerhatikan keadaan dirinya setelah pergaulannya itu berlangsung dan melihat bahawa perilaku dan semangat keagamaannya menjadi lebih lemah dan goyah, hal itu menunjukkan pergaulan dan persahabatannya telah mendatangkan mudarat bagi agama dan jiwanya.
Jika ia meneruskan pergaulan dan persahabatannya, nescaya hal itu akan menjerumuskannya ke dalam mudarat dan kejahatan yang lebih besar serta lebih banyak. Semoga Allah s.w.t melindungi kita daripadanya.
Dengan cara itu pula, hendaknya kita memerhatikan kembali sifat buruk yang ada pada dirinya sendiri sebelum persahabatan itu dan sesudahnya.
Dengan neraca yang disebutkan di atas, hendaknya ia menimbang masing-masing sifat dan perilaku diri sendiri dan membandingkannya dengan sifat kebalikannya pada diri teman pergaulan. Hendaknya ia menyedari bahawa kemenangan akan berada di pihak yang lebih kuat dan lebih dominan, dalam kebaikan atau kejahatan.
Ertinya, apabila kebaikan di antara sesama teman itu lebih kuat atau lebih dominan, dapat diharapkan bahawa teman yang jahat akan tertarik pada kebaikan dan pelakunya. Tetapi, apabila kejahatan lebih kuat dan lebih dominan, dikhuatiri orang yang baik akan tertarik pada kejahatan dan pelakunya.
Inilah makna yang amat pelik yang benar-benar dimengerti orang yang berpengalaman dan dicerahkan jiwanya dalam perkembangan pelbagai perilaku seperti ini.
Sesungguhnya teman berbincang yang baik lebih utama daripada duduk bersendiri, tetapi bersendirian lebih utama daripada duduk bersama teman yang jahat.
Minda - Harian Metro
2010/03/05
DALAM hidup ini Allah sentiasa menguji kita. Ujian Allah pelbagai dan orang yang diuji Allah juga pelbagai. Ada yang diuji Allah dengan musibah seperti kematian orang disayangi, kebakaran, kemalangan, kehilangan, bencana alam dan yang selalu diuji Allah kepada kita ialah dengan mendatangkan sakit.
Tidak seorang pun daripada kita yang hidup di dunia ini terlepas daripada menerima ujian Allah. Yang membezakannya hanya bentuk ujian itu. Ada yang ringan dan ada yang berat ujiannya.
Walau apa saja yang kita alami di dunia ini, ia adalah sunnatullah yang telah ditetapkan menurut hikmah-Nya sebagai cubaan dan ujian. Dalam al-Quran banyak disebut mengenai ujian Allah ini. Dengan kata lain, manusia sentiasa diuji oleh Allah dengan pelbagai bentuk sama ada manusia suka atau tidak Allah tetap mengujinya.
Al-Quran dalam surah Al-Anbiya ayat 35 Allah berfirman yang bermaksud: “Tiap-tiap diri akan merasai mati dan Kami akan menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai cubaan (yang sebenar-benarnya). Dan hanya kepada Kamilah kamu dikembalikan.” Dalam surah Al-A’raf ayat 168 pula Allah berfirman yang bermaksud: “Dan, Kami cuba mereka dengan (nikmat) yang baik-baik dan (bencana) yang buruk, agar mereka kembali (kepada kebenaran).” Melihat dua firman Allah di atas, jelas bahawa pelbagai penyakit yang menimpa umat Islam itu adalah sebahagian daripada cubaan ataupun ujian Allah yang diberikan kepada hamba-Nya. Sesungguhnya cubaan dan ujian itu adalah sunnatullah yang telah ditetapkan berdasarkan rahmat dan hikmah-Nya, di mana di dalamnya terkandung kebaikan dan rahmat bagi hamba-Nya.
Harus kita ingat bahawa Allah memberikan hidayah dan taufik kepada setiap hamba-Nya dengan jalan yang berbeza-beza. Salah satunya dengan mendatangkan musibah sakit kepada hamba-Nya.
Kita hendaklah sentiasa bersangka baik dengan Allah terutama ketika kita ditimpa musibah sakit atau musibah lain. Ujian sakit yang diberikan-Nya itu tanda kasih sayang-Nya dari Khalik kepada makhluk-Nya. Allah selalu mencintai hamba-Nya yang sabar, ikhlas dan reda. Dan sebagai hamba-Nya yang beriman, kita hendaklah selalu memuji Allah yang tak pernah putus-putus memberi rahmat kepada kita hatta ketika kita sakit.
Sehubungan itu, Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Sesungguhnya, besarnya pahala sesuai dengan besarnya cubaan. Sesungguhnya, jika Allah mencintai suatu kaum, maka Dia akan menguji mereka. Barang siapa yang reda dengan musibah itu maka baginya keredaan Allah. Dan barang siapa yang marah (tidak reda) dengan musibah berkenaan, maka baginya kemurkaan Allah.” (Hadis riwayat Tirmidzi) Sabda Rasulullah lagi yang maksudnya: “Setiap sesuatu itu mempunyai hakikat dan tidaklah seorang hamba mencapai hakikat iman sehingga dia menyedari musibah yang menimpanya bukan untuk menyalahkannya dan kesalahan yang dilakukannya bukan sebab untuk ditimpakan musibah kepadanya.” Syuraih rahimahullah berkata: “Aku benar-benar ditimpa musibah. Namun aku memuji kerana empat perkara. Aku memuji kerana musibah itu, bukan yang paling kuat, kerana kau dianugerahkan kesabaran menghadapinya. Kerana aku diberi taufik untuk mengucapkan ‘Ina lillahi wa inna ilaihi raji’un’ sehingga aku boleh memohon pahala, dan kerana musibah itu tidak dijadikan pada agamaku.” Sementara Al Ghazali rahimahullah pula berkata: “Setiap musibah dan penyakit harus digambarkan ada yang lebih besar lagi. Sebab ketetapan Allah tidak boleh dicegah. Sekiranya Allah melipat ganda dan menambahkannya apakah yang boleh menolaknya? Walaupun demikian, dia tetap harus bersyukur kerana hal ini bukan yang paling besar di dunia. Jadi, tidak seorang pun ditimpa musibah, melainkan dia harus melihat hal Allah yang boleh menimpakan musibah yang lebih besar lagi di dunia pun di akhirat.” Sebenarnya ada hikmah bagi orang mukmin bila ditimpa sakit kerana dalam sakit itu terkandung pahala dan keampunan serta sekali gus mengingatkan kepada kita akan kekuasaan dan kebesaran Allah. Dan darjat yang tinggi Allah berikan kepada mereka yang tabah dan sabar dalam menghadapi musibah sakit ini, dengan syarat pesakit tidak melupakan kewajipan solat lima waktu. Betapa pun sakit itu tidak membolehkan kita untuk berdiri atau bersuci, namun kita tidak boleh meninggalkannya hanya atas sebab itu.
Sesungguhnya solat adalah jalan terbaik mendekatkan diri kita dengan Allah, di mana hanya Dia saja tempat untuk kita mohon pertolongan bila ditimpa musibah. Hanya Allah saja yang boleh membantu dan memberikan pertolongan kepada kita.
Sabda Rasulullah yang bermaksud: “Solatlah di atas tanah selama kamu mampu. Jika tidak, cukup kamu memberi isyarat dengan menggerakkan badan dan lakukanlah sujudmu lebih rendah daripada rukukmu.” (Hadis riwayat Thabrani dan disahihkan oleh Al-Albani).
Sementara Allah berfirman dalam al-Quran yang maksudnya: “Bertakwalah kepada Allah menurut kesanggupanmu.” (Surah At-Taqhaabun ayat 16) Sama ada berat atau ringan sakit yang kita alami, semuanya cubaan dan ujian Allah kepada kita. Tapi kita tidak perlu bersangka buruk terhadap Allah kerana Allah tidak menurunkan sesuatu penyakit itu tanpa ubatnya. Ertinya setiap penyakit yang ada di dunia ini ada ubatnya disediakan oleh Allah. Hanya mati saja tidak ada ubatnya.
Dari Abu Hurairah r.a. dia berkata, Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Allah tidak menurunkan penyakit melainkan pasti menurunkan ubatnya.” (Hadis riwayat Al Bukhari) Selain ubat, doa juga penting untuk cepat menyembuhkan penyakit. Berdoa bererti memohon kepada Allah yang Maha Mengetahui penyakit yang kita deritai dan Dia yang Maha Berkuasa dapat menyembuhkannya. Bersungguh-sungguhlah berdoa kepada Allah. Firman Allah dalam al-Quran surah Al-Baqarah ayat 186 yang bermaksud: “Dan apabila hamba-Ku bertanya kepadamu (Muhammad) mengenai Aku, maka sesungguhnya Aku ini dekat. Aku mengabulkan permintaan orang yang berdoa, jika ia benar-benar memohon pada-Ku".