Showing posts with label Wanita. Show all posts
Showing posts with label Wanita. Show all posts

Friday, August 06, 2010

Pengguguran itu Pembunuhan

2010/07/23
Harian Metro
Siti Zarinah Sahib (sitizarinah@hmetro.com.my)


PADA zaman moden ini, menggugur kandungan tidak lagi menjadi sesuatu yang sukar berbanding dulu.


Memakan nanas muda, penggunaan herba tertentu atau menggunakan alat tajam dengan mencucuk ke dalam rahim seperti yang dipaparkan dalam filem Melayu, ia pasti memberikan kesan mengerikan kepada sesiapa sahaja.


Tetapi kini, menggugurkan kandungan sudah menjadi perkara biasa, malah tidak menyakitkan.


Justeru, ramai gadis berulang kali melakukannya kerana pada luarannya tiada apa yang perlu ditakutkan.


Paling tidak lemah dan tidak dapat berjalan selama seminggu kemudian mereka boleh aktif dan berlari seperti orang lain, tiada pantang larang. Mudah bukan?


Ikuti kupasan isu pengguguran bersama wartawan Siti Zarinah Sahib (sitizarinah@hmetro.com.my) yang mendapatkan pandangan daripada pakar perubatan dan agama serta pengakuan wanita yang pernah melalui detik hitam menggugurkan bayi.


JIKA ditanya kepada gadis yang pernah melakukannya, pasti mereka memberitahu terdapat banyak klinik swasta di ibu kota menyediakan perkhidmatan ini.


Bayaran terendah RM500 sehingga mencecah RM2,000, bergantung kepada usia kandungan.


Malah, bagi yang tidak mahu membayar mahal, mereka boleh menelan pil dan menunggu keesokan harinya untuk proses 'tumpah' darah.


Bagi pengamal perubatan yang melakukannya, mereka sebenarnya mengetepikan etika serta tanggungjawab sosial. Golongan doktor yang tidak beretika ini melakukannya dengan rakus semata-mata mengaut keuntungan.


Menerusi maklumat daripada seorang doktor kepada penulis, ada pengamal perubatan menerima lima sehingga tujuh kes pengguguran seminggu.


Bayangkan jika bayaran minimum diterima RM500 untuk sekali pengguguran, bermakna dia menerima RM2,500 seminggu dan sebulan pendapatannya melebihi RM10,000.


Disebabkan berpendapatan lumayan, perkhidmatan ini semakin bertambah dan bagi pihak pengamal perubatan, teori mereka mudah sahaja, adanya permintaan menyebabkan penawaran meningkat.


Daripada mereka membuang bayi selepas dilahirkan, lebih baik dibunuh ketika masih janin.


Menurut Pakar Perunding Obstetrik dan Ginekologi, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Madya Dr Harlina Haliza Siraj, daripada sudut kaca mata perubatan, pengamal perubatan yang melakukan pengguguran melainkan sebab kesihatan yang dibolehkan adalah tidak bermoral.


Ini kerana dalam semua agama, menggugurkan kandungan dosanya sama seperti membunuh.


Malah, tidak ramai doktor yang dilatih melakukan pengguguran. Jika ada, golongan ini mempunyai perbezaan sikap serta tidak mempunyai nilai moral yang tinggi.


Ini kerana proses itu sendiri boleh mengancam nyawa terutama daripada segi prosedur serta peralatan digunakan sama ada selamat atau tidak. Pengguguran adalah satu kaedah invensif iaitu tidak selamat dan boleh mengancam nyawa sekiranya dilakukan berulang kali.


Ini kerana selepas menggugurkan kandungan, pesakit menjalani rawatan cuci atau dilation dan curettage (D&C) dengan cara mencungkil bahagian dalam dan mengikis dinding rahim menggunakan alat dipanggil kuret untuk mengeluarkan produk kandungan yang masih tertinggal.


Namun kini doktor menggunakan kaedah lebih moden iaitu Erpoc (evacuation of retained products).


"Erpoc adalah pembedahan minor yang selamat dan mengambil masa lebih kurang 20 minit. Biasanya pesakit hanya perlu menjalani rawatan harian di hospital sama seperti D&C. Pesakit akan dibius, kemudian serviks akan dibuka menggunakan dilator.


"Erpoc biasanya menggunakan dua jenis vakum sama ada vakum elektrik (EVA) atau pam manual (MVA). Kanula (bahagian depan tiub) yang disteril akan dimasukkan ke dalam uterus bersambung dengan tiub dari pam dan ia menghasilkan vakum yang halus lalu menyedut seluruh kandungan dalam rahim," katanya.


Tambahnya, kandungan di bawah 10 minggu boleh dicuci menggunakan Erpoc.


Namun, bagi kandungan antara 11 hingga 15 minggu, penyedut dengan diameter lebih besar akan digunakan dan kadangkala memerlukan bantuan kuret bagi memudahkan proses dilakukan.


Bagi kandungan yang sudah mencapai minggu ke-16 hingga 24 pula, sejenis ubat seperti prostagladin akan digunakan untuk membuka pintu rahim dengan lebih luas. Kemudian kandungan akan dicungkil dengan kuret sebelum Erpoc dilakukan.


Bagi kandungan melebihi minggu di atas, janin akan keluar seperti kelahiran biasa.


"Sekiranya D&C atau Erpoc ini dilakukan berulang kali, lama kelamaan ia menyebabkan dinding rahim menipis. Ini akan menyebabkan peratusan mereka untuk hamil semula sangat sedikit. Ada juga pesakit selepas itu mengalami kehamilan luar rahim lebih teruk apabila rahimnya terpaksa dibuang.


"Bagi pengguguran yang tidak menggunakan peralatan selamat, ia boleh mengancam nyawa pesakit apabila pesakit mengalami tumpah darah yang banyak atau tidak dicuci dengan betul," katanya.


Menurut Dr Harlina, ada wanita yang sudah mendirikan rumah datang untuk menggugurkan kandungan dengan memberikan alasan belum bersedia. Golongan ini beranggapan menggugurkan kandungan adalah satu teknik merancang keluarga.


"Sebenarnya ini tidak benar, pada zaman moden ini pasangan perlu membuat perancangan keluarga bagi mengelak mereka menggugurkan kandungan tanpa sebab. Ini kerana faktor ekonomi, fizikal dan sosial mempengaruhi pasangan dalam membuat keputusan sama ada mahu hamil atau tidak.


"Hanya kandungan yang membahayakan nyawa ibu atau anak sahaja dibenarkan menjalani proses pengguguran. Namun kebanyakan gadis yang hamil luar nikah menggunakan kaedah pengguguran untuk menghapuskan benih mereka," jelasnya.


Tambahnya, walau apa sekalipun alasan wanita, menggugurkan kandungan adalah haram kerana sama dengan membunuh.


Justeru, Harlina menasihati gadis yang pernah menggugurkan kandungan supaya bertaubat dan tidak mengulanginya lagi.


Ini kerana pengguguran mempunyai kesan yang sangat berbahaya kepada wanita terutama pada saluran peranakan mereka.


"Jika menyayangi diri sendiri, berhentilah dan teruskan dengan cara sah iaitu melangsungkan perkahwinan," katanya.


Menurutnya, proses pengguguran dilakukan dengan pelbagai cara. Paling mudah dengan mengambil pil yang boleh didapati di klinik. Selepas memakan pil itu mangsa akan mengalami senggugut yang teruk seterusnya tumpah darah.


Proses ini agak menyakitkan ini kerana kandungan pil itu boleh memberi goncangan pada rahim sehingga janin gugur sendiri. Proses ini dilakukan sekiranya kandungan masih awal iaitu sekitar empat ke enam minggu.


Namun kaedah ini membahayakan nyawa sekiranya tumpah darah terlalu banyak sehingga mangsa mengalami kekurangan darah.


"Justeru, wanita yang menggunakan kaedah ini harus bertemu doktor sekiranya darah keluar terlalu banyak. Mereka juga perlu menjalani rawatan 'cuci' bagi mengeluarkan semua darah yang ada dalam rahim," katanya.


Selain itu antara kaedah lain digunakan doktor mengikut usia kandungan ialah:


* Satu sehingga dua bulan
Pada kehamilan awal di bawah usia dua bulan, usia janin sangat kecil, pengguguran dilakukan dengan cara menggunakan alat penghisap. Janin yang sangat lembut akan terus terhisap dan hancur.


Ketika dikeluarkan daripada rahim, kelihatan cecair merah iaitu gumpalan darah daripada janin yang baru dibunuh.


* Tiga bulan
Pada tahap ini, sebahagian anggota tubuh mulai terbentuk pengguguran dilakukan dengan cara menusuk janin kemudian bahagian tubuhnya dipotong menggunakan peralatan khas (cunam abortus).


Selepas itu janin ditusuk sekali lagi sama ada pada bahagian pinggang, bahu atau leher. Kemudian dihancurkan supaya mudah dikeluarkan dari dalam rahim.


* Empat sehingga enam bulan
Pada tahap ini, bayi sudah semakin membesar dan bahagian tubuhnya sudah jelas kelihatan. Jantungnya sudah bergerak, tangannya sudah boleh menggenggam. Tubuhnya sudah merasa kerana jaringan sarafnya sudah terbentuk dengan baik.


Pengguguran dilakukan dengan membunuh bayi ini terlebih dahulu sebelum dikeluarkan dengan cara memberikan suntikan ke dalam ketuban bayi. Cairan ini akan membakar kulit bayi secara perlahan-lahan, menyesakkan pernafasannya dan akhirnya setelah menderita beberapa jam, bayi itu akan meninggal dunia. Kemudian dengan cara menghancurkan bahagian tubuhnya, barulah ia dikeluarkan menerusi rahim.


* Tujuh sehingga sembilan bulan
Pada tahap ini, anggota badan bayi sudah sangat jelas terbentuk. Wajahnya sudah kelihatan, termasuk mata, hidung, bibir dan telinga. Jarinya juga sudah semakin jelas manakala otaknya sudah berfungsi dengan baik.


Pada usia ini pengguguran dilakukan dengan cara memaksa ibu itu bersalin secara normal kemudian dibunuh.


Kebanyakan wanita yang melakukan pengguguran tidak menyedari bagaimana proses ini berlaku disebabkan mereka tidak sedar kerana diberi ubat pelali. Selepas menggugurkannya mereka boleh terus pulang ke rumah dan meneruskan kehidupan seperti biasa.


Namun bagi bayi itu, ini adalah proses yang sangat mengerikan, menyakitkan, dan tidak berperikemanusiaan. Kematian bayi yang tidak berdosa itu tidak disaksikan oleh ibunya sendiri. Bagaimana sekiranya anda melihat, adakah anda masih sanggup melakukannya?

Friday, May 15, 2009

Cegah dan kawal penyakit wanita

Oleh RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAHadawiyah.koh@utusan.com.my

KITA sering mengungkap kasih ibu membawa ke syurga. Sentuhan ibu juga yang mengeratkan hubungan anak serta membina kesejahteraan keluarga. Bukan itu sahaja, peranan wanita yang bergelar ibu cukup besar dalam menguruskan rutin keluarga, malahan, mereka yang bekerja terpaksa menguruskan dua tugas setiap hari.

Walaupun masa mereka terhad, seorang ibu akan berusaha melaksanakan tugas di rumah dan pejabat dengan sempurna. Di sebalik wajah yang tabah dan tenang, golongan ini tidak akan lari daripada risiko serangan penyakit berbahaya.

Bahkan, peranan seorang ibu bukan sedar mendidik atau membesarkan anak tetapi dia merupakan wanita pertama yang hadir dalam hidup setiap insan. Ibu jugalah mengandungkan kita selama sembilan bulan dan kita menghuni rahimnya, sebelum kita melihat dunia. Tidak hanya itu, ibu jugalah yang bertarung nyawa, menjaga, membelai, membesarkan dan sanggup melakukan apa sahaja demi untuk kita yang bergelar anak.

Hakikatnya, membahagikan masa antara kerjaya dan keluarga memang memenatkan buat wanita moden kini. Ada kalanya tiada masa untuk memikirkan diri sendiri. Ada juga yang mengambil berat soal kesihatan tetapi terlalu sibuk untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai kandungan khasiat pada label makanan. Ada juga yang tidak pasti jika ia membekalkan pelbagai khasiat diperlukan untuk kehidupan seharian.

Kekurangan khasiat penting boleh mengakibatkan seseorang itu tidak mampu berfungsi pada tahap sewajarnya. Ia boleh menyebabkan keletihan, mudah dijangkiti penyakit dan tiada rangsangan untuk melakukan kerja seharian. Apabila tahap tenaga semakin rendah, kita sangat mudah untuk tidak melakukan aktiviti fizikal seperti senaman dan ini menganggu gaya hidup wanita.

Emosi wanita sebagai isteri, ibu dan pengurus rumah tangga mempunyai pengaruh besar kepada seisi keluarga. Masalah akan bertambah teruk jika suami dan anak tidak faham apa yang dilalui wanita sehingga ada yang mengalami tekanan dan kemurungan. Jadi wanita berkemungkinan berasa rendah diri atau malu kerana mereka mempunyai gejala penyakit seperti gangguan hormon ketika kehamilan, menopaus dan sebagainya hingga gangguan emosi.

Sempena hari ibu yang jatuh pada hari ini, seisi keluarga perlu memahami penyakit-penyakit yang boleh menyerang seorang ibu. Tidak hanya meraikan hari istimewa ini di tempat-tempat makan malam seperti hotel, namun sebagai suami dan anak, anda perlu memahami keperluan kesihatan ibu. Pencegahan awal dan penjagaan berterusan kesihatan ibu amat penting untung membina kesejahteraan keluarga dan membendung kemurungan emosi golongan ini. Dalam membicarakan penyakit serius wanita, terdapat empat peringkat umur yang harus difahami wanita.

Keempat-empat peringkat ini termasuk 18 hingga 30 tahun, 30 hingga 50 tahun, 50 hingga 70 tahun dan 70 tahun ke atas.

Masing-masing mempunyai risiko penyakit yang berbeza. Bagi golongan ibu, terdapat enam penyakit yang sering dihidapi iaitu kanser payu dara, kanser rahim atau serviks, menopaus, serangan jantung, kehamilan dan osteoporosis. Namun, terdapat juga penyakit puan lain yang sering dialami seperti penyakit seksual dan mata. Kehadiran penyakit ini dalam diri wanita memberi impak terhadap emosi wanita kerana ketidakstabilan perasaan.

Menurut Pakar Perunding Kanan Obstetrik dan Sakit Puan, Datuk Dr. Nor Ashikin Mokhtar, kanser payu dara masih menjadi penyakit umum wanita di seluruh dunia. Menurut nisbah penyakit ini, 19 wanita daripada jumlah penduduk mempunyai risiko menghidap penyakit ini.
"Kanser payu dara ialah ketumbuhan atau tumor payu dara boleh jadi berkanser atau benigna (tumor bukan barah). Ketumbuhan mungkin disebabkan oleh fibroadenoma dan penyakit fibrosistik. Kedua-dua bengkak ini bagaimanapun hampir tidak pernah bertukar menjadi kanser," katanya pada bengkel media anjuran Weber Shandwick dengan sokongan Novartis.

Gejala utama yang dialami oleh pesakit adalah kehadiran ketumbuhan, disusuli dengan lelehan yang keluar dari puting, kadang kala mengandungi darah. Bagi mengesan awal penyakit ini, wanita yang berumur 50 tahun ke atas disarankan melakukan pemeriksaan mamogram. Namun, wanita berumur 40 hingga 49 tahun yang mempunyai sejarah keluarga berkaitan kanser ini perlu melakukan pemeriksaan mamogram awal.

"Selain mamogram, kaedah pemeriksaan payu dara sendiri (BSE) membantu wanita mengenali tubuh sendiri dan dapat mengesan keganjilan pada payu dara mereka. Tidak dapat dinafikan masih ramai wanita malu untuk memeriksa dan berasa tidak selesa menyentuh tubuh sendiri. Jika ada benjolan, segera berjumpa doktor bagi mendapatkan pemeriksaan lanjut. Usah tunggu benjolan menjadi sakit kerana risiko penyakit bertambah buruk sangat tinggi," ujarnya.

Selain kanser payu dara, seorang ibu juga berisiko tinggi diserang kanser rahim atau serviks..
Menurut laporan Pejabat Pendaftaran Kanser Kebangsaan, kanser ini merupakan jumlah kanser kedua tertinggi. Jumlah 12.9 peratus pesakit kanser wanita dengan 19.7 peratus kes daripada 10000 penduduk.


"Pendarahan selepas mengadakan hubungan seks antara tanda penting barah kian membesar. Oleh kerana tiada tanda atau kesakitan pada peringkat awal barah pangkal rahim, ramai wanita kurang memberi perhatian pada penyakit ini. Barah pangkal rahim boleh dikesan melalui ujian lumuran pap (pap smear) yang diperkenalkan sejak 60 tahun lalu," jelas Dr. Nor Ashikin.

Sebenarnya semua wanita terdedah pada jangkitan HPV, tetapi biasanya sistem imun badan dapat menghapuskannya dalam masa satu atau dua tahun. Namun dalam sesetengah keadaan, virus ini terus tinggal dalam badan sehingga wanita tua tanpa menyebabkan barah.

"Virus akan membiak dan mula menyebabkan barah apabila sistem imun badan lemah. Proses ini mengambil masa lama; antara lima hingga 10 tahun untuk membentuk fasa pra kanser. Dari fasa ini ia mengambil masa lima hingga 10 tahun lagi untuk menjadi kanser. Ini sebabnya wanita disaran menjalani ujian lumuran pap yang boleh mengesan kehadiran sel kanser dari peringkat awal," jelasnya.

Tidak ketinggalan, seorang ibu yang meningkat usia, mereka akan melalui fasa menopaus. Kebanyakan orang ada persepsi kurang menyenangkan terhadap menopaus, terutama apabila ia dikaitkan dengan perubahan sikap dan emosi wanita.

"Hakikatnya, perubahan emosi wanita yang di ambang atau menjalani proses menopaus bukan dibuat-buat kerana semuanya berkaitan dengan perubahan hormon estrogen dan progesteron. Menopaus adalah proses yang berlaku secara perlahan-lahan dan diiringi beberapa gejala seperti selaran kepanasan, perubahan emosi, kekeringan dan sukar tidur malam," jelasnya.

Seseorang wanita hanya dikatakan menopaus apabila haidnya terhenti selama setahun. Selepas setahun bebas haid, sebarang pendarahan vagina dianggap tidak normal dan jika ia berlaku pada anda, segera berjumpa pakar sakit puan untuk pemeriksaan lanjut. Kekurangan maklumat dan kewujudan pelbagai teori tidak tepat menyebabkan ramai orang, termasuk wanita, mempunyai persepsi negatif terhadap menopaus. Kaedah terapi penggantian hormon (HRT) penting untuk mencegah penyakit jantung dan osteoporosis. Namun yang lebih penting ialah kesejahteraan seseorang wanita selepas menopaus khususnya kestabilan emosi. Sebagai persediaan, setiap wanita perlu bersedia menghadapi fasa menopaus dengan sikap terbuka dan berfikiran positif.

Selain tiga penyakit ini, Dr. Nor Ashikin memberitahu, wanita juga berisiko menghidap serangan jantung. Sakit jantung menjadi faktor utama kematian lelaki dan wanita di seluruh dunia termasuk 22.5 peratus penyebab kematian wanita Malaysia ialah sakit jantung. "Apabila wanita mencapai umur 50 tahun, dia mudah diserang sakit jantung. Wanita yang mengalami menopaus, peningkatan umur, sejarah keluarga, merokok, kandungan kolestrol yang tinggi dan kurang aktiviti fizikal berisiko menghidap menyakit ini," jelasnya.

Bagi menjaga kesihatan jantung, anda perlu mengurangkan atau menjauhi asap rokok, menjaga berat badan, bersenam sekurang-kurangnya 30 hingga 40 minit untuk lima kali seminggu, berdiet dam merawat atau kawal aras gula dalam darah (diabetes), kolestrol dan tekanan darah.
Sementara itu, perubahan hormon ketika kehamilan juga mempengaruhi kesihatan bakal ibu.
Mana tidaknya, tekanan dan kebimbangan yang dirasai boleh menganggu emosi.


Dr. Nor Ashikin berkata, persedian ibu perlu dilakukan bermula saat kehamilan hingga kelahiran. Misalnya, bakal ibu boleh mereka mengalami masalah pedih ulu hati dan morning sickness, ia pasti menimbulkan kesakitan dan ketidakselesaan berpanjangan. Tidak ketinggalan, wanita juga akan mengalami masalah penyakit ketika datang haid, kesuburan, pencegah kehamilan dan gejala jangkitan akibat seks STD. Penyakit-penyakit ini mempengaruhi perubahan emosi wanita dan menganggu rutin harian mereka.

Pada bengkel media yang sama, Pakar Perunding Kanan Endrokrinologis, Profesor Chan Siew Pheng turut melahirkan kebimbangan tentang kurangnya kepekaan wanita tentang kesihatan tulang iaitu osteoporosis. Peningkatan usia, pemakanan dan gaya hidup menjadi antara faktor risiko osteoporosis. "Semakin lanjut usia seseorang, semakin tinggi risiko mendapat penyakit ini dan tulang menjadi lebih cepat rapuh jika merokok, tidak bersenam dan kurang memberi penekanan terhadap penjagaan makanan. Selain itu, sejarah keluarga, berat badan, minum alkohol, menopaus dan pengambilan ubat-ubatan," jelasnya.

Apabila umur meningkat, kita mengalami proses kehilangan jisim tulang dan osteoporosis lebih banyak berlaku pada wanita kerana lelaki mempunyai rangka tulang lebih besar. Selain meminum susu khusus untuk menguatkan kalsium, wanita boleh mengambil suplemen kalsium kerana susu bukan jaminan untuk memperolehi kalsium. Selain itu, berjemur di bawah cahaya matahari, dapat memberi tambahan vitamin D terutamanya ketika matahari sedang sederhana terik dan bukannya pada awal pagi dan lewat petang.

Sebagai ibu, melakukan senaman dapat membantu mengawal osteoporosis.

Wanita cemerlang sejak zaman Rasulullah

Wanita cemerlang sejak zaman Rasulullah
Oleh Masmawi Abdullah


WANITA masa kini sudah mencapai kejayaan memberangsangkan dalam pendidikan. Realitinya yang tidak boleh dinafikan, ada yang lebih berjaya daripada lelaki dalam bidang diceburi dan pencapaian itu mendorong lebih ramai wanita turut serta dalam pekerjaan. Malah, ada yang terbabit dalam bidang yang sebelum ini dikuasai lelaki lantaran kebolehan dimiliki untuk berhadapan pelbagai cabaran di sektor swasta, mahu pun kerajaan. Mereka juga mampu menjawat jawatan tinggi atau berpangkat melebihi lelaki. Ini menyebabkan masa mereka lebih banyak di luar rumah demi menguruskan tugas serta tanggungjawab bidang pekerjaan.

Dalam konteks ini, Islam tidak melarang atau menghalang, malah membenarkan wanita bekerja di luar rumah dengan syarat pekerjaan itu mestilah pekerjaan yang baik lagi halal, diredai Allah serta mendapat ganjaran baik. Firman Allah bermaksud: "Sesiapa beramal salih daripada lelaki atau perempuan sedang ia beriman, maka sesungguhnya Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik dan sesungguhnya Kami akan membalas mereka dengan memberikan pahala yang lebih baik daripada apa yang mereka kerjakan." (Surah an-Nahl, ayat 97) Sejarah Islam membuktikan bagaimana peranan wanita yang turut serta dalam pekerjaan di luar rumahnya berjaya membantu ke arah kecemerlangan Islam, malah orang yang pertama gugur syahid dalam Islam juga daripada kalangan wanita iaitu Saiyidah Sumayyah.

Pembantu Rasulullah SAW iaitu Laila al-Ghafariyah turut membantu Rasulullah SAW dalam peperangan dengan merawat tentera Islam yang cedera sakit. Dalam bidang perniagaan pula, isteri Rasulullah SAW, Khadijah Khuwailid dengan beraninya menerokai bidang itu hingga menjadi saudagar kaya dan dikenali sebagai 'Tahirah' yang bermaksud suci disebabkan beliau amat memelihara diri, kehormatan serta sifat peribadinya sebagai seorang wanita. Saidatina Aisyah Abu Bakar, isteri Rasulullah SAW adalah wanita contoh dalam bidang pendidikan. Beliau mempunyai ilmu yang luas dalam bidang fiqh, kemasyarakatan dan politik. Beliau menjadi pakar rujuk ilmu hadis, seorang pemidato dan sasterawan. Urwah ibni al Zubir menyifatkan Aisyah wanita paling alim dalam ilmu al-Quran, fiqh, syair dan hadis. Isteri Harun al Rasyid, Sayidah Zubaidah, adalah seorang pahlawan Islam dan puteri dari Bani Nasyim. Beliau mempunyai kedudukan tinggi ketika hayatnya kerana dengan arahannya penduduk Makkah dapat menikmati air minum bersih daripada mata air terkenal iaitu mata air Zubaidah.

Beliau juga memerintah supaya dibina semula bandar Iskandariah yang musnah dihancurkan tentera Bizantiyum. Saiyidah Zubaidah terkenal dengan penulisan ayat yang baik serta mempunyai pendapat bernas dalam bidang politik dan pentadbiran. Dalam bidang perubatan, kitab Tahaqat al Atibba karya Ibni Abi Usaybiah, menyebut Zainab sebagai doktor dalam bidang perubatan mata, manakala seorang lagi bernama Ummul Hassan binti al-Qadi Abi Jaafar Atangali sebagai doktor pakar dalam pelbagai bidang perubatan sementara dua anak perempuannya juga doktor pakar dalam bidang sakit puan.
Sebenarnya ramai wanita sejak daripada dulu terbabit dalam kerja di luar rumah dan mereka berjaya apabila dapat menghadapi segala cabaran yang datang, di samping menjaga akhlak serta sifat sebagai wanita muslim. Ada banyak cabaran kepada wanita yang bekerja di luar rumah antaranya untuk menyesuaikan dan mengatur masa menunaikan tanggungjawab isteri, ibu di rumah dan pada masa sama berperanan sebagai pekerja atau majikan di luar rumah.
Tugas utama wanita adalah sebagai isteri, ibu dan pendidik kepada anaknya. Oleh itu, apabila wanita bekerja, dia perlu menyesuaikan diri dengan suasana di mana dia perlu menyelesaikan kerja rumah sebelum memberi tumpuan kepada tugas pejabat. Wanita yang bekerjaya tidak digalakkan membawa beban tugas atau masalah pejabat ke rumah kerana dikhuatiri akan menyebabkan hilang tumpuan kepada rumah tangga hingga anak terabai dan tidak terurus. Prof Dr Miqdad Yaljan pernah menyatakan, kita pada adatnya menganggap suri rumah sepenuh masa adalah wanita yang tidak bekerja, sedangkan hakikatnya suri rumah adalah tugas kemasyarakatan, ekonomi, pendidikan dan psikologi. Beberapa negara maju membayar gaji kepada suri rumah yang bekerja sebagai suri rumah sepenuh masa.
Dr Miqdad turut menjangkakan suatu masa nanti, wanita berada antara dua persimpangan untuk memilih antara kerjaya atau keluarga. Beliau percaya wanita pada masa itu akan memilih anak dan duduk di rumah untuk mendidik mereka. Oleh itu, kita perlu ada kesungguhan dalam menilai dan menghargai peranan wanita serta memahami perasaan, jiwa dan kerohanian yang ada pada setiap wanita.
Syeikh Muhamad al-Ghazali berpendapat, jika ada 100,000 guru, tidak ada halangan bagi wanita menjadi sebahagian daripada bilangan itu, tetapi yang penting dalam masyarakat ialah pelaksanaan akhlak dan tingkah laku yang baik selaras dengan syariat. Dalam hal itu, perkara utama perlu dipelihara setiap individu wanita yang bekerja di luar rumah ialah kehormatan diri dan ketakwaan kepada Allah. Walau dalam apa juga keadaan, setiap wanita jangan terlalu ghairah mencari persamaan dengan lelaki hingga membelakangkan ajaran Islam. Pada masa sama, wanita bekerja tidak boleh mengabaikan tanggungjawab sebagai isteri dan ibu. Sesungguhnya alangkah bahagia wanita yang dapat menyumbang kepada kesejahteraan serta kebahagiaan suami, anak, keluarga, masyarakat dan negara.
INTI PATI
· Islam tidak melarang atau menghalang, malah membenarkan wanita bekerja di luar rumah dengan syarat pekerjaan itu mesti pekerjaan halal, diredai Allah serta mendapat ganjaran baik.
· Sejarah Islam membuktikan bagaimana peranan wanita yang turut serta dalam pekerjaan di luar rumahnya berjaya membantu ke arah kecemerlangan Islam.
· Apabila wanita bekerja, dia perlu menyesuaikan diri dengan suasana di mana dia perlu menyelesaikan kerja rumah sebelum memberi tumpuan kepada tugas pejabat.
· Setiap individu wanita yang bekerja di luar rumah perlu menjaga kehormatan diri dan ketakwaan kepada Allah.