Tuesday, October 06, 2009
Laporan MPWN WJIM KL 2009
Alhamdulillah MPWN WJIM KL telah berlangsung dengan jayanya pada 4 Oktober 09 jam 9.00 pagi di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Gombak.
Majlis telah dirasmikan oleh Puan Rosmawati Bt Zainal, wakil Wanita JIM Pusat. MPWN dihadiri oleh 33 orang perwakilan dari 3 daerah di KL iaitu Batu, Cheras dan Titiwangsa.
Mesyuarat dipengerusikan oleh Pn Rushida Bt Abdul Ghani dan selamat disempurnakan pada pukul 12.30 tengahari.
Barisan kepimpinan Wanita JIM KL Sesi 2009/2011 terdiri daripada:-
Ketua Wanita - Dr Niekmah Adam
Timb Ketua Wanita - Susilawati Hamzah
Setiausaha - Norzitah Abdul Karim
Bendahari - Umi Kalthum Hassan
AJK
1. Julie Rosieta Mohamed
2. Siti Zaiton Abdul Aziz
3. Ust Zaiton Nasri
Pengerusi Tetap - Pn Rushida Abdul Ghani
Timb Peng Tetap - Pn Nur Yusmi Md Yusop
Sekian.
Yang Menjalankan tugas,
Norzitah Abdul Karim
Setiausaha
Wanita JIM KL Sesi 2009-2011
Monday, October 05, 2009
Rayuan batal sebat persenda hukum syariah
Oleh Hasliza Hassan haliza@bharian.com.my
Sumber : Berita Harian (5/10/2009)
Semua pihak perlu akur keinsafan Kartika sebagai Muslim untuk jalani tindakan syarie
KETIKA heboh isu sebat, Kartika Sari Dewi Shukarno sendiri sama sekali tidak mempertikaikan hukuman yang diputuskan mahkamah tetapi orang lain pula beriya-iya meminta pelbagai pihak termasuk kerajaan untuk mengkaji semula hukuman yang sudah termaktub dalam undang-undang syariah.
Malah, pengalaman dilalui model sambilan itu yang reda dengan hukuman sebat dijatuhkan atas kesalahan meminum arak, kini membuka lembaran baru dengan penampilan lebih positif.
Pengerusi Jawatankuasa Undang-Undang dan Pelaksanaan Syariah Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM), Dr Zulfakar Ramlee, berkata perubahan itu sepatutnya menjadi tamparan hebat kepada mereka yang memperjuangkan supaya hukuman ditangguhkan dan disemak."Itu satu tamparan kepada orang yang memperjuangkan supaya hukuman ditangguhkan sebab orang yang nak disebat sudah nampak perubahan dari segi penampilan tetapi orang yang kononnya nak membela, tidak ada perubahan. Pada saya itu satu tamparan untuk mereka," katanya.
Beliau berkata, tindakan pihak yang mempertikai pelaksanaan undang-undang syariah termasuk hukuman sebat terhadap jenayah syariah boleh menimbulkan tanda tanya serta sangkaan wujudnya motif tidak baik terhadap Islam.
Zulfakar yang ditemui selepas sidang media pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam membantah tuntutan menghapuskan undang-undang jenayah syariah, berkata suara kumpulan minoriti itu tidak seharusnya diberi perhatian.
Katanya, suara sakti majoriti masyarakat Islam yang mendukung kedaulatan undang-undang Islam sepatutnya diambil kira bagi mempercepatkan usaha ke arah meningkatkan martabat serta memperkasakan undang-undang syariah.
"Menjadi harapan NGO Islam supaya suara memperlekeh undang-undang serta mahkamah syariah tidak diberi ruang. Saya tidak fikir kerajaan atau pihak berkaitan ingin menunggu umat Islam menghukum baru hendak mengambil tindakan.
"Inilah masanya kerajaan melakukan sesuatu bagi memastikan kedaulatan undang-undang syariah dipelihara dan dipertahankan. Saya bersetuju keputusan Panel Rayuan Kehakiman Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan memutuskan hukuman enam sebatan terhadap Kartika kekal dan akan tetap dilaksanakan," katanya.
Katanya, Kartika juga bukan orang yang pertama menerima hukuman sebat atas kesalahan minum arak kerana Kelantan sudah melaksanakan 13 hukuman rotan terhadap pesalah jenayah syariah tetapi isu itu tidak diperbesarkan.
Mengenai kewajaran hukuman sebat itu dilaksanakan di khalayak umum, Zulfakar berkata, ramai tidak faham falsafah hukum Islam iaitu untuk mendidik orang lain supaya tidak melakukan kesalahan sama.
Beliau berkata, hukuman sebat mengikut undang-undang syariah boleh diibaratkan seperti hukuman rotan di khalayak ramai di sekolah yang tujuannya memberi pengajaran kepada pelajar lain tidak mengulangi perbuatan dilakukan rakan mereka.
"Apabila orang lain lihat, akan timbul rasa malu jika dirotan. Jika buat di tempat tertutup, tiada siapa pun akan tahu dan mendapat pengajaran. Ini simboliknya dan inilah falsafah Islam tetapi orang tidak faham," katanya.
Kisah Kartika mendapat tumpuan pelbagai pihak termasuk media asing apabila dijatuhkan hukuman maksimum enam sebatan dan denda RM5,000 oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan, 20 Julai lalu selepas mengaku salah minum arak di pusat hiburan di Cherating, dua tahun lalu.
Isu itu kemudian menjadi perbahasan kumpulan yang membuat permintaan supaya hukuman sebat diketepikan dan dibalas pula pelbagai pihak yang melihat kepentingan memastikan hukum syarak dilaksanakan.
Berita Harian turut menyiarkan dua siri rencana mengenai pelaksanaan hukuman sebat mengikut hukum syarak yang merangkumi prosedur hukuman sebat terhadap pesalah wanita serta rotan yang boleh digunakan.
Bagaimanapun, masih ada kenyataan dibuat sehingga kini mengenai hukuman sebat terhadap Kartika Sari yang ditangguhkan pada Ramadan lalu kerana menghormati bulan puasa.
Disebabkan kenyataan demi kenyataan yang dibuat itu, NGO Islam bertindak membuat bantahan terhadap tuntutan Sisters in Islam (SIS), Pertubuhan Pertolongan Wanita dan Kumpulan Bertindak Menentang Keganasan Terhadap Wanita (JAG).
Berikutan itu, Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Persatuan Alumni Kolej Islam (Alkis), Jamaah Islam Malaysia (JIM), Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) dan Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM) mendesak kerajaan mendakwa semua pihak yang membuat tuntutan bersifat menghasut serta menghina ajaran Islam.
NGO berkenaan juga meminta supaya dana diterima pihak berkenaan disiasat, membatalkan permit akhbar dan media menyiarkan pandangan bersifat menghasut untuk menghapuskan undang-undang jenayah Islam.
Mereka juga mahu ajaran Islam dipelihara selaras kedudukan Islam sebagai agama rasmi negara seperti termaktub dalam Perlembagaan serta meminta pihak yang tidak berkenaan usah mencampuri urusan di mahkamah syariah.
Jabatan Undang-Undang Islam, Kuliyyah Undang-undang Ahmad Ibrahim Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dalam kenyataannya berkata, pelaksanaan hukuman sebat bagi pesalah syariah tidak bertentangan undang-undang antarabangsa.
Pelaksanaan hukuman terpakai tanpa mengira jantina walaupun ada perkara perlu diambil kira sebelum hukuman dilaksanakan khususnya jika membabitkan pesalah wanita. Hukuman itu juga bukan satu diskriminasi terhadap wanita dan oleh demikian tidak bertentangan Konvensyen Penghapusan Semua Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW) yang turut dianggotai Malaysia.
"Hukuman sebat mengikut undang-undang Islam bersifat kemanusiaan kerana perlu ambil kira faktor yang boleh memberi mudarat kepada pesalah termasuk tidak melukakan kulit pesalah. Ia juga bukan satu bentuk penderaan, hukuman kejam atau menghina," katanya.
Katanya, menurut Islam hak asasi manusia hendaklah ditafsirkan mengikut kehendak Islam yang mana hak seseorang individu diimbangkan dengan hak masyarakat yang inginkan keselamatan dan kesejahteraan.
Pendirian Kartika untuk mengaku bersalah dan bersedia dihukum harus dilihat sebagai kerelaan bagi mematuhi perintah Allah dalam menegakkan keadilan walau terhadap diri sendiri.
Tuesday, September 15, 2009
Tribute Untuk Sahabat : Satu Perkongsian
Sekadar berkongsi kebahagiaan dengan ikhwah akhawat.
Semoga ada kebaikannya
Jzkk
Roha Hassan
..........................................................................................................................................................................
Selamatkan sahabat anda
Ketika remaja, ibu menggelar saya kera sumbang kerana jarang sekali keluar berkawan. Jiran di kampung pernah bertanyakan emak petua yang digunakan kerana berjaya ‘mengawal’ saya daripada keluar sedangkan cucu perempuannya sebaya saya ketika itu pantang duduk di rumah.
Apabila ada rakan yang mengetahui saya bekerja sebagai seorang wartawan, mereka ketawa berdekah-dekah kerana sepatutnya mereka yang menjadi wartawan kerana suka ambil tahu hal orang lain.
Gelaran antisosial memang gelaran saya. Saya tidak pernah marah pun. Malah suami dan anak selalu ketawakan saya kerana bagi mereka saya tidak ada kawan. Rakan di pejabat sebelum ini pernah ibaratkan saya balik ke rumah seperti saya balik ke penjara kerana saya akan terus memerap di ‘penjara’.
Oleh itu, apabila saya mengajak keluarga ke majlis ‘Iftar Hidayah Centre’ di Perbadanan Putrajaya, semalam, kerana seorang sahabat membelikan tiga kerusi untuk saya, mereka tertanya-tanya, siapakah sahabat yang dimaksudkan.
Majlis iftar itu ialah bagi meraikan mereka yang baru memeluk agama Islam dan setiap kerusi berharga RM100. Sumbangan akan digunakan untuk menambah dana Hidayah Centre, iaitu pusat perlindungan saudara baru.
Oleh kerana sahabat saya ini faham perangai saya yang jarang sekali akan keluar rumah tanpa suami dan anak, dia membelikan tiga kerusi untuk saya.
Bukanlah bermakna membeli tiga kerusi itu saya sudah anggap sahabat, tetapi niat di sebaliknya yang sentiasa ingin melihat saya berubah ke arah kebaikan, dengan mengajak saya tanpa jemu, tidak pernah memaksa, tetapi sentiasa ‘mendidik’ saya dalam diam-diam dengan menunjukkan akhlak yang mulia.
Beliau juga tidak pernah memperlekehkan saya sebagai seorang perempuan yang tidak pernah bertudung, dia tetap bersahabat dengan saya secara ‘diam-diam’ sehinggalah sekarang saya menutup aurat atas keinsafan sendiri.
Dialah sahabat wanita yang mendoakan saya dan tumpang gembira apabila saya dapat menunaikan umrah tahun lalu secara percuma.
Oh ya, seorang lagi sahabat lain turut menyumbangkan wang saku supaya saya dapat ke Tanah Suci, beribadah tanpa rasa bimbang. Dengan lain kata, saya dapat bersolat di Masjidil Haram, di Masjid Nabawi dan berdoa di Raudhah secara percuma, semuanya kerana beberapa sahabat dan seorang bos yang berhati mulia.
Ketika mendengar forum di iftar berkenaan yang turut memberi penjelasan mengenai makna sahabat, iaitu mereka yang ‘menyelamatkan’ anda, saya kini boleh menarik nafas lega kerana rupa-rupanya saya ada sahabat, mungkin tidak ramai, tetapi sentiasa ‘menyelamatkan’ saya.
Dan sekarang, saya berazam untuk menjadi seorang sahabat yang baik pula kepada orang lain dengan cara saya yang tersendiri, iaitu membantu ‘menyelamatkan’ orang lain, tanpa perlu mengenalinya pun. Saya kini boleh ‘bersahabat’ dengan saudara baru, rakyat Palestin dan golongan miskin, malah pembaca Sinar Harian sendiri.
Nampaknya, cara ini lebih sesuai untuk seorang antisosial seperti saya ‘bersahabat’
Sinar Harian, 14/09/2009, m/s N6
Monday, September 14, 2009
Perbezaan Antara Penganut Islam Dan Bukan islam
Asas bagi prinsip ini terkandung dalam banyak nas-nas al-Qur’an dan as- Sunnah, antaranya firman Allah swt dalam surah al- Jaathiah, 45:18. Yang bermaksud:
“Kesudahannya, Kami jadikan engkau ( Muhammad ) menjalankan satu syariat ( yang cukup lengkap ) dari perkara agama, maka turutlah syariat itu, dan janganlah engkau menurut hawa nafsu orang yang tidak mengetahui.”
“Orang yang tidak mengetahui’ di sini dimaksudkan sebagai semua golongan bukan Islam kerena mereka adalah kumpulan orang yang jahil dengan syariat Nabi Muhammad saw.
Terdapat banyak hadis Nabi saw yang menjadi asas bagi prinsip ini, sehingga ada ulama yang mengumpulkan lebih daripada 30 buah hadis sahih mengenainya, seperti:
1. Larangan Nabi saw terhadap umatnya daripada menggunakan serunai dan loceng sebagai seruan solat pada zaman awal Islam kerana ia menyerupai cara puak Yahudi dan Nasrani sehinggalah Nabi saw diwahyukan dengan azan (Shahih Sunan Abi Daud, no : 498)
2. Larangan Nabi saw daripada solat pada waktu matahari sedang terbit dan waktu sedang terbenam kerana ia adalah waktu sujud golongan penyembah matahari (Shahih Muslim, no : 832)
3. Larangan Nabi saw daripada menjadikan perkuburan para anbiya’ dan shalihin sebagai tempat ibadah kerana yang demikian itu adalah amalan golongan Yahudi dan Nasrani (Shahih Muslim, no : 530-532)
4. Larangan Nabi saw daripada bersolat dengan berbungkus sehelai kain tanpa mengilasnya di tempat kilasan kerana yang demikian itu adalah perbuatan golongan Yahudi. (Sahih Sunan Abi Daud, no : 635).
5. Suruhan Nabi saw supaya umatnya sekali sekala bersolat sambil memakai selipar dan khuf kerana puak Yahudi tidak mengharuskannya (Shahih Sunan Abi Daud, no,: 652)
6. Larangan Nabi saw daripada duduk bertongkat dengan tangan kiri dalam solat kerana yang demikian itu adalah cara duduk puak Yahudi (Mustadrak al-Hakim, lihat: Jilbab al-Mar’ah, hal:175)
7. Peringatan Nabi saw terhadap umatnya supaya bersahur bila berpuasa kerana golongan ahli kitab berpuasa tanpa bersahur (Shahih Muslim, no: 1096)
8. Saranan Nabi saw supaya umatnya menyegerakan berbuka puasa kerana golongan Yahudi dan Nasrani melewatkannya (Musnad Ahmad, lihat: al-Jilbab al-Mar’ah, hal:175)
9. Saranan Nabi saw supaya umatnya berpuasa ‘Asyura’ pada hari kesembilan dan kesepuluh kerana golongan Yahudi dan Nasrani hanya berpuasa pada hari kesepuluh sahaja (Shahih Muslim, no: 1134)
10. Saranan Nabi saw supaya jemaah haji bergerak dari Mudzalifah ke Mina sebelum terbit matahari kerana golongan Musyrikin biasanya bergerak selepas matahari terbit melepasi puncak Bukit Thubair di Makkah (Shahih Muslim, no: 3626)
(Dipetik dari Majalah I,Kumpulan Karangkraf, Bil. 83,September 2009, m/s 47)
"Aku akan rogol kau Rodziah" ke balai polis

Abdul Aziz Mustafa
SHAH ALAM, 13 Sept: "Aku akan rogol kau, Rodziah!" adalah antara kata-kata cabul yang dihamburkan terhadap Exco Kerajaan Selangor, Rodziah Ismail ketika majlis dialog antara penduduk Seksyen 23, Shah Alam dengan kerajaan Selangor 5 September lalu.
"Antara kata-kata kesat terhadap saya yang dikenalpasti ialah 'jalang!', 'Rodziah mengalahkan pelacur!', 'pelacur lebih baik dari kau!', 'babi!', 'sundal!', 'kau jangan bersuara, Rodziah!', (dan) lemparan kata, 'aku akan rogol kau, Rozdiah!'," kata beliau.
Rodziah membuat laporan polis itu di ibu pejabat polis daerah Shah Alam di Seksyen 11 di sini, kira-kira pukul 12 tengahari semalam iaitu kira-kira seminggu selepas sesi dialog itu.
Turut serta memberikan sokongan moral kepada beliau adalah Ketua Muslimat PAS, Nuridah Salleh, anggota Parlimen Kota Raja, Dr Mariah Mahmud dan rakan exco beliau, Elizabeth Wong.
Menurut Rodziah, selain klip video, ungkapan-ungkapan tidak bermoral itu telah didengar dan disaksikan oleh ramai penduduk, wartawan, dan para petugas keselamatan MBSA yang telah hadir melihat sendiri gelagat segelintir mereka yang memporak-perandakan majlis secara sengaja.
Beliau menyifatkan kelakuan liar kumpulan kecil ini telah merosakkan majlis yang bertujuan untuk membuka ruang kepada penduduk berdialog secara berhemah.
Kepada beliau, tindakan kumpulan itu jelas bukan untuk berdialog tetapi mencemarkan kerajaan negeri dan nama individu atas agenda politik tertentu.
"Intimidasi ini jelas adalah untuk memburukkan nama dan menghina saya.
"Saya berasa amat kecewa dengan sikap yang ditunjukkan oleh segelintir mereka ini sehingga merasakan keselamatan dan kehormatan diri saya terancam," katanya.
Menurut Rodziah, bukan hasrat beliau untuk memanjangkan isu tersebut kerana fokusnya adalah isu sebenar yakni pemindahan kuil Seksyen 19, namun keputusan membuat laporan polis itu dibuat kerana kegusaran tentang keselamatan dirinya, keluarga serta pegawainya makin hari makin bertambah memandangkan pihak polis belum lagi mengambil sebarang tindakan dalam perkara ini.
"Kerisauan saya ialah, jika saya seorang Adun dan Exco Kerajaan Negeri boleh dilemparkan kata-kata kesat and ugutan sebegini, apakah wanita-wanita lain akan terasa selamat menghadapi atau berurusan dengan mereka yang seperti itu?", katanya.
Kekecohan telah ditimbulkan oleh mereka yang bertindak liar itu sepanjang sesi penerangan daripada Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim, Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad, Datuk Bandar Shah Alam dan Rodziah sendiri sebagai Adun Batu Tiga.
Ketika dihubungi Bernama, Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Noor Azam Jamaluddin mengesahkan menerima laporan itu dan memberi jaminan akan menyiasat perkara berkenaan.
Dua lagi laporan polis telah dibuat oleh Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor, Khairul Anuar Ahmad Zainuddin dan Ahli MBSA, K. Uthayasoorian.
Wednesday, September 09, 2009
Jemputan Majlis Berbuka Puasa - Ahad (13 Sept)
Salam Ramadhan! Menemui semua sahabat-sahabat sekalian semoga di bawah limpahan rahmatNya sentiasa pada bulan Ramadhan yang penuh keberkatan ini.
JIM Titiwangsa dengan sukacitanya mempelawa sahabat-sahabat sekalian berserta keluarga dan rakan-rakan untuk hadir ke majlis berbuka puasa yang akan diadakan seperti berikut:
Tarikh: 13 September (Ahad)
Tempat: PUSAT KHIDMAT RAKYAT PARLIMEN GOMBAK
No. 2, Lorong Perak, Pusat Bandar Melawati,
53100 Kuala Lumpur
Aturcara:
5.30 ptg Ketibaan AJK dan Petugas
6.45 ptg Ketibaan jemputan
7.19 mlm Berbuka Puasa
7.50 mlm Solat Magrib berjamaah
8.30 mlm Solat Isya' berjamaah dan tarawih
9.20 mlm Bersurai
Sehubungan itu, mohon sahabat-sahabat semua untuk membuat pengesahan kehadiran dan jumlah ahli keluarga/rakan yang akan hadir sama ada melalui e-mel (mohammadweb@yahoo.com), kepada mana-mana AJK JIM Titiwangsa atau pun terus sms ke 019-2656782 (mohd) untuk tujuan penyediaan makanan agar mencukupi dan tidak pula membazir.
Sebarang sumbangan sama ada dalam bentuk tenaga, wang ringgit atau pun juadah (kurma, air, kuih dll) amatlah dialu-alukan.
Jaza kumullahu khairan katheera.
Selamat menyambut ketibaan sepertiga akhir Ramadhan dan selamat menambahgiatkan amalan semoga Ramadhan kali ini menjadi yang terbaik buat kita semua dan supaya Lailatul Qadar akan berada di dalam genggaman kita....insyaAllah. ..ameen.
wassalam,
mohd
AJK JIM TTW 2009-2011
Sunday, September 06, 2009
Nikmat puasa, cahaya hidayah bagi saudara baru
Azamin Amin I Foto Shukri Mohd
Mon Aug 31, 09 9:39:26 pm MYT
Walaupun baru memeluk agama Islam 26 hari lalu, dia mampu berpuasa penuh sejak Ramadan bermula. Ini merupakan pertama kali, tidak perit atau pedih malah baginya pengalaman menjalani ibadah itu cukup menyeronokkan!
Dia, Azman Yap Abdullah, 32 sentiasa tersenyum dan ceria. Tiada raut keletihan atau kerut di wajahnya. Sungguhpun agak malu-malu bercerita pada awalnya, tetapi bersemangat sekali mengungkap pengalaman berpuasa, satu-satu ibadah yang dijalankan tanpa banyak tanya.
Sejak hari pertama sehingga kini, masih berpuasa tanpa tangguh. Tidak sekerat-sekerat atau separuh hari tetapi penuh, sehingga menjelang waktu berbuka.
"Saya tidak merasa susah, sakit ataupun pedih perut. Semuanya baik dan ianya cukup menyeronokkan!"
Menceritakan pengalaman, kata Azman dia bersahur beberapa minit sebelum masuk waktu subuh hanya dengan menjamah beberapa biji kurma, seperti yang disunnah oleh Rasullulah s.a.w.
"Saya buka puasa pun makan kurma juga. Kemudian cari nasi atau makan di KFC. Ada masa saya berbuka dengan cornflakes atau coco crunch," katanya sambil tersenyum lebar kepada kami.
Itu perasaan yang diluahkan Azman (gambar) kepada Harakahdaily yang diberi peluang Allah SWT bertemu dengan insan yang mendapat cahaya hidayah 2 Ogos lalu, lalu mengucapkan kalimah syahadah di Hidayah Centre Pusat Komuniti Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM) dekat sini.
Dia mula mengenali agama indah ini sejak 3 bulan lalu, melalui sahabatnya yang juga merupakan saudara baru.Sahabatnya itu, turut menghadiahkan al-Quran terjemahan bahasa melayu untuk dia lebih mengenali dan memahami agama Allah itu.
"Saya baca terjemahan melayu sebab tak berapa pandai bahasa inggeris. Dari situ, saya mula percaya, bahawa agama Islam ini adalah agama yang baik,"jelasnya dengan tenang.
Masih bertatih dan belajar, dia mengakui baru solat hanya sekali sahaja tetapi terus mendapat bimbingan dua orang ustaz daripada JIM dikenali sebagai Johan dan Abdul Rahim.
Azman merupakan seorang guru tuisyen sepenuh masa, sejak sembilan tahun lalu. Dia mengajar Bahasa Melayu, Mandarin dan Sains untuk pelajar sekolah rendah di Jalan Klang Lama.
Lelaki berketurunan Cina ini masih bujang dan agak segan untuk ditemubual pada mulanya, tetapi kemudian menjadi teman mesra kepada kami berdua dari Harakahdaily.
Katanya dia masih menyembunyikan keIslamannya daripada ibunya untuk sementara waktu kerana tahu akan reaksi negatif yang bakal diterima.
"Lambat laun, saya akan beritahu juga...cuma perlahan-lahanlah. Tak mau mak saya marah..."katanya masih tersenyum dengan sinar cahaya di wajahnya.
Ditanya tentang tip kuat semangat untuk berpuasa dan petua untuk orang yang punya 'banyak alasan' untuk culas melakukan ibadah itu, Azman menjawab ringkas tetapi tajam.
"Di belakang rumah kami, ada juga orang Islam makan di restoran Cina waktu bulan puasa.
"Bagi saya, hati mesti baik dan jangan lupa, Tuhan ada tengok kita."
Setelah berkongsi rasa dengan Azman, kami beralih pula kepada Siti Aisyah Tresa, 38 (gambar) yang memeluk agama Islam sejak 1993 di Melaka. . p>Sambil matanya mula berkaca, hampir tumpah air mata, Siti menceritakan detik-detik awal mula menyintai dan menaruh minat kepada agama Islam.
"Saya bekerja kilang dan tinggal di asrama di Johor. Ketika itu saya begitu tertarik melihat kawan sebilik yang sentiasa mengerjakan sembahyang.
"Tiap kali waktu azan, dia akan terus bersiap-siap untuk sembahyang. Saya tengok dia sembahyang, buat hati saya cukup tenang dan saya jadi minat sangat untuk tahu agama kawan saya itu,"kata Siti.
Katanya kerana terlalu minat, adakala bila di kampung, dia akan sembahyang sendiri-sendiri meniru gerak gaya kawannya itu.
Namun, setelah masuk agama Islam, cabaran hebat diterima apabila ditentang hebat oleh kaum keluarga yang masih menganut Kristian. Selama hampir enam tahun, dia melalui tekanan dan asakan hebat.
Tetapi selama itu jugalah, dia tabahkan hati dan tidak terputus hubungan dengan kaum keluarga malah secara rutin, setiap sebulan sekali akan pulang ke kampungnya di Kg Layang-Layang, Johor.
"Selama enam tahun, biar apa pun keluarga buat dan beri tekanan, saya cekalkan hati balik juga bertemu mereka sebulan sekali...
"Alhamdulillah, kini mereka sudah boleh menerima saya dan hubungan masih baik seperti sediakala. Syukur kepada tuhan," katanya cuba menahan sebak
Kini Siti yang mempunyai dua cahaya mata bahagia bersama suami dikasihi, Khaidir Maidin dan merindui sahabatnya Zainab yang rajin solat itu, yang kini sudah terputus hubungan sejak sekian lamanya.
Siti memberitahu, pengalaman berpuasa bukanlah sesuatu yang asing dan menjalani seperti biasa sama seperti umat Islam yang lain.
Beliau juga menolak tanggapan bahawa saudara baru sepertinya, sering diabaikan kebajikan dan disisihkan daripada masyarakat Islam.
"Saya sentiasa rasa diperlukan. Tak pernah saudara seagama menyisih saya malah merekalah yang banyak membantu tatkala saya menghadapi kesulitan.
Sebelum mengakhiri perbualan, Siti sempat menyuntik semangat kepada rakan-rakan saudara baru baik yang sudah lama atau yang masih baru memeluk agama Islam agar terus istiqamah bersama agama tercinta ini.
"Walau apa pun berlaku, teruslah bersama agama Islam. Percayalah, setiap kesusahan yang dihadapi, ada jalan penyelesaian yang diberikan oleh Allah...percayalah, saya juga pernah melaluinya...,"tersenyum mengucapkan terima kasih kepada Harakahdaily.
Turut mencuri perhatian ialah seorang saudara baru yang berasal daripada Afnka yng dikenali sebagai Hilal Abdullah, bakal melanjutkan pelajaran di Kanada dalam masa terdekat.
Cuma kisah pilu Hilal yang berasal dari satu kawasan bernama Brundi,ialah kedua-dua ibu bapanya mati dibunuh kerana berhasrat memeluk agama Islam.
Sebenarnya insan-insan bertuah ini antara 11 orang saudara baru yang kami temui di Hidayah Centre, Pusat Komuniti JIM, petang semalam.
Hidayah Centre adalah sebuah institusi di bawah JIM yang ditubuhkan sejak 2005, berperanan sebagai pusat sokongan kepada saudara baru membawa tema hidayah yang menarik perhatian iaitu "Saudara baru, Saudara Kita"
Objektif penubuhannya adalah untuk memberi penempatan sementara serta memberi bimbingan dalam bentuk kelas-kelas pengajian dan khidmat nasihat.
Semalam, Hidayah Centre mengadakan sidang media Majlis Pelancaran Buka Puasa yang dihadiri saudara-saudara baru yang kelihatan begitu ceria tetapi malu-malu dan tersipu bilamana lensa kameramenyorot wajah bercahaya mereka.
Sebelum sidang media dimulakan oleh jurucakap Hidayah Centre,Joannes Lukas yang juga seorang saudara baru, majlis dimulakan dengan penyampaian sumbangan kepada saudara-saudara baru yang hadir.
Ketika ditanya tentang aduan, masalah dan antara kekangan yang dihadapi oleh saudara baru, Joannes menjelaskan ianya terbahagi kepada beberapa perkara antara yang utama ialah ancaman daripada keluarga dan ketiadaan pekerjaan.
"Bila ada ancaman, maka kita berusaha sediakan penempatan dan penginapan sementara kepada mereka.
"Bagi yang tiada pekerjaan kerana terpaksa berpindah atau disishkan, kita mempunyai jaringan dengan NGO Islam dan syarikat yang bersedia memberi peluang pekerjaan bagi saudara baru ini,"katanya.
Setakat ini Hidayah Centre telah beroperasi di 14 cawangan di sembilan buah negeri manakala sejumlah 432 saudara baru yang berdaftar dengan pusat ini.
Bagi meneruskan pengoperasian dan untuk memberi bantuan kepada saudara-saudara baru, Hidayah Care akan menganjurkan Program Majlis Berbuka Puasa pada 12 September ini, di Putrajaya.
Menurut Pengarah Program Nasiruddin Tahir majlis itu bertujuan bagi mengutip dana melalui tajaan meja makan ataupun sumbangan syarikat, kumpulan atau individu yang berasa terpanggil untuk membantu saudara baru.
Untuk sebarang pertanyaan lanjut boleh hubungi Joannes Lukas atau Rosmawati Zainal di 03-41053159 atau 03-41089669.
Moga sudi membantu dan meringankan beban saudara baru yang juga saudara kita.
