Friday, September 04, 2009

Dr Hafidzah & Che Rahimi dalam jendela Keluarga Majalah-i Sept'09


Dr. Hafidzah & Che Rahimi Antara Kerjaya, Keluarga & Organisasi

“Saya ni bukannya gemar sangat publisiti. Lagi pun tiada yang terlalu istimewa mengenai diri dan keluarga saya,” ujar Dr. Hafidzah Mustakim sebagai respon awal ketika pujukan penulis untuk menemubualnya.


Bagi memastikan jiwa anak-anak sentiasa segar dengan pegangan agama, mereka sekeluarga membaca Al-Ma’thurat secara berjemaah selepas solat Maghrib setiap hari. Namun, semuanya berjalan baik kerana keterbukaan Ketua Wanita Jamaah Islah Malaysia (JIM) Kelantan ini berkongsi mengenai kehidupannya bersama suami, Che Rahimi Samat bersama anak-anak mereka. Segmen Keluarga Pilihan kali ini membawakan kepada pembaca untuk mengenali dan menyelami kehidupan keluarga pasangan aktivis JIM berkenaan.

Kehidupan berumah tangga Dr. Hafidzah, 45, dan Che Rahimi, 46, bermula pada 1985 ketika masing-masing bergelar penuntut di Australia, tetapi di universiti yang berbeza. Bagaimanapun, keaktifan mereka dalam persatuan pelajar telah menemukan dua insan ini sebelum perkenalan berkenaan telah menyatukan mereka sebagai suami isteri.
“Saya ketika itu menuntut di Monash University, sementara suami pula merupakan penuntut di University of Melbourne. Perkenalan kami bermula ketika masing-masing aktif di bawah persatuan pelajar Malaysia di Australia.
“Selepas berbincang, kami sepakat untuk mengikat hubungan ini sebagai suami isteri. Maklumlah, saya berasal dari Pontian, Johor dan suami pula dari Kota Bharu, Kelantan. Masing-masing jauh daripada keluarga. Sementara cabaran kehidupan di luar negara juga agak membimbangkan,” ujar Dr. Hafidzah yang turut dilantik sebagai ahli Jawatankuasa Pengurusan Raudatus Sakinah.

Kesedian berumah tangga di usia yang muda, malah ketika masih bergelar penuntut seharusnya tidak mudah dilakukan. Namun bagaimana semuanya menjadi kenyataan? Che Rahimi yang kini merupakan ahli perniagaan berkata, dugaan tetap hadir ketika dia dan isteri meluahkan kepada keluarga masing-masing mengenai hasrat yang telah disepakati.
“Cabaran berkenaan hadir terutama ketika kami mahu meyakinkan pihak keluarga mengenai hasrat untuk berumah tangga. Namun, keyakinan yang kuat kepada Allah akhirnya melancarkan perkahwinan ini. “Saya tentu sekali berterima kasih kepada abang angkat saya sewaktu di universiti kerana dialah yang banyak memainkan peranan terutama ketika awal perkenalan dengan isteri. Kiranya, peranan dia adalah sebagai orang tengah,” ujar Che Rahimi.

Cabaran Selepas Perkahwinan

Perkahwinan yang berlangsung ketika Che Rahimi berada tahun akhir jurusan ukur tanah, sementara isteri pasti banyak pahit dan manisnya. Apatah lagi mereka perlu berhadapan dengan cabaran pengurusan hidup termasuk faktor ekonomi dan harus menyesuaikan diri sebagai suami isteri.
“Kami menyewa sebuah rumah dan syukur kerana saya ketika itu mempunyai sebuah kereta. Ini memudahkan pergerakan kami untuk menghadiri kelas. Namun di awal perkahwinan, sudah tentu masing-masing perlu menyesuaikan diri dengan kehidupan berumah-tangga. Bagaimanapun di sinilah sikap bertolak ansur dan saling berbincang memainkan peranan,” kata Che Rahimi.

Ikuti kisah selanjutnya di dalam Majalah i edisi September 2009