Tuesday, September 15, 2009

Tribute Untuk Sahabat : Satu Perkongsian

Salam....

Sekadar berkongsi kebahagiaan dengan ikhwah akhawat.
Semoga ada kebaikannya

Jzkk
Roha Hassan

..........................................................................................................................................................................

Selamatkan sahabat anda

Ketika remaja, ibu menggelar saya kera sumbang kerana jarang sekali keluar berkawan. Jiran di kampung pernah bertanyakan emak petua yang digunakan kerana berjaya ‘mengawal’ saya daripada keluar sedangkan cucu perempuannya sebaya saya ketika itu pantang duduk di rumah.

Apabila ada rakan yang mengetahui saya bekerja sebagai seorang wartawan, mereka ketawa berdekah-dekah kerana sepatutnya mereka yang menjadi wartawan kerana suka ambil tahu hal orang lain.

Gelaran antisosial memang gelaran saya. Saya tidak pernah marah pun. Malah suami dan anak selalu ketawakan saya kerana bagi mereka saya tidak ada kawan. Rakan di pejabat sebelum ini pernah ibaratkan saya balik ke rumah seperti saya balik ke penjara kerana saya akan terus memerap di ‘penjara’.

Oleh itu, apabila saya mengajak keluarga ke majlis ‘Iftar Hidayah Centre’ di Perbadanan Putrajaya, semalam, kerana seorang sahabat membelikan tiga kerusi untuk saya, mereka tertanya-tanya, siapakah sahabat yang dimaksudkan.

Majlis iftar itu ialah bagi meraikan mereka yang baru memeluk agama Islam dan setiap kerusi berharga RM100. Sumbangan akan digunakan untuk menambah dana Hidayah Centre, iaitu pusat perlindungan saudara baru.

Oleh kerana sahabat saya ini faham perangai saya yang jarang sekali akan keluar rumah tanpa suami dan anak, dia membelikan tiga kerusi untuk saya.

Bukanlah bermakna membeli tiga kerusi itu saya sudah anggap sahabat, tetapi niat di sebaliknya yang sentiasa ingin melihat saya berubah ke arah kebaikan, dengan mengajak saya tanpa jemu, tidak pernah memaksa, tetapi sentiasa ‘mendidik’ saya dalam diam-diam dengan menunjukkan akhlak yang mulia.

Beliau juga tidak pernah memperlekehkan saya sebagai seorang perempuan yang tidak pernah bertudung, dia tetap bersahabat dengan saya secara ‘diam-diam’ sehinggalah sekarang saya menutup aurat atas keinsafan sendiri.

Dialah sahabat wanita yang mendoakan saya dan tumpang gembira apabila saya dapat menunaikan umrah tahun lalu secara percuma.

Oh ya, seorang lagi sahabat lain turut menyumbangkan wang saku supaya saya dapat ke Tanah Suci, beribadah tanpa rasa bimbang. Dengan lain kata, saya dapat bersolat di Masjidil Haram, di Masjid Nabawi dan berdoa di Raudhah secara percuma, semuanya kerana beberapa sahabat dan seorang bos yang berhati mulia.

Ketika mendengar forum di iftar berkenaan yang turut memberi penjelasan mengenai makna sahabat, iaitu mereka yang ‘menyelamatkan’ anda, saya kini boleh menarik nafas lega kerana rupa-rupanya saya ada sahabat, mungkin tidak ramai, tetapi sentiasa ‘menyelamatkan’ saya.

Dan sekarang, saya berazam untuk menjadi seorang sahabat yang baik pula kepada orang lain dengan cara saya yang tersendiri, iaitu membantu ‘menyelamatkan’ orang lain, tanpa perlu mengenalinya pun. Saya kini boleh ‘bersahabat’ dengan saudara baru, rakyat Palestin dan golongan miskin, malah pembaca Sinar Harian sendiri.
Nampaknya, cara ini lebih sesuai untuk seorang antisosial seperti saya ‘bersahabat’


Sinar Harian, 14/09/2009, m/s N6