Monday, March 08, 2010

Usah rosakkan orang lain

Oleh Maiamalina Mohamed Amin
maiamalina@hmetro.com.my
2010/03/08


KUALA LUMPUR: “Ini bukan hanya merosakkan diri mereka sendiri tapi orang lain juga, jadi tolonglah jadi lebih bertanggungjawab kepada masyarakat,” kata Naib Presiden Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM), Prof Madya Dr Harlina Halizah Siraj.


Beliau mengulas pembabitan seorang artis terkenal dipercayai menjadi dalang kepada kegiatan tidak bermoral di sebuah pusat hiburan eksklusif, dekat sini yang membawa kepada penahanan lebih 20 pasangan kekasih beragama Islam.


Menurutnya, laporan tidak elok mengenai kelakuan buruk artis sejak akhir-akhir ini sedikit sebanyak menjejaskan kerukunan masyarakat apabila kebanyakan anak muda lebih mudah terpengaruh dengan ikon yang menonjol seperti artis.


“Nak tak nak pun, setiap kelakuan artis itu menjadi perhatian masyarakat lebih-lebih lagi remaja yang cenderung melihat penggiat seni sebagai ikon atau idola berbanding zaman dulu lebih memilih ibu bapa.


“Jadi bila ada artis kita yang berbuat perkara tidak elok, ini sedikit sebanyak memberi impak tidak baik kepada mereka, remaja kita mudah terpengaruh dan tak bagus kalau begini. Seeloknya kita bersama-sama membaiki masyarakat.


“Kalau perlu artis harus sedar dan cuba memperbaiki kesilapan diri, bersihkan nama baik mereka, janganlah pula kata alang-alang sudah jadi buruk...biar terus busuk sebab kita mahu membentuk masyarakat yang baik,” katanya ketika dihubungi, semalam.


Metro Ahad semalam melaporkan penahanan lebih 20 pasangan kekasih beragama Islam dalam keadaan khayal serta berpelukan dan melakukan mukadimah zina ketika serbuan pihak berkuasa di sebuah pusat hiburan eksklusif, membongkar pembabitan seorang artis terkenal yang dipercayai menjadi dalang kepada kegiatan tidak bermoral di situ.


Menurut sumber Jais, serbuan mengejut itu menyebabkan sebahagian pengunjung beragama Islam bertempiaran lari menggunakan pintu belakang bagi mengelak ditahan kira-kira 20 anggota penguat kuasa, namun ada pula yang mabuk turut ‘merapu’ dan berani menggoda penguat kuasa.


Dr Harlina berkata remaja yang cenderung memuja artis pilihan mereka perlu berhati-hati menilai kelakuan golongan terbabit.


“Artis pun manusia biasa juga, ada yang baik dan ada pula yang tidak terkawal. Kita yang perlu berhati-hati menilai seseorang dan jangan mudah terpengaruh dengan perlakuan buruk sebaliknya pilih yang baik untuk dicontohi,” katanya.