Wednesday, August 25, 2010

KENYATAAN AKHBAR

KENYATAAN AKHBAR

GABUNGAN NGO-NGO WANITA ISLAM KUALA LUMPUR MEMBANTAH:
KEBANJIRAN BAHAN PORNOGRAFI DI INTERNET DAN MEDIA MASSA




Latarbelakang


1. Umum mengetahui bahawa dunia kini hanya berada di hujung jari. Kehebatan perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi menghasilkan fenomena dunia tanpa sempadan.
 Walaupun bagaimanapun, perkembangan teknologi maklumat merentasi sempadan juga menggusarkan komuniti dunia. Akses yang begitu mudah kepada internet juga mengakibatkan pelbagai masalah di antaranya eksploitasi maklumat peribadi, kurang kawalan terhadap bahan yang diletakkan dalam internet, salah guna jaringan sosial dan yang amat membimbangkan adalah akses mudah pengguna internet bawah umur (kanak-kanak dan remaja) kepada bahan-bahan terlarang yang berbaur pornografi dan juga bahan yang berbentuk “hard core“ pornografi.

Pornografi didefinasikan sebagai bahan bertulis atau visual yang boleh merangsang keinginan seksual, dan bertujuan untuk memberahikan pemerhati atau pembaca. Terdedah kepada unsur-unsur pornografi boleh mengakibatkan pelbagai kesan-kesan yang tidak sihat seperti:

• Ia menggalakkan seks luar nikah dan penzinaan

• Ia menyumbang ke arah penganiayaan seksual kanak-kanak dan keganasan seks

• Pengaruh negatif terhadap perkembangan seksual

• Sikap dan nilai seksual yang negatif. Contoh: kelakuan seks luar tabii, orientasi seks yang tidak normal dan tidak menghormati kaum wanita seperti hanya menganggap mereka sebagai objek seks
• Masalah emosi dan perhubungan. Contoh: rasa bersalah, malu, dan ketagihan
• Masalah undang undang yang melibatkan memiliki, jual beli, mengedar dan menonton bahan bahan VCD lucah.

Satu kajian oleh sekumpulan penyelidik Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS) Universiti Putra Malaysia itu telah mendapati 22 peratus remaja Melayu gemar melayari laman web lucah sama ada di rumah mahupun di kafe siber.

Pendedahan terhadap unsur-unsur pornografi di kalangan remaja ini menjadi salah satu punca utama mengapa kesalahan melibatkan kes jenayah seksual dan juga gejala seksual di kalangan remaja semakin meningkat di Malaysia.

Dan mengikut statistik Google Trends, Malaysia kini berada di tangga kelapan bagi negara yang paling banyak pencari maklumat mengenai seks di internet selepas beberapa negara lain seperti Pakistan, India, Turki dan Indonesia. Ia adalah suatu perkara yang sangat serius dan membimbangkan.

Satu klik yang membawa padah!

2. Muttakhir ini, kita melihat media massa elektronik seperti stesen televisen tempatan lebih mengambil saduran dari siaran barat jahilliyah yang banyak mengorbankan nilai-nilai murni sebaliknya yang diterapkan adalah nilai hedonisme melampau. Rancangan-rancangan serta bahan-bahan yang dihidangkan hampir keseluruhannya mengandungi unsur-unsur pengaruh buruk lebih dari kebaikan. Rancangan bercorak agama atau pembinaan sahsiah diwujudkan dalam keadaan amat terbatas waktunya seolah-olah sekadar melepaskan batuk ditangga.

Kemunculan banyak adegan-adegan ranjang dan aksi-aksi tidak bermoral serta kata-kata lucah yang di siarkan menimbulkan kesan buruk kepada semua terutama remaja dan kanak-kanak. Ini termasuk antaranya ialah penyiaran secara tidak terkawal filem, drama dan iklan komersil yang mempunyai unsur-unsur lucah dan tidak bermoral.

Selain itu, pendedahan berita mengenai rompakan, perbuatan rogol, penipuan dan segala macam keburukan terlampau banyak disogokkan di dada-dada akhbar dan majalah yang disiarkan samada dalam bentuk berita, laporan khas, cerpen atau sebagainya. Berita atau laporan sebegini kekadangnya di tulis dengan begitu explicit sekali dan disensasikan menyebabkan objektif penulisan menjadi samar, Kesannya bahan yang begini bukan sahaja menjadi pembuka mata bahkan ia juga menjadi pembuka nafsu” ingin tahu dan mencuba” para pembaca.

Media harus sedar peranan mendidik yang perlu dimainkan oleh mereka. Berita yang dilaporkan di akhbar harus berunsurkan motif mendidik masyarakat serta membentaras jenayah yang sama berulang dan bukan sebaliknya . Majalah yang diterbitkan harus mempunyai motif yang jelas , bukan sekadar menyebarluaskan gossip dengan selitan gambar-gambar yang memberahikan.

NGO-NGO WANITA ISLAM DENGAN INI SECARA SEBULAT SUARA MENDESAK :-

1. Pihak Kerajaan secara umumnya mengambil langkah serius dan bersungguh-sungguh untuk mengawal kebanjiran bahan porno di internet dan media massa

2. Pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan mengambil tindakan undang-undang yang tegas dan lebih berat kepada mana-mana pihak yang menjual dan mengedar bahan porno dan mengawal lambakan VCD lucah di pasaran

3. Kementerian Dalam Negeri mengawal penerbitan buku,majalah dan akhbar yang memaparkan cerita, berita dan grafik yang mengandungi unsur-unsur kelucahan melampau.

4 Peningkatan penguatkuasaan hukuman dilakukan. Hukuman berbentuk denda dilihat tidak mampu memberi kesedaran kepada pengedar VCD lucah. Sewajarnya kerajaan mempertimbangkan hukuman yang lebih keras.

5. Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan mestilah serius dan konsisten mengawal bahan-bahan siaran samada di stesen penyiar kerajaan mahupun swasta secara telus. Hak penapisan kandungan bahan siaran yang diberikan kepada sesetengah stesen penyiar perlu ditarik balik dan Lembaga Penapisan Filem yang dilihat gagal memainkan peranan dan fungsinya perlu dinilai semula.

6. Ibu bapa memainkan peranan aktif mendidik kanak-kanak dan remaja agar mempunyai benteng kawalan diri yang mantap terhadap gejala-gejala negatif sejak dari kecil lagi



23 OGOS 2010


Wanita Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM) KL
An Nidaa’
Women Institute For Research, Development and Advancement (WIRDA)
Persatuan Kebajikan Darul Najah
Nisa’ Wilayah Persekutuan
Wanita IKRAM Wilayah Persekutuan
Persatuan Wanita dan Ibu Tunggal Hulu Klang