Friday, August 06, 2010

Pengguguran itu Pembunuhan

2010/07/23
Harian Metro
Siti Zarinah Sahib (sitizarinah@hmetro.com.my)


PADA zaman moden ini, menggugur kandungan tidak lagi menjadi sesuatu yang sukar berbanding dulu.


Memakan nanas muda, penggunaan herba tertentu atau menggunakan alat tajam dengan mencucuk ke dalam rahim seperti yang dipaparkan dalam filem Melayu, ia pasti memberikan kesan mengerikan kepada sesiapa sahaja.


Tetapi kini, menggugurkan kandungan sudah menjadi perkara biasa, malah tidak menyakitkan.


Justeru, ramai gadis berulang kali melakukannya kerana pada luarannya tiada apa yang perlu ditakutkan.


Paling tidak lemah dan tidak dapat berjalan selama seminggu kemudian mereka boleh aktif dan berlari seperti orang lain, tiada pantang larang. Mudah bukan?


Ikuti kupasan isu pengguguran bersama wartawan Siti Zarinah Sahib (sitizarinah@hmetro.com.my) yang mendapatkan pandangan daripada pakar perubatan dan agama serta pengakuan wanita yang pernah melalui detik hitam menggugurkan bayi.


JIKA ditanya kepada gadis yang pernah melakukannya, pasti mereka memberitahu terdapat banyak klinik swasta di ibu kota menyediakan perkhidmatan ini.


Bayaran terendah RM500 sehingga mencecah RM2,000, bergantung kepada usia kandungan.


Malah, bagi yang tidak mahu membayar mahal, mereka boleh menelan pil dan menunggu keesokan harinya untuk proses 'tumpah' darah.


Bagi pengamal perubatan yang melakukannya, mereka sebenarnya mengetepikan etika serta tanggungjawab sosial. Golongan doktor yang tidak beretika ini melakukannya dengan rakus semata-mata mengaut keuntungan.


Menerusi maklumat daripada seorang doktor kepada penulis, ada pengamal perubatan menerima lima sehingga tujuh kes pengguguran seminggu.


Bayangkan jika bayaran minimum diterima RM500 untuk sekali pengguguran, bermakna dia menerima RM2,500 seminggu dan sebulan pendapatannya melebihi RM10,000.


Disebabkan berpendapatan lumayan, perkhidmatan ini semakin bertambah dan bagi pihak pengamal perubatan, teori mereka mudah sahaja, adanya permintaan menyebabkan penawaran meningkat.


Daripada mereka membuang bayi selepas dilahirkan, lebih baik dibunuh ketika masih janin.


Menurut Pakar Perunding Obstetrik dan Ginekologi, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Madya Dr Harlina Haliza Siraj, daripada sudut kaca mata perubatan, pengamal perubatan yang melakukan pengguguran melainkan sebab kesihatan yang dibolehkan adalah tidak bermoral.


Ini kerana dalam semua agama, menggugurkan kandungan dosanya sama seperti membunuh.


Malah, tidak ramai doktor yang dilatih melakukan pengguguran. Jika ada, golongan ini mempunyai perbezaan sikap serta tidak mempunyai nilai moral yang tinggi.


Ini kerana proses itu sendiri boleh mengancam nyawa terutama daripada segi prosedur serta peralatan digunakan sama ada selamat atau tidak. Pengguguran adalah satu kaedah invensif iaitu tidak selamat dan boleh mengancam nyawa sekiranya dilakukan berulang kali.


Ini kerana selepas menggugurkan kandungan, pesakit menjalani rawatan cuci atau dilation dan curettage (D&C) dengan cara mencungkil bahagian dalam dan mengikis dinding rahim menggunakan alat dipanggil kuret untuk mengeluarkan produk kandungan yang masih tertinggal.


Namun kini doktor menggunakan kaedah lebih moden iaitu Erpoc (evacuation of retained products).


"Erpoc adalah pembedahan minor yang selamat dan mengambil masa lebih kurang 20 minit. Biasanya pesakit hanya perlu menjalani rawatan harian di hospital sama seperti D&C. Pesakit akan dibius, kemudian serviks akan dibuka menggunakan dilator.


"Erpoc biasanya menggunakan dua jenis vakum sama ada vakum elektrik (EVA) atau pam manual (MVA). Kanula (bahagian depan tiub) yang disteril akan dimasukkan ke dalam uterus bersambung dengan tiub dari pam dan ia menghasilkan vakum yang halus lalu menyedut seluruh kandungan dalam rahim," katanya.


Tambahnya, kandungan di bawah 10 minggu boleh dicuci menggunakan Erpoc.


Namun, bagi kandungan antara 11 hingga 15 minggu, penyedut dengan diameter lebih besar akan digunakan dan kadangkala memerlukan bantuan kuret bagi memudahkan proses dilakukan.


Bagi kandungan yang sudah mencapai minggu ke-16 hingga 24 pula, sejenis ubat seperti prostagladin akan digunakan untuk membuka pintu rahim dengan lebih luas. Kemudian kandungan akan dicungkil dengan kuret sebelum Erpoc dilakukan.


Bagi kandungan melebihi minggu di atas, janin akan keluar seperti kelahiran biasa.


"Sekiranya D&C atau Erpoc ini dilakukan berulang kali, lama kelamaan ia menyebabkan dinding rahim menipis. Ini akan menyebabkan peratusan mereka untuk hamil semula sangat sedikit. Ada juga pesakit selepas itu mengalami kehamilan luar rahim lebih teruk apabila rahimnya terpaksa dibuang.


"Bagi pengguguran yang tidak menggunakan peralatan selamat, ia boleh mengancam nyawa pesakit apabila pesakit mengalami tumpah darah yang banyak atau tidak dicuci dengan betul," katanya.


Menurut Dr Harlina, ada wanita yang sudah mendirikan rumah datang untuk menggugurkan kandungan dengan memberikan alasan belum bersedia. Golongan ini beranggapan menggugurkan kandungan adalah satu teknik merancang keluarga.


"Sebenarnya ini tidak benar, pada zaman moden ini pasangan perlu membuat perancangan keluarga bagi mengelak mereka menggugurkan kandungan tanpa sebab. Ini kerana faktor ekonomi, fizikal dan sosial mempengaruhi pasangan dalam membuat keputusan sama ada mahu hamil atau tidak.


"Hanya kandungan yang membahayakan nyawa ibu atau anak sahaja dibenarkan menjalani proses pengguguran. Namun kebanyakan gadis yang hamil luar nikah menggunakan kaedah pengguguran untuk menghapuskan benih mereka," jelasnya.


Tambahnya, walau apa sekalipun alasan wanita, menggugurkan kandungan adalah haram kerana sama dengan membunuh.


Justeru, Harlina menasihati gadis yang pernah menggugurkan kandungan supaya bertaubat dan tidak mengulanginya lagi.


Ini kerana pengguguran mempunyai kesan yang sangat berbahaya kepada wanita terutama pada saluran peranakan mereka.


"Jika menyayangi diri sendiri, berhentilah dan teruskan dengan cara sah iaitu melangsungkan perkahwinan," katanya.


Menurutnya, proses pengguguran dilakukan dengan pelbagai cara. Paling mudah dengan mengambil pil yang boleh didapati di klinik. Selepas memakan pil itu mangsa akan mengalami senggugut yang teruk seterusnya tumpah darah.


Proses ini agak menyakitkan ini kerana kandungan pil itu boleh memberi goncangan pada rahim sehingga janin gugur sendiri. Proses ini dilakukan sekiranya kandungan masih awal iaitu sekitar empat ke enam minggu.


Namun kaedah ini membahayakan nyawa sekiranya tumpah darah terlalu banyak sehingga mangsa mengalami kekurangan darah.


"Justeru, wanita yang menggunakan kaedah ini harus bertemu doktor sekiranya darah keluar terlalu banyak. Mereka juga perlu menjalani rawatan 'cuci' bagi mengeluarkan semua darah yang ada dalam rahim," katanya.


Selain itu antara kaedah lain digunakan doktor mengikut usia kandungan ialah:


* Satu sehingga dua bulan
Pada kehamilan awal di bawah usia dua bulan, usia janin sangat kecil, pengguguran dilakukan dengan cara menggunakan alat penghisap. Janin yang sangat lembut akan terus terhisap dan hancur.


Ketika dikeluarkan daripada rahim, kelihatan cecair merah iaitu gumpalan darah daripada janin yang baru dibunuh.


* Tiga bulan
Pada tahap ini, sebahagian anggota tubuh mulai terbentuk pengguguran dilakukan dengan cara menusuk janin kemudian bahagian tubuhnya dipotong menggunakan peralatan khas (cunam abortus).


Selepas itu janin ditusuk sekali lagi sama ada pada bahagian pinggang, bahu atau leher. Kemudian dihancurkan supaya mudah dikeluarkan dari dalam rahim.


* Empat sehingga enam bulan
Pada tahap ini, bayi sudah semakin membesar dan bahagian tubuhnya sudah jelas kelihatan. Jantungnya sudah bergerak, tangannya sudah boleh menggenggam. Tubuhnya sudah merasa kerana jaringan sarafnya sudah terbentuk dengan baik.


Pengguguran dilakukan dengan membunuh bayi ini terlebih dahulu sebelum dikeluarkan dengan cara memberikan suntikan ke dalam ketuban bayi. Cairan ini akan membakar kulit bayi secara perlahan-lahan, menyesakkan pernafasannya dan akhirnya setelah menderita beberapa jam, bayi itu akan meninggal dunia. Kemudian dengan cara menghancurkan bahagian tubuhnya, barulah ia dikeluarkan menerusi rahim.


* Tujuh sehingga sembilan bulan
Pada tahap ini, anggota badan bayi sudah sangat jelas terbentuk. Wajahnya sudah kelihatan, termasuk mata, hidung, bibir dan telinga. Jarinya juga sudah semakin jelas manakala otaknya sudah berfungsi dengan baik.


Pada usia ini pengguguran dilakukan dengan cara memaksa ibu itu bersalin secara normal kemudian dibunuh.


Kebanyakan wanita yang melakukan pengguguran tidak menyedari bagaimana proses ini berlaku disebabkan mereka tidak sedar kerana diberi ubat pelali. Selepas menggugurkannya mereka boleh terus pulang ke rumah dan meneruskan kehidupan seperti biasa.


Namun bagi bayi itu, ini adalah proses yang sangat mengerikan, menyakitkan, dan tidak berperikemanusiaan. Kematian bayi yang tidak berdosa itu tidak disaksikan oleh ibunya sendiri. Bagaimana sekiranya anda melihat, adakah anda masih sanggup melakukannya?