Thursday, April 08, 2010

Cerita hitam wanita bergelar ibu

Oleh Nor Afzan Mohamad Yusof
afzan@bharian.com.my
2010/04/08


Gadai harga diri berikutan cinta kepada lelaki

TEMBOK berjeriji besi itu menyimpan seribu satu kisah hitam jenayah dilakukan wanita, banduan terdiri daripada warga tempatan dan pendatang asing tanpa izin (Pati) dengan pelbagai kesalahan.

Walaupun jumlah banduan wanita tempatan di Penjara Wanita Kajang kurang 20 peratus daripada keseluruhan kes di situ, kisah hitam mereka hingga terseret ke penjara, menimbulkan pelbagai persoalan. Bagaimana wanita yang jiwanya halus, sarat dengan naluri keibuan, boleh menerima hukuman di situ.

Ratu memaparkan dua kisah banduan wanita hingga membawa mereka ke dunia penjara. Berbeza latar hidup, tetapi persamaan mereka, lantaran tidak berpendidikan selain gelodak nafsu membawa mereka terus hanyut ke lembah hina.

Sofea ibu kepada dua cahaya mata seorang anak sah seorang lagi anak luar nikah hasil hubungan sulit dan bersekedudukan dengan lelaki tanpa sebarang ikatan perkahwinan. Puncanya, suami yang hilang entah di mana meninggalkan dirinya ‘gantung tidak bertali’. Mengambil jalan mudah, Sofea merelakan diri diperlaku bagaikan isteri kepada teman lelaki.

Cerita Mala, ibu kepada empat cahaya mata dengan tiga daripadanya anak luar nikah. Percaya kepada janji manis insan bergelar lelaki, Mala bertuhankan nafsu. Penghujung cerita dia dan teman lelaki ditangkap atas tuduhan kecuaian hingga membawa kematian anaknya yang tidak berdosa.

Kisah Sofea

Hening pagi Taman Perumahan Aman (bukan lokasi sebenar) bertukar resah. Jeritan Mimi (bukan nama sebenar) menahan kesakitan memecah sunyi malam. Jiran tetangga yang mendengar jeritan itu lantas membuat panggilan polis mensyaki kerja maksiat dijalankan di rumah berkenaan. Dalam serbuan itu, lima ditahan termasuk seorang wanita, membongkar perniagaan adn kehidupan murahan Sofea (bukan nama sebenar) bersama teman lelakinya.

Sofea merengkok dalam Penjara Wanita Kajang, selama 18 tahun atas tiga kesalahan jenayah, ibu ayam (372A); melacurkan perempuan (41 (1B)) dan menggugurkan kandungan budak bawah umur (313).

Menceritakan kepada Ratu, kejadian hingga membawa kepada terbongkarnya jenayah dilakukan, Sofea berkata pada malam kejadian, beliau dan teman lelakinya mengambil keputusan menggugurkan kandungan budak bawah umur, Mimi kerana tidak mahu kegiatannya sebagai ibu ayam terbongkar.

“Saya menjadi ibu ayam pada sebelah malam. Sebelah siang saya menguruskan restoran. Pada 2009 saya mengenali Mimi, remaja berusia 14 tahun. Budak ini memohon bekerja di restoran tempat saya bekerja itu. Tanpa banyak menyoalnya saya mengambilnya bekerja di bahagian dapur. Mimi tinggal bersama saya dan saya tidak pernah ambil kisah latar belakangnya.

“Ketika tinggal dengan saya, Mimi dapat menghidu kerja saya sebagai ibu ayam, tetapi dia tidaklah pula saya dagangkan sebagai anak ayam. Seminggu dua dia berkerja tiba-tiba Mimi jatuh pengsan. Saya dan teman lelaki membawanya untuk membuat pengesanan di sebuah klinik swasta. Ujian dilakukan menunjukkan Mimi sah mengandung empat bulan,” katanya.

Katanya, doktor yang merawat terkejut bagaimana seorang remaja perempuan bawah umur boleh mengandung kerana ia boleh disabitkan di bawah kesalahan merogol. Wajah doktor berkenaan nampak terkejut dan cuba menghubungi seseorang.

“Saya dan teman lelaki jadi panik lantas menipu doktor berkenaan dan mengatakan kami bersaudara. Pulang ke rumah saya meminta budak itu menghubungi keluarganya dan memberitahu hal sebenar.

“Mimi sebenarnya lari dari rumah sebab mengandung luar nikah. Ibunya pula adalah seorang ibu tunggal. Saya tidak tahu mengenai hal itu. Apabila diberitahu mengenai keadaan Mimi, suara ibunya kedengaran sedih dan ibunya berkata kepada saya ‘gugurkan kandungan Mimi’,” katanya.

Takut bercampur resah, Sofea dapat merasakan sekiranya Mimi terus wujud, rahsianya sebagai ibu ayam akan terbongkar. Matlamatnya cuma satu, gugurkan kandungan Mimi, selepas langsai kerja itu, Mimi akan ‘dicampak’ terus di mana-mana asalkan rahsianya tidak terbongkar dan dia terus boleh bergerak bebas sebagai ibu ayam.

“Ketika itu saya langsung tidak terfikir mengenai simpati. Walaupun saya ada dua anak perempuan, naluri keibuan saya memang tiada. Dalam hal ini saya menjadi ‘master mind’. Hari yang sama, saya memberikan Mimi segala benda panas seperti air ragi. Mimi menderita kepanasan dan sakit pada bahagian perutnya.

“Ada keluar sedikit darah, tetapi apabila melakukan ujian kehamilan, masih ada tanda positif. Dua kali kami memaksanya minum air itu, tetapi nyata ia sukar digugurkan,” katanya.

Sofea semakin buntu dan terlintas di fikirannya untuk membawa Mimi melakukan pengguguran menerusi tusukan buluh, tetapi tidak menjadi apabila dia tiba-tiba memikirkan untuk menggugurkan kandungan itu menggunakan tangan.

“Saya suruh teman lelaki saya menyeluk dalam bahagian sulit Mimi menggunakan tangannya. Ketika itu saya berada di luar bilik. Mimi menjerit cukup kuat, tetapi jeritan itu tidak langsung mengganggu perasaan saya. Rintihan Mimi juga tidak saya endahkan. Saya melakukan ujian kehamilan sekali lagi dan ujian berkenaan masih lagi positif,” katanya yang menyatakan keadaan Mimi ketika itu amat lemah.

Jam menunjukkan satu pagi menguji kesabarannya. Sekali lagi Sofea mengarahkan teman lelakinya menyeluk bahagian berkenaan dengan kawan teman lelakinya menutup mulut menggunakan bantal. Terlalu banyak darah keluar, Mimi longlai dan tidak sedarkan diri.

“Melihatkan Mimi dalam keadaan begitu saya panik lantas memutuskan untuk ‘tolak’ Mimi ke Singapura sebagai pelacur pada harga RM30 ribu. Urusan menjual perempuan cukup mudah. Saya telefon ‘tokey’ bapa ayam di Singapura. Pihak di sana bersetuju dan ‘kakinya’ di Melaka sudah pun menyerahkan wang pendahuluan sebanyak RM15 ribu. Dalam masa kuncu bapa ayam itu sampai ke tempat kami itulah, kami diserbu dan tertangkap hingga membawa saya ke penjara,” katanya.

Katanya, teman lelakinya didapati bersalah dan ditempatkan di Penjara Lelaki, bersebelahan Penjara Wanita, di Kajang.

Usianya masih hijau, tetapi pengalamannya dalam dunia maksiat amat menyedihkan. Ketika rakan sebaya sibuk menelah pelajaran, Sofea, pula mengira-gira habuan besar akan masuk ke dalam poketnya setiap hari, hasil pendapatan sebagai ibu ayam.

Sofea berharap paparan itu memberi pengajaran kepada wanita bahawa kecintaan pada wang hanya akan mencampakkan manusia ke lembah paling hina.

Hilang rasa malu yang menjadi perhiasan manusia melenyapkan segala impian bahagia yang sepatutnya dikecapi bersama keluarga.

Hakikatnya episod hitam Sofea bermula selepas perkahwinannya berkecai di tengah jalan. Bersuamikan seorang penagih dadah, kaki pukul dan meninggalkan dirinya gantung tidak bertali hanyalah sebahagian kecil penyebab yang terus ‘menghanyutkan’ dirinya ke lembah hina.

“Saya tidak menyalahkan keluarga. Saya melakukan kesalahan ini atas kebodohan sendiri. Saya tidak habiskan persekolahan sekolah menengah sebab tidak berminat lagi bersekolah. Saya berkenalan dengan suami hanya enam bulan lantas mengambil keputusan untuk berkahwin pada usia 18 tahun.

“Pada peringkat awal memang keluarga berkeras tidak membenarkan saya berkahwin tetapi saya berdegil. Selepas berkahwin dan mempunyai seorang anak, saya dapati suami saya berubah sikap menjadi seorang yang pemarah dan mudah naik tangan. Pantang saya silap sikit, dia akan memukul. Sepak terajang itu makanan harian saya.

“Suatu hari saya nampak suami menghidu sesuatu dan selepas itu menjadi khayal. Saya syak ia dadah tetapi apabila di rujuk kepada kawan-kawan, mereka kata ia benar dadah. Sejak itu saya rasa benci kepada suami saya. Selepas melalui satu pertengkaran yang besar, suami saya sudah melarikan diri dan hingga ke hari ini dia ghaib begitu saja. Saya tidak mahu mencarinya lagi. Kalau mati pun saya saya sudah tidak ambil peduli lagi,” katanya sambil menyeka air mata daripada terus membasahi pipinya.

Lantaran kesempitan hidup, Sofea berkerja sebagai pelayan di restoran. Untuk menambah pendapatan, beliau ditawarkan pekerjaan sebagai GRO. Bekerja sebagai GRO di Melaka, beliau mampu memperoleh pendapatan RM400 sehari.

Anak perempuannya yang ketika itu dijaga oleh ibunya, membolehkan langkahnya lebih panjang. Kerjaya sebagai GRO membawanya berkenalan dengan seorang Datuk N.

“Datuk itu menawarkan saya sebagai rakan kongsi dalam dunia pelacuran. Kami bertukar-tukar pelacur untuk melayan mana-mana lelaki hidung belang.

Berbekalkan pil khayal, seorang pelacur boleh melayan hingga lima lelaki satu malam. Tidak susah menjadi ibu ayam sebab penawaran sentiasa ada, malah perempuan yang datang mencari pekerjaan kepada saya,” katanya yang turut melahirkan anak luar nikah dengan teman lelaki dan turut dijaga oleh ibunya kini. Anaknya berusia lima dan tiga tahun.

Katanya, sekiranya masa dapat diputarkan kembali, Sofea berkata dia akan patuh pada arahan keluarga supaya tidak berkahwin pada usia terlalu awal iaitu 18 tahun dan meneruskan pelajaran walaupun minat semakin pudar.

“Sekolah menanam nilai positif dalam diri manusia. Bila anak sudah tidak minat bersekolah, ibu bapa perlu bantu mencari minat mereka kerana apabila tersilap langkah dan ikutkan nafsu, jadilah seperti saya.

“Walaupun keluarga saya amat baik tetapi saya tegar menipu mereka, dan inilah akibatnya, keluarga entah ke mana, suami pula entah ke mana. Saya amat menyesal dan berharap ada kekuatan berhadapan masa depan. Bermula daripada GRO hingga kejadian membabitkan Mimi itu, ia hanya membabitkan tempoh setahun saja, tetapi lihatlah dalam tempoh berkenaan berapa banyak keburukan saya lakukan. Saya fikir sekiranya jeritan itu tidak didegari, sudah pasti saya masih ligat menjadi ibu ayam.

“Saya sentiasa mendoakan yang terbaik untuk dua orang anak perempuan saya itu dan berharap kisah saya ini menjadi iktibar kepada masyarakat luar bahawa usah menjadi mangsa akibat lalai, tamak dan tidak memikirkan halal dan haram dalam mencari rezeki,” katanya yang menyatakan walaupun Mimi sudah selamat melahirkan bayi, tetapi difahamkan bahagian peranakan Mimi rosak akibat perbuatan tidak bertimbang rasa Sofea dan teman lelakinya itu.

KISAH MALA :

MEMPUNYAI empat orang anak dengan tiga daripadanya anak luar nikah dengan beberapa orang lelaki, langsung tidak meninggalkan keinsafan di hati Mala (bukan nama sebenar).

Berhenti sekolah ketika berusia 15 tahun. Atas alasan tidak lagi berminat, Mala mengambil jalan pintas mengejar bahagia dengan mempercayai janji palsu, suami orang hingga melahirkan seorang anak luar nikah.

Mala, 30 menjadi banduan atas kesalahan 31 (1) Akta Kanak-kanak kerana didapati bersalah mengakibatkan kematian anak perempuannya berusia dua tahun. Mengulas mengenai kejadian itu, hingga disabit dengan kesalahan membunuh, Mala berkata seminggu sebelum kejadian dia membawa anaknya balik kampung tetapi tidak menyedari anaknya terhantuk kuat pada bahagian kepala kerana tiada tanda-tanda kecederaan.

“Bila sampai di rumah di Kuala Terengganu, dia bermain dengan sepupunya pula dan kejadian itu dia terhimpit dan terjatuh ketika bermain. Tetapi saya nampak di biasa saja. Sebelah malam saya menidurkannya sebelum berlalu ke tempat kerja. Saya dapati badannya agak panas tetapi memikirkan ia demam biasa. Pulang dari kerja saya terus masuk ke dalam bilik dan tengok sebelah badannya menjadi lembik dengan kaki sebelah kanan ada tanda lebam.

“Melihatkan keadaannya saya membawanya ke hospital dan selepas urusan pengebumian, saya di tangkap dan didapati bersalah kerana kematian anak saya itu dikaitkan dengan kecuaian,” katanya yang menafikan kemungkinan anaknya mati didera ketika beliau bekerja lantaran anaknya dijaga teman lelakinya ketika dia keluar bekerja sungguhpun pemeriksaan ke atas mayat ada tanda-tandan penderaan.

“Hidup saya amat mengecewakan. Mak dan ayah saya bercerai sebab ayah saya pengedar dadah. Saya bosan dengan keadaan itu lantas mengambil jalan pintas untuk keluar daripada rumah. Memang saya lari dari rumah tetapi saya fikirkan ia menyeronokkan tetapi sebaliknya terjadi,” katanya yang berhenti sekolah pada usia 15 tahun.

Mala berkata bila lari dari rumah dia berkenalan dengan seorang lelaki suami orang. Perhubungan yang tidak membataskan agama menyebabkan dia akhirnya hamil anak luar nikah bersama lelaki itu. Anak itu diserahkan kepada ibunya di kampung untuk dijaga kerana dia tidak mampu. Bersama lelaki sama mereka berdua nikah lari di selatan Thailand tetapi hubungan itu tidak berkekalan dan berakhir dengan perceraian.

Mala tidak berasa sesal, masih dengan sikap sama mencari lelaki. Apa yang dihajati itu tercapai tetapi lelaki yang dijumpai hanyalah hidung belang. Sekali lagi Mala hamil anak kedua. Seperti sebelumnya, anak luar nikahnya itu diserahkan kepada orang.

Mala rela diperlakukan sebegitu, mungkin kerana tiada ajaran agama membawa dirinya hanyut dalam dakapan lelaki yang hanya inginkan hubungan seksual. Bersama teman lelaki dikenali selepas itu bernama Hakimi, dia hamil lagi untuk kali ketiga. Pun diserahkan kepada orang.

“Hakimi tidak pernah ajak saya berkahwin walaupun dia pun bujang. Kami bersekedudukan dan tidak lama selepas itu saya hamil anak ke-empat dengannya.

Anak inilah seorang yang saya jaga. Semasa saya berkerja, Hakimi lah menjaganya tetapi tidak sangka ajalnya pendek,” katanya sambil menitiskan air mata.

Hakimi turut dipenjara atas kesalahan sama dan dihumban dalam penjara.

Ingatannya kepada wanita, usah percaya pada janji manis lelaki kerana mereka selalu mengharapkan balasan berupa seksual berbanding ikhlas membantu.