Tuesday, April 13, 2010

Laporan SMIWI Wanita JIM Titiwangsa - 10 April 2010

Bismillahirrahmanir rahim,

Segala puji hanya bagi Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang, Yang selalu melimpahkan kenikmatan dan keutamaan kepada hambaNya yang beriman, hambaNya yang selalu tunduk kepadaNya, hambaNya yang selalu memenuhi panggilanNya.

Selawat dan salam kami sanjungkan kepada rasulNya, yang selalu menaruh rasa belas kasihan kepada orang2 yang beriman, keluarganya yang mulia, para sahabatnya dan orang2 yang mengikuti baginda hingga ke Hari Kiamat.

Sedikit perkongsian laporan SMIWI dari Wanita JIM Titiwangsa..

Dengan izin dan rahmat daripada Allah SWT, Wanita JIM Titiwangsa, dengan kerjasama JK Penduduk, Perbadanan Pengurusan Rumah Pangsa Kawasan 8 (PPRPK8) Taman Melati, beserta PIBG Sekolah Rendah Islam Pintar Desa Melawati, telah menganjurkan Seminar Kecemerlangan Wanita Islam dengan tema " Ibu Tonggak Kecemerlangan Anak-Anak" pada 10 April bertempat di dewan Pusat Aktiviti Masyarakat, Taman Melati fasa 8. Seminar ini telah dihadiri oleh seramai 70 orang penduduk PPRPK8 dan guru-guru SRIP Desa Melawati.

Seminar yang bermula pada jam 8.30 pagi - 1:00 tengahari ini dimulakan dengan pengisian pertama ceramah oleh al fadhil Ustaz Alias Othman dengan tajuk "Pembangunan Kecerdasan Anak-Anak Bermula Dari Rumah". Tajuk ini telah dikupas dengan amat baik oleh Ustaz Alias serta merangkumi ilmu pendidikan anak-anak dari pelbagai perspektif. Kami mendapat feedback yang baik dari penduduk Taman Melati yang merasakan , "panduan-panduan yang diberikan benar-benar membuka minda", menurut mereka.

Selepas selesai sesi rehat, program diteruskan dengan slot seterusnya, forum yang bertajuk "Membentuk Remaja Cemerlang, Menepati Piawaian Islam". Forum ini dijayakan oleh dua orang penalis Wanita JIM yang tidak asing lagi, Ir Hajjah Endok Sempo Mohd Tahir, Wanita JIM yg juga Pengarah WIRDA Selangor beserta Dr. Hajjah Roselainy Abdul Rahman, JKP JIM yang juga merupakan Timbalan Ketua Wanita JIM Pusat. Kedua-dua penalis ini diperkenalkan juga sebagai motivator isu kekeluargaan dan contoh ibu masakini yang kaya dengan pengalaman mendidik anak-anak remaja mereka di rumah serta remaja di dalam masyarakat. Di antara ilmu yang dikongsikan bersama audiens termasuklah memberi kefahaman tentang apakah ukuran sebenar kecemerlangan dari perspektif Islam, membawa contoh-contoh remaja cemerlang berdasarkan realiti sejarah, berkongsi tips bagaimana membantu remaja mencapai kecemerlangan dalam pelbagai aspek kehidupan, serta langkah-langkah yang disarankan kepada ibubapa untuk menangani remaja bermasalah.

Moderator untuk forum ini adalah moderator yang tidak asing lagi di kalangan wanita JIM Kuala Lumpur, ukht Siti Zaiton Abdul Aziz, seorang aktivis program remaja anjuran JIMKL, AJK Wanita JIMKL, juga Penolong Pengetua Sekolah Islam Adni. Hasil dari perkongsian masalah audien bersama penalis semasa sesi soal jawab, moderator forum sempat meninggalkan pesanan yang sungguh mengesankan kepada audiens supaya sentiasa menjadikan doa ibadur rahman seperti yang dinukilkan di dalam al-Qur'an, surah al Furqan:74, sebagai zikir yang tidak ditinggalkan setiap kali selepas solat, serta pesanan supaya jangan berputus asa dari rahmat Allah SWT, mudah-mudahan setiap penat lelah dan kesabaran mendidik anak-anak ini, bakal menjadi amal soleh yang akan dipersembahkan di hadapan Allah SWT pada hari pertemuan denganNya kelak.

Acara penutup yg merupakan acara kemuncak ialah Penganugerahan Tokoh Ibu Mithali PPRPK8. Kami menerima 14 pencalonan dari penduduk PPRPK8 yang telah mengisi borang soal selidik yang disediakan oleh JK Penganjur. Tokoh Ibu Mithali PPRPK8 telah dianugerahkan kepada Hajjah Rokimah Hj Amran, 59 tahun, berasal dari Johor. Selepas penganugerahan Tokoh Ibu Mithali, acara terakhir adalah penyampaian hadiah untuk acara futsal remaja bawah 12 dan 16 tahun yang diadakan selari dengan seminar di padang PPRPK8. Futsal yang diatur bersama, oleh JIM Titiwangsa, JK Penduduk dan PIBG SRIP ini telah menerima penyertaan dari 6 pasukan . Program tamat pada jam 1:15 tengahari dan diakhiri dengan jamuan makan tengahari.

Setinggi-tinggi penghargaan kepada JIM Daerah Titiwangsa yang banyak membantu kami menjayakan seminar wanita ini, akh YDP Titiwangsa Che Zam Hamzah serta team JK Daerah yang berusaha memastikan program ini dapat dijalankan dengan jayanya. Juga kepada akh Abdullah Hassan yang sudi bertindak sebagai MC seminar kali ini dengan berkesan, Akh Saifurrahman yang menjaga logistik serta akh Hj Rahman dan Hj Zainal yang menguruskan futsal dan urusan-urusan lain. Juga kepada Wanita JIMKL yang telah memberi sokongan moral kepada kami untuk menganjurkan seminar ini. Wartawan dari Bernama dan Harian Metro telah hadir membuat liputan di seminar ini dan telah menemuramah JK Penganjur dan wakil penduduk Taman Melati.

Sekian laporan dari WJIM Titiwangsa

Jzkk.

Wassalam

Siti Zaidatul Akma Mohammad
TKW JIM Titiwangsa