Tuesday, April 13, 2010

Program kesedaran - Harian Metro 11.04.2010

KUALA LUMPUR: Atas dasar prihatin dengan isu keganasan rumah tangga, keluarga dan masalah sosial di kalangan remaja yang semakin meningkat ketika ini, Jemaah Islah Malaysia (JIM) cawangan Titiwangsa akan memperbanyakkan program kesedaran untuk institusi kekeluargaan.

Ketua Wanita JIM Titiwangsa, Arbayah Samion, berkata langkah ini antara komitmen serta matlamat JIM untuk memastikan masyarakat dibentuk dengan amalan dan nilai murni.

Beliau berkata, pihaknya sentiasa tampil dengan program kesedaran di setiap kawasan perumahan atau pusat komuniti di daerah berdekatan, antaranya Taman Melati dan Hulu Klang.

“Kami akan mengadakan sekurang-kurangnya tiga program kesedaran setiap tahun dengan kerjasama penduduk dalam usaha membentuk minda masyarakat ke arah nilai positif berlandaskan syariah Islam.

“Program ini akan terus dipacu dan diperbanyakkan lagi dalam usaha mengurangkan masalah sosial di kalangan masyarakat, terutama ketika ini seperti dipaparkan media, antaranya suami pukul isteri, simbah asid, anak perempuan lari ikut teman lelaki dan isteri curang,” katanya pada Seminar Kecemerlangan Wanita, Ibu Tunggal, Kecemerlangan Anak-Anak di Taman Melati Kawasan 8, Setapak, di sini. Hadir sama, Pengerusi Perbadanan Pengurusan Rumah Pangsa Kawasan 8, Komander Abdul Rahman Othman.

Seminar separuh hari itu memaparkan barisan tokoh JIM merangkap pakar motivasi kekeluargaan diiktiraf universiti tempatan dan dihadiri penduduk.