Thursday, July 30, 2009

Sambutan Pelajar Baru ( SAMPEL) UKM-KL

Salam,

Sedikit laporan ringkas dari JIM IPT Titiwangsa, KL.

Alhamdulillah, pada petang semalam ( Ahad), Karisma UKM-KL bersama JIM IPT Titiwangsa telah menganjurkan majlis Sambutan Pelajar Baru ( SAMPEL) UKM-KL yang telah diadakan di Tasik Titiwangsa dari jam 5.30pm hingga 7:15pm. Program SAMPEL ini dihadiri oleh seramai 40 orang ikhwah akhawat yang terdiri dari 12 orang pelajar baru, 6 dari JIM Titiwangsa dan selebihnya dari Karisma UKMKL dan PPUKM yang hadir sama untuk meraikan pelajar-pelajar baru.

Majlis dimulai dengan minum petang dengan juadah yang ditempah dan potluck yg dibawa oleh para nuqaba’, seterusnya Game Taaruf Mencari Kasut Cinderella Yang Hilang diikuti dengan ucapan oleh Amir Karisma UKMKL ( Ammar) dan Mas’ul UKMKL ( Zainal Adnan). Majlis SAMPEL ini pada awalnya dijangka dihadiri oleh lebih ramai pelajar baru yg bercadang untuk mengikuti usrah Karisma UKMKL, tetapi tidak dapat hadir di saat saat akhir kerana pertembungan jadual dengan program kampus yang lain. Pada masa yang sama juga, ramai di kalangan pelajar diserang viral fever menyebabkan mereka yang demam tidak dapat hadir ke SAMPEL pada saat akhir.

InsyaAllah, rancangan seterusnya adalah menyusun pelajar-pelajar baru ini ke dalam sistem usrah Karisma UKMKL.. Pada masa yg sama, terdapat juga pelajar-pelajar lama UKMKL ( Medik Tahun 2 dan FSKB) yg berminat untuk menyertai usrah UKMKL untuk pertama kali bermula semester ini. Kumpulan-kumpulan usrah sedia ada telah pun memulakan sesi usrah bagi semester baru yang telah pun memasuki minggu keempat. Mohon para nuqaba’ JIM Titiwangsa yang telah memberikan komitmen untuk bawa usrah agar bersiap sedia membantu menyantuni pelajar2 baru di kalangan generasi pelapis ini.

Jazakumullahu khairan kathira kepada semua yang telah membantu menjayakan SAMPEL ini. Mudah-mudahan usaha kerdil kita bersama diberkati Allah SWT.

Wassalam

Ummu Awatef

JIM IPT Titiwangsa

27 Julai 2009

Pelajar-pelajar akhawat UKM-KL sedang minum petang beramai-ramai.

Game Taaruf: Mencari dan Mengembalikan Sebelah Kasut Cinderella yang Tercicir!


Akhawat sedang berusaha mengingati identiti Cinderella bersama sebelah kasut yang telah ditemui.

Pakcik Zainal dari JIM IPT Titiwangsa bertanya khabar ikhwah freshies UKM-KL yang sedang menjamu selera.

Pelajar-pelajar sedang khusyuk mendengar ucapan alu-aluan dari Amir Karisma UKM-KL


































Iftar Jim Titiwangsa di SRIP

Assalamualaikum wbt...

Alhamdulillah dengan izin dan rahmatNya, program Iftar yang telah diwar-warkan sebelum ini oleh TPSM Jim Titiwangsa telah berjaya dilaksanakan pada Khamis, 23 Julai 2009 bertempat di Sekolah Rendah Islam Pintar (SRIP), Desa Melawati.

Syukur alhamdulillah, teruja dengan kehadiran ahli-ahli Jim Titiwangsa yang hadir bersama ahli keluarga masing-masing pada Iftar kali ini termasuk adik-adik IPT, sehinggakan ada yang tidak dapat merasa ayam goreng terutamanya yang tiba agak lewat sedikit (bagi pihak AJK, kami memohon maaf banyak-banyak di atas kekurangan makanan, semoga Allah memberkati makanan yang kita makan beramai-ramai).

Selesai solat Maghrib berjemaah, slot ringkas yang menunjukkan slide beberapa aktiviti Jim Titiwangsa ditayangkan terutamanya untuk makluman ahli/mereka yang baru pertama kali hadir ke program Iftar Jim Titiwangsa.

Tazkirah telah disampaikan oleh Akhi Che Zam bin Hamzah, TYDP Jim Titiwangsa bertajuk 'Kemelut Ekonomi Mencari Rezeki'. Tazkirah ini merupakan perkongsian yang pernah dibentangkan oleh TYDP di dalam usrah kumpulannya pada September.

Antara usaha yang perlu dilakukan dalam menghadapi kemelut ekonomi kini adalah memperbanyakkan sedekah (walaupun sedikit); banyakkan istighfar dan bertaubat, lebih bertaqwa, menggunakan kesempatan diri untuk beribadah pada Allah serta bertawakal padaNya.

Program diakhiri dengan solat Isyak berjemaah.

Semoga kita semua dapat bersama-sama dalam iftar yang akan datang.

Jazakumullahukhairan.

Tuesday, July 28, 2009

Seminar Keluarga Cemerlang, Jalan Duta

Assalamualaikum wbt...

Akhawat yang dirahmati Allah SWT...

Pada 19 Julai 2009, bertempat di Dewan Komuniti, Kuarters Kerajaan Jalan Duta telah berlangsung Seminar Keluarga Cemerlang anjuran bersama Jim Titiwangsa dan Biro Muslimat Surau al-Mizan.

Kehadiran peserta dari kalangan kakitangan kerajaan yang menetap di kuarters tersebut adalah lebih kurang 70 orang.

Majlis yang dipengerusikan oleh Ustaz Arwani bin Sali dimulakan dengan bacaan Al-Quran oleh pelajar kaedah Asy-Syaathir.

Slot pertama oleh Ustaz Hj Kamal Azhari bin Zuhra yang membentangkan tajuk 'Ibu Bapa Madrasah Pertama Anak-anak'. Antara aspek yang ditekankan adalah pendidikan anak-anak bermula sejak dari dalam kandungan lagi dengan kedua ibu bapa sentiasa membaca ayat-ayat Al-Quran. Tarbiyah agama - Ruhiyyah, Aqiyyah, Jasadiyah dan amalan ibadah hendaklah diterapkan sejak anak-anak masih kecil lagi.

Selesai slot pertama, peserta seminar dihiburkan dengan persembahan nasyid oleh anak-anak dari kelas mengaji kaedah Asy-Syaathir di bawah kendalian Ustaz Arwani bin Sali sambil minum pagi dan menikmati kuih-muih yang dimasak sendiri oleh AJK Biro Muslimat Surau Al-Mizan.

Slot kedua oleh Puan Hjh Endok Sempo Hj Mohd Tahir pula dengan tajuk 'Cabaran dalam Mendidik Anak-anak Masa Kini' dimulakan dengan kisah impian Saidina Umar al-Khattab tentang anak-anak muda yang hebat. Antara peranan ibu bapa di zaman kini adalah untuk menguasai kemahiran ICT seperti yang digunapakai oleh anak-anak sekarang; memahami jurang generasi dengan berkomunikasi secara 2 hala - budaya musyawwarah serta tidak terlalu mengawal anak-anak; juga membina jambatan persahatan dengan anak masing-masing.

Seminar ini berakhir pada pukul 1 tghari dengan jamuan makan tengahari.

Jazakumullahukhairan di atas kerjasama semua pihak dalam menjayakan seminar ini.



*** Beberapa gambar semasa program.










Wednesday, July 15, 2009

Jemputan ke Iftar Jim Titiwangsa - 23 Julai 2009

Assalamualaikum wbt,

DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PENGASIH LAGI MAHA PENYAYANG

Ikhwah akhawat yang dirahmati Allah swt sekalian,

Sukacita dimaklumkan JIM Titiwangsa akan melaksanakan iftar pada bulan Rejab ini. Kami amat berbesar hati kiranya ikhwah dan akhawat dapat hadir memeriahkan majlis iftar ini yang akan diadakan seperti berikut:


Tarikh : 23 Julai 2009 (Khamis).
Tempat : Surau SRI Al-Amin KL (tempat telah ditukar ke Surau SRIP, Desa Melawati )
Yuran : PERCUMA (makanan disediakan)


Agenda :
~ Iftar
~ Solat Maghrib
~ Bisikan Rohani
~ Solat Isya'
~ Bersurai


Majlis terbuka kepada ahli JIM Titiwangsa dan mana-mana ahli JIM Kuala Lumpur. Mohon jasa baik ikhwah akhawat untuk hebahkan pada semua rakan terutama pada ahli baru.

Mohon maklumkan penyertaan kepada saya untuk penyediaan makanan (e-mel
mohammadweb@ yahoo.com atau sms 019-2656782) .

Semoga Allah swt memberkati usaha ini dan majlis in akan mengukuhkan ukhuwwah dan silaturrahim sesama kita. Ayuh kita meriahkan majlis ini.

wassalam,
Mohammad
TPSM Titiwangsa
*** Harap maklum dengan pertukaran tempat.

Program Qiamullail Wanita JIM TTW - 10 Julai 2009

Salam,

Akhawat yang dirahmati Allah,

Alhamdulillah, dengan izinNYA, Qiamullail utk ahli-ahli wanita jim ttwangsa yang dirancang sebelum ini telah berjaya diadakan pada malam 10 Julai 2009 yang lepas bertempat di Sekolah Islam Adni.

Seramai 30 orang akhawat yg terdiri dari ahli JIM TTW dan kakitangan Sekolah Adni telah menghadiri slot pengisian malam manakala 23 orang telah menyertai slot qiamullail.

Program bermula pada jam 10mlm dengan pengisian disampaikan oleh Puan Faridah Maludin (PAKSI-JIM) yang bertajuk "Ubah Paradigma Anda : Energi dari Al Qur’an". Pengisian tentang mengubah paradigma dengan melihat kembali ke zaman kegemilangan tamadun Islam, pemuda-pemuda Islam yang hebat dan diakhiri dengan tadabbur Surah Fussilat ayat 30-36 ( klip video Imam membacakan ayat-ayat ini ketika mengimamkan qiam sangat menyentuh hati, sehingga ada yg menitiskan airmata).

Qiamullail akhawat bermula pada jam 4:15pagi. Solat sunat tasbih telah diimamkan oleh Ustazah Zaiton Nasri manakala solat subuh pula telah diimamkan oleh Ustazah Zaimah Yaha.

Pengisian untuk kuliah subuh telah disampaikan oleh Puan Siti Zaiton Abdul Aziz tentang salah-satu ciri-ciri orang yang beriman iaitu BERTAUBAT.

Selepas kuliah subuh, akhawat yang hadir telah mengambil peluang keemasan untuk bertanya pelbagai masalah dan persoalan agama kepada kedua-dua ustazah yang ada bersama pada pagi itu.

Jazakumullahu khairan katheera kepada semua yang dapat hadir dan yang terlibat dalam program ini.


InsyaAllah, Wanita Ttw akan mengadakan Qiamullail akan datang sebelum bulan Ramadhan di tempat yang sama. Tarikh akan dimaklumkan kemudian.

Wassalam


Ummu Awatef

Monday, July 13, 2009

Seminar Keluarga Cemerlang

Tema :
IBU BAPA
MADRASAH PERTAMA ANAK-ANAK

Tempat :
DEWAN KOMUNITI
KUARTERS KERAJAAN JALAN DUTAMAS 3
Tarikh & Masa :
19 JULAI 2009 (AHAD) 8.30pagi – 1.00tghari

Penceramah :
1. Ustaz Hj. Mohd Kamal Azhari Zuhra
(Penceramah Motivasi)
2.Ir. Hjh. Endok Sempo Hj Mohd Tahir
(Mantan Pensyarah UTM)

Anjuran Bersama:
BIRO MUSLIMAT SURAU AL–MIZAN
& JIM DAERAH TITIWANGSA

SEMUA MUSLIMIN DAN MUSLIMAT DIJEMPUT HADIR !

Tuesday, July 07, 2009

Hebahan : Wacana Wanita Tanpa Suami: Cabaran, Peranan dan Sumbangan kepada Masyarakat

Assalamualaikum wbt..

Menemui lagi kita dalam Wacana Wanita setelah Wacana Wanita & Krisis Ekonomi Global, Wacana Wanita & Keadilan Syariah dan Wacana Wanita, Keluarga & Kerjaya.

Kali ini kita berwacana pula mengenai

Wanita Tanpa Suami: Cabaran, Peranan dan Sumbangan kepada Masyarakat.

Bila tu???
26 Julai 2009 (Ahad)

Pukul berapa??
8.00 pagi-5.00 petang

Kat mana??
Auditorium A, Kuliyyah Engineering, UIA Gombak

Siapa yang boleh hadir??
1. Mereka yang masih single
2. Ibu tunggal
3. Isteri yang suaminya merupakan tahanan ISA/Penjara/ Kem Tahanan seperti Pusat Serenti etc


Masukkan tarikh ini dalam jadual anda!!! Bermacam-macam acara menarik yang akan menyusul. Nantikan hebahannya.

Untuk sebarang pertanyaan, hubungi sekretariat Wacana di talian 03-41073379.