Saturday, May 15, 2010

KENYATAAN MEDIA : WANITA- KESEIMBANGAN KERJAYA DAN KELUARGA

13 Mei 2010

WANITA - KESEIMBANGAN KERJAYA DAN KELUARGA

Wanita masa kini majoritinya adalah wanita yang berkerjaya. Tidak dinafikan penglibatan dan peranan wanita dalam membangunkan masyarakat dan negara adalah penting. Islam tidak menghalang wanita untuk melakukan pekerjaan di luar rumah sekiranya ia merupakan keperluan diri, keluarga, masyarakat dan negara. Malahan Islam menganggap pekerjaan yang dilakukan oleh wanita atau lelaki merupakan suatu ibadah selagi dilakukan dengan niat yang ikhlas dan tidak terkeluar dari landasan dan peraturan syariat Islam.

Wanita yang bekerja perlu faham dan jelas tentang kenapa dan matlamat  mereka keluar bekerja. Antara tujuan wanita bekerja adalah kerana membantu ekonomi keluarga, mengamalkan bidang yang telah diceburi, menjadi ketua keluarga seperti ibu tunggal atau suami yang sakit. Terdapat juga wanita yang keluar bekerja kerana ingin bersosial dan materialistik.

Walau bagaimanapun wanita Islam yang berkerjaya di saran:

1.      Berada di dalam  batasan syarak
2.      Menutup aurat
3.      Menjaga perhubungan silang jantina
4.      Memastikan pekerjaan itu tidak melanggar fitrah
5.      Menjaga akhlak
6.      Menjaga maruah suami dan keluarga
7.      Tidak mengabaikan tanggungjawab pada keluarga

Di  dalam Islam tugas utama kaum wanita ialah menjaga kebajikan keluarga dan juga pembangunan jati diri setiap ahli keluarga. Tanggungjawab wanita yang bekerja akan bertambah. Wanita bekerja perlu bijak menyeimbangkan antara tanggungjawab keluarga dan kerjaya supaya dapat melahirkan keluarga yang soleh dan musleh. Wanita perlu mencari jalan keluar agar tidak tertekan apabila tidak dapat berperanan dengan baik. Wanita bekerja yang tertekan akan memberi kesan yang ketara kepada ahli keluarganya terutama anak-anak., Keruntuhan akhlak dan masalah sosial mungkin berlaku.

Wanita JIM mengajak wanita-wanita Islam terutama di kota metropolitan supaya menyiapkan diri dengan ilmu-ilmu berkaitan:

1.       Islam
2.       Pengurusan rumahtangga dan kerjaya
3.       Pengurusan ‘stress
4.       Pengurusan kewangan
5.      Komunikasi berkesan (dengan suami agar mendapat sokongan dan dokongan utama)
6.      Pendidikan anak-anak
7.      Pengurusan masa
8.      Perundangan keluarga
9.      Ilmu mengenai kesihatan diri dan keluarga

Harapan Wanita JIM terhadap  wanita Islam yang berkerjaya agar dapat menyeimbangkan peranan mereka di antara kerjaya dan keluarga. Bak kata pepatah jangan jadi seperti ‘yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran’

Dr Niekmah Adam
Ketua Wanita JIM Kuala Lumpur