Thursday, May 13, 2010

MH : Wahai lelaki, sempurnakanlah amanahmu!

Selasa, 04 Mei 2010 16:07 TM Lim

KUALA LUMPUR – Lelaki, selaku ketua keluarga dan ketua masyarakat perlu lebih memberi keutamaan menyempurnakan amanah yang telah dipikulkan ke atas bahu mereka, khususnya dalam melindungi dan membela ahli keluarga mereka sebaik mungkin. Demikian mesej yang terpancar dalam Malam Amal Raudhatus Sakinah (MARS) 2010 di Pusat Konvensyen Shah Alam Ahad lalu.

Sebagai sebuah pusat bimbingan dan perlindungan untuk remaja puteri, Raudhatus Sakinah (RS) yang dikendalikan oleh Wanita Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM) terus menunjukkan komitmen yang tinggi dalam usaha menangani gejala sosial dan seksual yang semakin meruncing dalam masyarakat hari ini. Selain rancak meningkatkan kempen ‘Anda Bijak Jauhi Zina’ yang dilancarkan sejak 2007, empat buah cawangan RS yang telah ditubuhkan di Selangor, Kelantan, Pulau Pinang dan Johor terus memberikan khidmat bakti membimbing remaja kembali ke pangkal jalan.

Naib Presiden JIM yang juga Pengerusi Lembaga Pengurusan Induk RS, Prof Madya Dr Harlina Halizah Siraj berkata, berikutan mendadaknya peningkatan perzinaan, bilangan kehamilan remaja dan belia di luar nikah serta pembuangan bayi yang dilaporkan akhir-akhir ini, JIM terpanggil untuk memperhebat usaha menuntut semua pihak dan lapisan masyarakat memainkan peranan yang serius dalam membendung gejala yang mampu merosakkan nasab keturunan generasi akan datang ini.

“Isu gejala sosial dan seksual hari ini tidak boleh dilihat sebagai isu yang hanya membabitkan satu kelompok atau pihak yang menjadi mangsa sahaja, malahan golongan pemangsa yang mengambil kesempatan amat perlu ditangani segera. Dalam masa yang sama, segala situasi dan keadaan yang membuka peluang dan kesempatan menggalakkan berlakunya gejala ini mestilah segera dibendung habis-habisan,” tegasnya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan bersempena dengan program malam tersebut.

MARS 2010 dianjurkan dengan objektif utama mengajak semua individu masyarakat khususnya kaum lelaki untuk kembali melaksanakan amanah melindungi, membela dan menjaga wanita sebagaimana yang dinyatakan dengan jelas dalam al-Quran, surah an-Nisa’ ayat yang ke-34. Dengan tema ’Lelaki Pelindung Wanita’, MARS 2010 meminta kaum Adam untuk lebih komited dalam menjalankan amanah yang telah dipikulkan oleh Allah subhanahu watala. Sebaliknya, jika kaum lelaki cuai dalam melaksanakan tanggungjawab tersebut, mereka akan menjadi `perosak dan pemusnah’ yang mengeksploitasi masa depan serta kehidupan wanita, kanak-kanak dan masyarakat umum.

”Contoh sejati yang terbaik dan mampu menterjemahkan amanah tersebut dalam kehidupan seharian adalah Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam. Malahan baginda membuat penegasan khusus mengenai tanggungjawab kaum lelaki terhadap wanita dalam khutbah terakhir sebelum kewafatan baginda,

‘Wahai manusia, sebagaimana kamu mempunyai hak ke atas isteri kamu, mereka juga mempunyai hak ke atas kamu. Sekiranya mereka menyempurnakan hak mereka ke atas kamu maka mereka juga berhak untuk diberi makan dan pakaian dalam suasana kasih sayang. Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik, berlemah lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu yang setia. Dan hak kamu ke atas mereka ialah mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang kamu tidak sukai ke dalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina,’” katanya.

Kaum lelaki juga, tambah Harlina, diperingatkan dalam al-Quran agar memelihara diri mereka sendiri dan ahli keluarga (anak isteri) daripada azab api neraka (surah at-Tahrim ayat ke-6). Rasa tanggungjawab yang tinggi terhadap keselamatan dan kesejahteraan kaum wanita semestinya disemai awal dalam pendidikan anak-anak lelaki. Lelaki dewasa dalam komuniti seharusnya mampu menunjukkan sikap, layanan dan tingkah laku yang benar terhadap wanita, agar dicontohi pula oleh generasi lelaki muda, belia dan remaja. Kaum lelaki yang secara amnya lebih kuat fizikal dari wanita, tidak seharusnya mengambil kesempatan dengan kelemahan dan kekurangan kaum Hawa.

Namun kaum lelaki tidak seharusnya pula menjadi ‘over-protective’ sehingga mengurung isteri dan anak perempuan di rumah, menyekat peluang mereka untuk menuntut ilmu atau terlibat aktif dalam urusan kerjaya dan kemasyarakatan serta membuat segala keputusan tanpa melibatkan pandangan wanita sendiri!

“Apa yang sebenarnya digariskan oleh Islam, adalah kewajipan lelaki memastikan suasana, keadaan dan situasi sosial, politik dan ekonomi berada pada tahap yang baik untuk membolehkan wanita mencapai potensi tertinggi keupayaan mereka, agar sumbangan wanita mampu terus disalurkan untuk membangunkan tamadun dan kemajuan ummah.

”Dalam masa yang sama, kaum wanita juga memikul amanah menjaga maruah, kesejahteraan suami dan anak-anak serta harta benda. Mereka juga bertanggungjawab sepenuhnya melindungi suami daripada terbabit dalam kemungkaran yang mengundang kemurkaan Allah subhanahu wataala. Dengan keprihatinan bersama, kedua lelaki dan wanita memerlukan satu sama lain untuk tujuan melindungi, membela dan menjaga kepentingan bersama dengan harmoni dan bahagia,” ujar Harlina lagi.

Dalam konteks negara pula, JIM mendesak agar pihak kepemimpinan eksekutif negara yang diketuai oleh Perdana Menteri meletakkan prioriti utama dalam menangani isu gejala sosial dan seksual, di samping mencari jalan terbaik untuk membendung masalah ini. Amatlah tidak wajar sekiranya hanya sebuah kementerian sahaja yang dipertanggungjawabkan sepenuhnya berkaitan isu ini. Sebuah jawatankuasa kabinet khas sepatutnya dibentuk untuk merungkai permasalahan dan memikirkan tindakan selanjutnya. Kawalan sosial yang lebih berkesan perlu diwujudkan semula.

Segala usaha ini perlu dilaksanakan secara bersepadu dan berterusan agar gejala sosial dan seksual tidak terus menjadi `barah’ dalam kehidupan masyarakat Malaysia.

Sumber : MalaysiaHarmoni