Saturday, May 15, 2010

Laporan Wacana Wanita, Keluarga dan Kerjaya

Kompleks Pusat Islam, 13 Mei 2010: Wacana Wanita, Keluarga dan Kerjaya telah berlangsung dengan jayanya. Wacana anjuran bersama Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Wanita Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM) dan Puspanita JAWI ini telah dihadiri oleh hampir 100 orang peserta yang terdiri daripada kakitangan pelbagai jabatan kerajaan dan individu yang bekerja.

 
Peserta yang hadir
 
Objektif utama wacana ini adalah untuk memahami dan melaksanakan tuntutan syarak berhubung keperluan dan kedudukan wanita untuk keluar bekerja dengan batas-batas serta keutamaan yang telah ditetapkan. 

Selain itu, ia juga untuk mengenalpasti cabaran-cabaran mendesak yang dihadapi oleh generasi muda yang baru menyertai alam pekerjaan dan membincangkan saranan, bentuk sokongan, sistem bekerja yang sesuai dan infrastruktur yang diperlukan untuk menyokong penglibatan wanita di luar rumah bagi mencapai keseimbangan kerjaya dan keluarga.  

Wacana ini telah dirasmikan oleh YBhg To’ Puan Hajjah Rakiah Mariana binti Latiff, Pengerusi Puspanita JAWI.
 
Ucap utama dan Perasmian oleh Pengerusi Puspanita JAWI

Satu kenyataan media telah dikeluarkan oleh Wanita JIM Kuala Lumpur bersesuaian dengan tema Mengurus Keseimbangan: Utamakan Keluarga. Kenyataan ini telah dibacakan oleh Dr Niekmah Adam, Ketua Wanita JIM Kuala Lumpur. Kenyataan dilampirkan bersama.
 
 Sesi Sidang Media

Sesi pembentangan telah dimulakan oleh Prof Madya Dr Anisah Ab Ghani, Pensyarah Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya dengan tajuk “Wanita dan Kerjaya Menurut Pandangan Syarak”. Dalam pembentangan ini, PM Dr Anisah telah menyentuh pendapat mengenai wanita yang bekerja yang terbahagi kepada tiga pendapat iaitu menghalalkan wanita berkerjaya secara mutlak, mengharamkan wanita berkerjaya secara mutlak dan mengambil sikap pertengahan.
 
 
PM Dr Anisah Ab Ghani menyampaikan pembentangannya.
  
Dalam Islam, wanita berhak bekerja berdasarkan beberapa surah dalam ayat al-Quran tetapi mesti mengikut beberapa syarat iaitu pekerjaan itu mestilah halal dari segi syarak, pekerjaan itu tidak menafikan fungsi utama wanita, menjaga adab-adab Islam yang merangkumi adab keluar rumah, berpakaian, bergerak, bercakap dan bertabarruj.

Pembentangan kedua telah disampaikan oleh Prof Madya Dr Harlina Halizah Hj Siraj, Pakar Perunding Obstetrik dan Ginekologi HUKM merangkap Naib Presiden JIM dengan tajuknya “Mengurus Keseimbangan, Utamakan Keluarga”.
 
 
Pembentangan oleh PM Dr Harlina Halizah Hj Siraj
 
Dalam pembentangan ini peserta dibawa untuk kembali mengkoreksi diri tentang tujuan sebenar kita bekerja. Banyak soalan yang telah ditimbulkan oleh penceramah yang memerlukan para peserta untuk menilai sendiri diri masing-masing mengenai tujuan sebenar kita bekerja dan sejauh manakah kita akan pergi dengan kerjaya kita itu? Adakah kita rela mengabaikan tanggungjawab terhadap keluarga semata-mata gaji yang kita perolehi itu? 

Selain itu, beliau menekankan supaya kita menjadikan keluarga kita sebagai 5 bintang di mana kita bertindak sebagai pemimpin masyarakat, pembuat keputusan, contoh teladan, penghubung dan pengurus yang berjaya.. Beliau juga menerangkan evolusi pembabitan wanita sebelum dan selepas merdeka, senario semasa wanita yang bekerja dan konsep “Life balance”.

Wacana tamat kira-kira pukul 1.00 tengah hari. 

Dilaporkan oleh:

Nazirah Idris