Saturday, May 15, 2010

Wanita perlu segera kenal pasti punca jika tertekan

Utusan Malaysia
14 Mei 2010

KUALA LUMPUR 13 Mei - Wanita Islam disaran segera mengenal pasti punca yang menyebabkan perasaan mereka tertekan sehingga gagal untuk mengimbangi tanggungjawab terhadap keluarga dan juga kerjaya.

Ketua Wanita Jamaah Islah Malaysia (JIM) Kuala Lumpur, Dr. Niekmah Adam berkata, jika perasaan tertekan terus dibiarkan, ia akan membuatkan seseorang wanita tidak mampu untuk menjalankan tanggungjawabnya dengan baik.

''Tekanan ini juga akan memberi kesan yang ketara terhadap ahli keluarga khususnya anak-anak sehingga boleh menyebabkan berlaku keruntuhan akhlak dan juga gejala sosial,'' ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis perasmian Seminar Wanita, Keluarga dan Kerjaya anjuran Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dengan kerjasama Persatuan Suri dan Anggota Perkhidmatan Awam Wanita (Puspanita) Jawi dan Wanita JIM di Dewan Hadhari, Kompleks Pusat Islam di sini hari ini.

Majlis perasmian itu disempurnakan oleh Presiden Puspanita Jawi, Toh Puan Rakiah Mariana Latiff.
Sehubungan itu, kata Dr. Niekmah, wanita diminta menyiapkan diri dengan mendalami ilmu-ilmu yang berguna supaya dapat mengendalikan segala tanggungjawab dengan berkesan.

''Antaranya termasuklah mendalami ilmu agama, pengurusan rumah tangga dan kerjaya, pengurusan tekanan dan juga pengurusan kewangan,'' katanya.

Selain itu katanya, wanita juga digalakkan mempelajari komunikasi dengan lebih berkesan dalam keluarga, pendidikan anak-anak, pengurusan masa, perundangan keluarga dan juga mengenai kesihatan diri dan keluarga.

Katanya, setiap wanita Islam disaran supaya memahami dengan lebih jelas matlamat mereka untuk keluar bekerja supaya ia tidak terkeluar daripada landasan dan peraturan yang ditetapkan agama.

''Ada kalangan wanita yang bekerja untuk membantu ekonomi keluarga, mengamalkan bidang yang diceburi, menjadi ketua keluarga kerana suami sakit atau ibu tunggal,'' katanya.

Dr. Neikmah berkata, majoriti wanita masa kini juga mempunyai kerjaya maka peranan dalam membangunkan masyarakat dan negara juga adalah penting.

''Islam tidak menghalang wanita untuk melakukan pekerjaan di luar rumah sekiranya ia merupakan keperluan diri, keluarga, masyarakat dan negara,'' katanya.

Dalam pada itu, pensyarah Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM), Prof. Madya Dr. Anisah Ab. Ghani membentangkan kertas kerja bertajuk Keseimbangan Kerjaya dan Keluarga: Antara Harapan dan Cabaran pada seminar itu.

Turut membentangkan kertas kerja ialah Naib Presiden JIM Pusat, Prof. Madya Dr. Harlina Halizah Siraj.